Jumaat, September 12, 2008

Menafikan suatu falsafah pemikiran materi

Bismillah

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
(Hud ayat 6)

Maksudnya: Dan tidak ada suatu binatang melata[1] pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezkinya, dan dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya[2]. semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh).

Menurut sebuah hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam r.a., beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy'ariyyin yang baru sampai daripada perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka telah mengutuskan seorang daripada kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Rasulullah s.a.w.

Apabila wakil mereka sampai kepada Nabi, beliau mendengar Nabi s.a.w. membacakan ayat ini. Rasa yakin dengan rezeki Allah menerusi ayat yang dibacakan oleh Nabi itu, menyebabkannya pulang semula tanpa meminta. Sesampainya kepada sahabat-sahabat seperjalannya, dia terus menerangkan bahawa rezki Allah akan sampai kepada mereka.

Mereka menyangka beliau telah membuat permintaan kepada Nabi. Tiba-tiba datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmatinya sepuas-puasnya, masih banyak lagi berbaki. Mereka akhirnya meminta agar dibawa pulang semula kepada Nabi s.a.w. untuk diagihkan kepada orang lain.

Selepas itu mereka berjumpa dengan Nabi s.a.w. dan mengucapkan terima kasih atas hidangan lazat yang dihantarnya. Nabi menafikan penghantarannya itu. Sahabat yang berkenaan akhirnya telah membuat pengakuan tidak meminta daripada Nabi s.a.w. Baginda Rasulullah s.a.w. kemudiannya berkata itulah rezeki yang Allah janjikan buat makhluk-Nya. (Tafsir al-Qurtubi, al-Darrul Manthur, tafsir ayat ke-6, surah Hud)

Menelaah kisah dalam ayat Allah surah Hud ini, menguja hati dan jiwa. Hebatnya iman dan keyakinan para sahabat Rasul s.a.w. Mereka memiliki iman yang sangat ampuh dan mantap. Lantas menafikan suatu falsafah pemikiran materi yang hanya memandang benda dan logik akal semata. Budaya positivisme yang meminggirkan metafizik telah ternafi. Demikian apa yang dapat diterjemahkan melalui tatapan ayat ini.

Oleh itu, Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya' bab rahsia puasa pada fasal kedua telah menyatakan: "Barangsiapa tergerak cita-citanya dengan bertindak pada siang harinya untuk memikirkan bahan pembukaan puasanya, nescaya dituliskan satu kesalahan kepadanya. kerana yang demikian itu, termasuk kurang kepercayaan dengan kurnia Allah 'Azza wa Jalla dan kurang yakin dengan rezki yang dijanjikan."

Mudah-mudahan kemunculan ramadan kali ini, menjadi titik permulaan dalam usaha memiliki keimanan sehebat para sahabat Rasulullah s.a.w. Moga-moga madrasah ramadan yang amat mulia ini, memberi impak iman yang sangat lumayan buat diri kita.

Sabda Rasul s.a.w.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -:" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ."

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah. Nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu.


[1] yang dimaksud binatang melata di sini ialah segenap makhluk Allah yang bernyawa.
[2] menurut sebagian ahli tafsir yang dimaksud dengan tempat berdiam di sini ialah dunia dan tempat penyimpanan ialah akhirat. dan menurut sebagian ahli tafsir yang lain maksud tempat berdiam ialah tulang sulbi dan tempat penyimpanan ialah rahim.


Wallahu a'lam

Sabtu, Ogos 16, 2008

Wudhuk zahir dan batin

Bismillah

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat
warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu
khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan
selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih
ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang
selalu dirasainya kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang
abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya,
"Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya
tuan solat?" Hatim berkata,

"Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir
dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wudhuk
zahir dan batin itu? " Hatim berkata,"Wudhuk
zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua
anggota wudhuk dengan air".

Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota
dengan tujuh perkara :-

* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki."

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi
ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan
menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku
rasakan:
1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,
2. Syurga di sebelah kananku,
3. Neraka di sebelah kiriku,
4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri
di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap
bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir
bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan
baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham
maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan
tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan
dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku
bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana
membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila
dibandingkan dengan Hatim.

