Selasa, Ogos 29, 2006

Sayang

Di suatu malam yang dingin, di dalam sebuah bilik yang sederhana besar, di atas katil...... sepasang suami isteri yang telah lanjut usia baru masuk tidur. Suaminya telah mula mengantuk tapi isterinya terbangkit perasaan ghairah malam itu....

Si isteri bersuara, "Dulu-dulu tu.... abang selalupegang tangan saya bila kita nak tidur." Suaminya dengan separuh sedar, menggenggam tangan isterinya, pas tu mula mengantuk semula.

Beberapa ketika pas tu, si isteri bersuara lagi,"Kemudian tu....abang selalu cium saya." Si suami dengan rasa terganggu, mengangkat kepalanya dan menyentuh bibirnya ke pipi si isteri. Pas tu sambung tidur balik.

Selepas beberapa saat, si isteri bersuara lagi,"Kemudian tu.... abang selalu gigit-gigit leher saya......." Dengan perasaan marah dan geram, si suami melontar selimutnya dan bangun dari katil tu.

Si isteri bertanya, "Abang nak pergi mana tu?" Dengan marah suaminya menjawab, "Nak pergi ambil gigi ..."

Ahad, Ogos 27, 2006

Saatan, saatan; Hiburan di zaman Rasul Agung... bhgn 2

Bismillah

Sesungguhnya manusia itu dilahirkan dan diciptakan Allah s.w.t di atas bumi ini bersama beberapa fitrah dan keadaan yang statik. Begitu juga dengan sekalian ciptaan Yang Maha Esa. Kita lihat burung yang terbang di langit. Allah telah menciptanya dengan fitrah sebagai seekor burung. Ia mempunyai kepak, berparuh, punyai mata yang sebeleh menyebelah tidak sama seperti kita manusia. Ia boleh terbang tanpa menggunakan injen Boeng 737. Itulah fitrah yang sedia Allah ciptakan untuknya.

Kita lihat matahari. Fitrah yang Allah letakkan padanya sebagai pembekal cahaya kepada manusia. Matahari tidak pernah makan nasi kandar seperti manusia. Ia juga tidak pernah makan ful seperti masyarakat Mesir memakannya. Tugasnya memberi cahaya dan berpusing mengikut garisan yang telah sedia Allah ciptakan. Inilah fitrah semulajadi yang Allah ciptakan buat matahari.

Manusia makan. Kita semua punyai lidah. Ada kekuatan untuk merasa. Kita punyai akal. Ada kekuatan untuk berfikir. Kita boleh bergerak bebas dan berlari laju. Itulah antara sifat semulajadi yang Allah ciptakan kepada manusia. Keinginan hati untuk berseronok, bersuka ria dan bergembira merupakan fitrah manusia juga. Pastinya, tidak ada seorang manusia di dunia ini yang jiwanya tidak ingin kepada keseronokan.

Suatu lumrah yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan kita ini ialah berhibur. Manusia sangat inginkan kepada hiburan. Kerana telah tersedia dalam jiwa manusia sifat bosan, jemu, tidak suka dan pelbagai sifat yang kadang-kadang membikin hati lesu dan letai. Baginda Ali r.a pernah berkata: "Sesungguhnya hati itu bisa bosan seperti badan. Oleh itu, carilah segi-segi kebijaksanaan demi kepentingan hati."

Islam; satu agama yang amat sesuai dan amat cocok dengan lingkaran fitrah semulajadi yang memusari kehidupan kita. Oleh itu, Islam tidak pernah melarang untuk kita isi jiwa agar tidak jemu dan bosan. Saidina Ali r.a pernah berkata: "Rehatkanlah hatimu sekadarnya, kerana hati itu apabila tidak suka, bisa buta."

Baginda Nabi Muhammad s.a.w juga pernah berhibur dan bergurau senda bersama isterinya. Riwayat daripada Ahmad dan Abu Daud bahawasanya Saidatina Aisyah telah berkata: "Rasulullah telah bertanding denganku dan aku menang. Kemudian aku berhenti sehingga badanku menjadi gemuk, Rasulullah bertanding lagi denganku dan baginda menang. Kemudian baginda bersabda: Kemenangan ini untuk kemenangan itu."

