" Serambi Ilham ": January 2007

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Wednesday, January 31, 2007

Kenapa dibiar baginda s.a.w memerah akal?

Bismillah

Menyorot kembali detik-detik berlakunya peristiwa hijrah, Rasulullah s.a.w membawa langkah menuju rumah Abu Bakar dengan pakaian yang agak asing bagi mengelak orang mengenali Baginda. Ia antara langkah bagi memastikan misi penghijrahan berjaya. Demikian apa yang diceritakan di dalam sahih Bukhari riwayat daripada Saidatina Aisyah.

Usai bertemu Abu Bakar dan baginda menyampaikan hasratnya serta bekalan yang telah siap disediakan, baginda Nabi s.a.w berkejar menemui saidina Ali. Baginda s.a.w mengarahkan saidina Ali menunggu dahulu di kota Makkah untuk beberapa waktu agar baginda dapat memulangkan kembali barang yang diamanahkan kepadanya. Baginda juga mengarahkan Saidina Ali menggantikan tempat tidurnya.

Abu Bakar pula menyuruh anaknya Abdullah menjadi mata-mata dan melaporkan kepada ayahnya dan Nabi s.a.w apa yang diperkatakan oleh orang Quraisy.

Abu Bakar turut mengarahkan khadamnya Amir bin Fuhairah membawa kambing ternakan mengiringi perjalanan mereka berdua bagi memadam kesan tapak kaki. Manakala petangnya pula, Amir diarahkan membawa ternakan berhampiran ke pintu gua bagi membekalkan susu kepada mereka.

Baginda Nabi s.a.w bersama Abu Bakar berlindung beberapa hari di gua Thur sebelum meneruskan perjalanan mereka. Abdullah, putera Abu Bakar turut sama menginap di gua Thur. Namun, bila hampir siang, dia akan pulang ke Makkah semula bagi mendapatkan maklumat.

Pihak musyrikin di Makkah pula telah berkumpul mengatur strategi seterusnya dalam usha menghapuskan Nabi s.a.w. Pelbagai tawaran menarik terhidang bagi mereka yang berjaya membunuh Muhammad s.a.w.

Akhirnya pihak musyrikin sampai di gua Thur. Maka, cemaslah hati dan perasaan Abu Bakar sambil berkata : "Kalau mereka menundukkan sedikit sahaja pandangan mereka ke bawah, pasti kita akan dapat dilihat." Bagi menenangkan perasaan Abu Bakar, Rasulullah telah menjawab : "Wahai Abu Bakar, disamping kita berdua, ada yang ketiga iaitu Allah."

Demikian beberapa kronologi perjalanan baginda Nabi s.a.w menuju ke kota Yathrib. Meneliti rentetan peristiwa ini, kita akan dapati bahawa Nabi s.a.w begitu rapi dan amat teliti mengatur strategi penghijrahan. Perkara ini dilakukan dengan sangat tersusun.

Namun, mungkin kita boleh bertanya atau mungkin bermain dalam minda dan akal kita. Kenapa Nabi s.a.w begitu berhati-hati dan berwaspada dalam menjalankan misi baginda? Sedangkan baginda adalah manusia yang paling disayangi dan paling rapat dengan Allah Ta'ala. Baginda bukan manusia biasa. Baginda adalah manusia pilihan Allah. Apakah yang perlu dirisaukan? Kenapa pula perlu diatur pelbagai strategi?

Bukankah Allah berkuasa membawa terus Nabi s.a.w ke kota Madinah sebagaimana Allah angkat Nabi s.a.w menaiki buraq menuju ke langit-Nya. Allah juga mampu membuat lebuhraya tanpa tol juga sebuah ferrari formula satu bagi melancarkan perjalanan baginda. Namun, kenapa Allah membiarkan baginda memerah akal dan keringat mengatur strategi hijrah.

Demikian sebenarnya bagaimana baginda Nabi s.a.w mahu mengajar umatnya tentang apa yang dinamakan الأخذ بالأسباب (mengambil sebab musabab). Allah juga mahu mendidik manusia agar berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.

