Isnin, Julai 09, 2007

Satu lagi jihad

Bismillah

Sengal-sengal juga rasa badan bila bangkit dari tidur. Rasa malas yang amat dicampur dengan rasa letih yang belum usai. Ikutkan rasa, tak mahu melangkah kaki ke tempat kerja. Penat telah membaluti seluruh tubuh. Semua ini gara-gara berkampung selama empat hari di Paroi, Negeri Sembilan.

Alhamdulillah buat pertama kali, tercatat dalam sejarah hidup, membuka gerai di tapak ekspo bersempena Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sembilan. Gerai menjual dan mempromosi Dinar Emas mata wang Islam yang telah terkubur semenjak 83 tahun lampau.

Walaupun sambutan agak hambar, ia tetap mencatat satu kenangan manis dalam hidup. Terdapat juga program yang memberi manfaat. Pada malam pertama, forum perdana telah diadakan. Antara panel yang hadir adalah Dr Syarifah Hayati. Malam kedua pula diadakan konsert. Pihak penganjur mengundang kumpulan nasyid Hijjaz dan Syifa’. Saya sempat bergambar dengan ahli kumpulan Hijjaz.

Sebut berkaitan artis, teringat saya satu kisah antara Mufti dan artis. Beberapa minggu lepas, sempat saya bertemu dengan seorang teman. Dia menceritakan bagaimana protes salah seorang penduduk kampung dengan bayaran yang diberikan kepada mufti yang memberi ceramah berkaitan Maulidur Rasul s.a.w. Orang kampung kata, mufti dah kaya. Kenapa perlu bayar mahal-mahal kepadanya. Kenapa dia tidak sedekahkan semua bayaran tu kepada pihak masjid?

Demikian antara luahan yang orang kampung berikan. Tapi saya menjadi bingung. Sepanjang saya hidup, belum pernah mana-mana pihak mempertikai sejumlah wang yang diberikan pihak penganjur kepada artis yang membuat persembahan. Adakah nilai ilmu itu lebih rendah berbanding nilai hiburan? Adakah manusia yang mengajar dan mendidik ummah lebih rendah martabatnya dengan mereka yang hanya melalaikan jiwa? Bukankah artis lebih kaya jika dibandingkan dengan mufti atau ustaz-ustaz biasa? Entahlah....

Sepanjang minggu ini, Dinar Emas akan berkampung di Angsana Johor Bahru. Siapa yang berkesempatan, bolehlah menghadirkan diri melihat bagaimana mata wang Islam dan mata wang dunia yang telah pupus ini. Bagi yang punya lebihan wang, amat elok kalau digunakan untuk membeli Dinar Emas. Nilainya tinggi dan sangat ampuh untuk dijadikan aset masa hadapan. Mari sama-sama kembalikan penggunaan Dinar Emas. Satu lagi jihad yang wajib kita sahut.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: