Ahad, Ogos 19, 2007

"10 ringgit boleh dik?"


Bismillah

Saya bangga menjadi anak Malaysia. Negaranya makmur, aman dan sentosa. Saya bangga menjadi anak Malaysia. Walaupun baru menjangkau 50 tahun usia kemerdekaannya, pelbagai kemajuan dapat dirasa. Saya bangga menjadi anak Malaysia. Hidup gembira, selalu ceria.

Tidak seperti Palestin yang selalu gegak gempita. Hidupnya caca marba dan menderita. Juga tidak seperti jiran negara kita, Indonesia, walaupun 10 tahun dahulu mengecap merdeka daripada kita, masih ramai yang miskin dan kedana. Juga tidak seperti rakyat Kemboja yang selalu murung, tidak gembira.

Alangkah bangganya yang kadang-kadang buat kita lupa. Hingga ternafi dan terpadam kehebatan orang lain. Kitalah yang paling hebat dan gagah perkasa. Kita juga terlalu bangga hingga orang lain sering kita tertawa. Walhal, kita semua sama.

Perjalanan daripada KL ke JB, setelah usai Alumni MPR, merakam beberapa peristiwa mendidik jiwa. Saya bertanya penjual tiket di kaunter, adakah bas ini berhenti di perhentian bas Ayer Hitam? Dia menjawab 'ya.' Ketika hendak menaiki bas, saya bertanya sekali lagi dan dia menjawab dengan jawapan yang sama.

Semasa berhenti rehat di hentian Yong Peng, saya bertanya kepada pemandu bas, adakah dia akan berhenti di hentian bas Ayer Hitam. Dia menjawab tidak. Dia hanya berhenti di tol Ayer Hitam. Memang saya telah jangka, itulah jawapannya. Saya hanya mampu tersenyum tawar.

Perjalanan daripada Kaherah ke Tanta pula, suatu masa dahulu, seorang penumpang sebelum menaiki Tranco bertanya kepada pemandu. Adakah dia akan ke Benha. Pemandu menjawab 'ya.' Namun akhirnya mereka bertekak ketika dalam perjalanan. Si pemandu tidak pun ke Benha dan terus memandu ke Tanta.

Rupanya perlakuan kita sama dengan segilintir orang Mesir yang masih mundur dan belum maju macam kita.

Semasa saya menuruni tangga di hentian Puduraya menuju ke kawasan pejalan kaki untuk menunggu teksi, ada seorang menyapa, bertanya mahu ke mana. Saya menjawab mahu ke Dewan Bahasa.

"15 ringgit boleh dik?"

"Mahalnya bang. Tak pa lah."

"10 ringgit, boleh?"

Saya terus membawa langkah. Tambang ke Dewan Bahasa hanya RM4 sahaja. Kenapa dia tawar harga tinggi yang mencekik darah? Memang serupa dengan kebanyakan pemandu teksi Mesir yang negaranya masih belum maju macam kita.

Gambar ramai-ramai Alumni MPR


Wallahu a'lam

Tiada ulasan: