" Serambi Ilham ": May 2011

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Thursday, May 26, 2011

Tiada dua hati

Bismillah

{3} وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا

Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.

{4} مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ذَلِكُمْ قَوْلُكُمْ بِأَفْوَاهِكُمْ وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ

(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya dan Dia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu dan Dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul.

(Surah al-Ahzab ayat 3-4)

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa pada suatu hari. Ketika Nabi s.a.w. solat, terlintas di dalam hati baginda ucapan-ucapan orang munafik yang bersama-sama solat dengan baginda, bahawa mereka mempunyai dua hati. Satu hati bersama-sama orang kufur dan satu lagi bersama dengan orang mukmin. Maka, Allah menurunkan ayat ini sebagai penegasan bahawa Allah tidak menciptakan dua hati bagi manusia.

(HR Imam at-Tirmidzi, sanadnya hasan daripada Ibnu Abbas)

Menempuh dunia globalisasi yang rencam pada saat dan ketika ini, membikin hati kita ripuh dan kacau-bilau. Pelbagai keperluan yang mendesak, telah mengheret kita ke dalam satu dilema kehidupan yang sukar mencari keputusan dan penyelesaian. Ditambah dengan musuh yang sentiasa melekat rapat pada setiap inci darah yang mengalir, iaitu nafsu dan syaitan. Ia menambah kekusutan dalam membuat penilaian. Apa yang dilakukan, tidak terfokus dan mencapah ke pelbagai penjuru kehidupan.

Suatu masa dahulu, pernah kami dimarahi oleh guru kami Syeikh Abdul Azim Sya’aban ketika beliau melihat kehadiran kami dalam kelas talaqqi al-Quran yang tidak konsisten. Masing-masing memberi alasan. Ada yang menghadiri kelas yang lain, ada juga sibuk mengurus hal organisasi dan pelbagai. Hasilnya, keluar ayat 4 surah al-Ahzab dari mulut Syeikh. Allah tidak jadikan manusia dengan dua hati. Dalam maksud yang lain, manusia perlu fokus dalam melakukan suatu perkara.

Walhal, dalam dunia yang sedang kita tempuh ini, tidak boleh tidak, kita terpaksa melakukan banyak perkara dalam satu masa. Oleh itu, marilah kita meneliti sejarah. Melihat keagungan Nabi s.a.w. melakukan banyak perkara dalam satu masa. Baginda berjaya melakukannya kerana faktor keberkatan masa. Keberkatan yang demikian diperoleh melalui solat yang dijaga dan sujud sentiasa mengharap pada Yang Esa. Dengan itu, apa yang dilakukan, akan terfokus dan selalu mendapat pimpinan Allah. Moga Allah lestarikan taufiq dan hidayah-Nya buat kita. Amin...

Wallahu a'lam


Monday, May 23, 2011

Derita yang bahagia

Bismillah

Saya tertarik dengan tulisan Dr. Abd Razak Abu Chik dalam ruangan belajar bahasa Arab di Utusan Malaysia. Pada tulisan pertama beliau dalam ruangan tersebut, beliau menjelaskan perbezaan nakirah (suatu perkataan yang maksudnya umum) dan makrifah (suatu perkataan yang maksudnya khusus). Nakirah dan makrifah di dalam bahasa arab dibezakan dengan beberapa tanda. Antaranya adalah huruf alif dan dalam pada permulaan suatu perkataan. Bila terdapat alif dan lam, ia dikira sebagai makrifah dan dikira nakirah bila sebaliknya berlaku.

Sebagai contoh, beliau memetik kosa kata dalam surah al-Insyirah. Melalui ayat keenam, beliau mengambil perkataan “al-‘usri” (العسر) yang bermaksud susah. Ia dijadikan contoh bagi menjelaskan makrifah. Perkataan “al-yusro” (يسرا) diambil sebagai contoh bagi nakirah yang bermaksud kesenangan.

Sebagaimana penjelasan sebelum ini, nakirah adalah umum. Manakala makrifah adalah khusus. Maka, melalui dua perkataan dalam surah al-Insyirah ini, dapat disimpulkan bahawa “al-‘usri” (العسر) adalah khusus (makrifah) atau dengan perkataan lain, kesusahan itu khusus dan tertentu sahaja. Ia adalah terhad dan terbatas. Manakala “al-yusro” (يسرا) adalah umum (nakirah) atau dengan maksud yang lain, kesenangan itu luas dan tidak terbatas. Ia tidak khusus dan terhad pada satu kesenangan sahaja.

Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa satu kesusahan yang Allah berikan, bersamanya ada kesenangan yang tidak bersempadan, tiada had dan tidak terbatas. Allah mengulanginya sebanyak dua kali di dalam surah al-Insyirah ini sebagai tanbih dan peringatan buat manusia betapa maha luas kasih sayang dan rahmat Allah kepada makhluknya.

{5} فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

{6} إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Wallahu a'lam