" Serambi Ilham ": February 2009

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Saturday, February 21, 2009

Mengenyangkan perut

Bismillah

Seronok metah ketika membaca kisah Amirul Mukminin Umar al-Khattab r.a.

Suatu ketika Utbah bin Farqad, gabenor Azerbaijan ditawarkan makanan oleh rakyatnya. Dengan senang hati, dia menerimanya dan segera menjamah makanan itu. Kemudian dia menguntum senyuman.

Subhanallah! Betapa manis dan enaknya makanan ini. Kalau makanan ini dikirim kepada Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab di madinah, tentunya beliau rasa gembira.

Kemudian Utbah memerintahkan rakyatnya membuat makanan tersebut dengan lebih enak dan setelah tersedia, dia mengarahkan anak buahnya membawa makanan tersebut kepada Khalifah Umar.

Dua utusan segara berangkat ke Madinah. Mereka menyerahkan makanan khas Azerbaijan itu kepada Umar ibn al-Khattab. Khalifah segera membuka dan merasanya.
"Makanan apa ini?" Tanya Umar
"Makanan ini namanya 'habish'. Makanan paling lazat di negeri kami." Jawab mereka.
"Apakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?" Tanya Umar lagi.
"Tidak. Tidak semua dapat menikmatinya," jawab utusan itu gugup.

Wajah khalifah langsung merah petanda sedang marah. Beliau segera memerintah kedua-duanya utusan itu supaya membawa kembali 'habish' ke negerinya. Kepada gabenornya beliau menulis surat,

"...makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu."

Indahnya hidup andai semua pemimpin kini, akhlaknya seperti Umar. Suatu yang menakjubkan dan membanggakan.

Di Malaysia, suatu yang menakjubkan juga apabila suatu kerajaan yang baru merampas kuasa, mengumumkan perlantikan 3 orang penasihat dengan taraf exco. Dengan demikian, kerajaan bakal menangung RM720 ribu setahun hanya untuk 3 orang penasihat ini dan elaun bajunya sahaja mencecah RM3500.

Hari-hari, perjalanan saya ke tempat kerja. Saya melewati beberapa buah motosikal buruk yang tidak cukup sifat. Kadang-kadang hampir terlanggar kerana tiada lampu belakang. Hari-hari juga saya melihat seoarang bapa membonceng 3 orang anaknya menaiki sebuah motosikal buruk. Hari-hari juga saya melihat anak-anak pelajar berhimpit-himpit menaiki bas untuk ke sekolah. Hari-hari juga saya melihat anak-anak pelajar yang baju sekolahnya tidak dimasukkan dalam. Bukan kerana melanggar peraturan. Tetapi kerana masih memakai baju tingkatan satu walhal susuk tubuhnya semakin membesar. Bajunya singkat dan cuma seketika sahaja mampu dimasukkan dalam. Setelah bergerak dan melakukan aktiviti, bajunya terkeluar semula.

Nikmatnya seorang pemimpin mengecapi RM3500 membeli pakaian, sedang ramai anak-anak pelajar tingkatan 5 di sekolah, masih memakai baju tingkatan 1.

Wallahu a'lam