Maka, di sini muncullah apa yang dinamakan tawakal setelah mengambil sebab musabab. Oleh itu, perlulah kegigihan dan usha sebelum kita menyerahkan segalanya kepada Allah.

Begitulah apa yang telah Nabi s.a.w lakukan. Setelah mengatur strategi begitu rapi, baginda menyerahkan segalanya kepada Allah. Perkara ini dapat dilihat ketika musyrikin berada di hadapan gua Thur. Baginda begitu tenang dan memberitahu Abu Bakar bahawa Allah berada di sisi kita.

Oleh itu, setiap cita-cita, perlakuan dan matlamat dalam hidup kita, haruslah ada yang dinamakan mengambil sebab musabab. Perlulah ada usaha dan kerahan keringat. Setelah usai menjalankan usaha dan seluruh sebab musabab telah diambil, maka pada saat inilah detik yang tepat dan sesuai menyerah dan bertawakal segalanya kepada Allah.

Akhrnya ; وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

....sesiapa berserah diri sepenuhnya kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (al-Thalaq :65)

Wallahu a'lam

Sunday, January 21, 2007

Apakah benteng balak Tuhan?

Bismillah

Saya begitu tertarik hati dengan apa yang Pak Lah katakan semalam di buletin utama ketika mengulas berkaitan masalah banjir yang menimpa negeriku tercinta, Johor darul Takzim.

Antara petikan katanya:

"Perlu diteliti jika ada kekurangan dan infrastruktur dan sistem perparitan. Kenapa air naik cepat dan surut lambat?"

Menurut kajian, hujan turun semakin banyak akhir-akhir ini akibat pemanasan bumi. Ozon semakin tipis dan cahaya matahari semakin membakar bumi. Natijahnya, wap akan naik ke atas dan seterusnya menghasilkan hujan. Bila tahap kepanasan bumi semakin meningkat, maka wap yang akan naik ke udara semakin bertambah. Akhirnya hujan juga akan bertambah.

Amat benar apa yang diperkatakan oleh Pak Lah. Infrastruktur dan sistem perparitan perlu dikaji semula. Keadaan hujan yang semakin bertambah, limpahan air yang semakin banyak, tidak mampu lagi ditampung oleh sistem yang ada pada waktu ini. Demikian ulasan dan pemerhatian dari segi teori dan logikanya.

Namun begitu, pada pandangan saya. Hasil pemerhatian sepintas lalu berkaitan sistem perparitan negeri Johor dengan negeri perak. Saya dapati sistem di negeri Johor adalah lebih baik berbanding negeri Perak. Saya pernah menetap di Perak hampir empat bulan. Saya perhatikan boleh dikatakan tiada langsung persediaan yang dibuat bagi menghadapi musim tengkujuh.

Negeri Johor lain pula kisahnya. Di kampung saya misalnya. Akhir bulan november, jentera pengorek telah dikerah mendalamkan sungai. Ia sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Tapi apa yang menghairankan, tidak pula saya mendengar negeri Perak disimbah bah sedahsyat negeriku tercinta ini.

Akhirnya mungkin boleh saya buat kesimpulan hasil pemerhatian sekali pandang. Negeri Johor begitu rancak menganjur pelbagai acara hiburan umpama konsert di Danga Bay, sure heboh, jom heboh yang akhirnya sure banjir.

Lain pula kisahnya dengan negeri Perak yang muftinya begitu lantang menentang sure heboh. Muftinya begitu hebat membela martabat Islam. Isu murtad tidak henti-henti diperkatakan.

Bagi pandangan saya, inilah sepatutnya yang harus dikaji sedalam-dalamnya. Apakah benteng dan pertahanan balak dan bencana Tuhan menyentuh bumi yang penuh keindahan?

