Isnin, Disember 27, 2010

Bunyi-bunyian (I)

Bismillah

Bunyi-bunyian adalah elemen penting dalam kehidupan. Rasulullah s.a.w menerima wahyu Allah SWT juga melalui elemen bunyi-bunyian. Baginda Muhammad s.a.w menyampaikannya kepada para sahabat juga menerusi elemen bunyi-bunyian. Rasulullah mengajar setiap ayat al-Quran juga melalui elemen bunyi-bunyian.

Firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: Apabila kami Telah selesai membacakannya Maka ikutilah bacaannya itu.
(Surah al-Qiyamah: 18)

Setelah sahabat Junjungan Besar Muhammad s.a.w mendengar ayat-ayat tersebut, menghafaz dan mahir membacanya, barulah ia dipindahkan kepada paparan dan medium yang boleh dilihat. Pada saat itu, mereka hanya menggunakan medium berbentuk tulang, pelepah tamar dan pelbagai sumber alam lain yang terdapat di sekitar mereka.

Elemen bunyi-bunyian juga diadaptasi Baginda Muhammad s.a.w dalam usaha menyampaikan dakwah islamiah. Baginda menyampaikan ceramah, syarahan, khutbah dan pelbagai ajaran islam adalah melalui elemen bunyi. Hadis-hadis Baginda Muhammad s.a.w yang sampai kepada kita pada hari ini dengan pelbagai medium percetakan mahupun elektronik adalah asal pengriwayatannya melalui medium bunyi-bunyian. Malahan Rasulullah s.a.w melarang para sahabat menulis selain daripada al-Quran semasa penurunannya belum sempurna sebagai langkah pencegahan daripada berlaku kekeliruan dikalangan umat islam. Baginda sangat khawatir andai tutur kata, perbuatan dan taqrir baginda disalah anggap sebagai wahyu kalamullah.

Seterusnya bila diteliti perjalanan dakwah dan ilmu islam semenjak kelahiran Junjungan Besar Muhammad s.a.w hingga ke saat ini, elemen bunyi-bunyian begitu memainkan peranan yang amat besar. Peranannya bertambah besar pada saat dan ketika ini apabila masa semakin jauh daripada kehidupan Junjungan Besar Muhammad s.a.w. Pada saat dan ketika ini, Rasulullah s.a.w sudah tiada lagi bersama kita. Tiada jasad Baginda yang berdiri mengajar dan berdakwah melainkan ajaran dan ilmu warisan baginda.

روى أبو داود والترمذي وابن ماجه وابن حبان في صحيحه وغيرهم أن النبي صلى الله عليه وسلم قال في ضمن حديث طويل:" إن
العلماء ورثة الأنبياء وإن الأنبياء لم يورِّثوا دينارًا ولا درهمًا، إنَّما ورَّثوا العلم، فمن أخذَه أخذ بحظٍّ وافر".

Maksudnya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris anbiya. Dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sesungguhnya mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya, dia telah mengambil suatu keuntungan yang melimpah ruah. (HR Abu Daud, Turmuzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dalam sohihnya dan lain-lain)

Kita tidak pernah melihat. Kita juga tidak pernah menyaksikan apatah lagi mendakap batang tubuh insan mulia bernama Muhammad s.a.w. Kita hanya mendengar dan pendengaran itu sudah pastinya melalui elemen bunyi-bunyian. Bahkan, kita adalah golongan yang dirindui Baginda Muhammad s.a.w.

بكى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال له أصحابه ما يبكيك يا رسول الله ؟ قال: اشتقت الى اخوانى , قالوا أولسنا أخوانك يا رسول الله؟ قال: لا أنتم أصحابى, أما اخوانى فقوم يأتون من بعدى يؤمنون بى ولم يرونى

Maksudnya: Telah menangis Rasulullah s.a.w. Bertanya sahabat kepada Baginda: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Aku merindui saudara-saudaraku.” Mereka berkata: “Bukankah kami saudara-saudaramu wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak. Kalian adalah sahabat-sahabatku. Adapun saudara-saudaraku mereka adalah suatu kaum yang datang selepasku dan beriman kepadaku, tetapi mereka tidak pernah melihatku. ”

Wallahu a'lam

Sabtu, Disember 04, 2010

Terima kasih Cikgu

Bismillah

Semasa kami sama-sama belajar di tingkatan tiga dahulu, kami ada seorang cikgu bernama Katijah. Suatu masa dahulu, sekolah kami, tiada guru pakar. Pihak sekolah terpaksa memanggil guru pakar dan mahir daripada sekolah menengah aliran biasa. Sebagaimana maklum, kami cuma sekolah agama rakyat yang serba-serbi kekurangan.

Cikgu Katijah adalah guru matematik kami. Beliau memang pakar dan mahir dalam matematik. Cuma kami (terutama saya) tidak memanfaatkan kepakarannya. Asbab demikian, matematik sekadar D dalam PMR dan mendapat 'cermin mata' dalam SPM.

Cikgu Katijah seorang guru yang agak banyak bersuara dan boleh dikatakan becok juga. Beliau sering menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap kami. Antaranya, kenapa pelajar sekolah arab sekadar memenuhi pasaran Jabatan Agama, guru dan beberapa bidang yang kecil sahaja. Kenapa tidak pergi ke bidang dan lapangan yang lebih luas dan pelbagai. Demikian suara Cikgu Katijah. Kadang-kadang, beliau seperti memperlekeh dan merendahkan kami sebagai anak-anak SAR. Asbab kata-kata dan kritikan beliau, membawa kami mengkritik dan mengata beliau juga kerana geram. Kadang-kadang beliau sekadar mengenakan anak tudung yang diikat separas leher sahaja. Itulah isi penting dan kesalahan utama yang menjadi buah bicara kami.

Semua yang di atas, telah lama berlalu. Kadang-kadang menangis dan kadang-kadang tersenyum ketika mengenang sejarah kehidupan. Namun, tanpa saya sedari, kata-kata, teguran, sindiran dan pelbagai lontaran Cikgu Katijah, rupa-rupanya sangat berbekas dan memberi kesan kepada diri.

Atas dasar menyahut cabaran dan membela maruah anak-anak SAR, saya bernekad dan bercita-cita membuktikan kepada masyarakat bahawa anak-anak SAR bukan sekadar jadi ustaz semata. Oleh itu, saya memberanikan diri, buat pertama kali dalam sejarah hidup, setelah pulang daripada al-Azhar, saya menceburkan diri dalam sektor koporat. Saya tolak tawaran bekerja di Majlis Agama dan saya menerima tawaran sebagai Eksekutif Pemasaran di Syarikat KPMJ Gold Sdn. Bhd.

Sungguh besar rintangan dan cabarannya. Suatu bidang yang tidak pernah saya susuri dan ceburi. Tiga belas bulan saya bekerja di sana. Oleh kerana jiwa saya membuak-buak dan meronta-ronta ingin sering bercakap di khalayak, saya mengambil keputusan mengajar di sekolah lama sehingga saat ini.

