" Serambi Ilham ": July 2006

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Saturday, July 29, 2006

Semuanya akan ditanya dan dipersoal

Bismillah...

أَخْبَرَنَا ‏ ‏أَسْوَدُ بْنُ عَامِرٍ ‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏أَبُو بَكْرٍ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏الْأَعْمَشِ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جُرَيْجٍ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ ‏ ‏قَالَ ‏
‏قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ مَا فَعَلَ بِهِ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلَاهُ ‏
(سنن الدارمي)

Maksudnya:
Tidak akan berganjak kaki seseorang hamba pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa dia menghabiskannya, tentang ilmunya apakah yang diamalkannya, tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan ke mana dia belanjakannya dan tentang jasadnya (tubuh badannya) pada apa dia usahakannya.

Friday, July 28, 2006

Ada umat Islam yg sangat gemar menontot aksi ini







Aksi saudara seislam diganyang. Pelik! Kenapa ada umat Islam yang sangat gemar menontonnya...

Kezaliman yg dihalalkan



Ini adalah gambar BAYI malang, Shahd Okal, (gambar kiri) lapan bulan terbunuh bersama kakaknya, Maria Okal, 5, (gambar kanan) apabila sebuah kereta kebal Israel menggempur rumah mereka di utara Gaza, kelmarin.

Amat malang situasi zalim seperti ini, masih ada pihak yang seolah-olah menghalalkannya. (orang Islam sendiri)

Mereka kata: "Adakah anda mahu tunggu sehingga semua bumi umat Islam, baru anda mahu mendedahkan kebathilan puak-puak yang mengkafirkan sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Adakah Palestin itu lebih besar daripada mempertahankan akidah yang Rasulullah SAW ajar, hinggakan kerana Masjid al-Aqsa kita sanggup mengungkap kata-kata yang mempertahankan akidah sesat yang mengkafirkan para sahabat ra."

Kata-kata mereka seolah menghalalkan apa yang Israel lakukan. Adakah akidah Israel lebih betul dan lebih benar dari akidah syiah? Adakah Hizbullah lebih kafir dari Israel? Adakah Israel lebih beriman daripada Syiah?

Thursday, July 27, 2006

Jangan Salahkan Allah (bhgn. akhir)

Bismillah...

Jika kita amati dan teliti setiap inci apa yang berlaku di atas muka bumi ini, segalanya tidak akan lari dari sunnah perjalanannya. Segala apa yang berlaku tidak akan lari dari perjalanan dan apa yang memang telah tetap akan berlaku. Memang segalanya adalah kudrat dan iradah Allah. Tetapi, ia berlaku berlandaskan sunnah dan perjalanannya. Berasaskan sebab dan musabbab.

Contohnya seorang pelajar yang hanya tidur siang dan malam dan tidak pernah langsung ke kuliah apa lagi menelaah kitab dan bacaan. Natijahnya adalah kegagalan. Begitu juga seorang pemandu kereta yang berangan pergi ke Perlis tetapi minyak kereta tidak di isi. Natijahnya adalah kegagalan juga. Iaitu kegagalan menuju ke destinasi. Segalanya ini berlaku mengikut sunnah dan percaturan yang telah ditetapkan. Pendek kata seperti kata pepatah takkan pokok bergoyang kalau tidak ada angin. Manakan dapat sagunya kalau tidak dipecahkan ruyung.

Begitulah juga apa yang berlaku sebagaimana yang telah Allah rakamkan dalam kitabnya yang mulia. Kemusnahan dan kehancuran mereka adalah hasil buatan tangan mereka sendiri. Ia semacam tetamu yang sengaja diundang. Sengaja melakukan dosa dan kemaksiatan. Hasilnya, mereka Allah hancurkan.

Dosa adalah kesalahan dan jenayah terhadap Allah Ta’ala. Ia adalah hasil daripada kederhakaan dan keengganan hamba-Nya menurut segala perintah-Nya dan meninggalkan setiap apa yang dilarang. Memang begitulah janji dan ketentuan Allah bagi mereka yang melakukan dosa dan pendurhakaan. Itulah juga sunnah dan ketetapan dalam kehidupan.