Jumaat, Jun 06, 2008

Merindui Sultan

Bismillah

Membaca sejarah dan riwayat hidup Sultan Alauddin Riayat Shah, membikin jiwa terasa sangat rindu kepadanya. Rindu kepada sikap dan karakternya sebagai seorang raja berjiwa hamba. Rindu kepada nilai dirinya yang berhati rakyat, tanggungjawab dan sensitiviti baginda terhadap rakyat. Rindu bertambah dalam bila keadaan dan suasana kini yang semakin huru-hara.

Pada awal pertabalan baginda sebagai raja, negeri Melaka dilingkari jenayah curi. Sehingga perniagaan baginda yang dikongsi bersama rakan-rakanya, turut menjadi mangsa kecurian. Maka, resah dan gundah-gulanalah Sultan Alauddin. Jelaslah bahawa Melaka berada ditahap jenayah yang tinggi.

Sungguh saya teramat kagum apabila Sultan Alauddin bertemu guru tasaufnya dalam usaha baginda merungkai masalah negeri Melaka. Baginda memohon nasihat dan pandangan ulama dalam mengurus negara.

Tuan guru baginda mengutus warkah dan berpesan kepadanya supaya menjadi seperti Khalifah Umar al-Faruk dan Umar Abd Aziz. Gurunya menasihati andai undang-undang hanya di atas kertas dan di dalam kitab-kitab sahaja tidak dijalankan untuk mendapat redha Allah maka begitulah rosak binasa negeri bermaharajalela penyamun dan pencuri.

Setelah berbincang bersama rakan-rakan dan menerima pelbagai aduan tentang temenggung Seri Maharaja yang diamanahkan menjaga keamanan Melaka tidak melaksanakan amanahnya, baginda setuju menuruti jejak Amirul Mukminin. Baginda bersama rakan-rakannya mengenakan baju buruk-buruk seperti rakyat jelata, merayau-rayau dan mengawal Melaka pada waktu malam.

Seperti yang dijangka, baginda bertemu dengan lima orang penyamun yang akhirnya berjaya dibunuh oleh baginda dan rakan-rakannya. Setelah subuh baginda tidur seketika dan bangkit ketika dhuha. Usai solat, baginda bersemayam dibalai penghadapan yang dihadiri sekalian menteri, orang besar-besar, pegawai-pegawai, dan hulubalang-hulubalang.

"Seri Maharaja adakah kawal semalam?" Tanya baginda Sultan.

Terperanjat temenggung disoal mendadak begitu. "Ada, tuanku."

Sultan Alauddin menjadi murka serta merta dan merah padam mukanya. "Kita dengar ada orang mati dibunuh orang di atas Bukit Melaka."

"Itu patik tak tahu tuanku."

"Kawal apa Seri Maharaja semalam? Kawal gundik dan bini?"

Temenggung tertunduk malu.

Akhirnya diminta rakan baginda Hang Isap mengangkat sembah, mengkhabarkan sidang apa yang berlaku semalam.

Moga akan lahir kembali suatu kepimpinan adil umpama ini.
Wallahu a'lam

Isnin, Jun 02, 2008

Buaya Sangkut

Bismillah

Tidak pernah terlintas sedikit pun dalam fikiran yang saya akan berjalan kaki sejauh 5.5 km dengan perjalanan yang mengambil masa selama 3 jam. Merentas denai dan meredah hutan. Mendaki bukit tinggi dalam kehausan dan kelaparan sambil dengan relapaksanya menyumbang darah kepada pacat, semata-mata untuk mandi di air terjun Buaya Sangkut, Taman Negara, Endau-Rompin.

Namun, ketika sampai ke destinasi, keadaan dukacita menyelubungi nubari bila air terjun jernih yang begitu memukau sebagaimana diuar-uarkan, berlaku sebaliknya. Akibat cuaca yang kurang baik, hujan dan aktiviti pembalakan, air terjun menjadi keruh dan arusnya sangat deras. Mandi di dalamnya, mendedahkan diri kepada mara bahaya.

Walau apa pun. Ia menyumbang suatu kepuasan ke dalam jiwa dan memberi pengalaman yang amat beerti. Sedar atau tidak, ia menitipkan suatu motivasi pada tiap nafas yang dihirup dan tiap darah yang mengalir dalam tubuh.

Situasi yang berlaku dan perjalanan yang ditempuh dalam hasrat menuju ke destinasi, mempunyai nilai yang sangat signifikan dan ada persamaan dengan kehidupan yang sedang dilalui.