Di sekolah lama, saya rasa selesa, suasana mendokong dan membantu saya memperkemas kembali apa yang pernah dipelajari di universiti. Anugerah yang amat besar bila saya dapat mengingat kembali pelbagai perkara yang telah lama ditinggalkan dan lupa. Anugerah yang tidak ternilai juga bila saya dapat berkongsi dan mencurah bakti untuk anak bangsa. Dalam masa yang sama, saya masih punya cita-cita dan impian menyahut cabaran Cikgu Katijah. Walaupun saya telah masuk bidang yang beliau kritik dan persoal, azam saya masih tersemat dalam.

Alhamdulillah, takdir dan kuasa Allah, meletakkan saya dan beberapa rakan di kalangan ustaz dan berpendidikan agama, pada satu program pengajian sarjana dalam bidang dan disiplin yang merentasi sempadan. Program yang pertama seumpamanya di Malaysia, kami di wajibkan membuat kajian mengenai isu sains halal dan ia akan membawa kami menelaah sains, teknologi dan kajian makmal. Saya sendiri mengambil tajuk Tindak balas sistem metabolisme tubuh terhadap makanan ubahsuai genetik. Tajuk yang bukan dalam disiplin dan bidang saya.

Walau apa pun, saya bersyukur. Mudah-mudahan Allah bantu dan berkati kami semua. Bukan kami mahu nama, cuma mahu islam gemilang semula. Sejarah telah membuktikannya. Sarjana silam, pakar bidang syariah, fekah, usuluddin, al-Quran dan pelbagai lagi yang khusus dalam nilai ajaran islam, dalam masa yang sama, secara serentak, mereka juga pakar botani, perubatan, astronomi dan pelbagai bidang lagi.

Terima kasih Cikgu Katijah yang telah membuka minda dan kotak fikir saya. Moga Allah berkati sekalian guru saya. Amin...

Wallahu a'lam

Sabtu, November 27, 2010

Kelebihan coca-cola

Bismillah

" Fakta seperti yang tersenarai dibawah adalah kajian santifik yang dibuat oleh ahli sains kesihatan/sosial di USA dan Britain serta laporan dari seluruh dunia mengenai minuman ringan Coke : Coca Cola.

Di dalam kebanyakan negeri di US , kereta peronda lebuhraya akan dimuatkan 2 gallon Coke untuk menghilangkan kesan darah di jalanraya apabila berlaku kemalangan. Cam pasukan SMART dan bomba kita tu, Harzadous Team. Cuba tanya Plus Ronda atau Polis Lebuhraya, adakah mereka guna? Anda di rumah diharap dapat mencuba kajian ini :

1. Masukkan tulang dalam satu mangkuk yang diisi Coke, ia akan hancur atau hilang sama sekali dalam masa 2 hari. Elok untuk yang berniaga sup tulang!

2. Untuk mencuci tandas : Masukkan setin air Coke dalam tandas dan biarkan selama 1 jam dan kemudian 'flush'. Kesan kotoran/hampas akan hilang dari tindakan 'citric asid' yang berada dalam Coke. Satu bahan gantian untuk mencuci kalau sabun dah habis! Rasa-rasa buat sabun badan boleh tak?

3. Untuk menghilangkan kesan karat dari bumper kereta jenis chrome : Lap bumper dengan aluminium foil yang dicelup dengan Coke. Kesannya karat hilang!

4. Untuk menghilangkan kesan 'corrosion' atau hakisan pada skru/nat bateri kereta : Tuang saja setin Coke pasti kesan hakisan hilang serta merta.

5. Untuk melonggarkan skru yang berkarat dan ketat : Sekali lagi tuang setin Coke, skru tersebut pasti longgar dan boleh dibuka.

6. Untuk menghilangkan kesan minyak/lekit dari pakaian : Tambahkan setin Coke dalam mesin basuh bersama sabun pencuci dan basuh macam biasa. Kesan minyak tu pasti hilang. Kemudian bolehlah minum air basuhan tadi berperisa coke.

7. Cermin kereta anda berdebu/kotor/ melekit ? Celup tuala dengan Coke dan lap.Pasti bersih. Tak payah guna tin sembur cuci cermin cam jual di Yawata tu kerana ianya amat mahal!

8. Bahan aktif Coke adalah phosphoric asid. Ia mempunyai pH 2.8. Ia boleh meleburkan sebatang paku dalam masa 4 hari. Kilang Perwaja/besi mesti suka ni!
Asid tersebut juga menghakis kekuatan tulang belakang dan tulang lain dalam badan yang merupakan punca utama kearah penyakit osteoporosis.
Sila lihat lori yang membawa air sirap Coke dalam lori tangki,[ bukan lori yang bawa Coke siap dalam botol/tin] pasti dilengkapi dengan tanda amaran "Bahan Kimia Bahaya" atau"Bahan Penghakis : bahaya". Lori tangki itu juga diselaputi bahan penghakis hakisan untuk mengelak lori tu dihakis. . Tolong jangan letak/parking kereta berhampiran lori tangki yang ada tanda amaran tu, silap-silap tengah bawak kereta, putus 2 sebab hakisan/karat.


9. Para pengedar minuman Coke telah menggunakannya untuk mencuci bahagian enjin lori/trak mereka sejak 20 tahun. Wahh...mesti buat overhaul ni!

10. Kandungan gulanya 18 sudu cawan teh satu tin Coke. Cuba try bancuh kopi/teh dengan 18 sudu gula tu kat rumah dan minum mesti termuntah

Wallhu a'lam

Rabu, November 17, 2010

Umar al-Khattab akur dengan kehendak rakyatnya.

Bismillah

Menurut keterangan Ibnu Hazmi dalam kitab al-Mahalli, rumah Abbas berada di sebelah Masjid Madinah. Umar al-Khattab ingin membesarkan masjid kemudian berkata kepada Abbas: "Juallah rumahmu itu kepadaku."

Abbas tidak mahu menjualnya kemudian Umar berkata: "Kalau begitu, wakafkan sahaja." Abbas masih enggan juga. Umar berkata lagi: "Kalau begitu, biar kubesarkan masjid ini dengan mengambil rumahmu dan engakau boleh tinggal di dalam masjid." Abbas tetap enggan.

Umar berkata: "Engakau mesti memilih salah satu yang tiga itu." Abbas tetap menunjukkan keengangannya. Umar berkata lagi: "Kalau begitu, carilah orang yang boleh mengadili persengketaan kita ini."

Abbas memilih Ubai bin Ka'ab menjadi hakim. Ubai berkata kepada Umar: "Engkau tidak boleh mengambil rumahnya tanpa persetuj uannya."