Orang kata, jangan marahkan kereta api yang merempuh dan menggilis tubuh kita kalau kita secara sengaja berbaring dan duduk santai pada landasannya ketika ia sedang lalu. Begitulah secara logiknya. Kereta api akan tetap berjalan pada landasan yang memang telah tersedia khas untuknya. Ia tidak pernah dan tidak akan sengaja mencari mangsa untuk digilis. Oleh keran itu juga, jangan salahkan Allah kalau kehancuran menimpa kita.

Akhirnya, mari sama-sama kita renung firman Allah Ta’ala yang berbunyi

ذَلِكَ أَنْ لَمْ يَكُنْ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا غَافِلُونَ

Maksudnya: Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai. (Al-An’am: 131)

Wallahu a'lam

Wednesday, July 26, 2006

Ucapan Pengarah The Annual Festival of BKPJM 2006

Bimillah. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Pencipta alam yang penuh indah. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan, penyudah segala wahyu dan utusan ummah, juga buat sahabat-sahabat baginda yang memperjuang Islam hingga ke penyudah, para pengikut sahabat serta sekalian tabi’ tabi’in pejuang agama Allah.

Tiada lafaz untuk dikata, tiada madah untuk ditatah, tiada tinta untuk ditumpah, melainkan luahan syukur metah ke hadrat Allah di atas segala curahan nikmat yang tiada berkesudah. Buat julung kalinya, BKPJM melakar sejarah amat indah dengan mengadakan program The Annual Festival of BKPJM 2006 (AF 06). Ia berdasarkan kaedah dan teknik terkini, diadun bersama konsep dan tujuan yang sama seperti tahun-tahun dulu. Namun, BKPJM tahun ini dengan berani, mengubah rentak, menghimpun beberapa program lazim berbentuk tahunan di dalam satu padang dan taman bernama AF 06.

Program yang bermotifkan ukhwah dan bertunjangkan sifat bahu-membahu serta kemajuan ummah ini diharap senantiasa dalam lembayung Allah dan selalu di dalam pertolongan-Nya. Mudah-mudahan ia berjalan lancar dan rapi. Moga-moga ia menjadi tali pengikat yang ampuh bagi anak-anak Johor di perlembahan nil dan ikatannya diharapkan terus kukuh hingga ke tanah air kelak.

Pada kesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan, dari hujung rambut hingga ke hujung kuku sekiranya ada di sana cangung yang mengundang bingung, ada resah yang tidak sudah, ada salah dan silap yang membuat mata sukar dilelap. Salam dihulur, maaf dipohon.

Sejuta penghargaan dan ribuan terima kasih tidak terhingga buat Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, barisan BP dan Hewi PMRAM, barisan Ajkt dan Hewi BKPJM, barisan Eksekutif perlaksana, ahli jawatan kuasa kecil dan seluruh mereka yang bertungkus lumus memeras upaya secara langsung atau tidak dalam memastikan program ini terlaksana dan berjalan dengan jaya. Terima kasih sekali lagi buat semua. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi kalian.

Akhir kata, The Annual Festival of BKPJM akan menjadi nostalgia manis buat kita semua. Pastinya babak-babak dalam episod AF 06 akan sentiasa dalam ingatan dan kotak fikir kita. Moga segala apa yang kita bikin, menjadi saham ketika berhadapan Tuhan di padang mahsyar kelak. Hingga bertemu lagi dilain masa.

Sekian, wasslam...

Hafiz Noramli bin Halimi
Pengarah,
The Annual Festival of BKPJM 2006.

Wednesday, July 19, 2006

ATUCARA THE ANNUAL FESTIVAL OF BKPJM 06

HARI 1 (19 JULAI 2006)

8.00 pg - 12.00 tgh hari
SUKAN MAHABBAH
IKHWAH (Asrama Pelajar Johor)+ Sepak takraw + Sepak raga + Ping Pong + Gusti lengan
AKHAWAT (Nadi Syabab Hayyu 6)+ Sukaneka + Bola Jaring + Bola Baling

2.00 ptg-4.30 ptg:- Sambungan Sukan Mahabbah
5.30 ptg-7.00 mlm:- Sambungan Sukan Mahabbah

8.30 mlm-11.00 mlm
PERTANDINGAN
Tempat: Asrama Pelajar Johor
- Pertandingan menghias makan