Wallahu a'lam

Selasa, Ogos 22, 2006

Begitu juga dengan kejayaan…

Bismillah

Kita mengambil maksud sedikit potongan daripada sabda Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Turmuzi dan diiktiraf oleh beliau sebagai hadis sohih.

"Ketahuilah sesungguhnya kalau sekalian umat berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan memberikan sesuatu manfaat itu kepadamu kecuali apa yang telah Allah tuliskan buatmu."

Ayuh kita lihat maksud ungkapan sabda Nabi s.a.w. Sekali imbas, tanpa perlu penelitian dan amatan yang mendalam, kita akan dapat memahami bahawa manusia sebenarnya tidak punya apa-apa. Demikian secara umumnya. Begitu juga kalau dilihat secara khusus berkaitan manfaat, faedah, nikmat atau apa jua perkara yang membawa maksud manfaat, hakikatnya manusia tidak punya apa-apa melainkan apa yang telah Allah tetapkan.

Walau dihimpun seluruh umat, ketumbukan kuasa momentum seluruh tenaga umat tersebut pastinya tidak akan mampu mencipta walau hanya sezarah manfaat buat manusia. Kita perhatikan betapa sebilangan besar umpama itu langsung tidak punya daya membina manfaat, apa lagi kalau sebilangan kecil daripada mereka atau mungkin salah seorang daripadanya. Maka, lebih-lebih lagi dia sangat lemah mencipta manfaat buat manusia.

Maka, jelas memberitahu kita bahawa penghafalan, solat malam, tadah tangan mohon nusrah Allah Taala bukanlah sesuatu yang mutlak sebagai penyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan seseorang. Ia tidak lebih hanya sekadar asbab atau sebab kepada turunnya pertolongan dan pemberian nikmat Allah Yang Maha Kuasa kepada hamba-Nya.

Oleh itu, jangan sekali-kali kita angkuh mendabik dada sambil berkata aku berjaya dengan kehadiran aku yang tidak pernah putus ke kuliah. Aku berrjaya dengan menghafaz semua huruf dalam kitab. Aku berjaya juga dengan solat malam yang tidak pernah henti. Maka, secara tidak langsung ungkapan seumpama ini bakal menukar nikmat kepada niqmah. Oleh yang demikian, bersyukurlah dengan setiap kurniaan Allah. Harus yakin dan percaya serta sematkan di dalam jiwa bahawa kejayaan juga milik mutlak Allah.

Wallahu a'lam

Isnin, Ogos 21, 2006

Kegagalan dan kejayaan adalah milik mutlak Allah

Bismillah

Kegagalan dan kejayaan adalah milik mutlak Allah

Firman Allah Taala

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Maksudnya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan. (al-Baqarah: 107)

Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsir beliau menafsirkan ayat di atas sebagaimana berikut:

"Ayat ini adalah sebagai petunjuk kepada hamba-Nya bahawa Dia adalah berkuasa pada ciptaan-Nya dengan apa yang Dia kehendaki. Bagi-Nya mencipta dan memerintah dan Dialah berkuasa sebagaimana mencipta mereka sebagaimana yang Dia kehendaki dan memberi kesejahteraan dan kesengsaraan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia memberi sihat dan sakit kepada siapa yang Dia kehendaki. Dia membantu dan membiarkan kepada siapa yang Dia kehendaki. Begitu juga Dia menghukumkan pada hambanya dengan apa yang Dia kehendaki dan Dialah yang menghukum apa yang Dia kehendaki tanpa diperbahas apa yang dihukum dan dipersoal apa yang dilakukan ..."

Firman Allah Taala lagi

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ali Imran: 187)

Imam Ibnu Kathir menyatakan tafsiran ayat di atas sebagaimana berikut:

"Dialah Penguasa dan Raja setiap sesuatu dan berkuasa atas setiap sesuatu. Tidak ada sesuatu pun yang melemahkan-Nya. Maka Dia mengurniakannya dan tidak berpaling. Dan Dia memberi peringatan tentang kemarahan-Nya dan pembalasan-Nya. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Agung tiada keagungan selain-Nya. Dialah Yang Maha Kuasa yang tidak ada yang lebih berkuasa daripada-Nya."