Umar kurang puas dengan keputusan itu dan berkata kepada Ubai: "Apakah keputusan yang engkau berikan ini ada dijumpai dalam al-Quran atau hadis?"

Ubai berkata: "Ya, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Nabi Sulaiman bin Daud ketika membangun Baitul Maqdis, roboh dindingnya setiap kali baginda membinanya. Akhirnya Allah s.w.t mewahyukan kepadanya supaya jangan membangun masjid di tanah orang sehingga pemiliknya setuju."

Mendengar yang demikian, Umar membatalkan hasratnya mengambil tanah Abbas. Tetapi setelah Abbas menang dalm perkara itu, beliau mewaafkan tanah tersebut untuk pembangunan masjid.

Moga kisah ini menjadi tauladan dan iktibar buat kita semua.

Wallahu a'lam

Sumber: Umar Ibnul Khattab, keputusan hukum dan fatwa-fatwanya. Abdul Aziz al-Hallawi. Cetakan darunnu'man.

Isnin, November 08, 2010

Karaoke menjejas kesihatan

Bismillah

Menjadi budaya yang amat buruk bagi rakyat Malaysia apabila merakyatkan karaoke dalam majlis-majlis walimah. Ia memberi kesan yang amat besar terhadap orang yang menyanyi, pendengar, makanan dan minuman yang dihidang dan pelbagai lagi. Tahukah kita, gelombang bunyi yang melebihi 14 Hz dan kekuatan bunyi melebehi 20 dB sangat memberi impak terhadap sistem tubuh apabila ia diperdengarkan secara berterusan.

Bunyi-bunyian seperti ini akan mengakibatkan
a. Peningkatkan pergerakan usus, meningkatkan tekanan darah, meningkatkan paras glukos darah dan meningkatkan paras lipid darah
b. Menyebabkan ulser peptid
c. Menurunkan keupayaan melakukan sesuatu pekerjaan
d. Menyebabkan dengung pada telinga
e. Menyebabkan keletihan
f. Meningkatkan stress (tegasan)


Paras bunyi dB(A) Punca Bunyi
140 -------------- Pelancaran roket
130 -------------- Pemotongan Pneumatik
120 -------------- Music Rock / Disko, Gergaji mesin (1m)
110 -------------- Jet terbang (jarak 300m),Traktor ladang
100 -------------- Jack Hammer (jarak 7m),Motosikal (jarak 8m),Truk berat (jarak 13m)


90 ---------------- Isyarat Keretapi (jarak 150m)
Pengisar makanan
Jam loceng
Pembasuh baju

80 ---------------- Ramai menaip
Enjin kereta
Penyedut hampagas

70 ----------------- Jalanraya kurang kenderaan
Meninggi suarau pada jarak 4 m

60 ----------------- Pejabat tidak ramai menaip

50 ----------------- Berbisik-bisik

0 ------------------ Ambang pendengaran

Wallahu a'lam

Rabu, Oktober 27, 2010

Empat

Bismillah

قال النبى (ص) : ((أربع من أعطيهن فقد أعطى خير الدنيا والآخرة : قلبا شاكرا، ولسانا ذاكرا، وبدن على البلاء صابرا، وزوجة لا تبغيه حوبا فى نفسه ومالة.

Rasulullah saw bersabda: “Ada empat perkara, sesiapa yang dianugerahkannya, maka dia telah dianugerahkan kebaikan dunia dan akhirat iaitu hati yang sentiasa bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir, badan yang sentiasa sabar menghadapi cubaan kehidupan dan isteri yang tidak melakukan kejahatan pada suami dan hartanya”.
(HR Imam Thabrani daripada Ibnu Abbas r.a.)


قال النبى (ص) :أربع من سعادة المرء‏:‏ أن تكون زوجته صالحة، وأولاده أبرارا، وخلطاؤه صالحين، وأن يكون رزقه في بلده‏.‏

Rasulullah saw bersabda: “Ada empat perkara yang membahagiakan seseorang, isteri yang solehah, anak-anak yang baik, pergaulan dengan orang-orang yang baik dan wujud rezki di negaranya sendiri.
(HR Imam ad-Dailami daripada Saidina Ali)


قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
أربعة من كنز الجنة : إخفاء الصدقة , وكتمان المصيبة , وصلة الرحيم , وقول ” لاحول ولا قوة إلا بالله “. رواه الخطيب عن على

Empat perkara akan menjadi Khazanah Syurga:

1. Menyembunyikan sedekah.
2. Menyembunyikan musibah.
3. Menghubung Silatul Rahim.
4. Mereka yang menyebut ” لا حول ولا قوة إلا بالله “.

كتاب تحذيب أطراف الحديث . موكا سورة :

Wallahua'lam

Ahad, Oktober 24, 2010

Mudah-mudahan impian jadi kenyataan

Bismillah

Saya pernah bercita-cita dan menanam impian seawal langkah pertama menjejakkan kaki ke tanah air tercinta untuk membina sebuah ‘team work’ merungkai masalah manusia. Bermula dengan kesempurnaan fardhu ain yang asas seperti solat, hingga pada tiupan semangat dan motivasi buat insan yang menginginkannya. Saya kira, suatu yang sia-sia, apabila ilmu yang Allah pinjamkan buat sementara, tidak dimanfaatkan sebaiknya. Kerana saya pun tidak pasti entah esok atau lusa, saya akan dijemput Yang Maha Esa. Saya ingin mencurah bakti sebagai bekalan akhirat abadi.

Alhamdulillah, dengan izin dan perkenan Allah, saya dan beberapa orang sahabat dalam usaha membina dan merealisasikan impian dan cita-cita yang telah lama tertanam. Ia berkat dan usaha kuat sahabat-sahabat terutama Ustaz Mohd Fairuz Tamjis yang begitu bersemangat.

Beberapa mesyuarat dan perjumpaan telah pun diadakan. Pada hari ini juga (Ahad, 24 Oktober) kami telah sama-sama duduk semeja berbincang dan berkongsi idea di Melaka bersama seorang sahabat kami (Ustaz Mohd Ridwan Roslan) yang berpengalaman dalam bidang ini.

Alhamdulillah, dengan izin dan perkenan Allah juga, kami telah bersepakat memilih itQan Training, Management and Consultancy sebagai nama kumpulan kami.

Pada awal igauan yang bermain di benak fikiran, saya cuma bercadang untuk mengadakan seminar solat cemerlang. Untuk permulaan, saya mangandaikan bahawa saya cuma mampu mengurus dan menganjur seminar solat cemerlang. Namun, kuasa Allah, setelah menanti dan mencari-cari rakan yang mahu bersama, akhirnya Allah kurnia anugerah. Bukan hanya seminar solat cemerlang, tetapi motivasi kecemerlangan, seminar kepimpinan, tahsin al-Quran dan pelbagai lagi yang bukan hanya tertumpu pada sekolah dan institusi pendidikan. Ia turut bakal memenuhi keperluan sektor korporat, kerajaan dan pelbagai badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan.

Suatu yanglebih mengujakan apabila Pengarah Urusan, kini sedang sibuk mencari tempat untuk penubuhan Sekolah Rendah Islam (SRI) di Parit Raja.

Alhamdulillah. Semua ini kuasa tuhan. Moga ia benar-benar menjadi kenyataan dan mendapat perkenanan daripada Allah tuhan sekalian alam.

Pada sahabat-sahabat yang berminat menjemput kami mengisi keperluan di tempat kalian, boleh ajukan semua perkara tersebut melalui email saya hafiznoramli@gmail.com atau boleh layari www.itqan2u.blogspot.com

Mohon doa kalian. Moga Allah mudahkan. Mudah-mudahan impian jadi kenyataan.

Wallahu a'lam

Jumaat, Oktober 22, 2010

Ia membikin hati saya rindu metah pada seseorang

Bismillah

Gambar-gambar yang saya ambil dari blog scene-r ini mengingatkan saya pada pengajian yang cukup memberi bekas dan kesan buat diri saya. Mudah-mudahan Syeikhuna Al-Murabbi Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki hafizahullah terus diberi inayah oleh Allah dalam melangsungkan perjuangan menyampaikan ilmu pengetahuan.




Yayasan Az-Zein Al-Makky atau Maahad Az-Zein Al-Makkiy Al-Aali Littafaqquh Fiddin wa Tahfizul Quran yang terletak di Tegalwaru, Cheampea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia yang telah diasaskan oleh fadhilatus Syeikh.



Madrasah Ibtida'iah Az-Zein terletak di hadapan Maahad



Di sebelah kiri pintu masuk terdapat bangunan yang di beri nama Aula. Dewan dan juga dijadikan surau maahad untuk seluruh warga Az-Zein yang banyak menjadi saksi solat, tilawah Al-Quran, kelas pengajian, zikir, burdah, dan sebagainya buat warganya.



Asrama santri Tafaqquh dan Tahfiz

Moga suatu hari nanti Allah kurniakan saya ruang dan peluang menjejak kaki ke sana meneruskan pengajian ilmu yang tidak pernah usai.

Wallahu a'lam

Isnin, Oktober 18, 2010

Adakah khusyuk itu fokus dan asyik atau syok?

Bismillah

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya dan beberapa rakan usai menghadiri satu seminar yang mengujakan. Ia telah diadakan pada 16 Oktober yang lalu di dewan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Tun Husein Onn Malaysia, Parit Raja.

Seminar Terapi Solat. Sungguh mengasyikkan, terutama ketika ia hampir melabuhkan tirai. Sepanjang seminar ini berjalan, tiada satu pun kata ‘terapi’ yang keluar dari mulut penceramah. Membuatkan kami tertanya-tanya di mana yang dikatakan seminar terapi solat?

Sebagai mukaddimah, Pak Stiyo memulakan ceramahnya dengan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 45 dan 46. Beliau mensyarahkan ayat-ayat ini dengan jelas dan panjang lebar.

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

Ayat ini menceritakan seruan Allah agar meminta tolong dengan jalan sabar dan solat. Pak Stiyo bertanya “Kenapa Allah meminta kita meminta tolong dengan sabar dan solat? Kenapa Allah tidak suruh kita berusaha dengan gigih?”

Beliau menyambung lagi, “Apa yang boleh sabar dan solat lakukan dalam menyelesaikan masalah?” Kerana ramai orang yang mengadu masalahnya masih belum selesai meskipun sudah sabar dan solat.

Pak Stiyo lantas memberitahu hadirin bahawa sabar dan solat itu mampu mengurai masalah orang yang solatnya khusyuk. Kemudian Pak Stiyo bertanya lagi. “Apakah maksudnya khusyuk.?”

Ada yang menjawab fokus, asyik, syok dan pelbagai lagi. Namun, semua jawapan yang hadirin berikan, ditolak. Kerana apa yang hadirin nyatakan, tidak terdapat dalam al-Quran. Al-Quran telah menyatakan bahawa khusyuk itu ialah “mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”

Maka, boleh ditafsilkan bahawa orang yang khusyuk solatnya ialah orang yang solat dengan merasakan mereka akan menemui tuhan mereka dan mereka yakin akan kembali kepada-Nya. Mereka bersolat dalam keadaan sedar bahawa mereka datang menemui Allah dan sedar bahawa Allah memerhatikannya.

Pak Stiyo meneruskan dengan memberikan suatu analogi dalam menjelaskan pengertian ‘menemui’. Contohnya seorang anak berkata mahu menemui ibunya di kampung. Maka, apa yang boleh kita fahami daripada kata-kata ini ialah anak tersebut akan datang kepada ibunya di kampung. Kata ‘menemui’ membawa erti datang dan berjumpa. Oleh itu, mereka yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah, mereka sebenarnya sedang mendatangi Allah dan hadir kepada Allah. Maka, solat yang khusyuk ialah mereka yang solat dengan yakin bahawa mereka sedang datang kepada Allah, hadir kepada Allah dan kembali kepada Allah kelak.

Kekhusyukan juga bukanlah suatu fikiran atau khayalan, tetapi ia suatu kesedaran. Sedar bahawa dia sedang mendatangi tuhannya dan sedang menghadirkan diri menghadap-Nya. Kerana berfikir, nanti akan mengundang pelbagai pertanyaan dan akhirnya mungkin akan menilai Tuhan sebagai suatu penciptaan. Sedangkan kesedaran lebih daripada memikirkan dan merasakan. Ia wujud dalam nilai iman yang kukuh dan sempurna. Sangat yakin akan ada dan wujudnya Allah tanpa was-was dan ragu adakah benar Allah wujud? Maka, kunci kekhusyukan adalah keimanan yang jitu dan padu.

Kunci kekhusyukan ini turut dijelaskan dalam firman Allah Ta’ala pada ayat yang sama.

“(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka...”

Ayat ini jelas memulakan kata ‘menemui’ dengan kata ‘percaya’ dan’ yakin’. Percaya dan yakin inilah IMAN.

Wallahu a’lam. Sekadar berkongsi ilmu dan pengetahuan. Mari kita sama-sama fikir dan amalkan.

Khamis, Oktober 07, 2010

“Mana sapi yang ingin dipotong itu?”


Bismillah

Sungguh mengujakan dan mengagumkan saat menikmati tulisan berkaitan sejarah seorang tokoh ilmuan Islam terkenal. Bagaimana tidak, beliau telah mampu mengubati para pesakit dalam usia yang terlalu muda. Ketika beliau berusia enam belas tahun, beliau telah memperaktikkan ilmunya dengan mengubati para pesakit. Sedang di Malaysia, usia seperti ini lazimnya dalam persiapan dan pengenalan awal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Demikian kehebatan sarjana Islam lampau berbanding generasi kini.
Nama penuhnya ialah Abu Ali Husain bin Abdullah bin Hasan bin Ali bin Sina. Dunia mengenalinya dengan Ibnu Sina atau Avicenna. Beliau digelar asy-Syaikhur Ra’iis (ketua para syeikh). Beliau lahir pada tahun 370 H di sebuah perkampungan kecil bernama Afsanah yang terletak tidak jauh dari Kota Bukhara dan berada dalam wilayah republik Uzbekistan.