HARI 2 (20 JULAI 2006)
Tempat: Asrama Pelajar Johor
8.00 pg - 12.00 tgh hari
PERTANDINGAN-Who Wants To Be The Daei- Pertandingan Khat

2.00 ptg-4.30 ptg:
PERTANDINGAN- Busana Muslimah (Akhawat)- Reka cipta (Ikhwah)- Pertandingan Membaca Khutbah (Ikhwah)- Gubahan Hantaran (Akhawat)

5.30 ptg-7.00 mlm:
PERTANDINGAN-Nasyid, Tilawah Al-Quran, Barzanji (Akhawat)- Pertandingan Teka Gaya (Ikhwah)

7.00 mlm-8.30 mlm:- Iftor Jamaie- Solat Maghrib Berjemaah

8.30 mlm-11.00 mlm-
DISKUSI KITABOleh: Ustaz Ahmad Fuad bin Amran

HARI 3 (21 JULAI 2006)

Tempat: Asrama Pelajar Johor
3.00 pg-7.30 pg
Qiamullail + Solat Subuh Berjemaah + Kuliah Subuh
7.30 pg – 12.00 tgh hari- Gotong-royong Asrama Pelajar Johor
2.30 ptg - 4.30 ptg- Pembentangan Kertas Kerja SembelihanOleh: Ust Khalid Salekan.
5.00 ptg - 7.30 ptg- Praktikal Sembelihan

HARI KE 4 (22 JULAI 2006)

Tempat: Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA)
8.00 pg - 12.00 tgh hari
MAJLIS PERASMIAN
- Ucapan Pengerusi Majlis
- Bacaan al-Quran
- Ucapan Pengarah AF '06
- Ucapan YDP BKPJM
- Ucapan Perasmian Pengarah JPMK
- Simbolik Perasmian

9.30 pg - 5.30 ptg- Kursus Pra Perkahwinan Keluarga Sakinah (KASIH)

8.30 mlm - 11.00 mlm
Tempat: Asrama Pelajar Johor
FORUM PERDANATajuk: Kebejatan Jenayah Riddah di Malaysia : Realliti danImplikasi
Ahli Panel: -Ust Mohd Asri Mat Daud-Ust Nizam bin Mohd Noh

HARI KE 5 (23 JULAI 2006)

Tempat: Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA)
8.00 pg - 4.00 ptg- Sambungan Kursus Pra Perkahwinan Keluarga Sakinah (KASIH)

HARI KE 6 (24 JULAI 2006)

TEMPAT:ASRAMA PELAJAR JOHOR
8:30 pg - 12.30 tgh hari
KOLOKIUM PELAJAR TAHUN AKHIR
- Kuiz Kenegaraan
- Motivasi Graduan
- Hala Tuju Graduan
- Peluang Pekerjaan
- Tips TemudugaOleh : Pengarah JPMK

01.30-04.30 ptg:KOLOKIUM PELAJAR TAHUN AKHIR
- Talk Show (Isu semasa)
- Pembentangan Kertas Kerja Uslub Da’wah
- LDK- Resolusi : Alumni

8.30 - 12 :00 mlm
Mesra perdana(bersama pegawai-pegawai program KASIH)

HARI KE 7 (25 JULAI 2006)

TEMPAT :ASRAMA PELAJAR JOHOR
10.30pg-01.30ptg
Hiwar perdana BKPJM- Bersama Ajkt & Hewi BKPJM

1.30-4.30 ptg majlis walimatul arus-Jamuan Tetamu

6.30 ptg - 7.30 ptg:- Jamuan Ahli BKPJM

8.00 mlm - 12.00 mlm
Malam UNTAIAN MAHABBAH(Malam Penyatuan Pelajar Johor)
- Solat maghrib berjamaah
- Ucapan Pengerusi Majlis
- Bacaan Al-Quran
- Ucapan Pengarah AF
- Ucapan YDP
- Ucapan Perasmi Penutup (Presiden PMRAM)
- Persembahan Nasyid
- Pelancaran Majalah Zikra dan Lagu BKPJM
- Persembahan
- Penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.
- Gimik penutup AF 2006

JOM KITA MEMERIAHKANNYA...

Peperiksaan yang sering gagal

Bismillah...

