Jumaat, Julai 20, 2007

Terima kasih buat semua

Bismillah

Ripuh beberapa minggu kebelakangan ini disaluti tanggungjawab dan amanah yang perlu ditunai. Ada seronok, ada gembira dan kadang-kadang terselit juga keluhan letih letai. Alhamdulillah, banyak yang menyeronokkan dan mematangkan diri.

Usai pameran di Negeri Sembilan, berkampung seminggu di Angsana. Kemudian meneruskan langkah ke Kuala Lumpur dan baru kelmarin pulang dari Terengganu. Segalanya bagi mempromosikan Dinar Emas dan misi mengembalikan penggunannya.

Dalam tempoh permusafiran ini, langkah-langkah di Terengganu antara kenangan yang mempesonakan. Bukan hanya mek-meknya yang cung-cung belake, suasana dan persekitaran turut menggamit hati.

Suatu perkara yang membuat saya begitu teruja. Syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Maxis dan Digi, masing-masing menggantung kain iklan dalam tulisan jawi. Ia sangat menakjubkan. Terutama pada Maxis yang CEO-nya seorang berbangsa India. Bagi saya, ia mengagumkan. Saya menyangka tulisan jawi ini telah hancur jasadnya apabila jenazahnya pernah ditalkinkan dahulu dengan penghapusan tulisan jawi dalam kurikulum pendidikan kebangsaan dan pembatalan beberapa dasar berkaitan tulisan jawi. Kesannya, masyarakat bukan hanya buta jawi, tapi buta mengaji, buta iman dan buta mata hati.

Saya tidak menyangka bahawa tulisan jawi masih komersial di Terengganu. Dalam dunia yang dililiti tulisan roman dan bahasa inggeris, ia masih mampu bernafas segar. Alhamdulillah ia masih berdiri gagah dan utuh terutama di negeri pantai timur semenanjung Malaysia. Kalimah JOTUN ditulis dalam tulisan jawi. Boleh dikatakan 90% papan tanda bertulis dengan tulisan jawi hatta kedai-kedai orang cina. Hampir 90% juga peniaga dan sektor ekonominya dijana oleh kaum Bumiputera.

Itu kisah dari Terengganu. Dalam perjalanan pulang dari Negeri Sembilan pula, saya menerima satu panggilan dari pejabat polis daerah Kluang. Tanpa disangka-sangka, motor yang telah dua bulan hilang, berjaya ditemui. Alhamdulillah, syukur tidak terkata. Terima kasih tidak terhingga buat semua yang sama-sama berusaha mengembalikannya. Syukran kathiran atas doa semua dan tangan yang kalian tadahkan. Moga Allah cucuri rahmat buat kita semua.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: