Isnin, Oktober 29, 2007

Apa yang perlu dihairankan?

Bismillah

Semalam, cuti hujung minggu, saya menonton drama di TV2 bertajuk “Selamat Hari Raya Hoshimiroku”. Sebuah drama yang tidak kurang menarik. Ia menceritakan bagaimana ibadah Ramadan dan hari raya Aidilfitri disambut ketika penduddukan Jepun di Tanah Melayu.

Walaupun plot dan perjalanan ceritanya agak perlahan dan kurang mempesona, drama ini sedikit sebanyak menggambarkan suasana ibadah Ramadan dan hari raya di bawah cengkaman Jepun yang cukup memeritkan. Pemergian jemaah ke masjid dan surau-surau bagi melaksanakan solat sunat tarawih, dipantau dan dikawal dengan begitu ketat. Setiap kali bersua muka dengan Tuan Besar, jemaah perlu menundukkan kepala tanda hormat.

Makanan, minuman dan keperluan asas lain, sukar diperolehi. Bersahur dan berbuka dengan ubi rebus bersama ikan kering itupun sekiranya ada. Penduduk bertungkus-lumus mencari sesuap ubi. Merayu dan memohon simpati pada Tuan Besar.

Aidilfitri disambut ala kadar. Tiada kemeriahan kanak-kanak bermain bunga api. Mahu mencari buluh lemang, juga sukar. Bukan tiada bekalan. Tetapi terhalang dengan syarat dan sekatan yang Jepun berikan. Mahu memasang pelita, bekalan minyak tanah pula tiada. Mahu mengadakan takbir di surau dan dari rumah ke rumah juga memerlukan keizinan dari Tuan Besar. Segala pergerakan dikawal ketat. Bertakbir hari raya bersama askar Jepun dengan senjata dan berpakaian seragam lengkap.

Demikian apa yang dipaparkan dalam drama tersebut yang mungkin hanya 10 peratus atau kurang dari itu berbanding dengan apa sebenarnya yang telah berlaku. Kerana, datuk, nenek dan ada kalangan saudara-mara saya yang pernah merasai keperitan duduk di bawah jajahan Jepun. Mereka menceritakan yang pemerkosaan gadis berluasa. Pelbagai sekatan dan syarat dibuat yang semuanya menekan orang Melayu. Mereka tidak dibenarkan menukar tanaman kepada tanaman getah. Walhal hasil getah pada ketika itu memberi pulangan lumayan. Pelbagai barang keperluan asas disekat. Penyiksaan yang amat sadis terhadap orang Melayu yang enggan menurut perintah Jepun. Rakyat tidak dibenarkan mendengar radio. Dan pelbagai lagi perihal yang menyayat hati.

Kita diperlakukan seperti hamba di tanah dan bumi milik kita sendiri. Kita disekat daripada mengurus dan mentadbir tanah air sendiri. Ilmu dan penyediaan modal insan, tidak dihiraukan penjajah. Kita dihalang daripada membina dan mengecapi sebuah tamadun yang unggul dan gah di mata dunia.

Alangkah manisnya jiwa, andai kisah dan drama umpama ini, sering dipertontonkan. Ia bakal mengalirkan beribu keinsafan yang akan menyerap ke dalam setiap rongga tubuh. Sejarah perlu diketahui. Ia harus diteliti dan dikaji. Sejarah bila sering dipaparkan dan diteladani, ia akan mengundang beribu kebaikan. Kita akan mengenal diri dan mengambil pengajaran daripadanya. Ia bakal membuka mata hati. Ia akan memberitahu betapa bertuahnya hidup yang kita nikmati hari ini. Insya-Allah masyarakat akan menjadi manusia yang paling bertakwa.

Namun sayang, hedonisme lebih merajai jiwa dan mentaliti kita pada hari ini. Cerita-cerita dan drama-drama berbentuk hiburan semata-mata, memenuhi tiap detik dan waktu kita. Maka, apa yang perlu dihairankan bila jati diri semakin hilang? Gejala sosial semakin menjadi-jadi dan jenayah semakin membimbangkan. Habis roboh institusi masyarakat. Sama-samalah kita buka minda, singkap tirai hati yang tertutup.

Wallahu a'lam

Rabu, Oktober 17, 2007

Setelah keluar daripada madrasah ramadhan, dimanakah kedudukan hati kita?

Bismillah

وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ ‏ ‏مُضْغَةً ‏ ‏إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ .....

....Sesungguhnya di dalam jasad ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ia adalah hati.

Tanda-tanda hati yang sejahtera

1) Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.
2) Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.
3) Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.
4) Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.
5) Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.
6) Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.
7) Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.

Tanda-tanda hati yang rosak

1) Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.
2) Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
3) Mersa seronok bergelumang dalam dosa.
4) Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.
5) Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
6) Benci kepada orang-orang solih atau mereka yang suka melakukan kebaikan.
7) Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.
8) Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.
9) Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikitpun tidak takut kepada Allah.
10) Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.

