" Serambi Ilham ": November 2006

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Tuesday, November 28, 2006

Mereka memang pejuang bangsa

Bismillah

Akhbar berita minggu 26 November 2006 dalam satu ruangan wawancara bersama salah seorang tokoh akademik negara berbangsa Cina, menceritakan beberapa perihal kemajuan orang Melayu. Beliau berkata orang Melayu sudah semakin maju tidak seperti dulu.

Kini, syarikat-syarikat besar yang berdaya maju, sedikit sebanyak telah dikuasai orang Melayu. Orang Melayu juga sudah terlibat dalam sektor perbankkan dan telah mewujudkan bank sendiri umpama RHB Bank. Jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan, usahlah dipertikai. Kebanyakannya dikuasai orang Melayu.

Sungguh pun orang Cina masih mengusai ekonomi negara, perkembangan dan kemajuan orang Melayu tidak dapat lagi disekat. Orang Melayu semakin bijak berniaga dan mungkin suatu masa nanti penguasaan ekonomi di tangan Melayu.

Dalam sektor sukan, majoroti atlit negara adalah orang Melayu. Mereka juga tidak kurang hebat. Walaupun pencapaian tidak setinggi mana, namun ia boleh sedikit dibanggakan. Begitu juga sektor pertanian, orang Melayu yang menguasainya.

Dalam sektor pendidikan juga, kita lihat orang Melayu sudah ramai yang berjaya. Mereka bukan hanya diiktiraf negara, bahkan dunia. Umpama Datuk Dr Hj mohd Fadilah Kamsah dan lain-lain.

Beliau sangat mengakui bahawa orang Melayu semakin maju. Beliau juga berkata majoroti 60 peratus penduduk Melayu masih kekal. Beliau berkata orang Cina sudah tidak ada lagi yang beranak ramai. Biasanya tidak lebih empat. Mereka mengamalkan perancang keluarga. Orang Melayu, masih ramai anaknya melebihi lima ke atas. Ada juga yang menjangkau belasan. Beliau menambah, perihal umpama di atas, membuatkan orang Cina berasa bimbang dengan nasib mereka.

Begitu kalau kita melihat Dewan Masyarakat keluaran November memaparkan sejumlah jutawan dari golongan Melayu. Kebanyakan mereka masih muda dan ada yang baru berusia 23 tahun. Mahadi Badrul Zaman menikmati pendapatan bulanan melebehi angka RM45 ribu.

Kita juga biasa mendengar nama Dr. Irfan Jutawan internet yang berjaya. Nama umpama Tan Sru Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Azman Hashim (hanya menyebut bebrapa nama) tidak asing lagi di dalam dunia perniagaan. Demikian jelas menunjukkan bahawa Melayu semakin maju.

Melihat perkembangan yang membanggakan ini, kadang-kadang kita lupa. Seingat saya dalam bulan ini sudah ada banyak jenayah besar berlaku dalam negara. Antaranya pembunuhan Altantuya yang melibatkan golongan vip. Liputannya masih hangat diperkata di dada akhbar semasa. Dalam bulan ini juga, berlaku kes rompakan mikrocip yang bernilai RM50 juta. Malam tadi buletin utama melaporkan sebuah kedai emas dirompak di Kedah.

Kes dan perbincangan berkaitan mat rempit, masih lagi menemui jalan buntu. Ia belum lagi selesai. Kes rogol semakin bertambah. Penagih juga semakin bertambah. Dilaporkan dalam setiap 27 minit, seorang penagih dilahirkan. Kita boleh membayangkan dalam tempoh satu jam menonton Bawang Merah Bawang Putih, berapakah jumlah penagih yang telah lahir?

Ponteng sekolah juga semakin menjadi-jadi. Kes ragut yang telah membunuh ramai nyawa, tidak lagi mampu dibendung.

Masyarakat bertambah bobrok. Akidah juga semakin rapuh. Kes murtad tidak lagi menjadi paparan utama di media kerana ia sudah biasa. Akhlak generasi muda semakin runtuh dan bakalan roboh dan hancur kalau tidak dididik semula. Kes jenayah di negara kita hampir-hampir dihitung dengan kiraan minit. Ia hampir menyamai Amerika Syarikat yang jenayahnya dihitung mengikut kiraan saat.