Sekadar pandangan dari insan yang penuh kehinaan

Wallahu a'lam



Pindah; as-Sam'u wat tho'ah

Bismillah

Saya teringat ketika saya mendengar satu kuliah agama di sebuah masjid di Bagan Serai Perak. Waktu itu saya sedang mengambil diploma di Madiwa. Saya masih teringat juga bagaimana ustaz Qazim al-Hafiz menyampaikan syarahannya yang bagi saya mampu menggugah nubari.

Antara perkara yang disentuh beliau ialah perihal sam'u wat tho'ah Saidina Ali pada ketika diperintahkan menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w.

Saya kira semua mampu membayangkan betapa ngeri dan gerunnya menggantikan tempat orang yang bakal mati. Seluruh kaum musyrikin telah memilih wakil setiap puak bagi menikam Rasulullah s.a.w. Perancangan yang rapi telah diatur sekemasnya bagi memastikan Nabi Muhammad s.a.w hilang nyawanya.

Dalam perancangan hijrah pula, Rasulullah mengarahkan Saidina Ali menggantikan tempat tidurnya. Kita boleh fikir dan bayangkan bagaimana kalau kita diminta oleh ketua kita untuk menggantikan tempat tidurnya yang mana pihak musuh sedang menunggu diluar bagi menikam ketua kita di tempat tidur. Perasaan bercampur baur. Cemas, cuak, rasa hendak terkincit dan pelbagai lagi rasa jiwa yang tidak tenteram.

Namun begitu, Saidina Ali tidak mengatakan kepada Rasulullah "kau gila ke wahai Pesuruh Allah? Kenapa aku yang menjadi mangsa." (mungkin ini bahasa kasarnya atau mungkin juga jawapan kita bila kita diarah melakukan yang demikian.)

Saidina Ali juga tidak pernah berkata kepada Baginda Nabi s.a.w "Ya Rasulullah, apa kata kalau kita kaji dulu perkara ini." Saidina Ali tidak menolak walau jiwanya bercampur baur. Malahan dia patuh dengan arahan ketuanya. Rasulullah menjanjikan bahawa tidak akan berlaku perkara yang buruk pada malam itu.

Demikian bagaimana sikap dengar dan taatnya sahabat nabi kepada arahan baginda. Sikap ini jugalah yang menatijahkan kejayaan perpindahan dari kota Makkah ke kota Madinah. Dengan sikap inilah juga akhirnya Daulah Islamiah tertegak di Bumi Madinah al-Munawwarah.

Maka, sama-samalah kita renung dan fikirkan. Sama-sama juga kita ambil pengajaran dari sirah perjuangan dan sejarah perjalanan sahabat baginda s.a.w. Sam'u wat tho'ah; sekadar dua kalimah, ringkas dan mudah. Namun janganlah diambil mudah. Andaikata Saidina Ali tiada sikap dengar dan taat ini, mungkin perpindahan Nabi s.a.w tidak berjaya. Akhirnya Islam tidak ada sinarnya.

Wallahu a'lam

Friday, January 12, 2007

Kejijikan yang belum sudah

Bismillah

Mencuci, membasuh, membersih atau lain-lain lagi istilah, secara mudahnya perbuatan-perbuatan ini adalah satu kelakuan bertujuan membersih, menyuci atau dengan kata lain mahu menghilangkan kotoran.

Lazimnya dalam proses membasuh juga mencuci, elemen yang penting adalah air. Mencuci kereta contohnya. Untuk menghilangkan lecak yang melekat, kereta akan dijirus air berulang kali hinggalah lecak itu hilang. Begitu juga dalam menyental pakaian. Air sangat diperlukan bagi melenyapkan kotoran-kotoran yang melekat.

Perbuatan mencuci tidak lain tidak bukan adalah ingin mencapai hasrat kesucian dan kebersihan yang murni. Menghilangkan kotoran dan menanggalkan kejijikan pandangan mata. Ia sangat bertetapan dengan fitrah dan semula jadi manusia yang cintakan kebersihan dan kesucian.