Andai diamati, betapa sanggupnya kita meredah belantara, menyusuri denai, mengharungi sungai, mendaki bukit tinggi, berjalan kaki sambil memikul bekalan makanan, kaki tangan yang dipenuhi pacat menghisap darah dan pelbagai tribulasi lagi demi mencapai matlamat untuk sampai ke destinasi.

Alhamdulillah, dengan berkat kecekalan, kesabaran, semangat dan nusroh Allah, semua telah mampu sampai ke destinasi. Tiada seorang pun yang mufaraqoh atau berpatah balik walaupun sesekali lidah menyuarakan keletihan dan kejerihan dalam perjalanan. Walaupun rasa hati bagai tidak mampu sampai ke tempat yang dituju.

Alangkah baiknya andai segala sikap yang berjaya ditonjolkan dalam ekspidisi ini, diterjemah, diamal dan direalisasikan dalam kehidupan. Insya-Allah dengan izin Allah Ta'ala, kita akan mampu meraih kecemerlangan sebagaimana cemerlangnya kita menjejakkan kaki ke Air Terjun Buaya Sangkut.

Menjalani kehidupan di atas muka bumi, mestilah ada niat dan matlamat yang jelas. Maka, sudah tentu dalam mencapai matlamat tersebut, ujian dan kekangan, tidak akan putus. Oleh itu, janganlah dugaan dan cubaan menjadi batu halangan mencapai matlamat dan cita-cita.

Itulah sebenarnya sikap yang Rasulullah paparkan buat sekalian umat agar dicontohi dan menjadi ikutan. Lihatlah bagaimana sejarah merakamkan betapa Rasulullah s.a.w mewaqafkan seluruh jiwa raganya, menggadaikan segala apa yang ada dan menempuh pelbagai rintangan bagi memastikan matlamat dan cita-cita mendaulatkan agama Allah tercapai.

Moga-moga kita semua mampu mencapai cita-cita dan impian dalam keredhaan Allah dan keberkatan-Nya.

Wallahu a'lam

Sabtu, April 19, 2008

Bila dikunyah terasa sedap.

Bismillah

Manusia dijadikan Allah daripada dua unsur. Rohani dan jasmani, fizikal dan spritual, luaran dan dalaman. Kedua-dua unsur ini sangat berkait rapat dan saling memerlukan. Kedua-duanya juga sangat memerlukan perhatian, penjagaan, zat dan makanan tambahan agar ia terus berfungsi dan lestari.

Jasmani, jasad dan tubuh badan manusia perlu dibersihkan dan diurus dengan rapi. Ia perlu diberi makanan yang terbaik dan berkhasiat. Segala hak dan keperluannya perlu diurus dan dijaga dengan sempurna.

Begitu juga rohani, spritual dan dalaman manusia. Ia amat memerlukan penjagaan dan pemeliharaan yang sempurna. Kehendak dan keperluannya juga sangat perlu dititikberatkan. Dan salah satu kehendaknya adalah hiburan.

Hiburan; secara umumnya bukanlah suatu yang terlarang di dalam Islam. Ia merupakan salah satu makanan jiwa dan santapan rohani manusia. Islam membenarkan hiburan dengan syarat menjaga batas syariat.

Dr Yusof Qardhawi telah menulis di dalam kitabnya 'Halal dan Haram di dalam Islam' pada permulaan bab mengenai hiburan sebagaimana berikut:-

"Islam adalah agama realiti yang tidak dicipta berdasarkan khayalan, perumpamaan dan sangkaan. Bahkan Islam berdiri seiring dengan insan di atas bumi yang hakiki dan realiti..........

Oleh sebab itu, tidak difardukan ke atas manusia, setiap perkataannya zikir, setiap diamnya fikir, setiap pendengarannya al-Quran dan setiap masa kosongnya di masjid. Sesungguhnya Islam mengiktiraf fitrah dan tabiat manusia yang telah Allah jadikan. Allah telah ciptakan perasaan gembira, ceria, ketawa dan keseronokan sebagaimana Allah ciptakan sifat makan dan minum kepada manusia."

Tetapi ia bukan beerti Islam agama hiburan, bertuhan hiburan dan sangat menggemari hiburan. Bukan juga bermaksud Islam agama yang mengagungkan hiburan.

Terlalu mengagungkan hiburan dan berhibur dengan cara melampau sebagaimana yang sering berlaku pada hari ini, merupakan suatu perkara terkutuk dan menyimpang jauh daripada landasan syariat.

Hiburan yang diangkat begitu tinggi, akan menyumbang kepada masalah besar dalam masyarakat. Program realiti tv yang disogok setiap hari, mampu membunuh jiwa anak muda daripada terus berusaha gigih memajukan diri. Ia akan membuat orang malas bekerja dan lemah semangat berusaha.

Oleh itu, ingatlah! Sebagaimana tubuh badan manusia yang sangat memerlukan kepada keseimbangan makanan, rohani dan jiwa manusia juga memerlukan nutrisi dan pemakanan seimbang yang sama. Bukanlah disuap dengan gelojoh dan disogok hingga penuh.

Maka, berhemahlah dalam memilih makanan yang terbaik untuk rohani dan spritual manusia. Berhati-hatilah dengan makanan lazat yang disuntik virus dan diadun racun serta kimia Orientalis Barat. Bila dikunyah terasa sedap, tetapi jiwa semakin gelap dan jauh daripada syariat.

Wallahu a'lam

Ahad, Februari 17, 2008

Pemimpin pilihan

Bismillah

لا خير فيكم إذا لم تقولونا ولا خير فينا إذا لم نسمعا

"Tidak ada kebaikan bagi kamu sekiranya kamu tidak berkata kepada kami dan tidak ada kebaikan bagi kami sekiranya kami tidak mendengarnya."

Siapakah yang tidak mengenali tokoh ulung dunia Islam yang diiktiraf sebagai mujaddid kurun pertama iaitu Saidina Umar al-Khattab r.a. Kehebatannya dalam menjelmakan sebuah tamadun kegemilangan Islam, masih disebut-sebut sehingga hari ini.

Keadilan, ketegasan, keberanian dan lemah lembutnya dalam meladeni setiap urusan rakyat dan negara, begitu dikagumi dan tidak boleh disangkal lagi.

Apakah rahsia disebalik kejayaan dan kegemilangan tersebut?

Antaranya adalah budaya 'tanasuh' dan muzakarah. Iaitu suatu budaya nasihat menasihati dan saling mengingat. Pemimpin memberi nasihat dan peringatan kepada rakyat dan rakyat diberi ruang menegur dan menasihati pemimpin.

Budaya ini dijelmakan melalui suatu kalam masyhur yang terbit dari lisan Saidina Umar sebagaimana di atas.

Saidina Umar memberitahu bahawa tiada kebaikan seandainya rakyat tidak menyatakan masalah mereka, tidak memberitahu keadaan mereka dan tidak mengutarakan apa yang tidak mereka senangi kepada pemimpin. Rakyat yang hanya berdiam diri dan tidak bersuara, ia tidak akan mendatangkan kebaikan kepada khalifah dan negara.

Saidina Umar turut juga menjelaskan bahawa tidak ada kebaikan, kesejahteraan dan keamanan kepada khalifah dan negara seandainya tidak didengar apa yang rakyat perkatakan kepada mereka.

Dalam ungkapan yang lebih mudah lagi, mungkin sifat dan sikap Saidina Umar ini adalah suatu yang dinamakan demokrasi yang sebenar. Tiada unsur autokrasi dan kuku besi dalam pemerintahannya. Tiada juga unsur kekerasan dan paksaan dalam menjalankan amanah. Ia juga bukan suatu demokrasi tafsiran sendiri atau kuku besi yang berselindung disebalik demokrasi.

Saidina Umar menjalankan amanah rakyat dan negara dengan toleransi dan penuh bertanggungjawab. Ciri-ciri umpama inilah yang sepatutnya ada pada setiap pemimpin dan yang seharusnya dipilih oleh rakyat. Agar ketamadunan dan kegemilangan Islam, mampu dijelmakan semula sebagaimana yang telah dibina sebelum ini.

Wallahu a'lam

Jumaat, Februari 08, 2008

Manis bagi lelaki, pahit bagi perempuan.

Bismillah

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلَّا تَعُولُوا

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Berbicara tentang kahwin dua, adalah suatu topik manis bagi kaum lelaki. Tetapi ia suatu yang pahit bagi kaum hawa.