Demikian situasi dan perkembangan tanah air tercinta. Mereka memang pejuang bangsa. Tidak boleh disangkal lagi, bangsa kita semakin maju dan berwibawa. Tetapi agama kita semakin kabur, hancur dan tiada.

Wallahu a'lam

Selamat tinggal sayang

Bismillah...

Selang beberapa hari memijakkan kaki ke bumi tercinta, saya digerakkan Allah menuju sekolah lama saya yang saya kira paling banyak mencurah jasa hingga dengannya memungkinkan saya memijak bumi Anbiyak. Dulu hanya sekolah arab yang serba-serbinya kekurangan. Namun kini, kemudahan infrastruktur semakin mencukupi. Nama pun telah bertukar kepada Sek. Men. Agama Bugisiah Tampok.

SMA Bugisiah Tampok, banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan. Situasi di asrama yang hanya berdindingkan papan, mengajar saya erti kesusahan lantas mampu mematangkan diri. Hidup berdikari. Basuh baju sendiri, iron baju sendiri dan hampir semua urusan diri, sendiri yang urus.

SMA Bugisiah Tampok, mengajar saya kataba hinggalah tasrifnya yang pelbagai langgam dan selok belok. Ia juga yang mengenalkan saya mubtada' hukumnya marfuk dan lain-lain lagi pembelajaran. Ia mengenalkan saya keindahan dan keenakkan mencicipi bahasa syurga; bahasa arab.

SMA Bugisiah Tampok, mendidik saya ilmu kemasyarakatan dan menggilap dengan kilat bakat-bakat diri yang dulunya gelap. Suatu masa dulu semasa tadika, ayah pernah beri amaran kepada saya kalau saya tak kenal walau seorang kawan, saya akan diberhentikan. Saya sangat pendiam dan langsung tidak pandai bergaul bersama masyarakat. Tetapi, saya kira SMA Bugisiah telah mengikis ketidakpandaian saya.

SMA Bugisiah atau mana-mana Sek Men Agama, juga mana-mana sekolah arab atau pondok(sekolah menengah yang mempunyai pembelajaran arab penuh), masing-masing yang menuntut ilmu di situ, semuanya meninggalkan berjuta ilmu dan pengalaman yang amat berguna.

Hari ini bila melihat situasi dan cuaca semasa, menampakkan sekolah-sekolah umpama ini, semakin menjadi tumpuan dan buruan pelbagai pihak terutama ibu bapa. Segalanya untuk memastikan masa depan tidak sia-sia. Ibu bapa dapat merasakan situasi bobrok dalam masyarakat, bakal menenggelamkan masa depan yang cerah. Situasi bobrok masyarakat boleh dilarikan dari diri anak-anak mereka dengan menghantar belajar di sekolah agama.

Walaubagaimanapun, sekolah umpama ini mempunyai tekanan dan musuhnya. Suatu ketika dahulu, sekolah-sekolah umpama ini telah diberhentikan bantuan perkapita. Hasilnya, banyak yang tidak mampu meneruskan operasinya. Namun kita harus bersyukur terutama yang berada di negeri Johor, sekolah umpama ini masih boleh berdiri dan ada juga sebahagiannya yang telah diambil alih oleh pihak kerajaan negeri. Akhirnya, ia terus berkembang dan masih utuh.

Suatu masa dahulu juga, kementerian pendidikan pernah menawarkan kepada sekolah-sekolah umpama ini untuk diserahkan kepada pihak kementerian. Seingat saya sewaktu itu perbincangan diadakan di Langkawi pada tahun 2000. Tetapi majoroti ahli mesyuarat tidak bersetuju dengan tawaran kementerian.

Namun, akhir-akhir ini penawaran umpama ini dibuka kembali dan beberapa buah sekolah dalam negeri johor telah pun menyerahkannya kepada pihak kementerian.

Sedar atau tidak, pihak kementerian bakal menjadikan sekolah umpama ini sebagai sekolah menengah agama yang tiada lagi pelajaran bahasa arab secara kompleks dan hanya menawarkan pengajian bahasa arab komunikasi dan tinggi. Silibus pengajian bahasa arab umpama nahu, saraf, tauhid, hadis dan pelbagai lagi, tidak akan lagi diajar. Akhirnya sekolah umpama ini nasibnya seperti sekolah menengah biasa. Tiada lagi pembelajaran agama dalam bahasa arab yang pelbagai.