Untuk itu, kejijikan, kotoran dan najis yang melekat pada bumi Allah ini, perlulah juga dibuang dan dibersihkan. Semuanya bertujuan memastikan bumi yang indah ini sentiasa bersih tanpa ada kotoran. Elemen air juga sangat diperlukan dalam usaha memurnikan bumi ini dari kekotoran.

Lantaran itu Allah turunkan hujan dari langit mencurah-curah tidak tahu bila berkesudahan. Selagi ada kotoran, selagi itu air akan diturunkan. Begitu secara logikanya. Sebab itu hujan masih belum lerai. Di negeri Johor dari semalam asyik ditimpa hujan. Nampaknya kejijikan masih belum hilang. Ia belum sudah dan tidak lagi rebah.

Oleh itu, jangan marahkan Allah bila air bah melimpah. Bencana dan musibah, puncanya dari tangan yang tidak sudah-sudah menyemai najis dan kotoran. Maksiat dan kerosakan.

Firman Allah :

وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير

Maksudnya : Apa juga bencana yang menimpa kamu adalah hasil usaha tangan kamu dan kebanyakannya diampunkan Allah. ( asy-syura : 30 )

Dalam tafsir Jalalain, dhamir كم pada kalimah أصابكم khitabnya kepada orang-orang yang beriman. Ini bermakna ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman.

Manakala ayat فبما كسبت أيديكم membawa erti musibah yang menimpa adalah hasil dosa yang orang-orang mukmin lakukan.

Maka, jelaslah apa-apa yang menimpa orang-orang mukmin adalah berpunca dari dosa mereka. Oleh itu, sebenarnya musibah dan bencana mampu dielak dengan ketakwaan kita kepada Allah. Saya menyeru diri saya dan kita semua sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Sama-sama juga kita berdoa agar air bah yang masih lagi menyimbah negeri Johor ini, rebah dengan cepat.

Wallahu a'lam

Tuesday, January 09, 2007

Bila salah letak lagi

Bismillah

عن أبي هُرَيْرَةَ قال بَيْنَمَا النبي صلى الله عليه وسلم في مَجْلِسٍ يحدث الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فقال مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يحدث فقال بَعْضُ الْقَوْمِ سمع ما قال فَكَرِهَ ما قال وقال بَعْضُهُمْ بَلْ لم يَسْمَعْ حتى إذا قَضَى حَدِيثَهُ قال أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عن السَّاعَةِ قال هَا أنا يا رَسُولَ اللَّهِ قال فإذا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قال كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قال إذا وُسِّدَ الْأَمْرُ إلى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
صحيح البخاري ج1/ص33
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata: Suatu ketika Nabi s.a.w di dalam suatu majlis berceramah kepada satu kaum, datang seorang a'rabi lantas bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Bilakah hari kiamat?" Maka Rasulullah s.a.w meneruskan ceramahnya. Maka berkata sebahagian daripada kaum tersebut bahawa Rasulullah s.a.w mendengar pertanyaan tersebut tetapi baginda benci. Dan berkata pula sebahagian yang lain bahawa baginda tidak mendengarnya. Apabila selesai ceramahnya, berkata Nabi s.a.w: "Dimanakah penyoal tentang hari kiamat tadi?" Maka dia berkata : "Aku di sini wahai Rasulullah." Maka bersabda Nabi s.a.w: "Apabila amanah disia-siakan. Tunggulah saat kiamat." Dia bertanya lagi: "Bagaimanakah mensia-siakannya?" Bersabda Nabi s.a.w: "Apabila meletakkan sesuatu perkara bukan kepada ahlinya, maka nantikanlah hari kiamat."
Suatu hari sedang Mak Minah menjahit seluar koyak, dia dipanggil suaminya. Mendengar seruan suaminya, Mak Minah terus menyucuk jarum di atas sofa tempat dia menjahit. Dia tergesa-gesa ke dapur mendapatkan suaminya. Sedang Mak Minah melayan suami, tiba-tiba anaknya menangis. Mak Minah bersama suami bergegas ke tempat kejadian. Dilihat punggung anaknya yang baru berusia empat tahun digenangi darah.

