Jumaat, Disember 29, 2006

Pemurnian najis-najis yang menjijikan

Bismillah…

Bila di sorot kembali lipatan sejarah, kita dapat menyaksikan pelbagai kegemilangan dan keagungan tamadun yang langsung tidak mampu ditandangi dengan teknologi terkini.

Antara keagungan yang menjadi fenomena dan kerungsingan jiwa pada pengkaji memikirkannya ialah pembinaan piramid. Bagaimana bongkah batu yang tersangat besar berpurata 2 tan tiap satunya disusun begitu kemas dan kukuh serta utuh hingga ke saat ini.

Kita berjalan lagi melihat di sekitar Syria dan Jordan. Kita saksikan bagaimana pembinaan kota yang amat mengagumkan. Kaum Thamud menarah gunung yang sangat keras dan kental menjadikannya umpama banglo mewah yang langsung tiada tolok bandingannya.

Demikian juga suatu masa dahulu ketika saya berjalan melalui tasik Qarun. Keluasannya amat besar. Umpama lautan yang terbentang luas. Terdapat juga nelayan mencari rezki di situ. Dan di situlah juga tapak empayar dan kekayaan Qarun suatu masa dahulu.

Demikianlah beberapa sorotan sejarah yang telah berlaku di alam ini. Masing dengan keagungan dan kegemilangan yang tersendiri. Tamadun yang tiada tolok bandingnya. Namun, bila dicicipi satu-persatu sirah di atas, kita akan dapati mereka Allah hancurkan.

Kita saksikan firaun tenggelam di laut merah. Begitu juga kaum Thamud Allah lenyapkan mereka daripada dunia ini dan demikian juga yang berlaku kepada Qarun. Akhirnya mereka musnah. Tamadun hilang. Kegemilangan menjadi malap. Cuma tinggal beberapa sisa sebagai pengajaran generasi kemudian.

Semua maklum dan mengerti bahawa manusia-manusia umpama ini bukan Allah hancurkan lantaran murka-Nya yang membuta tuli. Ia disebabkan tiada lagi jiwa yang diisi dengan iman dan kepercayaan utuh kepada Allah. Mereka lupa bahawa Allah yang memberi mereka segalanya. Mereka lalai dan hilang rasa syukur dan tawadhuk kepada pencipta Yang Maha Agung.

Mengimbau hari-hari yang sedang kita lalui, betapa bumi Johor yang amat ku cintai, diturunkan Allah air melimpah bumi. Bah melanda di sana-sini. Banjir sangat teruk dalam tempoh 30 tahun. Semuanya punah. Banyak juga nyawa yang melayang.

Biarpun ia bencana alam yang sering berlaku di mana-mana, namun jangan lupa menyelak kembali sirah ummah terdahulu. Tanpa kita sedar, sebenarnya kita yang menempah bencana. Mungkin tanah lahirku ini sudah penuh tahi-tahi dan hancing-hancing kemaksiatan. Inilah hujan buat pemurnian najis-najis yang menjijikan. Pohonlah ampun dari tuhan. Muhasabah diri jangan lupakan tuhan.

Wallahu a'lam

Ahad, Disember 17, 2006

Ku sangka hanya di Cairo sahaja

Bismillah

Buat pertama kalinya setelah dua bulan di Malaysia, Allah mengizinkan saya memijak ibu kota negara pada 14 hari bulan yang lalu. Seronok melihat suasana dan memesrai bandaraya dalam taman yang indah.

Perjalanan saya ke Kuala Lumpur adalah untuk bersama-sama mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR'06). Kami peserta-peserta MPR menginap di Mandarin Court Hotel berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga berhadapan dengan Stadium Merdeka.

Hati gembira metah. Juga syukur yang tidak terlafaz bila saya diletakkan di sebuah hotel yang sangat selesa. Sepanjang hayat saya, selama saya mengikuti pelbagai kursus dan seminar, tidak pernah ditempatkan sebuah penginapan yang istimewa umpama ini.

Saya diletakkan di bilik 1405. Kebetulan angka tersebut sama dengan tahun kelahiran saya mengikut kelender hijrah. Dari bilik saya, dengan jelasnya Stadium Merdeka dapat dilihat.