Ibnu Sina telah mula mempelajari beberapa ilmu pengetahuan di kota Bukhara. Pertama kalinya beliau mempelajari ilmu tentang al-Quran dan sastera. Ketika usianya telah mencecah sepuluh tahun, beliau telah berjaya mengusai ilmu al-Quran dengan baik dan sempurna, disamping mampu menghafaz bait-bait syair dengan banyak sekali. Penguasaan beliau dalam kesusasteraan begitu cemerlang hingga mampu mengarang formulasi kedoktoran dalam bait syairnya.

Ahli sejarahwan turut mengiktiraf beliau sebagai orang pertama yang menyedari bahawa tahap situasi kejiwaan seseorang dapat menimbulkan beberapa penyakit tertentu pada anggota luar tubuh. Dalam kata lain, beliau berpendapat bahawa gejala-gejala penyakit disebabkan oleh dua hal utama, psikologi (akhlak, jiwa dan emosi) dan fizikal (anggota tubuh)

Terdapat beberapa kisah menarik tentang Ibnu Sina yang sekali gus menunjukkan kemampuannya dalam psikologi ketika proses penyembuhan pesakitnya jika diperlukan. Pernah diceritakan tentang salah seorang kerabat penguasa Jurjan mengidap suatu penyakit yang sangat sulit disembuhkan oleh para doktor. Namun, ketika Ibnu Sina merawatnya, beliau menemukan bahawa penyakit itu disebabkan dia menyembunyikan rasa cintanya.

Kemudian, Ibnu Sina meminta salah seorang yang hadir ditempat pengubatan itu untuk menyebut nama-nama jalan di daerah Jurjan, termasuk juga lorong-lorong kecil, rumah-rumah dan nama para penghuninya. Tiba-tiba saja, orang yang sakit itu bergetar ketika nama kekasihnya disebut-sebut. Sektika itu juga Ibnu Sina mengetahui bahawa dia sedang jatuh cinta. Ibnu Sina lantas menyarankan orang yang sakit itu untuk menikahi kekasih yang dicintainya. Setelah itu, orang itu beransur-ansur sembuh dari penyakitnya.

Ibnu Sina begitu pintar dalam merungkai setiap masalah pesakitnya. Perihal ini lantas membuktikan bahawa sakit dan penyakit itu bukan semata-mata pada fizikal yang dilihat manusia seperti, panas badan, lenguh-lenguh atau lain-lain lagi. Tetapi secara langsung ia amat berkait rapat dengan jiwa, emosi dan akhlak seseorang. Dalam konteks ini juga, memperlihatkan kepada kita kesepaduan ilmu dalam menyelesaikan masalah. Betapa sudut-sudut ilmu itu tidak boleh dipisah-pisahkan. Penyelesaiannya perlu dilihat secara holistik. Ini juga, antara rahsia kegemilangan ketamadunan Islam silam dan rahsia keupayaan para ilmuan mengusai pelbagai bidang secara serentak dalam satu masa.

Kisah lainnya pula adalah cerita tentang salah seorang penguasa dari Bani Buwaihi yang mengidap suatu penyakit dan dia tidak ingin menjamah makanan. Kerana itulah keadaan tubuhnya semakin bertambah parah, sehingga dia berkhayal bahawa dirinya telah berubah menjadi seekor sapi. Kemudian dia meminta orang untuk menyembelihnya dan menghidang dagingnya.

Apabila Ibnu Sina mendatangi Si Penguasa tersebut untuk merawatnya, beliau berdiri di hadapan pintu rumah sambil membawa dua pisau besar seraya berteriak. “Mana sapi yang ingin dipotong itu?”Ketika sang penguasa mendengar teriakan Ibnu Sina, dia pun segera keluar dan menghampirinya seraya menyahut dengan suara lantang. Kemudian, Ibnu Sina meraba-raba tubuh penguasa sambil memegang pisau yang dibawanya, lantas berkata, “Sapi itu sangat kurus dan lemah. Maka sebaiknya diberi makan terlebih dahulu agar lebih gemuk. Setelah itu barulah disembelih.”

Akhirnya, penyakit penguasa tersebut dapat diketahui dan dia mula menyantap makanan yang dicampurkan dengan ramuan ubat-ubatan oleh Ibnu Sina hingga penyakit penguasa itu dapat disembuhkan.

Oleh itu, sakit yang kita alami, bukanlah semata-semata pada mata yang melihatnya. Kerana mata yang melihat, masih banyak cacat cela yang belum sempurna. Maka, kesepaduan dan perkaitan antara semua sudut-sudut kehidupan, perlu digabungjalinkan. Jangan dilihat secara terpisah. Kerana pemisahan akan mengundang kebuntuan dan mampu menjemput masalah yang lebih besar.

Wallahu a'lam

Isnin, September 13, 2010

Aidilfitri kita dan mereka



Bismillah


BANDAR GAZA (kawasan Palestin): Tentera Israel hari ini menembak mati tiga rakyat Palestin, termasuk lelaki warga emas berusia 91 tahun dan cucu remajanya di pekan Gaza, Beit Hanoun, menurut pasukan perubatan.

"Ibrahim Abdullah Abu Saeed, penjaga sebuah ladang berusia 91 tahun dan Ismael Walid Abu Audeh, 20, dibunuh hari ini selepas terkena tembakan kereta kebal Israel," kata jurucakap perkhidmatan perubatan tempatan, Abu Salima.



Sejurus itu, cucu warga emas berusia 17 tahun, Hossam Khaled Abu Saeed turut terbunuh susulan kecederaan yang dialaminya akibat kejadian terbabit, berdekatan sempadan Gaza-Israel.
Jurucakap tentera Israel mengesahkan serangan itu. - AFP

Khamis, Ogos 19, 2010

Ramadhan; sebelum kita dijemput yang Maha Esa.

Bismillah


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah al-Baqarah: 183)

Menurut Imam Ibnu Kathir, “firman Allah dalam ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman daripada umat ini dan diperintahkan kepada mereka dengan berpuasa. Iaitu menahan diri dari makan dan minum. Terhasil dengan niat yang ikhlas kerana Allah Ta’ala. Puasa juga merupakan penyucian jiwa dan pembersihannya daripada perkara yang keji dan akhlak yang cela. “

Imam Ibnu Kathir juga manyatakan “puasa merupakan penyucian badan dan penyempitan laluan-laluan syaitan sebagaimana hadis Nabi s.a.w yang sabit dalam dalam sohih Bukhari dan Muslim

يَا مَعْشَر الشَّبَاب مَنْ اِسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَة فَلْيَتَزَوَّجْ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: Wahai sekalian pemuda, sesiapa dikalangan kamu yang mampu menyediakan bekalan perkahwinan, maka kahwinlah. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana pada puasa itu ada benteng.”