Mmmhhhh......... Hanya mampu mengeluh, tunduk kepala dan kadang-kadang mengangkat bahu. Mungkin sesekali mencebik. Bagi yang berjiwa halus, punya persaan dan sensitiviti, empangan akan pecah dan pipi mungkin disimbah bah. Ini antara adegan dan mungkin juga plot dalam episod kegagalan.

Peperiksaan, imtihan, ujian atau apa jua jolokan, memberi erti dan makna yang satu. Satu dasar, satu hadaf, satu matlamat. Pelbagai peperiksaan kita tempuhi saban tahun. Macam-macam ujian menimpa pada kita. Semuanya telah ditakdirkan dan telah pun ditulis Tuhan. Senang cerita, semuanya adalah ujian dan cubaan dari Allah.

Secara realitinya, kita kebanyakan di Malaysia dan boleh dikatakan semua rakyat, menduduki PMR, SPM dan pelbagai lagi sijil yang terpaksa mengharungi jalan peperiksaan. Itu peperiksaan ciptaan manusia dan sebenarnya adalah kembali juga kepada Allah walaupun nampak ia ciptaan manusia.

Bila menyebut peperiksaan, di sana ada yang namanya peperiksaan langsung dari Allah atau biasa disebut sebagai ujian, cubaan dan sebagainya. Juga antara banyak-banyak peperiksaan dan ujian secara langsung dari Allah ini, ada yang dinamakan ujian nafs atau pun jiwa. bagi saya, inilah antara ujian dan peperiksaan yang seringkali manusia gagal.

Orang beriman akan sentiasa dan selalu diuji. Ini memang lumrah dan sengaja Allah cipta antaranya untuk meningkatkan darjat manusia. Dalam alam realiti kehidupan yang kita tempuh, UPSR antara peperiksaan yang telah Kementerian Pendidikan tetapkan buat pelajar darjah enam. Bila lulus cemerlang, naiklah ke tingkatan yang bagus dan tempat yang seronok. Bila gagal, anda sendir boleh bagi jawapan.

Beritulah ujian dan cubaan Allah. Jika berjaya, naiklah ketingkat yang tinggi lagi dan semakin tinggi pula ujiannya.

Awaslah dengan ujian nafsu. Memang susah dan amat sukar melepasinya. Jika gagal, maka iman dan takwa kita masih di takuk yang sama dan mungkin juga berkurang. Melwan nafsu juga merupakan satu jihad dan ia sebagai mukaddimah kepada jihad yang lebih besar iaitu jihad memerangi musuh Islam.

Oleh itu, bersedialah kita dengan segala kelengkapan kerana musuh semakin rapat. Mereka semakin mengganas. Sedang kita semakin lesu dan sayu. Bangkitlah walau sekadar hanya memboikot barangan musuh Islam. Ia sangat memberi impak yang cukup mendalam.

Mari sama-sama berdoa panjatkan kepada Yang Esa agar diberi kekuatan.

Walllahu a'lam

Sunday, July 16, 2006

Zai nahar dzha?

Bismillah...

Letai sungguh belakangan ini meladeni saat-saat yang berdetik. Penat, lelah dan letih meniti detik waktu. Letih dengan beberapa tugasan dan tanggungjawab. Letih juga melihat kesungguhan dan ketekunan rakan-rakan seperjuangan. Tetapi keletihan yang hanya pada pandangan kasar yang mengundang semangat ke dasar mata hati. Kagum dengan mereka-mereka yang bertungkus lumus. Alhamdulillah Allah masih kurniakan manusia seperti ini dalam kebejatan dunia yang penuh kucar-kacir, kusut masai dan serabut.

Dalam jiwa, macam-macam ada. Penat, resah, gelisah, marah, gembira. Semua ini sering bercampur baur. Ini gara-gara menanti suatu detik penuh bersejarah dalam BKPJM. The Annual Festival of BKPJM 2006 mengundang pelbagai ragam, cabaran, pengalaman dan macam-macam lagi.

Buat seluruh Eksekutif yang bertungkus lumus, begitu juga ajk dan mereka yang sama-sama menghulur daya dan tenaga, kalian memang hebat dan tabah. Teruskan usaha hingga ke akhirnya. Bersungguh-sungguh dalam melaksanakan suatu perkara.