Mungkin suatu masa nanti kita akan ucapkan selamat tinggal sayang...

Wallahu a'lam

Monday, November 27, 2006



Gambar bumbung salah salah sebuah bangunan KUSTEM di Gong Badak, Terengganu.

Wednesday, November 22, 2006

MELAYU

Karya SN Usman

Melayu itu orang yang bijaksana
nakalnya bersulam jenaka
budi bahasanya tidak terkira
kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
kecut takut kerana benar
janji simpan di perut
selalu pecah di mulut.
Biar mati adat
jangan mati anak.

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
melorongkan jalur sejarah zaman
begitu luas daerah sempadan
sayangnya kini segala kehilangan.

Melayu itu kaya falsafahnya
kias kata bidal pusaka
akar budi bersulamkan daya
gedung akal laut bicara.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
terlalu ghairah pesta temasya
sedangkan kampung telah tergadai
sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual....

Kadang-kadang

Bismillah

Kadang-kadang saya duduk di serambi, borak-borak dan bersembang dengan segelintir orang kampung. Banyak perkara yang mereka bualkan. Kadang-kadang juga saya memasang telinga bila ada orang tua bersembang bersama. Macam-macam benda yang mereka sembangkan. Kadang-kadang saya bebual dengan kawan-kawan. Bila fikir, kadang-kadang entah apa-apalah yang dibualkan.

Kadang-kadang bila mengenang kembali beberapa situasi di atas, ia bisa menggugah minda terutama ketika menyentuh tentang beberapa perkara.

Pernah suatu masa saya berbual dengan seorang abang pemilik kedai cuci kereta. Dia ada anak sepasang. Semasa kami berbual, dia menceritakan satu kejadian yang berlaku di Renggam seorang budak lelaki sekolah rendah telah merogol kawannya yang masih dalam darjah empat. Menurut apa yang abang tu bagi tahu, mereka berdua berzina dengan rela hati hasil daripada tontonan filem lucah.

Pernah juga suatu ketika saya memandu kereta guru tadika saya ke mersing untuk menghadiri hari keluarga. Ketika perjalanan pulang, saya sempat bercerita dan mengimbas cerita lama semasa zaman persekolahan dulu. Saya kata kepada cikgu saya bahawa suatu masa dahulu, kebanyakan pelajar berjalan kaki ke sekolah termasuklah saya.

Cikgu saya membalas balik dengan menyatakan bahawa ketika ini situasi tersebut sudah tidak berlaku lagi. Pelajar tadika dan juga murid sekolah rendah, kebanyakan mereka dihantar oleh ibu bapa atau keluarga dan siapa jugalah ke sekolah. Cikgu saya sambung lagi dengan berkata dia pun tidak berani nak lepaskan anak dia ke sekolah dengan berjalan kaki.

Bila dikaji, bukan faktor kemewahan atau kesenangan yang membawa penjaga untuk bertindak sedemikian. Tetapi yang demikian adalah faktor keselamatan. Keadaan sudah tidak selamat terutama bagi anak perempuan.

Pernah juga suatu ketika mendengar perbualan orang-orang tua yang mereka merungut tentang masalah kecurian dan masalah pengurusan Syarikat Telokom Malaysia yang lambat bertindak. Macam-macam mereka kata.

Pernah juga suatu ketika saya duduk sendirian dan terfikir berkaitan beberapa sketsa di atas. Pening ada, bingung ada, kusut pun ada. Orang kita masih sama. Jelas lagi nyata apa yang mereka saksikan. Kebobrokan pelbagai institusi. Namun, apa yang dikesalkan adalah sikap orang melayu yang masih layu. Hanya kata tanpa kota.

Wahai melayu. Bilakah ia akan segar dan tak layu?

Wallahu a'lam

Wednesday, November 15, 2006

Melayu...

Bismillah

Melayu…
Katanya sudah maju
45 peratus pemilikan harta milik bangsaku

Melayu...
Bersopan sudah tidak tahu
Quran hanya jadi tugu
Hiburan melekat bagai tatu

Melayu...
Kenapa jadi begitu
Semakin maju
Agama semakin melayu

Wallahu a'lam

Tuesday, November 14, 2006

Melayu semakin kekok?

