Khamis, April 02, 2009

Al-Kibr

Bismillah

Maksudnya: Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sifat takabbur walaupun sebesar zarah. Maka berkata seorang sahabat: Sesungguhnya seorang lelaki suka bajunya indah dan kasutnya indah. Bersabda Nabi s.a.w: Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Takabbur itu menafikan kebenaran dan merendahkan manusia.
(HR Muslim)

Syeikh Muhammad bin ‘Allan as-Siddiqi dalam kitab Dalil al-Falihin mentakrifkan al-Kibr atau takabbur sebagai merendahkan seseorang, orang lain dan menghinakannya. Beliau turut menyatakan “takabbur terhadap Allah adalah kufur iaitu dengan tidak mentaati-Nya dan tidak menerima perintah-Nya. Maka barang siapa meninggalkan perintah Allah dan melakukan larangan-Nya, dia telah merendahkan Allah Ta’ala maka jadilah dia seorang kafir. Adapun sesiapa yang meninggalkan perintah-Nya bukan bertujuan merendahkan Allah, tetapi hanya dikuasi nafsu syahwat atau pun kerana lalai, maka ia hanayalah seorang yang melakukan penderhakaan kepada Allah.”

Seterusnya beliau menyatakan i’jab atau ‘ujub pula ialah melihat diri sendiri sebagai seorang yang sempurna. Berbangga dengan apa yang ada pada diri berupa ilmu, kecantikan paras rupa, harta mahupun pangkat. Demikian ulasan beliau pada permulaan bab Haramnya Takabbur dan Ujub dalam kitabnya.

Pada hadis di atas pula Nabi s.a.w memberi ingatan buat kita bahawa sifat takabbur ini menjadi penghalang kepada seseorang daripada memasuki syurga Allah. Nabi turut menjelaskan yang dimaksudkan dengan takabbur itu ialah menafikan kebenaran dan merendahkan manusia. Bukanlah takabbur dan sifat ‘ujub itu dengan memakai pakaian cantik dan kemas atau berkasut elok.

Keterangan di atas, jelas memberitahu kepada kita betapa sifat takabbur ini merupakan suatu yang dikeji di dalam agama. Ia tergolong dalam sifat mazmumah yang menjadi batu penghalang kepada individu memasuki syurga Allah. Maka, seharusnya bagi umat Islam menjauhi sifat keji ini dan haruslah berakhlak sebagaimana akhlak Nabi kita Muhammad s.a.w. Kita bermohon daripada Allah, mudah-mudahan kita dilindungi daripada sifat-sifat keji dan dilimpahi sifat-sifat terpuji.

Wallahu a’lam