Jumaat, November 16, 2007

"Patut la orang Cina kaya."

Bismillah

“Patut la orang Cina kaya. Kita selalu kena tipu dengan dia.”

Kebanyakan barang kemas di pasaran, piawaian dan jenis karatnya, tidak sama dengan apa yang tertulis. Rantai emas contohnya, pada gancunya tertulis 916 atau 22k. Apabila diteliti dan dikenalpasti semula menggunakan dencimeter atau asid, mungkin hanya gancunya sahaja yang menepati piawaian emas 916. Bahagian lainnya mungkin jenis 875, 835 atau sebagainya. Walhal, rantai emas tersebut keseluruhannya dijual pada harga emas 916.

Mungkin kerana itu, terhasil dialog sebagaimana di atas kerana kebanyakan peniaga emas adalah warga Cina. Mudah kata, ramai Cina yang kaya hasil taktik perniagaan yang licik ini. Tambah kukuh lagi bila ramai orang mengadu terutamanya Melayu yang ditipu bila barang kemas mereka dipajak di kedai Cina. Antaranya, tanpa disedari, kadang-kadang diambil barang segram dua dari rantai misalnya.

Demikian kesimpulan yang mudah. Mereka kaya hasil taktik perniagaan yang licik. Memang ada benarnya jika melihat sekitar realiti yang berlaku. Bukan itu sahaja, kadang-kadang perjanjian yang ditulis dalam surat gadai juga, berat sebelah ditambah kadar bunga yang tinggi.

Itu pajak gadai, belum lagi perniagaan yang lain. Bila diteropong dan diperhati, ramai juga yang mengadu ditipu. Ini suatu kenyataan. Lihatlah di luar sana. Ramai yang menjadi saksi.

Namun, benarkah ia semudah itu? Pasti ramai yang sudah kaya andai ia semudah itu. Kerana ramai kalangan masyarakat kita yang licik dan bijak menipu. Bukan hanya Cina, Melayu juga tidak kurang hebat menipunya.

Rakan sekerja saya, majikan lamanya warga keturunan Cina. Sambil makan tengah hari, ada juga dia selitkan kisah pengalamannya bekerja di bawah majikan Cina dan sesekali ada juga dia mengkritik sikap orang Melayu.

Orang cina, hampir semuanya sangat tekun berusaha. Konsisten dalam bekerja. Mereka juga sangat berdisiplin. Sabar dan ada matlamat yang tinggi. Berani dan sanggup menanggung risiko. Mereka sangat memahami bahawa tidak ada jalan pintas untuk kaya dan berjaya. Bukan semata-mata kerana mereka bijak menipu. Licik dalam perniagaan. Mereka ada aturan yang dipegang kuat. Punya strategi yang ampuh. Budaya kerja yang baik.

Ertinya, ingin berjaya atau kaya, tiada satu pun jalan pintas. Bukan dengan menipu atau menyertai skim cepat kaya. Mahu atau tidak, seribu satu mehnah yang perlu ditempuh.

Allah berfirman di dalam surah al-Ankabut, ayat 2 dan 3:

Maksudnya : Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
[3] Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Allah berfirman lagi dalam surah al-Baqarah ayat 214:

Maksudnya : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Wallahu a'lam

1 ulasan:

farhan berkata...

kite perlu contohi semangat n sikap org cina yang bersatu padu tanpa mengira fahaman politik, agama n budaya, asalkan die keturunan cina tak kira lahir di m'sia, indonesia, mahupun china, dorg akan tetap bersatu...

ttg pajak gadai, adalah diharapkan org islam membuat dibank rakyat terdekat dibawah skim ar-rahnu atau di kaunter2 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia....lebih telus dan lebih jelas...