Maka, oleh yang demikian, tidak ada wang dalam lipatan dan tidak ada emas dalam tanah yang tersembunyi, yang perlu dicari, dikaji dan digali dalam kita meneliti dan mengamati dua firman Allah sebagaimana di atas.

Terang lagi bersuluh, jelas lagi nyata apa yang Allah nyatakan dalam kitab suci-Nya. Sesungguhnya setiap zarah yang sekecil-kecil ciptaan-Nya hingga seluas-luas alam yang tiada hujungnya, adalah dalam genggaman dan kekuasaan Allah Taala. Tiada satu pun yang tercicir mahupun tertinggal dari penguasaan dan pentadbiran Yang Maha Esa.

Demikianlah secara ringkas dan umum beberapa perkara dan pengajaran yang boleh kita ambil dari dua ayat yang telah dinyatakan tadi. Oleh yang demikian, bila kita lihat dan pandang beberapa perkara yang masih lagi berlegar dan masih lagi hangat di sekitar kita. Maka, tidak boleh tidak kita perlu akur dan terima bahawa semua itu adalah milik mutlak Allah Taala. Kejayaan dan kegagalan adalah milik mutlak dan hakiki kepunyaan Allah Yang Maha Esa. Dia sangat berhak dan boleh melakukan apa saja.

Jangan sekali-kali kita menutur dan berbicara bahawa apa guna solat malam. Apa guna berdoa dan merintih di hadapan Allah. Apa guna sempurna dihafaz satu kitab dan apa gunanya aku berusaha. Ingatlah, yakin dan percayalah bahawa segalanya adalah ketentuan dan kuasa mutlak Allah Taala.

Akhir kalam. Mari sama kita renung sabda Nabi s.a.w

عَنْ ‏ ‏ابْنِ عَبَّاسٍ ‏ ‏قَالَ ‏ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَوْمًا فَقَالَ يَا غُلَامُ ‏ ‏إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ ‏ ‏رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ ‏ ‏وَجَفَّتْ الصُّحُفُ ‏ قَالَ ‏ ‏هَذَا ‏ ‏حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Maksudnya: Peliharalah Allah, nescaya Allah akan pelihara kamu. Peliharalah Allah, nescaya akan engkau dapati Dia di hadapanmu. Apabila kamu mahu meminta, maka pintalah pada Allah dan apabila kamu perlukan pertolongan, maka pohonlah kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya kalau sekalian umat berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan memberikan sesuatu manfaat itu kepadamu kecuali apa yang telah Allah tuliskan buatmu. Dan sekiranya mereka berhimpun hendak memudaratkanmu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan memudaratkan sesuatu melainkan apa yang telah benar-benar Allah tuliskan ke atasmu. Terangkatlah kalam dan keringlah suhuf. (HR Tirmizdi.)
Wallahu a'lam


Jumaat, Ogos 18, 2006

Qiamat; dari sudut pandangan sains

Bismillah

Saintis barat (NASA) menemui bahawa kini planet Marikh sudah bertukar arah, daripada ikut jam, menjadi lawan jam. Kejadian yang sangat aneh dipanggil "RETRO GLADE". Mereka juga percaya pada suatu hari nanti, mereka yakin bahawa planet2 lain dalam sistem solar kita akan bertukar arah pusingan juga. Mereka juga katakan, "Kita akan berpengalaman menyaksikan Matahari terbit di sebelah barat"......renungkanlah!!

[ Berita dari Yahoo.com ]

Wallahu a'lam

Rabu, Ogos 16, 2006

Saatan, saatan; Hiburan di zaman Rasul Agung... bhgn 1

Bismillah...