Hamba yang dhaif lagi hina memohon jutaan kemaafan di atas kesilapan yang berlaku. Kalau-kalau ada perkara yang terlepas pandang, maaf hamba pohonkan. AF’06 semakin hampir. Menggalas tugas sebagai ra’in amat berat. Tidak daya rasanya jiwa menanggung. Tetapi, atas upaya, tenaga dan sumbangan kalian semua, jiwa menjadi besar. Ia semakin tabah dan berani.

Mari sama-sama kita teruskan usaha menjayakan program yang gilang gemilang ini. Kita panjatkan doa ke hadrat Yang Esa agar apa yang kita buat mendapat berkat, sentiasa dalam pertolongan-Nya dan dimudahkan segala urusan.

Buat semua, mari sama-sama kita mendokong program yang bakal kita laksanakan dengan izin Allah ini. Mari sama-sama kita meriahkannya. Sesungguhnya apa yang kita laksanakan bukanlah sesuatu yang sia-sia malahan ia amat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan Islam. Moga Allah bantu kita semua. Amin...


Wallahu a'lam

Friday, July 14, 2006

Jangan Salahkan Allah bhgn. 2

Bismillah...

Di dalam tafsir Ibnu Kathir, telah menjelaskan ayat وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا sebagai sesuatu selepas sesuatu dan dijelaskan ayat وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ sebagai “telah Kami (Allah) memperbanyakkan kepada mereka hujan dari langit yang meliputi bumi mereka.”

Manakala dalam tafsir Jalalain ayat وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ beerti hujan, مِدْرَارًا beerti berturut-turut dan ayat تَحْتِهِمْ bermaksud di bawah kediaman mereka.

Kesimpulannya bahawa bumi mereka sentiasa subur. Allah tidak putus-putus menurunkan hujan dari langit. Maka, dengan hujan tersebut, bumi mereka sentiasa basah dan dilimpahi air yang banyak. Maka, dengan air tersebut akan tumbuh suburlah tanam-tanaman. Dengan tanam-tanaman inilah mereka mampu meneruskan kehidupan dengan baik. Pertumbuhan ekonomi akan menjadi pesat dan perjalanannya menjadi lancar. Ia membolehkan penduduknya hidup dalam keadaan cukup dan serba mewah. Ternakan juga akan terus berkembang hasil kurniaan hujan yang tidak putus dari Allah.

Inilah antara beberapa ciri-ciri dan keistimewaan umat terdahulu yang Allah katakan sebagai nikmat dan keistimewaan yang tidak pernah Allah kurniakan kepada umat dan golongan sebelumnya. Ia jelas memberitahu kepada kita betapa besar dan tingginya rahmat, kurniaan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya.

Seterusnya, jika kita teliti dan amati keterangan-keterangan di atas, kita akan dapati bahawa segala apa yang telah Allah sebutkan di dalam kitab-Nya yang mulia adalah saling tidak tumpah dengan apa yang kita perolehi hari ini. Beberapa ciri dan keistimewaan yang Allah sebutkan, secara realitinya sedang kita nikmati dan kecapi.

Kedudukan yang teguh dan kukuh, pangkat, harta, anak-anak, kelapangan hidup,kemuliaan, pembangunan dan kehormatan adalah antara nikmat yang sedang kita kecapi. Begitu juga dengan hujan yang turun dari langit, air sungai dan laut yang tidak pernah kontang, segalanya sedang kita nikmati. Walau mungkin tidak semua dikalangan kita menikmatinya, namun, kebanyakan kita merasai segala nikmat ini.

Kurniaan-kurniaan Allah dan pemberian-Nya kepada mereka sebagaimana Allah rakam dalam ayat ini, kemudiannya dihancur dan dibinasakan bersama-sama mereka. Ini jelas pada kalimah فَأَهْلَكْنَاهُمْ beerti “maka Kami (Allah) membinasakan mereka.” Kemudian Allah menerangkan dan menjelaskan sebab mereka dihancurmusnahkan. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan kerana dosa dan kesalahan mereka.