Penyakit hati

1) Nifaq dan riya(menunjuk-nunjuk).
2) Bersangka buruk, mengumpat, menghina, subahat pada yang haram dan ragu-ragu.
3) Hasad dan dendam kesumat.
4) Sombong, bangga diri dan ego.
5) Bohong dan berputus asa.
6) Cinta mendalam kepada selain Allah.
7) Ikut hawa nafsu.
8) Keras hati (kerana tidak duduk dalam majlis ilmu).
9) Takut kepada selain Allah.
10) Belot dan khianat.
11) Suka memaki hamun orang lain.
12) Bergelumang dengan perkara dunia dan menjadikannya sebagai matlamat hidup.
13) Tidak ada perasaan baik kepada orang lain.

Kaedah rawatan penyakit hati

a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.
b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.
c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.
d) Khusyuk dalam solat.
e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.
f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.
g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.
h) Beriktikad dengan akidah yang betul.
i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.
j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.
k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.
l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.
m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.
n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.
o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.
q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang solih yang boleh dijadikan teladan.

Setelah keluar daripada madrasah ramadhan, dimanakah kedudukan hati kita?

Wallahu a'lam

Rabu, Oktober 10, 2007

Suatu yang pasti

Bismillah

Suatu yang pasti, kehidupan di dunia ini terus berjalan dan melangkah ke hadapan. Hari demi hari yang dilalui, menyusuri denai-denai menuju kehidupan masa hadapan. Walaupun ramai yang berangan ingin kembali semula ke belakang, belum ada lagi manusia yang mampu merealisasikannya. Kehidupan akan terus berjalan dan kadang-kadang tanpa disedari, ia berlari begitu laju.

Suatu yang pasti juga, hari-hari yang penuh kemulian, rahmat dan keampunan dari Allah Maha Pengasih dan Penyayang, beberapa detik lagi, akan menemui penghujung. Saat-saat manis dan detik-detik indah di bawah lembayung istimewa Allah Ta’ala, akan menjadi kenangan dan sejarah. Apakah saat manis umpama ini akan berulang kembali. Masihkah punya peluang mengecapinya di tahun hadapan? Moga kita bertemu kembali Ramadhan al-Mubarak.

Beruntunglah mereka yang memanfaatkan masa dan anugerah yang Allah kurnia. Amat rugi bagi mereka yang mensia-siakan pemberian istimewa dari Pencipta Yang Maha Esa.

Salam lebaran buat semua. Salam kemenangan atas perjuangan melawan segala cabaran dalam bulan penuh mulia. Mohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kuku.

"Taqabballahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"

Eid Mubarak. Minal ‘a’idiin wal faiziiin. Kullu ‘am wa antum bi khair.


Wallahu a'lam

Selasa, Oktober 02, 2007

"Janganlah Kau siksa dirinya"

Bismillah

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Pada hari itu Kami kunci rapat mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Yasin:65)

Bagaimanakah situasi kita di hadapan Allah Taa'la ketika ditutup rapat mulut kita. Tangan dan kaki kita menjadi saksi di atas apa jua yang telah kita lakukan.

Semasa di dunia, lidah kita boleh berbicara memadam dan menolak apa jua tujahan pada diri. Walaupun tangan mencuri, kaki melangkah ke disko, mulut masih mampu menafikannya. Tetapi, di hadapan Allah kelak, mulut terkunci mati. Tangan dan kaki menjadi saksi yang paling jujur. Apakah yang akan kita bentangkan di hadapan Allah nanti? Tidak malukah kita dengan noda yang tiada noktah. Saban hari, nilainya semakin bertambah.

Oleh itu, peluang dan ruang yang Allah kurnia di sepuluh malam terakhir ini, jangan kita lepaskan. Moga di hadapan Yang Maha Agung nanti, ketika tangan dan kaki menjadi saksi kedurhakaan kita pada Allah, datang amalan kita membela diri. "Ya Allah, janganlah Kau seksa dirinya. Tangannya ini telah mengangkat takbiratul ihram di sepuluh malam terakhir ramadhan dan kakinya berdiri teguh mengharap keampunan-Mu ya Allah."

Sabda Nabi s.a.w

“Carilah Lailatul Qadar pada hari ganjil di sepuluh malam terakhir dari Ramadhan”.
(HR al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Fadli Lailatil Qadri, hadith no:2017)

Aisyah RA memberitahu bahawa:

Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa melakukan I’tikaf pada sepuluh yang terakhir daripada Ramadhan sehingga Allah mewafatkan baginda.” (HR al-Bukhari dalam Sahihnya, kitab al-I’tikaf, hadith no: 2026).

Wallahu a'lam