Imam Ibnu Kathir menyambung lagi “kemudian dijelaskan tempoh berpuasa yang bukan setiap hari supaya tidak menyesakkan jiwa dan lemah menunaikannya. Tetapi puasa adalah pada hari-hari tertentu. Pada permulaan islam, kaum muslimin berpuasa tiga hari pada setiap bulan. Dan puasa tersebut telah dinasakhkan dan diganti dengan kefardhuan Ramadhan.”

Menurut Ibnu Kathir juga, puasa tiga hari setiap bulan sebelum kefardhuan puasa Ramadhan, adalah perwarisan semenjak zaman nabi Nuh a.s.

Ayat Allah Ta’ala ini merupakan dalil pensyariatan kefardhuan puasa Ramadhan kepada umat Muhammad s.a.w.

Pensyariatan puasa Ramdhan merupakan hadiah agung buat umat Muhammad s.a.w. Ia sangat istimewa dan besar ganjarannya di akhirat serta besar manfaatnya di dunia.

Sabda Nabi s.a.w:

عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ‏ ‏قَالَ ‏
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كُلُّ عَمَلِ ابْنِ ‏ ‏ آدَمَ ‏ ‏ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏ ‏وَلَخُلُوفُ ‏ ‏فِيهِ ‏ ‏أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
(رواه مسلم)
Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda. Berfirman Allah ‘Azza Wajalla: “Melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu untukku dan Aku sendiri yang memberi ganjarannya. Mereka menyekat syahwatnya dan menyekat makannya kerana-Ku. Bagi orang berpuasa mereka mendapat dua kegembiraan. Gembira ketika berbuka dan gembira ketika bertemu tuhannya.
(HR Imam Muslim)

Sabda Nabi s.a.w lagi:

...أتاكم رمضان شهر بركة، يغشاكم الله فيه، فينزل الرحمة ويحط الخطايا، ويستجيب فيه الدعاء...
Maksudnya: Telah datang kepada kamu Ramadhan; suatu bulan yang berkat, Allah memayungi kamu semua padanya, diturunkan rahmat dan dihapuskan kesalahan dan dikabulkan segala doa.
(HR Imam Tabrani)

Ramadhan juga bulan yang Allah lipatgandakan sebarang amalan kebaikan seorang hamba sepertimana amalan fardhu dan amalan yang fardhu pula, akan dilipatgandakan sehingga tujuh puluh kali ganda sebagimana sabda Nabi s.a.w:

...من تقرب فيه بخصلة من الخير كان كمن أدى فريضة فيما سواه ومن أدى فيه فريضة كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه ...

Maksudnya: Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan satu kebaikan, dia seolah-olah menunaikan satu amalan fardhu seumpamanya. Dan barangsiapa yang menunaikan satu fardhu, seolah-olah dia melakukan tujuh puluh amalan fardhu seumpamanya.
(HR Imam Ibnu Khuzaimah dalam kitab sohihnya)
Oleh itu, rebutlah peluang dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini sebelum kita dijemput yang Maha Esa.

Wallahu a’lam.

Isnin, Jun 07, 2010

Walimatul urus

Assalamualaikum warahmatullah
Halimi bin Hj. Mashuri
&
Ros Masamah bt. Budin
Salam hormat,
redha diharap,
moga rahmat terhinggap,
berbesar hati menjemput
Tuan/Puan/Encik/Cik


Semarak kasih jalinan budi,
undangan diberi seikhlas hati,
moga sudi sama merai,
majlis raja sehari
putera & puteri dikasihi,

Hafiz Noramli bin Halimi
bersama pilihan hati
Dian Ariany binti Jamil
&
Hafiza Hartini binti Halimi
bersama pilihan hati
Nur Fauzi bin Bassar

pada
12 Jun 2010(Sabtu)
29 Jamadil akhir 1431H
bertempat,
No.16,Jalan Rumas Satu,
Taman Rumas,Kg. Chokro,
86200 Simpang Renggam,
Johor Darul Takzim.

Aturcara majlis:
11.00pagi-5.00petang
(Jamuan)
10.00pagi
(Khatam Al-Quran)
12.30tengah hari
(Bersanding)



Turut mengundang:
Nor Indahna & Siti Nor Azizah
Nor Mazlana & Hj.Mohd Azlan
Hafiz Nor Azri
Hafiz Nor Fitri
Rumah (07-7550689)

Ahad, Mei 16, 2010

Allah akan menduganya dengan berdukacita

Bismillah

Alangkah sukarnya untuk kita gambarkan betapa kasih dan cintanya Sang Pencipta kepada kita. Daripada awal kita mengenal dunia, belum pernah kita mendengar Allah mencabut oksigen dari manusia kerana keengganan mereka membayarnya dengan wang ringgit. Oksigen; Allah berikan percuma. Manusia syukur atau kufur, ia tetap mendapat nikmat oksigen walaupun mereka sedang lena dibuai mimpi atau sedang mabuk bersama todi.

Kita dapat perhatikan betapa Allah jadikan matahari, bulan, siang, malam dan segalanya adalah untuk manusia. Bahkan syurga di akhirat sana, adalah untuk manusia juga. Benarlah, betapa kalau kita ingin mengira nikmat Allah Yang Maha Pemurah, pasti tidak terhitung banyaknya. Segala apa yang ada di langit dan di bumi, adalah untuk manusia. Begitu sayang, Allah kepada makhluk-Nya walaupun mereka berbuat dosa.

Sabda Nabi s.a.w :

Apabila banyak dosa seseorang hamba, dan tiada pula baginya amalan buat kafarah dosanya itu, nescaya Allah akan menduganya dengan berdukacita, buat kifarah daripadanya.

(HR Ahmad daripada Aisyah)

Melalui sabdaan Nabi s.a.w ini, menggambarkan kepada kita betapa kasih dan cinta Allah kepada hamba-Nya. Walaupun hamba-Nya melakukan dosa dan tiada pula amal soleh yang mampu menghapus dosanya, Allah bagi ujian buat menghapus dosa. Sengaja Allah timpakan dukacita, kesedihan dan gundah gulana agar bisa melangsai hutang-hutang kesilapan dan kesalahan hamba. Allah senantiasa mencari jalan dan memberi peluang keampunan buat hamba.

Oleh itu, janganlah kita gusar atau gundah gulana bila tiba-tiba Allah campakkan perasaan duka dalam hati kita. Mungkin itu penghapus dosa. Agar kita gembira di akhirat sana.

Wallahu a’lam

Wahai kafir!