Apakah yang dikatakan dosa? Kenapa kerana dosa, Allah tidak teragak-agak memusnahkan mereka. Bukankah sebelumnya telah Allah beri kurnia dan nikmat yang amat banyak. Bukankah juga sebelumnya Allah menunjukkan kasih sayang-Nya yang amat sangat kepada mereka. Tiba-tiba Allah menghancurkan mereka.

bersambung...


Wallahu a'lam

Thursday, July 13, 2006

Sengaja dan resah

Bismillah...

Kadang-kadang hati dan jiwa kita sedih dan mungkin menangis bila fikir cita-cita, impian dan matlamat yang tak tercapai. Ini suatu yang biasa. Walau mungkin memek muka ceria sesetengah individu bila gagal dan kecewa, tampak ceria dan bersahaja, tapi dalam jiwa siapa yang tahu. Walau sekelumit mesti ada rasa duka.

Namun, bila difikir, direnung dalam-dalam, ia semacam sengaja Allah cipta. Allah memang sengaja mencipta gagal dan duka.

Begitu natijahnya bila telah duka, sedih dan menangis. Ia akan mengundang resah tak keruan. Keresahan semakin tak keruan bila menanti-nanti impian dan cita-cita terlaksana. Orang kata penantian penuh penyiksaan.

Itulah hidup di dunia. Sengaja Allah cipta semua itu. Hikmahnya supaya hamba tidak lupa. Selalu berdamping dengan-Nya. Begitu juga dengan resah. Keresahan akan bikin jiwa memikirkan tentang dosa, pahala, akhirat dan memikirkan tentang Allah.

Menanti natijah imtihan yang bakal keluar memang meresahkan.

Wallahu a'lam

Monday, July 10, 2006

Sikap Kita

Bismillah...

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Demikianlah apa yang dinyatakan oleh Allah Ta'ala dalam kitab-Nya yang Mulia. Di dalam ayat tersebut, Allah Ta'ala seolah mencipta andaian agar kita berfikir. Andaian ini jelas pada kalimah لَوْ yang membawa erti kalau dan andaikata. Allah Ta'ala menyatakan "kalaulah engkau (wahai Muhammad) bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. " Firman ini sebenarnya jelas menyatakan kepada kita berkaitan seruan Allah kepada Rasul-Nya agar bersikap lemah lembut agar umat tidak lari dari dakwah.

Didikan dan seruan agar berlemah lembut dan berkata baik ini, sebenarnya bukanlah Allah tujukan semata-mata buat Nabi s.a.w. Ia meliputi seluruh umat baginda. Oleh itu, haruslah bagi kita punyai rasa dan sensitiviti dengan apa yang Allah firmankan.

Begitulah juga dengan sikap kita. Kekadang secara tidak sedar atau tidak sengaja, sikap kita membuat beberapa hati rasa tersinggung berikutan kata-kata dan bicara yang kasar, tiada lemah lembut. Ini sepatutnya tidak berlaku dan perlu dielakkan. Biarpun kita tidak setuju dengan pandangan dan fikiran orang lain, tidak sepatutnya kita hamburkan kata-kata buruk dan menyakitkan jiwa. Masing-masing punya jiwa dan perasaan. Masing-masing punya rasa dan sensitiviti. Rasanya tidak salah kalau kita berbincang dengan elok dan baik. Itu lebih menguntungkan semua pihak.
Wallahu a'lam

Saturday, July 08, 2006

IFC dan tuntutannya

Bismillah...

Apakah matlamat penubuhan IFC? Matlamat IFC ialah untuk meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam. Ini jelas daripada Memorandum tersebut

Menurut Memorandum MCCBCHS tuntutan mereka seperti berikut:

1. Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah. Ini adalah hak yang diberi Artikel 11 Perlembagaan. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

2. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

3. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

4. Tidak perlu dicatatkan dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa dia beragama Islam

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak

7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

9. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing

10. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

11. Sepatutnya Islam tidak tersebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Apakah bahayanya penubuhan IFC terhadap Islam?
Membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal-ehwal agama Islam IFC jelas sebuah suruhanjaya anti-Islam. Ini adalah campurtangan orang bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam secara terang (tanpa berselindung). Hak perlembagaan bagi mengamalkan agama sendiri (Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan - Kebebasan Beragama) tidak berlanjutan kepada mempersoalkan agama lain dan tidak sampai menuntut ajaran agama orang lain dipinda semata-mata untuk kepentingan sendiri. Orang-orang bukan Islam berhak untuk menuntut hak mereka mengamalkan agama sendiri tetapi tidak sampai mempersoalkan dan campur tangan dalam urusan Islam. Campur tangan ini amat bahaya. Perkara yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diselesaikan oleh mereka yang berkelayakan di dalam Islam sen

Kenapa memorendum ini dikemukakan diparlimen? Kenapa berlaku pada pimpinan kini dan kenapa agama asing semaikin berani?