Secara ringkas hiburan seperti di dalam kamus dewan berasal dari perkataan hibur yang membawa erti menyenangkan atau menghiburkan hati. Penambahan imbuhan "...an" pada perkataan hibur membawa maksud sesuatu yang menyenang dan mententeramkan hati. Daripada takrif ini, pandangan secara rambang atau penelitian secara rasional sama ada secara negatif mahupun fozitif kedua-duanya boleh diterima. Kerana takrif ini masih umum dan sesuatu yang menyenang dan menghiburkan hati itu boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu mengambilnya dengan wadah negatif mahupun fozitif. Mendengar muzik heavy metal, minum arak, membaca al-Quran ataupun berzikir mengingat Tuhan.

Untuk permulaannya, mari sama-sama kita kayuh mudik, mengimbas sejarah hiburan di zaman Rasul Agung mengenai kisah klise yang sering menjadi buah mulut penceramah-penceramah dan orang kita berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa Nabi s.a.w di bawa naik ke langit merupakan kisah yang tidak asing bagi kita terutama bila Rejab menjelma. Dalam kitab sirah menyatakan peristiwa ini berlaku pada ketika Nabi saw dirundung malang. Wanita pertama memeluk Islam yang juga merupakan permaisuri hati Baginda s.a.w telah dijemput menghadap Allah. Menyusul beberapa ketika bapa saudara yang amat dicintai dan yang paling banyak membelanya dijemput sama mengiring isteri tercinta mengahadap Allah. Inilah antara peristiwa sedih yang menimpa baginda s.a.w yang akhirnya Allah menghiburkan hati baginda dengan membawa baginda bertemu-Nya.

Seterusnya, mari kita sama-sama menelaah surah yang paling pendek di dalam al-Quran yang mana Allah rakamkan surah ini sebagai tasliah al-Qalb Rasul akibat daripada beberapa peristiwa sedih yang menimpa Nabi s.a.w.

Antara sebab diturunkan surah ini sepertimana yang dikeluarkan oleh Ibnu Munzir daripada Ibnu Juraih telah berkata: "Telah sampai kepadaku, sesungguhnya ketika Ibrahim anak baginda Nabi saw meninggal dunia, orang Quraish berkata: "Muhammad tidak ada anak." Maka Rasulullah saw rasa marah dengan keadaan yang demikian. Maka turunlah ayat pertama surah al-Kauthar untuk memuliakan baginda Nabi s.a.w."

Walaupun tidak dinyatakan secara terang dan jelas bahawa turunnya surah al-Kauthar sebagai pengubat duka atau penghibur hati nabi, namun perkara ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan daripada Anas, beliau berkata: "Ketika kami dan Rasulullah s.a.w berada di tengah masjid, pada ketika itu Rasulullah mengantuk kemudian baginda mengangkat kepalanya sambil tersenyum. Kami bertanya apa yang mengembirakan kau wahai Rasulullah?" Rasulullah berkata: "Sesungguhnya telah diturunkan kepada aku pada masa lalu suatu surah." Maka Rasulullah saw membaca surah al-Kauthar sehingga habis." Maka, daripada hadis ini dapatlah kita ertikan bahawasanya surah ini diturunkan bagi mengubat hati Rasul s.a.w.

Ringkasnya; di dalam Tafsir Munir, dinyatakan kesimpulan daripada beberapa sebab turunnya surah ini. Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan: "Sebab turun surah ini kerana pihak kufar merendahkan Nabi s.a.w, memperkecilkan pengikut baginda, menghina kematian anak lelaki baginda s.a.w dan orang kafir gembira dengan kepayahan yang menimpa orang mukmin. Maka diturunkan ayat ini untuk memberitahu bahawa sesungguhnya Rasul s.a.w punyai kekuatan dan pengikut baginda adalah orang yang kuat. Sesungguhnya kematian anak baginda s.a.w tidaklah melemahkannya dan kebencian orang-orang kafir tidak meninggalkan apa-apa melainkan mereka semakin jauh dari kebaikan."

Begitulah apa yang diceritakan di dalam Tafsir Munir. Baginda Nabi s.a.w dicela, direndahkan dan diherdik golongan kufar. Namun, hati baginda telah ditenang dan ditenteramkan Allah dengan turunnya surah ini.

bersambung...

