Ahad, Mei 16, 2010

Allah akan menduganya dengan berdukacita

Bismillah

Alangkah sukarnya untuk kita gambarkan betapa kasih dan cintanya Sang Pencipta kepada kita. Daripada awal kita mengenal dunia, belum pernah kita mendengar Allah mencabut oksigen dari manusia kerana keengganan mereka membayarnya dengan wang ringgit. Oksigen; Allah berikan percuma. Manusia syukur atau kufur, ia tetap mendapat nikmat oksigen walaupun mereka sedang lena dibuai mimpi atau sedang mabuk bersama todi.

Kita dapat perhatikan betapa Allah jadikan matahari, bulan, siang, malam dan segalanya adalah untuk manusia. Bahkan syurga di akhirat sana, adalah untuk manusia juga. Benarlah, betapa kalau kita ingin mengira nikmat Allah Yang Maha Pemurah, pasti tidak terhitung banyaknya. Segala apa yang ada di langit dan di bumi, adalah untuk manusia. Begitu sayang, Allah kepada makhluk-Nya walaupun mereka berbuat dosa.

Sabda Nabi s.a.w :

Apabila banyak dosa seseorang hamba, dan tiada pula baginya amalan buat kafarah dosanya itu, nescaya Allah akan menduganya dengan berdukacita, buat kifarah daripadanya.

(HR Ahmad daripada Aisyah)

Melalui sabdaan Nabi s.a.w ini, menggambarkan kepada kita betapa kasih dan cinta Allah kepada hamba-Nya. Walaupun hamba-Nya melakukan dosa dan tiada pula amal soleh yang mampu menghapus dosanya, Allah bagi ujian buat menghapus dosa. Sengaja Allah timpakan dukacita, kesedihan dan gundah gulana agar bisa melangsai hutang-hutang kesilapan dan kesalahan hamba. Allah senantiasa mencari jalan dan memberi peluang keampunan buat hamba.

Oleh itu, janganlah kita gusar atau gundah gulana bila tiba-tiba Allah campakkan perasaan duka dalam hati kita. Mungkin itu penghapus dosa. Agar kita gembira di akhirat sana.

Wallahu a’lam

Wahai kafir!

Bismillah

Daripada Umar r.a. telah berkata: Bersabda Nabi Muhammad shollollahu alaihi wasallam: “Apabila berkata seorang lelaki kepada saudaranya ‘hai kafir!’, maka kembalilah kata-kata itu kepada salah seorang daripada keduanya. Maka sekiranya benar, benarlah panggilannya. Sekiranya tidak, kembali kata-katanya kepadanya.

(Hadith Muttafaqun alaih)

Hadith riwayat Umar r.a. ini telah dirakamkan oleh Imam Nawawi dalam Kitab Riyadhus Solehin pada bab ‘tahrim qouluhu li muslim ya kafir.’

Hadith ini secara jelas mengisyaratkan kepada kita berkaitan larangan baginda Muhammad s.a.w memanggil saudara kita dengan panggilan kafir. Hal demikian kerana risikonya bukan hanya kepada yang dipanggil, bahkan yang memanggil bakal menerima timbal balik dengan apa yang dituturnya. Mungkin inilah apa yang dikatakan variasi atau refleksi.

Apa juga yang ada di sekitar kita, sama ada sedar atau tidak, ia memberi kesan kepada kehidupan. Walaupun perkara tersebut tidak mampu ditela’ah atau ditilik dengan penglihatan kasar manusia. Namun ia tetap bereaksi dan memberi kesan terhadap kehidupan.

Contohnya bunyi atau gema. Walaupun ia tidak kelihatan, namun ia tetap memberi kesan. Kita boleh sama-sama perhatikan gelagat kanak-kanak mahupun orang dewasa yang mendengar muzik, tubuh mereka kebiasaannya akan menjelmakan reaksi terkinja-kinja dan melompat-melompat melayan irama lagu rancak. Bila ia berubah rentak, tubuh turut dengan gemalai ke kiri dan ke kanan melayan alunan melodi balada. Tidak kurang yang menangis bila irama sedih dialunkan.

Salah satu daripada bunyi dalam kehidupan kita ialah suara atau percakapan yang hari-hari kita tuturkan. Mudah kita lantunkan dari lidah yang tidak bertulang. Tanpa kita sedar, ia turut memberi kesan.

Pertuturan yang manis dan bersopan, pasti mengundang enak telinga yang mendengar. Hati yang gusar, mungkin bisa tenteram dan aman. Berbanding kata kesat dan jahat, pasti meluat dan sakit telinga mendengarnya. Lantaran itu, Nabi melarang kita memanggil dengan panggilan yang buruk apatah lagi dengan panggilan kafir. Kerana tutur kata amat memberi kesan kepada yang berkata mahupun yang mendengarnya.

Oleh itu, jagalah lidah kita daripada berkata yang sia-sia dan menyakitkan kerana tutur bicara kita amat memberi kesan dan ia ada kuasa pembalikan. Jangan mudah-mudah berkata kepada orang ‘bodoh, bebal, malas’ dan sebagainya. Ingat! Walaupun kita bijak dan rajin, kita jangan lupa bahawa kata-kata ada kesan dan ada daya pembalikan. Sama-samalah kita renungkan.

Wallahu a'lam