" Serambi Ilham ": July 2007

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Sunday, July 29, 2007

Mentertawakan diri sendiri

Bismillah

Tanggal 23 Oktober 2003, antara detik-detik bersejarah buat diri apabila buat pertama kalinya menjejaki bumi Mesir. Selang dua minggu, saya dibawa ke kampus cawangan Tanta. Suatu pengalaman yang luar biasa dan amat menyeronokkan. Siapa sangka cita-cita dan impian menjadi nyata.

Menjalani hari-hari awal di bumi yang sangat asing, memang cukup mencabar. Pelbagai masalah dan rintangan dihadapi. Masalah komunikasi juga turut menghantui. Masyarakat umum menggunakan bahasa pasar sebagai lidah rasmi komunikasi mereka.

Suatu hari di kedai buku, ketika membeli pen.

لو سمحت, أريد قلم. موجود ولا؟

Saya kebingungan bila melihat penjual yang sedang kebingungan. Sebaik mungkin saya mengatur kata dan menyusun ayat agar permintaan dipenuhi. Tapi dia menjawab:

في إيه يا وله؟

Saya mengulangi permintaan tadi walaupun sebenarnya saya kurang faham dengan apa yang penjual tuturkan. Dia tersenyum-senyum dan rakannya bergelak kecil. Saya turut tersenyum juga.

Pernah juga di sebuah kedai ayam ketika berbual dengan seorang arab. (Tak tahu apa yang dibualkan sebenarnya. Macam ayam dengan itik berbual). Pada penghujung bicara, saya berkata:

أريد أن أذهب إلى الجامعة

Dia menjawab لا أفهم , Kemudian saya terus beredar.

Di pejabat tempat saya bekerja. Seorang teman berbicara dengan langgam yang agak baku pada kalimah "kecil" , "ambil". Semua tergelak (termasuk saya) dan mengajuk cakapnya. Masyarakat selalu menyebut "ambik", "kecik". Sebutan secara baku terasa kelakar dan janggal.

Menelaah situasi di atas, memperlihatkan yang kita adalah sama. Antara Melayu dan Arab, masing-masing tergelak bila mendengar tutur kata baku. Tanpa disedari, masing-masing memperlekeh dan mentertawakan bahasa dan diri sendiri. Apa sudah jadi......?

Wallahu a'lam

Friday, July 20, 2007

Terima kasih buat semua

Bismillah

Ripuh beberapa minggu kebelakangan ini disaluti tanggungjawab dan amanah yang perlu ditunai. Ada seronok, ada gembira dan kadang-kadang terselit juga keluhan letih letai. Alhamdulillah, banyak yang menyeronokkan dan mematangkan diri.

Usai pameran di Negeri Sembilan, berkampung seminggu di Angsana. Kemudian meneruskan langkah ke Kuala Lumpur dan baru kelmarin pulang dari Terengganu. Segalanya bagi mempromosikan Dinar Emas dan misi mengembalikan penggunannya.

Dalam tempoh permusafiran ini, langkah-langkah di Terengganu antara kenangan yang mempesonakan. Bukan hanya mek-meknya yang cung-cung belake, suasana dan persekitaran turut menggamit hati.

Suatu perkara yang membuat saya begitu teruja. Syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Maxis dan Digi, masing-masing menggantung kain iklan dalam tulisan jawi. Ia sangat menakjubkan. Terutama pada Maxis yang CEO-nya seorang berbangsa India. Bagi saya, ia mengagumkan. Saya menyangka tulisan jawi ini telah hancur jasadnya apabila jenazahnya pernah ditalkinkan dahulu dengan penghapusan tulisan jawi dalam kurikulum pendidikan kebangsaan dan pembatalan beberapa dasar berkaitan tulisan jawi. Kesannya, masyarakat bukan hanya buta jawi, tapi buta mengaji, buta iman dan buta mata hati.

Saya tidak menyangka bahawa tulisan jawi masih komersial di Terengganu. Dalam dunia yang dililiti tulisan roman dan bahasa inggeris, ia masih mampu bernafas segar. Alhamdulillah ia masih berdiri gagah dan utuh terutama di negeri pantai timur semenanjung Malaysia. Kalimah JOTUN ditulis dalam tulisan jawi. Boleh dikatakan 90% papan tanda bertulis dengan tulisan jawi hatta kedai-kedai orang cina. Hampir 90% juga peniaga dan sektor ekonominya dijana oleh kaum Bumiputera.

Itu kisah dari Terengganu. Dalam perjalanan pulang dari Negeri Sembilan pula, saya menerima satu panggilan dari pejabat polis daerah Kluang. Tanpa disangka-sangka, motor yang telah dua bulan hilang, berjaya ditemui. Alhamdulillah, syukur tidak terkata. Terima kasih tidak terhingga buat semua yang sama-sama berusaha mengembalikannya. Syukran kathiran atas doa semua dan tangan yang kalian tadahkan. Moga Allah cucuri rahmat buat kita semua.

Wallahu a'lam

Monday, July 09, 2007

Satu lagi jihad

Bismillah

Sengal-sengal juga rasa badan bila bangkit dari tidur. Rasa malas yang amat dicampur dengan rasa letih yang belum usai. Ikutkan rasa, tak mahu melangkah kaki ke tempat kerja. Penat telah membaluti seluruh tubuh. Semua ini gara-gara berkampung selama empat hari di Paroi, Negeri Sembilan.

Alhamdulillah buat pertama kali, tercatat dalam sejarah hidup, membuka gerai di tapak ekspo bersempena Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sembilan. Gerai menjual dan mempromosi Dinar Emas mata wang Islam yang telah terkubur semenjak 83 tahun lampau.