Bismillah

Islam. Selaut kesyukuran sangat wajib dipanjatkan ke hadrat Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Suatu takdir yang wajib disyukuri bila Allah meletakkan masyarakat Melayu berada dalam agamaNya. Agama yang Allah redhai dan dijanjikan tempat bahagia di akhirat kelak.

Bila kita selak kembali lembaran sejarah, kita dapat saksikan betapa negeri Melaka suatu masa dahulu menjadi pusat perdagangan, pusat ilmu dan pusat tamadun dunia. Pedagang ramai turun berlabuh di Melaka. Berniaga dan semuanya menambah kerancakan ekonomi negara.

Ketika itu, masyarakat berada di bawah pemerintahan Sultan beragama Islam yang adil dan bijaksana. Ketika itu juga masyarakat sangat kuat beragama. Pondok dan madrasah tempat pengajian ilmu, sangat pesat pembangunannya. Masyarakat Melayu ketika itu memegang Islam umpama menggigit sesuatu dengan gigi geraham. Sangat kuat dan sukar dilepaskan.

Begitu juga kalau kita membelek sirah perkembangan Islam dan tamadunnya terutama di zaman Khalifah al-Rashidin. Kekuatan dan keupayaan Islam, tiada tolok bandingannya. Ketika itu, Islam berada di dua pertiga dunia. Islam berada dipuncaknya.

Bila diteliti dan dikaji, kekuatan dan pembinaan tamadun tinggi oleh mereka, semuanya adalah hasil daripada gigitan Islam dengan gigi geraham dan pegangan yang sangat kuat pada agama dalam semua sudut.

Namun hal yang demikian sudah tinggal kenangan dan sejarah. Bila dilihat masyarakat melayu hari ini, semuanya semakin kekok beragama malahan ada yang malu mengaku mereka bergama Islam. Orang melayu semakin kelam kabut dalam budaya dan berakhlak mulia terutama golongan muda.

Melihat fenomena hari ini, golongan VVIP pun sudah semakin berani memperluas dinasti kroni dan mereka semakin memijak rakyat yang papa. Mereka juga terlibat sama dalam kes-kes jenayah yang sangat merbahaya. Pemimpin dan ketua adalah contoh dan ikutan masyarakat. Bila ikutan dan tauladannya suatu yang teruk dan binasa, yang mengikut pasti akan terus tersiksa.

Akhbar hari-hari dipenuhi kes-kes yang menyayat hati. Jenayah ragut hingga membunuh. Rogol anak kandung sendiri. Murtad yang berleluasa. Segalanya sudah biasa dan masyarakat semakin memandang ringan. Pemimpin pula memperluas jajahan dan harta. Agama cuma sebagai tempelan bagi nampak bersopan. Agama tidak lagi dijadikan pegangan utuh dan kukuh. Natijahnya, masyarakat jadi huru-hara. Saya pun pening kepala. Macam mana ya? Melayu kita semakin kekok beragama walaupun parti melayu hari ini sedang bersidang dan bersuara. Nampaknya masih tiada perubahan apa-apa pada agama yang semakin terpinggir.

Wallhu a'lam

Entah la...

Bismillah...

Semalam ketika melihat surat khabar, saya amat tertarik hati melihat replika jambatan kedua Pulau Pinang. Saya terus menatap dan membaca. Sungguh mengagumkan. Projek yang memakan belanja RM3 bilion, yang bakal disiapkan dalam tempoh masa 5 tahun ini, dilihat sebagai pemacu ekonomi negara dan penyumbang kepada peningkatan ekonomi rakyat. Dilihat dari segi fizikalnya, ia memang membanggakan dan bakal menaikkan nama Perdana Menteri kita Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi.

Bagi pandangan saya, ia sangat mampu membuka mata rakyat terutama musuh-musuh Pak Lah yang selama ini cuba menjatuhkan beliau. Tahniah kepada pimpinan Pak Lah yang semakin hari semakin berjaya memadam conteng-conteng arang yang dimekap pada wajahnya.