1. Ini adalah antaranya kerana kebanyakan pimpinan-pimpinan beragama Islam di parlimen, secara langsung atau tidak langsung menghina dan mengetepikan agama Islam. Mereka juga seolah lebih meraikan agama lain.

2. Mungkin juga kerana majoriti ahli parlimen, kini dikuasai orang non-muslim. Oleh kerana mereka ramai, maka mereka menjadi berani.

3. Mungkin juga hasil kelemahan dan ketidaktegasan pimpinan sekarang.

Ini adalah beberapa faktor tumbuhnya IFC ini dan banyak lagi faktor-faktor lain yang mampu kita semua fikirkan.

Wallahu a'lam

Thursday, July 06, 2006

Jangan Salahkan Allah


Bismillah...

Firman Allah Ta’ala dalam kitabnya yang mulia.

أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ


Maksudnya: Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
(Al-An’am: 6)

Di dalam ayat di atas Allah menerangkan dan memberitahu kepada kita mengenai beberapa perkara dan perihal umat terdahulu. Ayat di atas merupakan beberapa episod yang sengaja dirakamkan Allah dalam kitab suci-Nya sebagai tauladan dan ingatan buat kita semua. Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebut beberapa ciri umat terdahulu.

Di dalam tafsir ibnu Kathir, Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat:

مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ

sebagai iaitu Kami (Allah) teguhkan kedudukan mereka daripada harta, anak-anak, pembangunan, kemulian, pangkat, keluasan dan ketenteraan.

Manakala di dalam tafsir Jalalain kalimah مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ ditafsirkan sebagai “telah Kami (Allah) berikan kepada mereka kedudukan dengan kekuatan dan keluasan.”

Daripada keterangan tafsir di atas, ia jelas menunjukkan kepada kita tentang kurnia Allah kepada umat terdahulu. Ia juga menjelaskan ciri-ciri dan bentuk-bentuk keistimewaan umat terdahulu. Allah menyatakan bahawa semuanya ini Allah berikan dan kurniakan bahkan diperkukuhkannya yang mana segala nikmat dan pemberian ini tidak langsung dikurnia kepada umat sebelumnya. Ini merupakan suatu keistimewaan yang khusus daripada Maha Pencipta.

Di dalam ayat tersebut juga Allah menerangkan tentang keadaan kampung mereka yang sentiasa dilimpahi hujan. Ini menunjukkan bahawa bumi mereka sentiasa subur lantaran hujan yang tidak putus.

Di dalam tafsir Ibnu Kathir,

bersambung...

Wallahu a'lam

Tuesday, July 04, 2006

Brazil, Egland tersingkir. Palestin bagaimana?

Bismillah

Beberapa hari yang lepas, setelah usai kami semua duduk berbincang AF 06, sempat saya mendengar beberapa kalam dari YDP. Sembang-sembang kami sambil menanti kehadiran laksa johor.

"Kita kadang-kadang rasa sedih bila Argentina kalah. Tapi Palestin kena serang, buat selambe..."

Itulah antara perbualan yang sempat dirakam. Namun, agak malang bila topik ini gagal dijadikan bahan utama perbualan seterusnya. Ia tenggelam dicelah-celah mee dan laksa.

Hari ini bila membuka Harakah terbaca tajuk "Ghairah bola, umat Islam tidak peduli Zionis sembelih saudara seagama."

Antara petikan yang menarik "Peristiwa ini seakan mengulangi Tragedi 1967, iaitu ketika orang Arab disibukkan dengan sebuah kejohanan bola sepak, Israel menyerang Sinai, menyebabkan dunia Arab dan Islam dimalukan."