Walaupun sambutan agak hambar, ia tetap mencatat satu kenangan manis dalam hidup. Terdapat juga program yang memberi manfaat. Pada malam pertama, forum perdana telah diadakan. Antara panel yang hadir adalah Dr Syarifah Hayati. Malam kedua pula diadakan konsert. Pihak penganjur mengundang kumpulan nasyid Hijjaz dan Syifa’. Saya sempat bergambar dengan ahli kumpulan Hijjaz.

Sebut berkaitan artis, teringat saya satu kisah antara Mufti dan artis. Beberapa minggu lepas, sempat saya bertemu dengan seorang teman. Dia menceritakan bagaimana protes salah seorang penduduk kampung dengan bayaran yang diberikan kepada mufti yang memberi ceramah berkaitan Maulidur Rasul s.a.w. Orang kampung kata, mufti dah kaya. Kenapa perlu bayar mahal-mahal kepadanya. Kenapa dia tidak sedekahkan semua bayaran tu kepada pihak masjid?

Demikian antara luahan yang orang kampung berikan. Tapi saya menjadi bingung. Sepanjang saya hidup, belum pernah mana-mana pihak mempertikai sejumlah wang yang diberikan pihak penganjur kepada artis yang membuat persembahan. Adakah nilai ilmu itu lebih rendah berbanding nilai hiburan? Adakah manusia yang mengajar dan mendidik ummah lebih rendah martabatnya dengan mereka yang hanya melalaikan jiwa? Bukankah artis lebih kaya jika dibandingkan dengan mufti atau ustaz-ustaz biasa? Entahlah....

Sepanjang minggu ini, Dinar Emas akan berkampung di Angsana Johor Bahru. Siapa yang berkesempatan, bolehlah menghadirkan diri melihat bagaimana mata wang Islam dan mata wang dunia yang telah pupus ini. Bagi yang punya lebihan wang, amat elok kalau digunakan untuk membeli Dinar Emas. Nilainya tinggi dan sangat ampuh untuk dijadikan aset masa hadapan. Mari sama-sama kembalikan penggunaan Dinar Emas. Satu lagi jihad yang wajib kita sahut.

Wallahu a'lam

Sunday, July 01, 2007

Menayang barang berharga

Bismillah

Apakah dia barang berharga? Mungkin takrif dan pengertiannya berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Mungkin bagi individu A, pensil kontot 2B-nya adalah barang yang sangat berharga buat dirinya. Lain pula bagi individu B yang menganggap kereta mercedes benz brabos yang dibelinya dari Jerman adalah barang yang sangat berharga. Bagi individu C pula, komputernya adalah suatu yang sangat berharga. Tapi, apa yang pasti, ia suatu yang berharga dan bernilai tinggi.

Umumnya, barangan seperti emas, perak, mutiara, kereta mewah dan boleh dikategorikan suatu yang sangat berharga. Ramai yang berkejar-kejar untuk memilikinya. Ramai juga yang sanggup mencuri dan bergadai nyawa untuk mendapatkannya.

Bagi wanita, emas adalah suatu idaman dan lambang kemewahan. Suatu kebanggaan bagi mereka yang memilikinya. Emas juga bukan sekadar idaman wanita sahaja. Ia juga menjadi idaman semua pihak dan negara.

Dalam sebuah artikel dalam akhbar utusan pada tahun 2001 melaporkan bahawa Amerika Syarikat memiliki 17 juta tan metrik emas. Dalam perang yang melanda Vietnam suatu masa dahulu memperlihatkan ribuan rakyatnya melarikan diri ke negara jiran dengan membawa emas. Ini membuktikan yang emas adalah barang berharga bagi semua orang dan negara.

Apakah yang bermain difikiran anda bila emas berjongkong-jongkong ditayang di hadapan anda. Atau, beribu-ribu keping wang RM50 ditabur di hadapan anda.

Saya fikir, kedunguan yang nyata kalau kita tidak merebutnya atau paling tidak terasa geram mahu mendapatkannya. Pasti hati akan terdetik walau sekelumit cuma suatu perasaan mahu memiliki. Siapa yang tidak geram bila barang berharga ditayang di depan mata. Memang lumrah manusia yang telah Allah kurnia kehendak dan jiwa.

Sebab itu orang yang ada barang berharga umpama emas, kereta mewah atau sebagainya tidak berani menayang dan mempamerkannya. Ia akan disimpan dan dijaga dengan kemas.

Tetapi, ada juga manusia yang suka menayang barang berharga yang tidak ternilai harganya. Dia sangat suka menonjolkannya. Bahkan sangat bangga dan begitu gembira tanpa memikirkan risiko dan kesan buruknya.

Mereka suka menayangkan rambutnya yang ikal dan menarik perhatian. Mereka gemar menonjolkan buah dada. Mereka bangga mempamerkan bentuk badan yang memikat dan mempesona. Mereka gembira melunakkan suara yang manja dan mempesona. Walhal semuanya itu adalah harta yang sangat berharga. Tidak ada manusia mampu mencipta dan menganugerahkannya. Sebab itu Allah perintah agar ia dijaga dan dipelihara.

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ
أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;... (An-Nur : 31)

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Al-Ahzab : 32)

وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

...janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu... (Al-Ahzab : 33)


Oleh kerana itu, jangan marah kalau orang lain berlumba-lumba mengejar barang berharga kita. Bukan salah mereka. Semuanya kerana kita. Kita yang gemar menayangnya. Kita yang bangga mempamernya. Kita begitu gembira bila orang memandangnya.

Wallahu a'lam