Namun begitu, bila difikir dengan akal yang dalam. Melihat dan memerhati sejarah dan peristiwa yang berlaku dulu, ia membawa saya kepada suatu persepsi yang agak negatif. Bukan niat saya mahu memfitnah, menuduh dan jauh sekali menghasut. Kenapa saya kata begitu? Kerana masyarakat melayu hari ini dimomokkan oleh pimpinan parti melayu bahawa segala unsur yang tidak menyokong mereka, adalah fitnah walaupun ia benar dan cuba mendedahkan fakta sebenar. Momokan umpama ini, saya kira semua sudah maklum dan bukan topik perbincangan untuk saya celoteh panjang.

Bila saya meneliti semula, beberapa persoalan bermain di ruang fikiran. Kenapa perlu dibina jambatan kedua di Pulau Pinang? Apakah keutamaannya. Bila ditimbang tara, saya kira Jambatan menggantikan tambak johor adalah lebih utama. Jambatan kedua Pulau Pinang ini juga merupakan satu projek yang tidak memakan masa yang lama untuk diputuskan dan melalui birokrasi yang paling mudah.

Pada tahun 2002, saya sempat melawat dan melancong ke tanah lagenda Langkawi yang dua tahun selepasnya dilanda tsunami. Sungguh banyak tempat menarik dan bersejarah di Langkawi. Banyak juga tempat-tempat dan kawasan yang dibangunkan secara moden dan mengagumkan.

Di Langkawi, saya sempat menziarahi sebuah muzium yang menyimpan begitu banyak memorial berkaitan Tun Dr Mahathir. Sebuah bangunan yang memakan wang jutaan ringgit yang dipenuhi ribuan ukiran pakistan, turki dan beberapa negara lagi.

Bila melihat dua situasi ini, saya bertanya pada diri. Bilakah perdana menteri akan lahir dari anak negeri johor. Pastinya nanti johor akan lebih membangun dan jambatan yang menggantikan tambak mungkin akan diteruskan. Bilakah juga perdana menteri akan lahir dari negeri kelantan yang saban hari dimomokkan tentang kelemahan pimpinannya. Bilakah juga situasi umpama ini akan berakhir? Bilakah keadilan sebenar akan kita kecapi?

Entah la...

Moga Allah berkati. Moga daulah islamiah akan kembali menyinar dan merajai dunia. Amin...

Wallahu a'lam

Friday, November 10, 2006

Hujan emas di segamat...

Bismillah...

Alhamdulillah. Segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Illahi. Tidak mendung, tidak juga awan tampak hitam dan tiada langsung tanda-tanda akan turunnya hujan. Namun, itulah limpahan rahmat Allah, kasih dan sayang-Nya yang tiada tolok bandingan. Lantaran diturinkan hujan di bumi Segamat. Ia bukan hujan sembarangan, tetapi hujan emas. Sangat aneh dan sangat besar kuasa Allah. Bertambah aneh, ia hanya turun di dalam bilik guru Sek. Men Kebangsaan Agama Segamat.

Memang sudah lama saya ingin bersua muka dengan Sdr Zaid Akhtar. Oleh kerana banyak aral yang sukar untuk dielak, saya tidak juga bersua muka dengannya. Tetapi, pada hari ini, Alhamdulillah dengan izin Allah, saya ditemukan empat mata dengan Sdr Zaid Akhtar di bilik guru SMAKAS.

Tanpa diduga, sedang kami berbual tentang banyak perkara, datang sepucuk surat dari DBP wilyah selatan. Surat jemputan ke satu seminar yang ada bersamanya Dato' A. Samad Said, Tan Sri Awang Sarian dan beberapa orang lagi. Usai membaca, Sdr Zaid lantas memberikannya kepada saya dan berharap saya pergi ke seminar tersebut.

Kami sambung berbual. Sedang dalam perbualan, Sdr Zaid menanyakan kepada saya tidakkah saya teringin mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR). Apa yang mengagumkan saya, kesungguhan Sdr Zaid membantu saya bagi memastikan saya dapat menyertai MPR tersebut. Hasil daripada usahanya, saya menerima email daripada Pegawai Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka menjemput saya ke MPR tersebut.

Terima kasih tidak terhingga buat Sdr Zaid membantu dan membuka ruang serta jalan kepada saya dalam mengembangkan bakat penulisan. Terima kasih tidak terhingga juga di atas layanan istimewa saudara. Mohon maaf andai saya mengambil masa saudara. Moga bertemu kembali di lain waktu.