Pada malam hari sesudah usai program di DBP, kami semua balik ke hotel. Lebih kurang jam 12.30 malam, keripuhan tidak mampu dikekang lagi di Stadium Merdeka. Berdentam-dentum bunyi gitar, drum dan pelbagai lagi bunyi nyanyian yang amat membingitkan. Lantas, saya terkenang beberapa lembar kenangan di kota Cairo. Suasana bingit dan ripuh umpama ini, selalu berlaku terutama ketika pembukaan kedai baru. Kusangka hanya di Cairo sahaja, rupanya tidak.

Pada 15 hari bulan, hari jumaat. Kami dibawa melawat sebuah kilang percetakan di Ulu Kelang bernama DAWAMA. Kami dibawa melawat kilang dan sebelumnya kami diberi taklimat beberapa hal berkaitan percetakan.

Menjelang solat jumaat, kami semua dibawa bersembahyang di Masjid Al-Ridhwan, Ulu Kelang. Sungguh saya tidak menyangka, kehadiran kami disambut seorang pengemis perempuan bersama dua orang anaknya di hadapan pintu masuk. Lantas, saya terkenang beberapa lembar kenangan di kota Cairo. Suasana umpama ini, memang berlaku di kawasan masjid di bandar Cairo. Kusangka hanya di Cairo sahaja, rupanya tidak.

Usai solat jumaat, satu lagi teragedi menggugah atma saya. Saya cuba bertenang, relaks dan buat macam tiada apa-apa berlaku. Sambil menuruni tangga masjid, mata saya merayap ke merata tempat mencari kasut. Saya sangat yakin, saya meletekkan kasut di sudut itu. Tapi, tiada. Setelah itu, batang tubuh saya pula dibawa merayap sekitar masjid mencari kasut. Namun, natijahnya mengecewakan. Lantas, saya terkenang beberapa lembar kenangan di kota Cairo. Suasana umpama ini, sering berlaku di bandar Cairo. Kusangka hanya di Cairo sahaja, rupanya tidak.

Demikian antara cebisan kenangan ketika berada di Kota Kuala Lumpur. Semuanya menyeronokkan. Lantas hati bergetus, 'Kusangka hanya di Cairo sahaja.'

Alhamdulillah, akhirnya usai MPR'06. Walau saya hadir agak lewat beberapa hari, namun kenangannya tertanam hingga ke dasar hati. Ukhuwah yang bertaut erat, bimbingan dan tunjuk ajar, juga bantuan dari semua pihak, membuat hati tidak mampu melupakan MPR'06.

Terima kasih tidak terhingga buat Abg Zaid yang membantu saya menyertai MPR'06, buat Abg Shahrun yang banyak berkorban, buat Kak Nisah, Kak Rai, Abg Lutfi, Abg Samsudin juga Abg Zaid sebagai mentor yang membimbing kami, buat Kak Yaya dan Kak Zeti, buat En Jusoh dan En Osman yang telah membawa saya ke PD, buat Abg Syed yang telah membawa kami semua ke pelbagai destinasi dan buat semua yang terlibat dalam MPR'06.

Salam ukhuwah fillah buat Lan, Fadli, Saufi, Azree, Syahrazi, Faizal yang sudi meminjamkan kasut, Fairuz, Firdaus, Daia, Eina, Izzah, Yana, Sal, Nabihah, Feda, Nissa, Habsah, Sapiah, Azma, Wanie, dan Fizah. Moga ikatan ukhuwah kita terus lestari. Selamat berkarya dan selamat meneruskan perjuangan.

Wallahu a'lam.

Selasa, Disember 12, 2006

Bila salah letak

Bismillah

Suatu perkara yang mencemaskan. Sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke rumah, entah kenapa aircond jadi kurang sejuk dan bau hangit mula menusuk hidung. Sewaktu berhenti di sebuah trafik light, berhadapan Sek. Men. Kebangsaan Simpang Renggam tiba-tiba enjin berasap. Suatu keadaan yang amat mencemaskan. Saya terus mengambil side kiri jalan dan parking kereta di tepi jalan.

Kebetulan saya berada di depan pejabat FAMA tempat pak cik saya bekerja. Saya cuba mencari dia di situ, tetapi dia tiada. Akhirnya saya menelefon ayah. Sedang menunggu ketibaan ayah, sebuah kereta kancil putih berhenti di belakang kereta. Beliau keluar dari keretenya dan terus bertanya apa masalah saya. Bila saya perhati, gaya dan personalitinya macam seorang pomen.

