Ahad, Jun 24, 2007

Suatu kebingungan

Bismillah

Salam takziah diucapkan buat keluarga Muhammad bin Ishak di atas pemergiannya menyambut seruan Ilahi. Pemergian yang sangat tragis dan begitu menyayat hati. Suatu episod yang mengundang kebingungan semua pihak. Hingga ke saat ini, motif utama pembunuhan masih tidak dapat dipastikan. Jika diterjemahkan kebingungannya, mungkin mampu terjelma sebuah tanda soal sebasar dunia dan seberat planet Musytari.

Apa yang pasti, ia adalah takdir dan ketentuan Tuhan. Semua telah tertulis dan termetrai. Sama-sama kita doakan rohnya berada dalam keadaan aman. Moga segalanya berkesudahan dengan tenang.

Dalam pada itu, jangan kita lupa untuk menelaah dan sama-sama mengambil pelajaran. Kita selak kembali lembar-lembar sejarah silam yang telah kita tempuhi. Apakah di sana ada dosa dan kesalahan. Atau mungkin ada silap dan kemaksiatan terhadap Tuhan.

Firman Allah Ta'ala :

وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير

Maksudnya : Apa juga bencana yang menimpa kamu adalah hasil usaha tangan kamu dan kebanyakannya diampunkan Allah. ( asy-syura : 30 )

Musibah dan fitnah yang menimpa ini, sedikit sebanyak mencalar kredibiliti Azhari. Ia tidak hanya terpalit pada yang sedang menuntut sahaja. Bahkan meliputi semuanya.

Saya juga sering dihujani pelbagai persoalan oleh teman-teman dan masyarakat tentang apa yang menimpa. Apa yang boleh diperkata hanyalah dua dunia. Mesir adalah bumi Anbiyak dan juga bumi Firaun laknatullah. Tapi bukan bermakna suspek digolong dalam golongan Firaun. Ia sekadar jawapan mematikan pelbagai persoalan.

Azhari hari ini, mungkin sudah banyak yang lupakan Ilahi. Mungkin juga ramai yang tidak lagi menjalankan amanah dan tanggungjawab membela agama. Sedar atau tidak. Mahu atau tidak. Kita adalah golongan yang Allah pundakkan amanah dan tanggungjawab mewarisi perjuangan Rasul tercinta.

Mungkin ini juga sekadar ujian dari Tuhan mahu menguji hambanya yang beriman. Mahu mengangkat darjat hamba-Nya.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah memberkati hidup kita. Memberi kekuatan buat kita menjalankan amanah dan tanggungjawab yang Allah berikan. Moga kita semua diberi kejayaan gemilang di dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: