Khamis, Ogos 19, 2010

Ramadhan; sebelum kita dijemput yang Maha Esa.

Bismillah


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah al-Baqarah: 183)

Menurut Imam Ibnu Kathir, “firman Allah dalam ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman daripada umat ini dan diperintahkan kepada mereka dengan berpuasa. Iaitu menahan diri dari makan dan minum. Terhasil dengan niat yang ikhlas kerana Allah Ta’ala. Puasa juga merupakan penyucian jiwa dan pembersihannya daripada perkara yang keji dan akhlak yang cela. “

Imam Ibnu Kathir juga manyatakan “puasa merupakan penyucian badan dan penyempitan laluan-laluan syaitan sebagaimana hadis Nabi s.a.w yang sabit dalam dalam sohih Bukhari dan Muslim

يَا مَعْشَر الشَّبَاب مَنْ اِسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَة فَلْيَتَزَوَّجْ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: Wahai sekalian pemuda, sesiapa dikalangan kamu yang mampu menyediakan bekalan perkahwinan, maka kahwinlah. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana pada puasa itu ada benteng.”

Imam Ibnu Kathir menyambung lagi “kemudian dijelaskan tempoh berpuasa yang bukan setiap hari supaya tidak menyesakkan jiwa dan lemah menunaikannya. Tetapi puasa adalah pada hari-hari tertentu. Pada permulaan islam, kaum muslimin berpuasa tiga hari pada setiap bulan. Dan puasa tersebut telah dinasakhkan dan diganti dengan kefardhuan Ramadhan.”

Menurut Ibnu Kathir juga, puasa tiga hari setiap bulan sebelum kefardhuan puasa Ramadhan, adalah perwarisan semenjak zaman nabi Nuh a.s.

Ayat Allah Ta’ala ini merupakan dalil pensyariatan kefardhuan puasa Ramadhan kepada umat Muhammad s.a.w.

Pensyariatan puasa Ramdhan merupakan hadiah agung buat umat Muhammad s.a.w. Ia sangat istimewa dan besar ganjarannya di akhirat serta besar manfaatnya di dunia.

Sabda Nabi s.a.w:

عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ‏ ‏قَالَ ‏
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كُلُّ عَمَلِ ابْنِ ‏ ‏ آدَمَ ‏ ‏ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏ ‏وَلَخُلُوفُ ‏ ‏فِيهِ ‏ ‏أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
(رواه مسلم)
Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda. Berfirman Allah ‘Azza Wajalla: “Melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu untukku dan Aku sendiri yang memberi ganjarannya. Mereka menyekat syahwatnya dan menyekat makannya kerana-Ku. Bagi orang berpuasa mereka mendapat dua kegembiraan. Gembira ketika berbuka dan gembira ketika bertemu tuhannya.
(HR Imam Muslim)

Sabda Nabi s.a.w lagi:

...أتاكم رمضان شهر بركة، يغشاكم الله فيه، فينزل الرحمة ويحط الخطايا، ويستجيب فيه الدعاء...
Maksudnya: Telah datang kepada kamu Ramadhan; suatu bulan yang berkat, Allah memayungi kamu semua padanya, diturunkan rahmat dan dihapuskan kesalahan dan dikabulkan segala doa.
(HR Imam Tabrani)

Ramadhan juga bulan yang Allah lipatgandakan sebarang amalan kebaikan seorang hamba sepertimana amalan fardhu dan amalan yang fardhu pula, akan dilipatgandakan sehingga tujuh puluh kali ganda sebagimana sabda Nabi s.a.w:

...من تقرب فيه بخصلة من الخير كان كمن أدى فريضة فيما سواه ومن أدى فيه فريضة كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه ...

Maksudnya: Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan satu kebaikan, dia seolah-olah menunaikan satu amalan fardhu seumpamanya. Dan barangsiapa yang menunaikan satu fardhu, seolah-olah dia melakukan tujuh puluh amalan fardhu seumpamanya.
(HR Imam Ibnu Khuzaimah dalam kitab sohihnya)
Oleh itu, rebutlah peluang dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini sebelum kita dijemput yang Maha Esa.

Wallahu a’lam.