Lelaki tersebut terus mendekati kereta saya dan melihat keadaannya. Dengan sekali pandang, beliau terus berkata motor aircond rosak. Lantas saya tidak syak lagi bahawa dia seorang pomen. Dalam pada itu, ayah pun tiba.

Memang benar motor aircond rosak. Pomen tersbut mengarahkan agar tali motor diputuskan bagi membolehkan kenderaan berjalan baik. Usai menyelesaikan segalanya, saya pun memandu kembali kereta pulang ke rumah.

Alhamdulillah kereta sampai dengan selamat dan tiada lagi asap pada kenderaan. Demikian pengalaman pertama kali menghadapi situasi kereta rosak. Amat mencemaskan.

Bila sampai di rumah, ketika berehat, saya terkenang kembali peristiwa tadi. Saya rasa amat bersyukur orang yang berhenti membantu memang ahlinya. Saya tidak pasti apa yang akan berlaku sekiranya orang berhenti membantu saya hanyalah mereka yang ingin mengambil kesempatan dan bukan ahlinya. Pastinya kereta saya akan menunggu saat kehancuran.

Demikian faedah dan manfaat bila suatu perkara dan bidang diletakkan pada ahlinya. Jika sebaliknya, pasti akan mengundang petaka.

Sabda Nabi s.a.w



حَدَّثَنَا ‏ ‏مُحَمَّدُ بْنُ سِنَانٍ ‏ ‏قَالَ حَدَّثَنَا ‏ ‏فُلَيْحٌ ‏ ‏ح ‏ ‏و حَدَّثَنِي ‏ ‏إِبْرَاهِيمُ بْنُ الْمُنْذِرِ ‏ ‏قَالَ حَدَّثَنَا ‏ ‏مُحَمَّدُ بْنُ فُلَيْحٍ ‏ ‏قَالَ حَدَّثَنِي ‏ ‏أَبِي ‏ ‏قَالَ حَدَّثَنِي ‏ ‏هِلَالُ بْنُ عَلِيٍّ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏ ‏قَالَ ‏ بَيْنَمَا النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يُحَدِّثُ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ سَمِعَ مَا قَالَ فَكَرِهَ مَا قَالَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ لَمْ يَسْمَعْ حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عَنْ السَّاعَةِ قَالَ هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏ ‏فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا ‏ ‏ وُسِّدَ ‏ ‏ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
Wallahu a'lam

Khamis, Disember 07, 2006

Macam nak patah

Bismillah

Alhamdulillah, sampai juga ke rumah semalam. Setelah seminggu duduk di kampung bersama nyayi (nenek) dan abang saudara, akhirnya pulang ke rumah. Itupun disebabkan beberapa urusan yang memaksa saya untuk pulang.

Seminggu di kampung, pelbagai pengalaman. Hari yang pertama, abang saudara mengajak saya ke kebun. Pada awalnya saya menyangka ia sekadar gurauan lantaran ajakannya bersama gelak dan senyuman. Setelah dia hulurkan kepada saya seluar tebal, pakaian lusuh dan beberapa lagi kelengkapan, barulah saya yakin yang dia benar-benar mengajak saya ke kebun.

Tugas hari ini meratakan tanah merah yang baru tiba dari Bukit Naning sebagai tapak meletak kelapa sawit yang sudah dipetik. Longgokan tanah cuma paras lutut tingginya. Dalam hati berkata ini kerja mudah dan cepat.

Saya mulakan kerja dengan semangat. Maklumlah, sudah lama tidak panaskan tulang dengan kerja umpama ini. Saya hanya menuang tanah dari pongkes ke dalam kereta sorong. Kemudian dituang ke kawasan yang sesuai.

Namun, segalanya tidak semudah yang di sangka. Baru sekejap dah pancit. Melihat longgokan tanah merah, rasa macam putus asa. Ia masih banyak. Tetapi, sikit-sikit, lama-lama selesai.

Bila sampai di rumah, kepenatan semakin terasa. Tulang belakang rasa macam nak patah. Baru saya dapat rasakan betapa jerihnya pekerja di tapak binaan.

Abang saudara saya kata sambil gelak dan senyum, esok kita akan membaja. Kemudian kita tanam pokok dan bersihkan kawasan kebun.

Saya hanya tersenyum sambil cover macho macam tidak ada apa-apa. Alahai..... macam nak patah...

Wallahu a'lam