Mak Minah menangis dengan penuh kesal kerana kecuaian dan kesalahan Mak Minah meletakkan jarum pada bukan tempatnya.

Suatu ketika, Dato' Muhammad telah mengambil anak saudaranya bekerja di syarikat pembinaannya. Dato' Muhammad menawarkan gaji yang sangat lumayan kepada anak saudaranya. Anak saudaranya diletakkan dibahagian pelan menggantikan jurutera sebelumnya.

Dengan penuh bangga dan penuh keyakinan, anak saudaranya berjaya mengurus dan menyiapkan sebuah bangunan rumah kedai tiga tingkat.

Malangnya, selang beberapa ketika, bangunan itu roboh. Akhirnya semua orang memarahi Dato' Muhammad begitu juga dengan pekerja-pekerjanya di syarikat itu. Mereka mempertikai kenapa Dato' Muhammad mengambil anak saudaranya yang berkelulusan bidang masakan di Uitm sebagai jurutera.

Sebulan yang lepas, suatu perkara yang memeranjatkan saya bila sebuah lorong di kawasan kampung saya menerima peruntukan RMK-9 untuk mengetar jalan. Apa yang membingungkan, lorong itu hanya mempunyai lima buah rumah sahaja.

Lebih membingungkan bila sebuah kampung yang rumahnya melebihi 20 buah, tidak pernah menerima penurapan tar baru semenjak 10 tahun dahulu. Walhal, jalannya sudah banyak lompang.
Saya sangat tidak pasti kenapa perkara ini boleh terjadi. Cuma, apa yang saya tahu melalui cakap-cakap orang, lorong yang menerima tar itu adalah kepunyaan mantan YB di kawasan itu. Jalan kampung yang sudah 10 tahun lompang dan rosak itu, kiri dan kanannya mengibar bendera hijau putih.

Kawan saya pernah berkata, waktu cukai pintu, cukai tanah, cukai jalan dan pelbagai lagi cukai dituntut bayarannya, pengibar-pengibar bendera hijau putih tidak pernah dikecualikan daripada membayarnya. Amat malang dan sangat tidak adil ketika kemudahan dan hak serta amanah tidak diberikan kepada pengibar-pengibar ini.

Maka, sangat benar dan amat tepatlah apa yang baginda Nabi s.a.w sabdakan. Tunggulah hari kiamat yang juga hari kehancuran bila amanah disia-siakan. Tanggungjawab dibeban bukan pada ahlinya. Oleh itu, muncullah tukang rumah menebar roti canai dengan tukulnya dan terbitlah penebar roti canai mengetuk paku dengan tepung. Saat itu, porak peranda akan menjelma. Kehancuran akan tiba. Dunia akan tiada.
Wallahu a'lam

Wednesday, January 03, 2007

Pak Pandir yang bijak

Pak Pandir adalah seorang anak yang baru saja mendapatkan harta warisan setelah ayahnya meninggal. Tetapi ia bingung di manakah ia perlu simpan wang tersebut. Hendak simpan di bank takut kalau-kalau banknya bangkrup.

Diletak dibawah bantal, nanti diambil pencuri.Setelah berfikir cukup lama, akhirnya ia mendapat ide, ia menanam wang itu dibelakang rumahnya, lalu memasang papan peringatan dengan tulisan yang sangat besar "TIDAK ADA WANG DISINI!". Ternyata temannya Pak Pandir yang bernama Si Luncai melihat apa yang dilakukan Pandir.

Setelah lewat tengah malam, Luncai pun menggali tanah itu untuk mengambil wang tesebut. Setelah ia mendapatkan wang itu dan supaya tidak dicurigai, maka Luncai mengganti tulisan yang ditulis Pandir dengan ayat "BUKAN LUNCAI YANG AMBIL!".

cuba hayati cerita ni.....
lepas itu cuba carik siapa yang bijak...???