Wallahu a'lam

Saturday, July 01, 2006

Sejarah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Semalam bila Rasul datang ke rumah saya, sedang saya menjengah beliau yang sedang asyik menatap dekstop, tiba-tiba terpacul dari tubir bibirnya bertanyakan kepada saya.

"Nak ABC ke?"

Semalam juga ketika pulang dari solat jumaat, entah kenapa lidah saya menutur bicara buat Rasul.

"Bang! ABC satu bang."

Demikian antara dua episod yang berlaku semalam.

Sejarah adalah perkara yang telah berlalu. Ia juga merupakan peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau. Peristiwa dan perkara yang berlaku berjuta-juta abad sebelum masihi merupakan suatu sejarah. Begitu juga apa yang berlaku pada awal permulaan masihi, apa yang terjadi pada 1400 tahun lalu, apa yang berlaku tahun lepas, peristiwa yang terjadi kelmarin hinggalah sesaat yang baru sahaja berlalu, semuanya adalah sejarah.

Sejarah merupakan suatu fakta dan bukti yang sangat tepat bagi sesuatu peristiwa. Sejarah juga merupakan rujukan yang paling ampuh bagi menilai dan meladeni sesuatu. Sejarah juga merupakan kenangan dan imbauan masa lalu.

Empat hari telah pun berlalu. Ia telah menjadi sejarah. Perjalanan dan peristiwa Bazar Seri Selatan telah terakam dan kini hanya menjadi kenangan, ingatan serta imbauan masa lalu. Fitrah manusia, gemar kepada benda-benda yang menyeronokkan dan gembira. Benda-benda dan perkara-perkara seperti ini bila telah berlalu, manusia suka mengimbau dan sering menjadi sebutan.

Begitulah apa yang berlaku pada peristiwa Bazar Seri Selatan. Kenangannya amat indah hingga bila ia usai, semacam menjadi igauan dalam ingatan yang amat sukar dilupakan. Maka, kerana itu berlakulah sebagaimana dua episod di atas. Biarpun Bazar Seri Selatan sudah pun melabuh tirai, tetapi plot-plot cerita yang berlaku sepanjang Bazar masih menjadi mainan lidah.

Alhamdulillah. Bazar Seri Selatan telah melabuhkan tirai. Menamatkan sebuah episod dalam kisah dan sejarah BKPJM dengan meninggalkan suatu kenangan yang amat estetik. Tahniah kepada semua yang telah berjaya melaksanakannya dengan gemilang. Terima kasih di atas segala usaha dan daya yang dicurahkan oleh semua pihak kepada BKPJM. Apa yang kita lakukan, tidak lain tidak bukan semuanya adalah kerja-kerja Islam. Moga Bazar Seri Selatan menjadi satu langkah buat kita untuk terus komit kepada BKPJM, PMRAM dan sebagai batu asah dan loncatan kepada gerakan-gerakan memaju dan membangunkan Islam.

Islam semakin hari semakin ditindas, ditekan dan dihenyak-henyak oleh syaitan-syaitan laknatullah seperti Zionis dan juak-juaknya. Hari ini mungkin kita gembira. Begitu juga semalam, kelmarin dan sepanjang perjalanan Bazar Seri Selatan, perasaan kita amat gembira dan ceria. Walau mungkin ada beberapa peristiwa sadis, ia tidak menenggelamkan kegembiraan yang menyerap resap ke dasar hati kita.

Namun, dalam kegembiraan, jangan kita lupa tugas dan peranan kita. Jangan kita lupa untuk bersyukur. Jangan juga kita lupa bahawa ramai saudara kita sedang mengimbau sejarah hitam yang berlaku semalam. Palestin; buminya kini sudah tidak ada lagi kalimah tenang, aman dan damai. Minit-minit yang berlalu, merakam jutaan empangan air mata dan darah yang tidak pernah kering membanjiri buminya. Wajib bagi kita semua bersatu dan mencipta ketumbukan kekuatan menentang musuh-musuh Islam. Ketepikan segala kepincangan. Buang masalah-masalah yang memecah ummah. Campak jauh-jauh perbincangan yang eksterimis pada masalah furuk dan khilafiah.

Allahumma ansuril islama wal muslimin, Alhumma an suril islama wal mujahidin fi palestin, fi afghanistan, fi kulli makan.....


Wallahu a'lam...