Jumaat, April 01, 2011

Bunyi-bunyian (II)

Bismillah

Semenjak dahulu hingga kini, akidah dan ajaran islam, semuanya menerusi elemen bunyi-bunyian. Walaupun zaman telah berubah, elemen bunyi-bunyian masih berperanan besar. Kerana paparan visual dan tulisan semata, kadang-kadang tidak mampu menembusi jiwa dan nurani manusia. Kadangkala, ia hanya boleh terjangkau melalui bunyi-bunyian dan pendengaran semata.

Perihal iman kepada Allah, sangat berkait rapat dengan bunyi-bunyian. Begitu juga perihal lima rukun iman yang lain. Percaya kepada malaikat, kitab, rasul, qada’ dan kadar dan percaya kepada hari kiamat, semuanya berteraskan elemen bunyi-bunyian. Elemen seperti ini, di dalam islam dinamakan sebagai perkara-perkara sam’iyat. Inilah asas dan tunjang utama keimanan.

Bagaimanakah caranya kita mahu beriman kepada Allah? Adakah boleh melalui penglihatan mata kasar? Pastinya tidak. Allah tidak boleh dilihat. Namun, kita boleh mengenali-Nya melalui elemen bunyi-bunyian iaitu melalui telinga yang mendengar ajaran dan dakwah tentang kewujudan Allah. Kemudian, bagaimana pula kita mahu mengenali syurga dan neraka? Adakah mata kita di saat ini mampu melihatnya? Begitu juga dengan hari kebangkitan. Adakah kita boleh melihatnya pada ketika ini? Pastinya tidak. Ia boleh diyakini dan diimani dengan eleman bunyi-bunyian. Demikian seterusnya perihal keimanan dan kepercayaan yang lain. Kunci dan asas utamanya adalah menerusi elemen bunyi-bunyian iaitu melalui telinga yang mendengar.

“أعددت لعبادي الصالحين مالا عين رأت، ولا أذن سمعت، ولا خطر على قلب بشر" .

رواه أحمد، والشيخان، والترمذي، وابن ماجه عن أبي هريرة، والطبراني في الأوسط عن أنس، وابن جرير عن أبي سعيد، وعن قتادة مرسلًا.

Maksudnya: Firman Allah SWT: “Aku telah menyediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh, apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, yang tidak pernah didengar telinga dan yang tidak pernah terlintas dihati manusia.” (HR Ahmad, Syaikhan, Turmuzi, Ibnu Majah daripada Abu Hurairah. Imam Thabrani dalam al-Ausoth, Ibnu Jarir daripada Anas).

Akidah dan kepercayaan yang kukuh, merupakan momentum kepada usaha dan impian mengecapi sebuah kejayaan. Sejarah membuktikan bagaimana umat Islam berjaya membuang segala tabiat dan perangai buruk yang berpunca dari minuman keras atau arak, hanya dengan penurunan wahyu Allah hasil iman dan akidah yang kukuh. Dalam tempoh tidak melebihi setahun, dengan penurunan tiga ayat sahaja, tabiat buruk jahiliyah, telah berjaya dibuang. Bahkan para sahabat memecahkan semua tempayan berisi arak. Sedangkan dalam sebuah kajian di Amerika Syarikat, kerajaan Amerika Syarikat telah membelanjakan USD 50 juta pada 1970-an hanya untuk kempen penghapusan tabiat meminum arak. Pada tahun 1980-an pula, USD 200 juta telah dibelanjakan untuk penguatkuasaan undang-undang berkaitan minuman keras. Namun, sehingga hari ini, masyarakat Barat terutama Amerika Syarikat masih gagal menghapuskan tabiat meminum arak. Bahkan istilah ‘Friday night’ masih menghantui dan merugikan negara mereka.

Akidah dan kepercayaan yang mantap juga menjadi momentum kejayaan umat Islam menakluk dua pertiga dunia. Peperangan Badar membuktikan perkara ini. Umat Islam hanya berjumlah 313 orang. Mereka berjaya mengalahkan tentera berjumlah 1000 orang.

Bunyi-bunyian juga menjadi teras kekuatan utama sahabat baginda Muhammad s.a.w dalam menerima dan menyampaikan ajaran islam. Pada zaman permulaan islam, kebanyakan mereka yang memeluk agama suci ini adalah terdiri dari golongan hamba dan orang bawahan. Majoriti mereka tidak pandai membaca dan menulis. Maka, mereka menggunakan sepenuhnya pendengaran dan seterusnya menghafaz setiap ajaran baginda Muhammad s.a.w.

Abu Hurairah r.a. merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang kuat hafalannya. Beliau tidak lama bersama Rasulullah s.a.w., tetapi beliau antara sahabat yang paling banyak menghafaz hadis Rasulullah s.a.w. Beliau hanya sempat tiga tahun bersama Rasulullah s.a.w.

Marwan bin Hakam pernah menguji tahap hafalan Abu Hurairah dalam hadis nabi. Pada masa itu banyak muncul hadis-hadis palsu yang dinisbatkan kepada Abu Hurairah. Marwan memanggilnya dan memintanya supaya menyebutkan beberapa hadis. Lalu setiausaha Marwan mencatatnya. Setahun kemudian, Marwan memanggilnya lagi dan Abu Hurairah pun menyebutkan semua hadis yang pernah beliau sampaikan tahun sebelumnya, tanpa tertinggal satu huruf pun.

Begitu ampuh dan kukuh ingatan juga hafalan sahabat Rasulullah s.a.w. Semuanya itu menyusup masuk dalam dada mereka melalui unsur dan elemen bunyi-bunyian. Itulah kunci dan pembuka kehebatan dan kekuatan mereka.

Wallahu a'lam