Wallahu a'lam

Isnin, Ogos 14, 2006

Nyamuk dan kelambu

Bismillah

Nak dijadikan cerita, pada zaman dahulu, adalah seorang orang asli yang tinggal dihulu sungai di sebuah kampung. Nak dijadikan kisah, tinggallah seorang polis berjiran dengannya. Pada petang yang hening itu, berjalanlah orang asli tersebut kekedai untuk membeli kelambu kerana rumahnya adalah sarang nyamuk. Sekembalinya dari kedai, dipasangnyalah kelambu itu pada katilnya bagi melindunginya daripada nyamuk. Pada malam itu, datanglah polis tersebut ke rumah orang asli itu untuk berborak-borak. Dicari-carinya orang asli itu tetapi tidak berjumpa. Akhirnya keluarlah orang asli tersebut dari bawah katil. Terkejut sipolis kerana orang asli tidur kat bawah katil sedangkan dikatilnya ada kelambu. Bertanyalah si polis:

polis: awatnya tidoq bawah katil?
orang asli: saja....nak tipu nyamuk.

Wallahu a'lam

Jumaat, Ogos 11, 2006

Biarkan gagal

Bismillah...

Nukilan ini kutujukan khas buat rakan-rakan. Moga kita semua diberi ketabahan. Moga nukilan hamba yang hina ini sekurang-kurangnya, tidak banyak walau sekelumit cuma, mampu membikin jiwa merana jadi gembira.

Tajuk: Biarkan gagal

Biarkan gagal,
digilis taufannya
senang dan tenang.
Menjinjing seadah syukur,
diri bagai mahu lebur.

Biarkan gagal
yang cuma sendaloka Tuhan,
meneropong mana hamba sabar,
tenang membelai dugaan.

Biarkan gagal
yang ampuh meminpin nubari
meratib Ilahi,
yang kukuh meluluh
bangga diri.

Biarkan gagal
biar nubari kunyah iri
biar hati kemam jaki
biar jiwa makan bisa.
yang merana,
Allah akan hidang syurga

Biarkan gagal
yang bisa lebih menggarik jiwa,
lazat, enak, sedap
menghirup jaya
walau setitis cuma

Ilham harapan
9 Ogos 2006
Cairo, Egypt.

Wallahu a'lam

Natijah; antara biasa dan pelik.

Bismillah...

Bahang natijah peperiksaan masih berasa di dalam jiwa. Ada yang gembira dan ada juga yang berduka. Ada juga yang masih menanti-nanti bila natijah akan menjenguk muka.

Natijah! Di Universiti al-Azhar ini sangat menarik. Antara biasa dan pelik. Tidak najah, tidak lulus, rasib, sangkut beberapa madah, semuanya semacam menjadi rencam harian. Semua ini sudah biasa di sini. Belajar 4 tahun, 5, 6, 7, 8, 9, dan sampai bila-bila sudah menjadi adat dan kebiasaan.

Natijah! Di Universiti al-Azhar ini sangat menarik. Antara biasa dan pelik. Jalan terus itu terjemahannya. Kalau arab kata 'ala thul, tak pernah sangkut, tiap-tiap tahun lepas, tiap-tiap tahun najah, tiap-tiap tahun jayyid, semuanya ini semacam pelik di Universiti tertua ini. Belajar empat tahun straight bagi yang STAM atau belajar dari tahun satu. Jalan terus 1 tahun atau 2 tahun bagi yang muadalah. Ia semacam perkara pelik di sini.

Inilah antara hakikat, realiti dan kenyataan mencari ilmu di perlembahan nil. Buat rakan-rakan yang berjaya, tahniah dan moga terus-terusan dalam kejayaan. Bagi yang gagal, moga tabah. Pasti jaya akan menghias jiwa kita di masa depan kelak. Teruskan usaha. Yang muhim memastikan Kalimatullah hial ulya....

Wallahu a'lam

Khamis, Ogos 10, 2006

Kenapa kami?

