Ahad, Julai 01, 2007

Menayang barang berharga

Bismillah

Apakah dia barang berharga? Mungkin takrif dan pengertiannya berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Mungkin bagi individu A, pensil kontot 2B-nya adalah barang yang sangat berharga buat dirinya. Lain pula bagi individu B yang menganggap kereta mercedes benz brabos yang dibelinya dari Jerman adalah barang yang sangat berharga. Bagi individu C pula, komputernya adalah suatu yang sangat berharga. Tapi, apa yang pasti, ia suatu yang berharga dan bernilai tinggi.

Umumnya, barangan seperti emas, perak, mutiara, kereta mewah dan boleh dikategorikan suatu yang sangat berharga. Ramai yang berkejar-kejar untuk memilikinya. Ramai juga yang sanggup mencuri dan bergadai nyawa untuk mendapatkannya.

Bagi wanita, emas adalah suatu idaman dan lambang kemewahan. Suatu kebanggaan bagi mereka yang memilikinya. Emas juga bukan sekadar idaman wanita sahaja. Ia juga menjadi idaman semua pihak dan negara.

Dalam sebuah artikel dalam akhbar utusan pada tahun 2001 melaporkan bahawa Amerika Syarikat memiliki 17 juta tan metrik emas. Dalam perang yang melanda Vietnam suatu masa dahulu memperlihatkan ribuan rakyatnya melarikan diri ke negara jiran dengan membawa emas. Ini membuktikan yang emas adalah barang berharga bagi semua orang dan negara.

Apakah yang bermain difikiran anda bila emas berjongkong-jongkong ditayang di hadapan anda. Atau, beribu-ribu keping wang RM50 ditabur di hadapan anda.

Saya fikir, kedunguan yang nyata kalau kita tidak merebutnya atau paling tidak terasa geram mahu mendapatkannya. Pasti hati akan terdetik walau sekelumit cuma suatu perasaan mahu memiliki. Siapa yang tidak geram bila barang berharga ditayang di depan mata. Memang lumrah manusia yang telah Allah kurnia kehendak dan jiwa.

Sebab itu orang yang ada barang berharga umpama emas, kereta mewah atau sebagainya tidak berani menayang dan mempamerkannya. Ia akan disimpan dan dijaga dengan kemas.

Tetapi, ada juga manusia yang suka menayang barang berharga yang tidak ternilai harganya. Dia sangat suka menonjolkannya. Bahkan sangat bangga dan begitu gembira tanpa memikirkan risiko dan kesan buruknya.

Mereka suka menayangkan rambutnya yang ikal dan menarik perhatian. Mereka gemar menonjolkan buah dada. Mereka bangga mempamerkan bentuk badan yang memikat dan mempesona. Mereka gembira melunakkan suara yang manja dan mempesona. Walhal semuanya itu adalah harta yang sangat berharga. Tidak ada manusia mampu mencipta dan menganugerahkannya. Sebab itu Allah perintah agar ia dijaga dan dipelihara.

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ
أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;... (An-Nur : 31)

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Al-Ahzab : 32)

وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

...janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu... (Al-Ahzab : 33)


Oleh kerana itu, jangan marah kalau orang lain berlumba-lumba mengejar barang berharga kita. Bukan salah mereka. Semuanya kerana kita. Kita yang gemar menayangnya. Kita yang bangga mempamernya. Kita begitu gembira bila orang memandangnya.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: