Rabu, Mei 31, 2006

Kesyumulan Islam

Bismillah...

Firman Allah Ta’ala


وأحل الله البيع وحرم الربا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba


Sabda Nabi s.a.w


عن أبي سعيد الخدري ثم أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لا تبيعوا الذهب بالذهب الا مثلا بمثل ولا تشفوا بعضها على بعض ولا تبيعوا الورق بالورق الامثلا بمثل ولا تشفوا بعضها على بعض ولا تبيعوا منها شيئا غائبا بناجز

Maksudnya: Daripada Said al-Khudri kemudian baginda Rasulullah s.a.w bersabda: “Jangan kamu berjual beli emas dengan emas melainkan sama nilainya dan jangan kamu lebihkan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain, jangan kamu jual beli kertas dengan kertas melainkan melainkan sama nilainya dan jangan kamu lebihkan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain, dan jangan kamu jual beli darinya sesuatu yang ghaib sesuatu yang hadir (ada). (HR Imam Malik pada bab jual beli emas dengan perak dalam kitab Muwatto’ bil 1299)

Entah kenapa hari ini saya terkenang zaman sekolah rendah. Ia sesuatu yang manis dan sukar dilupakan. Namun, kekadang saya sedikit rasa rugi dan agak terkilan kerana kepincangan-kepincangan dan kecanggungan yang berlaku pada zaman itu. Ini semua kerana kegagalan saya dalam merebut peluang. Itulah kelemahan yang harus diperbaiki.

Tapi, bagi saya ada satu lagi perasaan terkilan yang bila dihitung dan dikira, ia bukanlah berpunca dari diri saya, ibu bapa saya mahupun guru-guru saya. Saya meminta pandangan semua untuk mencari jawapannya.

Persoalannya begini, suatu masa dahulu saya kira pemikiran saya dikongkong dan dipenjara oleh ruang lingkup pemikiran yang amat sempit, cetek dan amat rigid berkaitan Islam. Saya tidak pasti kenapa dan bagaimana perkara ini boleh berlaku hatta saya duduk di zaman sekolah menengah, keterpenjaraan pemikiran masih membelenggu jiwa dan perasaan. Antaranya ialah melihat Islam dari sudut yang amat sempit yang hanya dihalakan kepada ibadah semata-mata. Dan ibadah ini pun tidak dibacarakan secara luas yang hanya menyentuh soal rukun yang lima. Inilah antara perkara yang membuat hati saya sangat terkilan.

Pernah dahulu, semasa diadakan satu seminar berkaitan kesyumulan Islam, salah seorang peserta bertanya. Benarkah al-Quran itu lengkap dan menerangkan semua aspek kehidupan? Alhamdulillah hari ini Allah telah membuka hidayahnya memberitahu saya bahawa al-Quran itu amat lengkap dan telah pun menerangkan semua aspek dalam kehidupan hinggalah cara membuat roti canai, kuih karipap atau jemput-jemput.

Salah satu sudut, dalam kehidupan kita adalah ekonomi. Perkara ini sekiranya diberitahu kepada saya semasa saya berumur 7 tahun dahulu, mungkin saya tidak percaya bahawa Islam juga ada menyentuh bab ini. Kita lihat firman Allah Ta’ala dan sabda Baginda Nabi s.a.w pada permulaan penulisan ini. Dalam ayat Allah tersebut, Dia menerangkan tentang keharusan jual beli. Bukankah jual beli termasuk dalam bidang ekonomi.

Hadis Nabi s.a.w riwayat daripada Said al-Khudri menceritakan tentang masalah money changer atau pertukaran mata wang. Perkara ini telah dibahas dan diterangkan oleh Rasulullah 1400 yang lalu. Ini menunjukkan bahawa Islam telah lama ada sistem ekonominya yang tersendiri. Ia juga menunjukkan bahawa Islam sebuah agama yang telah lama maju dan bersistematik. Lihatlah betapa indah dan syumulnya Islam.

Wallahu a’lam

Sabtu, Mei 27, 2006

40 000 warganegara Malaysia di Amerika murtad.

Bismillah...

Petikan daripada akhbar Harakah daily bersama Mufti Perak Dato' Seri Dr Harussani Zakaria bahawa beliau menerima surat daripada sebuah badan Kristian dari Amerika Syarikat yang mendakwa 40,000 orang Islam warganegara Malaysia telah memeluk agama mereka.