Bismillah..

Maaf terdahulu dihulur andai tulisan ini mengguris hati mana-mana pihak. Ia sekadar nukilan pendapat atau mungkin omong kosong yang tidak perlu ditumpu.

Beberapa hari yang lepas, saya bersama seorang rakan sempat berbicara sambil bergurau senda bersama seorang senior. Biasalah perbualan diantara mereka yang masih bujang dan orang yang telah berumah tangga, pasti ada terselit kalau tidak banyak pun sedikit persoalan jodoh dan mencari pasangan. Perbualan dalam beberapa detik lebih tertumpu kepada siapakah calonnya. Entah kenapa tiba-tiba rakan saya cuba diusik atau mungkin sengaja mahu mencuba dalam bahasa mudahnya dikenenkan kepada seorang calon yang umurnya agak lanjut.

Rakan saya yang memang sering bergurau senda menjawab sambil bergelak ketawa.

"Mmmhhh.....! Inilah yang macam kita cerita hari tu. Mentang-mentang dia dah dapat yang lawa. Yang tua-tua nak bagi kat kita."

Itu antara jawapan yang sempat saya rakam dalam kotak fikiran.

Atas dasar itu, saya mula terfikir tentang beberapa fenomena hari ini yang bagi saya telah lama berlaku terutama buat golongan azhariah. Iaitu ANDARTU. Saya yakin dan percaya kita semua makruf tentang kalimah ini dan tidak perlu untuk saya syarah panjang lebar.

Kenapa ia terjadi? Bagi saya, (sekadar pandangan dan mohon maaf kalau terasa) ada di kalangan azhariah (tidak semua) yang ketika usia mudanya, nampak jelita, ramping, menawan dan pelbagai lagi jolokan yang dalam erti yang mudah "saham tinggi" mereka jual mahal. Maaf kata. Mentang-mentang lawa, bergaya dan ada rupa. Sana sini orang sebut nama, semua orang takdim dia tolak.

Saya kira kita semua tahu betapa seorang wanita perlu mencari pasangan yang betul-betul. (terpulanglah apakah yang hendak ditakrifkan dengan betul-betul). Sebabnya, wanita bila telah berkahwin, dia hanya ada suami. Hatta ibunya yang sedang sakit atau meninggal dunia, tidak dibenarkan melawatnya kecuali dengan izin suami. Atas dasar itu, saya menganggap wanita perlu cerewet dan mungkin perlu jual mahal dalam memilih pasangan.

Tetapi, (sekadar penelitian tidak lengkap) apa yang dilihat seolah azhari, langsung tidak perfect. Semuanya mereka tolak. Memang benar cinta tidak boleh dipaksa, kasih tidak boleh dicipta. Tetapi ia mampu disemai dan dipupuk perlahan-lahan hingga akhirnya cinta akan berputik dan kasih akan berakar.

Saya bukan hendak salahkan wanita atau azhariah kerna azhari juga ada banyak salahnya. Azhari kekadang hanya cuba-cuba sedangkan akhawat mahu melihat kesungguhan kita. Tetapi, kesannya amat malang dan merugikan buat azhariah bila usia sudah lanjut, muka mula berkedut, saham mula jatuh, income dah tak masuk. Masa tu baru nak mencari. Salah siapa? Akhirnya, bait muslim terpaksa kenenkan yang tua kepada yang muda. Saya juga tak salahkan bait muslim sebab memang sudah jadi tanggungjawab mereka. Tetapi inilah kesan jual mahal tadi.

Tidak dinafikan ada juga akhawat kita yang beralasan mahu tumpukan pelajaran, harapan keluarga dan pelbagai lagi alasan yang mampu mengelak mereka dari dilamar orang. Itu terpulang pandangan masing-masing. Tetapi jangan menyesal kalau suatu hari nanti status ANDARTU menjadi milik anda dan golongan muda jangan dijadikan mangsa.

Sekadar pandangan... Banyak lagi persoalan yang perlu dikupas lumat. Ini sekadar secicip persoalan seputar kita.