Bismillah

Daripada Umar r.a. telah berkata: Bersabda Nabi Muhammad shollollahu alaihi wasallam: “Apabila berkata seorang lelaki kepada saudaranya ‘hai kafir!’, maka kembalilah kata-kata itu kepada salah seorang daripada keduanya. Maka sekiranya benar, benarlah panggilannya. Sekiranya tidak, kembali kata-katanya kepadanya.

(Hadith Muttafaqun alaih)

Hadith riwayat Umar r.a. ini telah dirakamkan oleh Imam Nawawi dalam Kitab Riyadhus Solehin pada bab ‘tahrim qouluhu li muslim ya kafir.’

Hadith ini secara jelas mengisyaratkan kepada kita berkaitan larangan baginda Muhammad s.a.w memanggil saudara kita dengan panggilan kafir. Hal demikian kerana risikonya bukan hanya kepada yang dipanggil, bahkan yang memanggil bakal menerima timbal balik dengan apa yang dituturnya. Mungkin inilah apa yang dikatakan variasi atau refleksi.

Apa juga yang ada di sekitar kita, sama ada sedar atau tidak, ia memberi kesan kepada kehidupan. Walaupun perkara tersebut tidak mampu ditela’ah atau ditilik dengan penglihatan kasar manusia. Namun ia tetap bereaksi dan memberi kesan terhadap kehidupan.

Contohnya bunyi atau gema. Walaupun ia tidak kelihatan, namun ia tetap memberi kesan. Kita boleh sama-sama perhatikan gelagat kanak-kanak mahupun orang dewasa yang mendengar muzik, tubuh mereka kebiasaannya akan menjelmakan reaksi terkinja-kinja dan melompat-melompat melayan irama lagu rancak. Bila ia berubah rentak, tubuh turut dengan gemalai ke kiri dan ke kanan melayan alunan melodi balada. Tidak kurang yang menangis bila irama sedih dialunkan.

Salah satu daripada bunyi dalam kehidupan kita ialah suara atau percakapan yang hari-hari kita tuturkan. Mudah kita lantunkan dari lidah yang tidak bertulang. Tanpa kita sedar, ia turut memberi kesan.

Pertuturan yang manis dan bersopan, pasti mengundang enak telinga yang mendengar. Hati yang gusar, mungkin bisa tenteram dan aman. Berbanding kata kesat dan jahat, pasti meluat dan sakit telinga mendengarnya. Lantaran itu, Nabi melarang kita memanggil dengan panggilan yang buruk apatah lagi dengan panggilan kafir. Kerana tutur kata amat memberi kesan kepada yang berkata mahupun yang mendengarnya.

Oleh itu, jagalah lidah kita daripada berkata yang sia-sia dan menyakitkan kerana tutur bicara kita amat memberi kesan dan ia ada kuasa pembalikan. Jangan mudah-mudah berkata kepada orang ‘bodoh, bebal, malas’ dan sebagainya. Ingat! Walaupun kita bijak dan rajin, kita jangan lupa bahawa kata-kata ada kesan dan ada daya pembalikan. Sama-samalah kita renungkan.

Wallahu a'lam

Selasa, April 13, 2010

Merekalah pejuang!



(لَا تَجِدُ قَوْماً يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءهُمْ أَوْ أَبْنَاءهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُوْلَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُوْلَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ)

(المجادلة : 22 )


22. Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau Saudara-saudara ataupun keluarga mereka. meraka Itulah orang-orang yang Telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan[1462] yang datang daripada-Nya. dan dimasukan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. mereka Itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa Sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.

[1462] yang dimaksud dengan pertolongan ialah kemahuan batin, kebersihan hati, kemenangan terhadap musuh dan lain lain.

Wallahu a'lam

Selasa, Mac 09, 2010

Nikah

Bismillah

Sabda Nabi s.a.w

فقوله صلى الله عليه و سلم النكاح سنتي فمن رغب عن سنتي فقد رغب عني

Maksudnya: Nikah adalah sunnahku, barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia tidak menyukaiku.

وقال صلى الله عليه و سلم النكاح سنتي فمن أحب فطرتي فليستن بسنتي
أخرجه أبو يعلى في مسنده مع تقديم وتأخير من حديث ابن عباس بسند حسن

Maksudnya: Nikah adalah sunnahku. Barangsiapa yang menyukai fitrahku, maka laksanakan mengikut sunnahku.

وقال أيضا صلى الله عليه و سلم تناكحوا تكثروا فإني أباهي بكم الأمم يوم القيامة حتى بالسقط
أخرجه أبو بكر بن مردويه في تفسيره من حديث ابن عمر دون قوله حتى بالسقط وإسناده ضعيف

Maksudnya: Bernikahlah kamu dan perbanyakkan (keturunanmu). Sesungguhnya aku gembira dengan kamu di hari kiamat (umat yang ramai) sehinggalah yang keguguran.

Satu lagi ‘uswah’ yang baik yang ada pada diri Rasulullah s.a.w ialah bernikah atau perkahwinan. Sehingga Rasulullah s.a.w menyifatkan mereka yang tidak gemar pernikahan kerana tidak suka kepada sunnah baginda, tergolong dalam orang yang membenci Nabi.

Maka, atas dasar sunnah dan fitrah, saya menyahutnya dengan penuh syukur dan gembira. Syukur ke hadrat Allah yang mengizinkan saya melaksanakan sunnah Baginda yang mulia ini. Insya-Allah saya akan bernikah pada 11 Mac 2010 bersamaan 23 Rabiul Awal 1431 H (Khamis) di Kg. Parit Haji Rais, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Mohon doa restu kalian semua moga Allah memberi kemudahan dan keberkatan…

Wallahu a'lam

Selasa, Mac 02, 2010

Aku tidak suka dibezakan ke atas kalian

Bismillah

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu, contoh tauladan yang baik bagi mereka yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
(Surah al-Ahzab: 21)

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam merupakan contoh tauladan dan ikutan terbaik buat sekalian umat. Baginda seorang yang berperibadian yang amat mulia dalam semua aspek kehidupan. Baginda menjadi tauladan yang baik dalam hal ehwal pengurusan peribadi, rumah tangga, masyarakat dan negara secara serentak. Baginda adalah manusia agung yang mampu mengurus peribadi, rumah tangga, masyarakat dan negara dengan baik dan sempurna.