"Dalam perkembangan lain, Harussani berkata, umat Islam negara ini juga perlu serius dalam usaha menangani isu murtad kerana ia dikatakan telah membabitkan lebih 100,000 orang terutama remaja Melayu.

Harussani juga berkata, pihaknya juga baru-baru ini menerima surat daripada sebuah badan Kristian dari Amerika Syarikat yang mendakwa 40,000 orang Islam warganegara Malaysia telah memeluk agama mereka.

Umat Islam tidak boleh memandang remeh perkara ini atau bimbang untuk membicangkannya dengan alasan ia sebagai isu sensitif, lapor akhbar berkenaan."

Subhanallah... Sebelum ini Dato' Dr Harussani telah membuat kenyataan hasil tinjauannya ke seluruh Malaysia bahawa 250 000 permohonan murtad didaftarkan. Isu ini belum reda dan masih tidak ada tindakan drastik dari mana-mana pihak. Kini timbul 40 000 warganegara Malaysia memeluk kristian. Fikirkanlah...!

Wallahu a'lam

Apakah perasaan kita?


Bismillah...

Apakah perasaan kita bila melihat gambar ini? Kita sering tidur nyenyak, lena tanpa ada gangguan. Sedangkan dalam masa yang sama masih terdapat ramai manusia yang hanya tidur bertilamkan debu dan pasir, berselimutkan langit dan awan.

Wallahu a'lam

Isnin, Mei 22, 2006

SEMBANG TIGA BUDAK....

Bismillah...

"Di padang sebuah sekolah, nun jauh disudut kanan, ternampaklah tiga budak sedang bersembang. Mari kita amati dan teliti apa yang mereka sembangkan...

Budak A " Bapak aku jadi ahli sukan, bapak hangpa kerja apa " Budak B dan Budak C menjawab " Bapak kami pun ahli sukan jugak".

Maka semua bapak mereka adalah ahli sukan....

Budak A meneruskan cerita.." Bapak aku jadi perejam lembing, punyalah cepat dia berlari sehinggakan setelah lembing direjam, bapak aku berlari dan menangkap lembing tersebut sebelum lembing itu jatuh ketanah "

" Itu tak heran " kata Budak B " Bapak aku lagi tangkas, bapak aku masuk sukan menembak. Punyalah cepat dia berlari sehinggakan selepas peluru keluar daripada pistol, bapak aku sempat berlari dan menangkap peluru tersebut"

"Mari kita dengar cerita bapak aku pulak, aku rasa bapak aku yang paling cepat dalam bab lari ini" kata Budak C. " Bapak aku kerja di Alor Setar tapi tinggal di Sungai Petani. Bila pejabat tutup pukul 4.15 petang, pukul 3.50 petang bapak aku dah ada di rumah. Bayangkan betapa cepatnya bapak aku berlari. "


Wallahu a'lam

51,000 murid tidak tahu solat

Bismillah...

DUNGUN 19 Mei - Lebih 51,000 atau kira-kira 34 peratus daripada 149,000 pelajar tahun dua hingga enam di negeri ini didapati tidak tahu jumlah rakaat setiap solat lima waktu.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Mohd. Nasir Harun berkata, angka itu berasaskan kepada kajian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu baru-baru ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, Pengarah Pelajaran Terengganu, Draman Muda meminta pejabat-pejabat pelajaran daerah untuk menyebarkan masalah itu kepada ibu bapa agar mereka sama-sama membetulkan keadaan.

``Menakutkan, tetapi inilah realiti yang perlu diakui. Selain tidak tahu rakaat setiap solat lima waktu, sebahagian besar murid sama ada tidak tahu langsung atau tergagap-gagap ketika diminta membaca ayat asas solat termasuk al-Fatihah.

``Tidak tahu bilangan rakaat dan tidak pandai baca al-Fatihah, maknanya tak tahu solat,'' katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Jerangau, Awang @ Mohamad Zaid Mat Zin dan Pengerusi PIBG SMK Jerangau, Mohammad Jusoh.

Menurut Mohd. Nasir, angka dan peratusan berkenaan mungkin jauh lebih besar jika kajian seumpama itu turut membabitkan pelajar tahun satu.

Bagaimanapun, katanya, kajian tersebut tidak melibatkan pelajar tahun satu kerana merasakan golongan berkenaan perlu diberi ruang untuk mempelajari perkara asas dalam ibadat itu.