Wallahu a'lam

Wednesday, November 08, 2006

Salah ke kalau kuat seks?

Bismillah

Minggu lepas, saya berkesempatan mengikuti usrah bersama beberapa orang teman di Johor Bahru. Dalam slot sirah, pembentang membicarakan perihal Rasulullah s.a.w pergi berniaga. Ketika waktu tersebut baginda membawa barang perniagaan Siti Khadijah bertemankan khadamnya Maisarah. Tertarik dengan perwatakan baginda Nabi yang begitu mulia, Siti Khadijah menghantar orang merisik baginda Rasul s.a.w. Akhirnya, mereka berdua diijab kabulkan yang mana ketika itu Rasulullah s.a.w berusia 25 tahun dan Siti Khadijah berumur 40 tahun.

Usai pembentangan, naqib membuka kepada ahli usrah membahas apa jua perkara. Ramai dikalangan ahli membahas perihal baginda Nabi s.a.w berkahwin dengan janda yang secara jelas menafika dakwaan Orientalis bahawa Nabi s.a.w kuat seks. Secara umumnya, rata-rata mempertahankan dengan hujah masing-masing bahawa baginda Nabi s.a.w bukan orang yang kuat seks.

Pada akhir pertemuan, naqib usrah menggulung dengan mengatakan beberapa perkara. Antaranya beliau menyentuh perihal kuat seks. Beliau berkata, bukan kita mahu hina Nabi s.a.w, tetapi apa yang berlaku, kita perlu akui bahawa memang ia terjadi. Beliau berkata tentang sebuah hadis Nabi s.a.w tentang Nabi pernah mendekati isteri-isterinya dalam satu malam. Setelah itu baginda hanya sekali sahaja mandi wajib.

Kalau dilihat pandangan kasar daripada hadis tersebut, boleh dikatakan memang baginda Nabi kuat seks. (Tetapi hadis tersebut masih belum pasti sumbernya dan saya masih mencari.)

Mungkin kita boleh biarkan saja dan abaikan tentang permasalahan hadis tadi disebabkan sumber dan kebenarannya yang belum pasti. Namun begitu, ada bukti lain menyatakan dan membenarkan hal baginda kuat seks umpama isteri baginda yang ramai dan perkahwinan baginda dengan kanak-kanak berumur 9 tahun.

Ketika menyatakan tentang tuduhan-tuduhan musuh Allah sebagaimana di atas, masing-masing mempertahankan dengan hujah yang tersendiri bahawa Nabi tidak kuat seks. Namun apa yang menarik, naqib langsung tidak mempertahankan bahawa Nabi kuat seks. Bahkan beliau menyatakan salahkah kalau kuat seks? Perihal kekuatan, bukankah ia satu kebanggaan?
Bila difikir, ada benarnya. Bagaimana dengan anda semua? Agak-agak betul atau tidak apa yang naqib katakan?

Wallahu a'lam

Thursday, November 02, 2006

Populasi rakyat Malaysia

Bismillah...

Pada 2004, populasi rakyat Malaysia berjumlah 25.58 juta orang. Populasi tersebut meningkat menjadi 26.13 juta orang pada 2005. Mankala sehingga oktober 2006, populasi rakyat Malaysia meningkat sebanyak 26.64 juta orang.

Kadar kelahiran kasar pada 2004 ialah 20.1 bagi setiap 1000 orang penduduk. Pada 2005, sebanyak 19.6 bagi setiap 1000 orang penduduk. Manakala pada 2006, Kadar Kelahiran Kasar ialah 19.0 bagi setiap 1000 orang penduduk.

Kadar Kematian Kasar pada 2004 ialah 4.5 bagi setiap 1000 orang penduduk, pada 2005 pula 4.4 bagi setiap 1000 orang penduduk. Manakala pada 2006, Kadar Kematian Kasar ialah 4.5 bagi setiap 1000 orang penduduk.

Bagi jangka hayat penduduk Malaysia pada 2006 ialah 71.8 tahun bagi lelaki, manakala wanita pula ialah 76.3 tahun...

- Jabatan Perangkaan Negara -
Dipetik dari Dewan Masyarakat keluaran November 2006
Wallahu a'lam...