Wallahu a'lam

Kelakar: Orang asli dan polis

Bismillah

Orang asli: Selamat pagi tuan
Polis: Selamat pagi
Polis: Apa hal
Orang asli: Saya nak buat repot tuan
Polis: Fasal apa tu
Orang asli: Kawan saya di baham harimau
Polis: Pukul berapa
Orang asli: Dia tak pukul, terkam
Polis: Habis?
Orang asli: Tak habis, tinggal kepala

Selasa, Ogos 08, 2006

Happy Birthday

Bismillah...



Ucapan Selamat Hari Lahir buat Syafiq Zulakifli. Moga panjang umur, diperluaskan rezki, cepat kahwin, cepat dapat anak....

Sannah Helwah Ya Wasim...

Moga sukses selalu

Sabtu, Ogos 05, 2006

Keresahan Saidina Umar

Bismillah..

Telah berkata Imam Ibnu Qayyim: "Demi Allah. Memang benar-benar hati orang-rang terdahulu sangat takutkan kemunafikan. Ini kerana pengetahuan mereka secara halus, satu persatu dan menyeluruh tentang sifat munafik. Mereka buruk sangka dengan hati mereka sehingga mereka takut akan tergolong dalam golongan orang-orang munafik."

Telah berkata Saidina Umar r.a kepada Huzaifah r.a: "Wahai Huzaifah, aku pohon dari kau dengan nama Allah, adakah Rasulullah s.a.w menamakan aku kepada engkau tergolong di kalangan mereka?" Huzaifah menjawab: "Tidak." Dan aku tidak akan minta penjelasan lagi daripada sesiapa pun selepas kau.

Berkata Ibnu Abi Mulaikah: "Telah aku berjumpa 30 orang sahabat Rasulullah s.a.w. Semua daripada mereka takutkan sifat munafik ada pada diri mereka, tidaklah dikalangan mereka walau seorangpun berkata: "Sesungguhnya imannya seperti iman Jibril dan Mikail."

Dan telah disebutkan daripada sebahagian sahabat, sesungguhnya dia berkata di dalam doanya: اللهم إني أعوذبك من خشوع نفاق (Ya Allah ya Tuhanku, aku berlindung dari kekhusyukkan nifak). Bertanya seseorang: "Apakah kekhusyukkan nifak?" Dia menjawab: "Sesungguhnya dilihatkan badan khusyuk, tetapi hati tidak khusyuk."


Wallahu a'lam

Khamis, Ogos 03, 2006

Kemiskinan Budi

Bismillah

“Orang kita bukan mewah. Tapi, kaya budi bahasa”. Lirik nyanyian lama. Langgam yang tidak janggal ditelinga kita. Orang kita atau Melayu sinonim dengan budi, akrab dengan pekerti, punya nilai peradaban, santun, sopan dan pelbagai jolokan yang semuanya mengambarkan orang kita ada budi dan daya, ada adab dan susila, punya santun yang tersusun, punya estetika nilai pekerti yang mandiri. Seolah tiada canggung pada setiap diri bernama Melayu.

“Tuan Hamba, sudikah tuan hamba bermalam di teratak patik yang camping ini”. Frasa kata yang penulis ungkapkan merupakan mainan bibir masyarakat klasik zaman dahulu kala. Cuba kita teliti untai kata yang cuba dilafazkan. Seolah berlapik gula bertapis madu. Semacam menghambur titis-titis liur bergula. Tuntasnya boleh kita katakan mereka begitu berhati-hati dalam berbicara. Sebagai perkenalan; inilah orang Melayu. Santun dan tiada hati yang disakiti.

Orang kita, orang Melayu, orang Malaysia berbudi, berbahasa ungkapan ini seperti kata-kata seorang gila berfalsafah di tepi Central Market sambil mengutip sampah. Kenapa? Kerana orang kita bukan mewah, bukan juga kaya budi bahasa. Hakikat dan realiti yang berlaku hari ini begitu sadis dan tragis. Orang kita seperti kekok meladeni budi. Orang kita sudah tidak punya apa-apa.

Wallahu a'lam