``Jabatan Pelajaran menyasarkan kajian kepada murid tahun dua hingga enam kerana mereka sepatutnya sudah mampu dan sudah boleh menguasai perkara asas solat lima waktu.

`Siapa harus dipersalahkan sama ada ibu bapa, guru atau masyarakat. Bagi saya semua pihak perlu mengambil berat, namun ibu bapalah yang paling utama perlu memikul tanggung jawab itu.

``Jika anak tidak tahu bersolat, hal itu memberi gambaran bahawa ibu bapa atau penjaganya tidak memberi perhatian, malah berkemungkinan ibu bapa jarang bersolat di rumah,'' katanya.

Mohd. Nasir berkata, sebahagian besar masa pelajar ada bersama ibu bapa atau penjaga mereka di rumah dan mereka sepatutnya mengutamakan pengajaran solat kepada pelajar.

sumber: www.tranungkite.net

Wallahu a'lam

Ahad, Mei 21, 2006

Nikmat Allah

Oleh Ilham Harapan

Bismillah...

Firman Allah yang bermaksud: Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak terhitung banyaknya...

Saya terharu sekali lagi hari ini bila punggung dilabuh pada kerusi van dan mata ditancap pada keadaan jalan di hadapan perhentian Gumlah. Tiba-tiba semua kenderaan berhenti. Ada seorang memberi koman dan arahan agar pemandu memberhentikan kenderaan masing-masing. Untuk apa?

Hati saya mula berdebar, mungkin berlaku kemalangan. Namun, sangkaan meleset bila melihat seorang wanita berumur teresot-esot menyeberang jalan. Pada mulanya saya terfikir dia terjatuh dilanggar kenderaan atau terjatuh sendiri. Tapi bila diteliti memang begitu keadaannya. Dia tidak mampu lagi berjalan seperti manusia lain.

Sebelum ini saya bertemu manusia bisu. Amat sukar dan terseksa mahu berkata-kata. Sedangkan kata-kata adalah komunikasi yang amat ampuh dan dhoruri serta amat penting. Hari ini bertemu pula dengan wanita berumur yang jalan teresot-esot. Kaki ada, tetapi tidak mampu lagi berfungsi seperti biasa. Lantaran itu tangan dan sedikit tenaga yang ada diguna sepenuhnya bagi meneruskan kehidupan. Semua boleh membayangkan betapa pedih dan siksanya.

Dalam kehidupan kita seharian, selain komunikasi, perhubungan juga merupakan medium yang sangat penting. Tanpanya, kehidupan akan menjadi canggung dan tempang. Mungkin dunia akan sepi dan letai tanpa ada sistem komunikasi dan perhubungan yang baik. Kita sepatutnya bersyukur pada hari ini. Kita juga mesti selalu basah lidah dengan kalimah memuji Allah. Ini kerana, sistem komunikasi dan perhubungan hari ini amat canggih dan moden. Hari ini kita mampu meneroka dunia hanya dengan hujung jari. Semuanya berlaku kerana sistem komunikasi dan hubungan yang baik.

Seterusnya kita semua boleh bayangkan kalau tiba-tiba misalnya sistem komunikasi tidak dapat berfungsi. Telefon tiada line, internet rosak seluruh dunia. Bagaimana? Kita juga boleh bayangkan dalam perjalanan contohnya dari Malaysia ke Dubai tiba-tiba enjin pesawat tidak lagi berfungsi. Bagaimana? Tentunya akan kucar-kacir, huru-hara dan alam mungkin akan hilang serinya.

Begitu kalau kita lihat bagaimana warga tua tadi yang telah pincang sistem perhubungannya. Kakinya tidak dapat lagi berfungsi dengan baik. Orang bisu yang tidak dapat lagi berkomunikasi dengan baik. Lidah tidak mampu lagi berbicara.

Oleh itu, kita harus rasa bersyukur. Semestinya bibir kita jangan luntur dari tutur bicara syukur. Jangan lidah kering dengan zikrullah dan jangan lokek masa menyebut dan memuji nama Allah. Kerana terlalu banyak nikmat yang kita ada. Tidak terhitung dan tidak akan mampu kita membalasnya.

Wallahu a’lam

Rabu, Mei 17, 2006

Kelakar: Kantul Nombor ATM

Ali beratur di belakang Abu yang sedang menggunakan mesin atm.
Ali: Hahaha... aku dah tau password anda
Abu: (gabra).err...berapa?
Ali: bintang, bintang, bintang, bintang. bintang.....

Selasa, Mei 16, 2006

Sannah Helwah

Selamat hari lahir buat sahabatku Zulkarnain bin Ramlan pa 12 Mei yang lepas. Semoga panjang umur dan murah rezki. Moga cepat bertemu jodoh.

Malam tadi aku dan Hairi pergi rumah Zul celebrate makan kek ais krim.

Semasa kami pulang, dalam perjalanan, aku terharu bila melihat salah seorang penumpang yang sama-sama kami menaiki teksi panjang. Aku terharu melihat keadaannya. Dia seorang bisu. Alangkah siksanya bagi dirinya untuk berkata dan memberitahu arah tujunya.

Saya kira, kalangan kita mesti pernah sakit tekak. Kalau tidak teruk sakit tekak pun, cukuplah sekadar perit pada tekak yang menghalang kita berkata-kata. Alangkah siksanya waktu itu. Kita bayangkan manusia yang bisu tadi. Langsung tidak mampu dantidak boleh berkat-kata. Alangkah siksa dan sukarnya.

Maka, bersyukurlah di atas segala kurniaan Allah.

Wallahu a'lam

Khamis, Mei 11, 2006

I Love U (Bahagian akhir)

Oleh Ilham Harapan

Deduksinya; sebenarnya saya ingin koreksi diri saya. Bila membahas pasal cinta mungkin ada yang menghukum atau berkata pembahas jiwa-jiwa. Mungkin ada juga yang biasa saja bila bercerita perihal “I love you” dan cinta. Mungkin juga ada yang bingung dan pelbagai kemungkinan lagi. Bagi saya, tidak kisah pun apa yang orang hendak kata. Namun, apa yang ingin saya kata adalah hakikatnya; ungkapan “I love you” jarang sekali dilafaz untuk kekasih hati, penawar duka, penghibur hati iaitu Rasulullah s.a.w. Kata-kata ini amat sedikit atau mungkin hampir tidak pernah diluah kepada Maha Pencipta. Kenapa?

Mungkin tidak salah dan tidak terlalu keterlaluan kalau dikatakan bahawa sebenarnya tiada cinta Allah pada jiwa. Tiada kasih pada Allah pada nubari. Tiada sayang pada Allah dalam jiwa. Kalau ada mungkin secicip cuma. Kalau ada mungkin hanya sekadar. Kalau ada mungkin hanya secubit. Kalau ada mungkin setalam cuma.
Mengapa?

Sukar untuk hati berbicara. Sukar untuk bibir berkata. Sukar untuk lidah bercakap. Mungkin hati lupa bahawa Allah Tuhan yang mencipta manusia. Mungkin jiwa lalai dan jarang mengingatiNya. Mungkin nubari kurang mengerti betapa kasihnya Allah.

Akhir sekali, ingin saya mengajak diri saya dan teman sekalian koreksi diri kita. Dalam putaran masa 24 jam, berapa kalikah kita mengungkap kata “aku cinta padamu ya Rasulullah.” Berapa kalikah kita berteriak “aku cinta padaMu Allah.”

Sabda Nabi s.a.w

عن زهرة بن معبد عن جده قال ثم كنا مع النبي صلى الله عليه وسلم وهو آخذ بيد عمر بن الخطاب رضي الله عنه فقال والله يا رسول الله لأنت أحب إلى من كل شيء الا نفسي قال النبي صلى الله عليه وسلم والذي نفسي بيده لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من نفسه قال فأنت الآن والله أحب إلى من نفسي فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم الآن يا عمر
Maksudnya: Darpida Zahrah bin Mu’bid daripada datuknya berkata:” Adalah kami bersama Rasulullah s.a.w yang mana baginda mengambil tangan Umar, maka berkata Umar: “Wahai Rasulullah adalah engkau orang yang paling kucintai daripada segala sesuatu melainkan diriku.” Bersabda Nabi s.a.w: Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya tidak sempurna iman seseorang sehingga aku lebih dikasihi daripada dirinya sendiri. Maka, bagaimana engkau (Umar) sekarang?” Maka jawab Umar: “Demi Allah aku lebih mencintaimu daripada diriku.” Maka bersabda Rasulullah s.a.w: “Sekarang ya Umar.” (sempurnalah imanmu sekarang ini Umar).