Umat meriwayatkan bilangan isteri baginda seramai sembilan orang. Namun, saya belum pernah berjumpa riwayat yang mempertikai keadilan Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam dalam penggiliran isteri-isteri baginda. Kalau ada pun, ia adalah hasil tangan musuh-musuh Allah yang cuba menjatuhkan keperibadian unggul Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Baginda sallallahu alaihi wasallam pernah berlumba lari bersama Aisyah radhiAllahu ‘anhu. Sekali Aisyah menang dan sekali Baginda sallallahu alaihi wasallam menang. Perihal ini menampakkan keintiman dan kemesraan Baginda sallallahu alaihi wasallam bermuamalah dengan isterinya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

عَنْ عَا ئِشَةَ رَضِى اللهُ عَنْهَا قَالَتْ , قَالَ رَسُولُ اللهِ ( ص(:
اِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَاناً أَحْسَنُهُمْ خَلْقاً وَأَلْطَفَهُمْ بِأَهْلِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya orang mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik tingkah lakunya dan lemah lembut terhadap isteri dan anak-anaknya
(Riwayat Al-Turmizi)

Baginda sallallahu alaihi wasallam juga pimpinan masyarakat yang baik dan unggul. Baginda seorang pimpinan yang turun padang, tawadhu’, inklusif dan sama-sama bekerja dengan orang yang dipimpinnya.

كان عليه الصلاة والسلام مرة في سفر مع جماعة فلما حان موعد الطعام ، عزموا على إعداد شاة يأكلونها . فقال أحدهما: علي ذبحها . وقال الآخر : علي سلخها . وقال الثالث : علي طبخها فقال النبي عليه السلام : " وأنا علي جمع الحطب !" فقالوا : يا رسول الله ، نحن نكفيك العمل فقال : " علمت أنكم تكفونني ، ولكنني أكره أن أتميز عليكم.

Maksudnya: Suatu hari Nabi s.a.w bermusafir secara berkumpulan. Ketika tiba waktu makan, mereka berazam untuk menyediakan seekor kambing sebagai santapan. Maka berkata salah seorang daripada mereka: “Aku akan menyembelihnya.” Dan berkata yang lain: “Aku akan menyiatnya.” Dan berkata orang yang ketiga: “Aku akan memasaknya.” Maka berkata Nabi s.a.w: “Dan aku akan mengumpulkan kayu api.” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Kami semua sudah cukup untuk melakukan kerja ini.” Maka bersabda Nabi sallallahu alaihi wasallam: “Aku tahu bahawa kalian sudah cukup melakukan kerja ini. Tetapi aku tidak suka dibezakan ke atas kalian.”

Wallahu a'lam

Ahad, Februari 21, 2010

Kehadiran yang tidak diduga

Bismillah

Alhamdulillah, syukur tidak terhingga saya rafa’kan pada Illahi atas kurnia taufik dan inayah-Nya telah membikin jari-jemari saya menari semula di atas keyboard komputer. Hampir setahun saya membiarkan blog ini berhabuk, bersawang dan mungkin usang dimamah anai-anai. Selain virus malas yang menular dalam tubuh, mungkin faktor masa dan kurang kemudahan menjadikan blog ini terus terbiar.

Semasa menuntut dahulu, 24 jam komputer dan internet di depan mata. Dan semasa bertugas di Johor Bahru sekitar tahun 2007, sebuah komputer duduk di depan saya bersama kemudahan internet yang pantas dan tuntas. Berbeza kini. Saya bertugas di sebuah sekolah rakyat. Walaupun ada kemudahan internet pantas, namun masa agak terbatas dan pelbagai faktor lain yang menyekat. Apa pun, sebenarnya saya yang agak canggung dengan suasana dan malas berusaha.

Tanpa sedar, 2010 adalah tahun keempat saya di tanah air. Semuanya macam baru semalam berlaku. Itulah ungkapan biasa, bila minda mula mengimbas masa yang berjalan pantas.

Pada isnin 8 februari yang lalu, tanpa diduga dan tidak pernah menyangka, saya bertemu seorang ulama muda dan ilmuan tanah air yang terkenal. Saya amat meminati beliau, dan tidak akan melepaskan peluang mendengar kuliah tafsir beliau setiap hari di radio IKIM. Hanya mengenakan t-shirt dengan perwatakan yang amat sederhana, sangat tawadhu’ dan begitu merendah diri. Beliau hadir ke sekolah kami membawa abangnya yang strok menziarahi anaknya.

Hampir satu jam saya dan dua orang guru berbual dan berbincang ilmiah bersamanya. Sangat mengujakan dengan pelbagai topik yang beliau sentuh. Pada detik ini, secara life dan mubasyarah saya mendengar nasihat dan tunjuk ajar dari beliau.

Antara yang masih lekat pada memori saya ialah berkenaan dunia. Beliau mengatakan bahawa dunia ini sangat menggiurkan. Tidak kurang ilmuan yang tergiur dengan perhiasan yang sementara ini. Ada kalangan ulama di Malaysia tanpa beliau menyebutkan namanya yang rasa rendah dan tidak mahu bertemu serta bercampur gaul dengan masyarakat kebanyakan.

Beliau turut menyentuh masalah khilafiah yang kadang-kadang sengaja dihebohkan golongan tertentu bagi meraih populariti dan kemasyhuran semata. Secara peribadi beliau berpendapat masalah seumpama ini, tidak sepatutnya didedah pada khalayak. Ia akan menambah kekusutan dan kecelaruan. Tiada yang boleh diambil manfaat darinya kecuali hanya sedikit sahaja. Umat islam di Malaysia seharusnya dibawa fokus mereka ke arah ketamadunan dan kecemerlangan ummah.

Beliau yang kini bertugas di Syarikat Telaga Biru, menyarankan dan menggalakkan kami menghasilkan apa jua tulisan yang berfaedah buat ummah. Pada hemat beliau, di negara kita tidak kurang ilmuan dan cendiakawan hebat. Malangnya, penerokaan ilmu dan pengembangan penulisan masih perlahan. Namun begitu, beliau tetap bersyukur kerana mutakhir ini karya hasil penulisan ulama malaysia semakin banyak dan minat rakyat malaysia terhadap membaca semakin tinggi.

Beliau turut menyarankan kami agar memberi pendedahan kepada para pelajar tentang karangan-karangan ulama silam dan kentomporari melalui diskusi dan sebagainya. Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan sistem pendidikan di Malaysia yang menyibukkan guru-guru dengan kerja-kerja teknikal dan perkeranian. Walhal, tenaga dan masa guru-guru ini sepatutnya difokuskan kepada pengkajian dan pengembangan ilmu secara mendalam.

Akhirnya, saya rasa sangat bertuah dan bangga dapat bersalam dan mendakap seorang tokoh pujaan. Terima kasih tidak terhingga di atas kesudian Ustaz Haji Zahazan Mohamad berkunjung ke sekolah kami yang tidak ternama. Cuma sedikit kekesalan saya apabila melihat sambutan dingin anak-anak didik dan pendidik di atas kehadiran seorang tokoh ilmuan. Saya membayangkan akan hadir gerombolan manusia andai Mawi, Black atau yang sewaktu dengan mereka, berkunjung ke sekolah. Mudah-mudahan Allah tukarkan situasi sadis ini kepada suasana masyarakat yang mengagungkan ulama.

Wallahu a'lam