H.R Imam Ahmad

Wallahu a’lam

Khamis, Mei 04, 2006

Ketenagan yang amat dirindu

Teman,
sangat mahalkah harga sebuah ketenangan
hingga amat sukar untuk aku memilikinya.

Teman,
adakah aku
pencuri ketenaganmu?
Lantaran itu aku dihukum
hingga aku tidak lagi diberi
ketenangan itu.

Teman,
aku sedar, aku fakir
aku sedar, aku miskin
aku sedar, aku papa
aku sedar, aku tidak punya apa-apa
aku sedar, aku tidak akan mampu
membeli ketenangan itu darimu
tapi aku juga insan sepertimu
punya hak yang sama.

Teman,
sungguh aku merintih
sungguh aku merayu
sungguh aku mengeluh
agar diberi semula ketengangan itu
yang sangat-sangat aku rindukan.

Ilham Harapan
4 Mei 2006
Cairo, Egypt

Relevenkah? Pengurus kilang memarahi produk keluarannya sendiri.

Ilham Harapan

Ahmad merupakan seorang pengurus kilang roti di sebuah daerah berhampiran planet marikh. Ahmad sangat menggemari roti, lantaran itu tercetuslah idea untuk membina sebuah kilang roti. Beliau, dengan sedikit pengalaman yang ada, berbekal sijil ijazahnya dalam Fakulti Perniagaan pengkhususan bidang pembikinan roti dan bersama kewangan berjuta-juta dinar telah mengumpulkan sebilangan pakar bagi tujuan tersebut. Beliau telah menubuhkan sebuah panel khas bagi memastikan roti keluarannya disukai ramai dan enak dimakan begitu saja.

Antaranya, beliau mengundang Razak Shumacher dari Utara Pluto merupakan pakar dalam bidang psikologi bagi menarik hati makhluk alam semesta kecor dan liur dengan roti. Beliau juga menjemput Rahman Jackson dari Timur Musytari merupakan pakar dalam bidang Mechine Enginering. Tidak dilupakan Talib Jakelina seorang pakar menguli adunan dari Bumi dan terdapat banyak lagi pakar-pakar dan profesional-profesional lain yang duduk semeja merealisasikan impiannya.

Maka, dari perbincangan seluruh pakar-pakar ini terhasillah sebuah kertas kerja dan resolusi dinamakan Penyata Ahmad. Tersebutlah di dalam Penyata Ahmad itu matlamat dan objektif, gerak kerja, bajet kewangan dan pelbagai lagi perkara yang semuanya adalah bertujuan merealisasikan impiannya. Dan panel pakar-pakar yang dijemput khas ini menyerahkan Penyata Ahmad ini kepadanya untuk dilaksana kerja seterusnya dan Ahmad amat setuju dengan kertas kerja tersebut yang mana beliau juga merupakan ahli panel yang paling utama dan paling banyak merancang. Setelah itu, bersiap-siagalah Ahmad dalam menterjemahkan segala apa yang tercatit dan tertulis dalam Penyata Ahmad dan Penyata ini dijadikan manhaj serta sistem dalam pembikian rotinya.

Maka, beliau mengarahkan seluruh kakitangan dan pekerjanya bekerja keras, bersungguh-sungguh, rajin, jujur, cekap dan amanah dalam menjalankan tugas. Semuanya digembleng bagi memastikan impiannya menghasilkan produk roti yang berkualiti tercapai.

Maka, setelah memakan waktu beberapa ketika, lahirlah roti keluaran Ahmad. Sementelah dan sekonyong-konyongnya Ahmad berang. Wajahnya mencuka. Bibirnya mencebik. Begitu juga Pegawai-pegawai pengurusan yang lain. Mereka semua berang dan marah-marah tanpa henti. Mereka semua marah pada roti produk keluarannya. Habis dimaki hamun dan disumpah seranah semua roti-roti. Setiap hari Ahmad dan barisan pegawainya memarahi roti tanpa henti. Maki hamun dan sumpah seranah terus-terusan menghujani roti keluarannya. Habis produk keluarannya menerima cacian, teguran, muhasabah dari Ahmad dan barisan pegawainya. Semuanya ini kerana roti yang dikeluarkan tidak memenuhi hasrat dan impiannya.

Kenapa ya? Sangat hairan dan memeningkan, Ahmad tidak pernah pula memarahai, muhasabah dan memberi teguran nasihat kepada Jemaah Pegawainya apa lagi kepada dirinya sendiri. Hari-hari mereka hanya menempelak roti dan kadang-kadang mengkritik pekerja-pekerja paling bawah.

Entahlah! Kenapa Ahmad begitu. Relevenkah Ahmad memarahi roti-roti tersebut. Relevenkah seorang pengurus memarahi produk keluarannya sendiri?

Wallahu a’lam

Rabu, Mei 03, 2006

I Love U (iii)

Oleh Ilham Harapan

Bismillah...

Lama sungguh tidak saya bikin coretan dan beramah tamah melayani tajuk "I love U" ini. Semua ini mungkin kerana ripuh bergelandangan dengan topik lain. Saya kira tajuk ini telah amat lama tidak saya sambung perbahasannya dan membiarkan ia terus tergantung tanpa ada titik penyudah.

Oleh kerana itu, adalah lebih enak pembacaan jika diselak lembaran silam pada perbicaraan "I Love U (i) dan (ii)" sebelum meneruskan pembacaan perbahasan kali ini.

Dengan nama Allah, saya menyambung kembali

Oleh kerana itu, tidaklah salah kalau dikatakan cinta dan kata-kata, antara keduanya mempunyai kaitan yang sangat rapat. Cinta dan ungkapan kata “I love you” umpama darah daging. Sabda Nabi s.a.w.

حدثنا مسلم بن إبراهيم ثنا المبارك بن فضالة ثنا ثابت البناني عن أنس بن مالك ثم أن رجلا كان ثم النبي صلى الله عليه وسلم فمر به رجل فقال يا رسول الله إني لأحب هذا فقال له النبي صلى الله عليه وسلم أعلمته قال لا قال أعلمه قال فلحقه فقال إني أحبك في الله فقال أحبك (سنن أبي داءود) جزء 4 م.س 333

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik. Kemudian bersamanya seorang lelaki, kemudian Nabi s.a.w. Kemudian melintasi baginda seorang lelaki. Maka berkata Anas: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku menyintai lelaki ini.” Maka Nabi s.a.w bersabda: “Adakah engkau telah memberitahunya?” Berkata Anas: “Belum ya Rasulullah.” Bersabda Nabi s.a.w: “Beritahulah dia.” Maka Anas mendapatkan lelaki tersebut lalu berkata: “Aku cinta kepadamu kerana Allah.” Maka lelaki tersebut menjawab: “Aku cinta engkau juga.”
Daripada hadith di atas, jelas menyatakan kepada kita bahawa cinta dan luahan kata-kata amatlah penting. Supaya ia ada nilai dan berharga.

Hadith di atas, kita lihat bagaimana saidina Anas meluahkan rasa cintanya kepada seorang sahabat. Mungkin bagi kita pada hari ini, ia merupakan suatu yang janggal atau jelek bila kita meluahkan rasa cinta pada kaum sejenis kita. Tetapi inilah rasa cinta yang sebenarnya.

Kata-kata Saidina Anas meluahkan rasa cinta pada sahabat, bukanlah satu fenomena gayboy, homoseks atau pun sebagaimananya. Ini adalah rasa cinta sebenar yang amat sekali digalakkan Islam. Meluahkan dan mempamerkan rasa cinta adalah digalakkan dalam Islam. Tetapi mestilah betul dan tepat pada tempatnya. Lihatlah bagaimana hadith di atas betapa Rasulullah menggalakkan kita meluahkan rasa cinta kepada saudara kita.

Begitulah kalau kita lihat, cinta dan ungkapan kata, tidak dapat dipisahkan. Kita lihat sendiri bagaimana Rasulullah mengarahkan kepada Saidina Anas agar rasa cintanya diluahkan. Agar rasa cinta itu bermakna serta berharga dan dapat dirasai kemanisannya bersama.

Kalau kita cinta ibu, ucaplah “I love you” mama. Agar rasa cinta pada ibu tampak. Kalau kita cinta saudara kita, ucapkanlah “I love you” saudaraku. Supaya rasa cinta pada saudara terzahir. Kalau kita cinta pada Rasulullah, ucaplah “I love you” wahai Kekasih Allah. Agar rasa cinta itu terbukti dan bukan hanya pendaman hati. Kalau kita cinta pada Allah, ucaplah “I love you” Allah. Supaya terlihat yang hambanya memang kasih padaNya.
bersambung...
Wallahu a'lam