Jika kita merujuk surah an-Nisa' ayat 3, sebagaimana di atas, amat jelas menyatakan bahawa kahwin dua, tiga atau empat merupakan perkara yang telah disyariatkan. Islam tidak melarang bernikah lebih daripada satu sekiranya yakin akan berlaku adil. Sekiranya bimbang akan berlaku kezaliman atau tidak adil dikalangan isteri-isteri, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja.

Ayat di atas begitu jelas memberitahu bahawa bernikah lebih daripada satu dan tidak melebihi empat, adalah harus. Tidak haram dan tidak juga berdosa.

Namun selalu; saya merasa sangat kecewa bila terlalu banyak cakap-cakap negatif berkaitan poligami. Sedar atau tidak, kebanyakan masyarakat memandang sinis tentang hal poligami. Walhal, ia perkara yang telah disyariatkan. Bahkan Allah menjanjikan pahala yang berlipat ganda bagi si isteri yang membenarkan suaminya bernikah lagi.

Pensyariatan ini seolah-olahnya tidak ada atau mungkin lebih tepat lagi ia semacam berdosa bila dilakukan.

Saya tidak pasti kenapa masyarakat sinis dengan poligami. Sensitf dengan isu ini. Terlalu banyak cakap-cakap negatif yang berkumandang. Hairanya, mereka tidak sinis dengan perlakuan sumbang muda-mudi sekarang. Tidak pula cakap-cakap tentang melanggan pelacur. Kalau pun ada cakap-cakap tentang hal terkutuk ini, ia sekadar pemanis bicara dan bukan isu utama.

Sekiranya seorang lelaki memang mampu, kenapa mesti sinis dengan pernikahan lebih daripada satu? Biarpun poligami ini pahit bagi wanita, ia tetap merupakan suatu perkara yang disyariatkan. Ia juga merupakan salah satu daripada sunnah nabi s.a.w.

Minda dan pemikirian kita, jangan dibiarkan rosak dengan memandang sinis apa yang telah Allah halalkan untuk hambanya. Nilailah dengan adil dan rasional. Yang halal ada di depan mata dan yang haram juga banyak bersepah. Sepatutnya kita bersyukur dan berbangga kerana lelaki-lelaki ini memilih yang halal. Mereka takut dengan dosa zina dan azab Allah atas perlakuan terkutuk seperti zina.

Tidak dinafikan, mungkin ada berlaku selisih faham atau masalah rumah tangga dalam berpoligami. Namun sebagai saudara seislam, tidak sepatutnya ia menjadi buah mulut dan dijaja ke mana-mana. Ia tidak lebih cuma menambah saham neraka. Ketahuilah, poligami itu suatu yang disyariatkan. Sebaiknya kita sentiasa mendoakan kesejahteraan buat seluruh umat Islam.

Jangan kita mengharamkan apa yang telah Allah halalkan atau membuat sesuatu yang secara tidak langsung menafikan syariat Allah. Jangan yang halal itu disulitkan dan disukarkan. Bantu dan bimbinglah agar segala yang halal menjadi mudah. Sekat dan bencilah apa yang terang-terang haram dan jangan kita menjadi agen menghalalkan dan memudahkan perkara yang haram.

Wallahu a'lam

Khamis, Januari 31, 2008

Walaupun kita tidak berapa suka

Bismillah

Walaupun kita tidak berapa gemar, atau mungkin tak suka dan kurang minat sesuatu perkara. Biasanya akan ada juga rasa duka walaupun cuma secubit bila kita hendak meninggalkannya atau terpaksa meninggalkan. Contohnya pekerjaan. Walaupun kita tidak serasi, tidak berapa minat dan kurang gemar dengan pekerjaan kita, biasanya akan ada rasa sayu bila perlu melangkah pergi.

Itulah yang berlaku pada diri saya. Akhirnya saya meninggalkan pekerjaan yang telah setahun saya ceburi.

Memang saya tidak berapa gemar dan minat dengan pekerjaan yang saya ceburi seawal kaki melangkah masuk. Tetapi mungkin kerana terpukul dengan cabaran seorang guru dahulu dan niat hati mahu lakukan tranformasi, saya teruskan perjalanan yang berliku ini. Diam tak diam, sudah setahun sebulan saya di sini dan hari ini saya terpaksa melangkah pergi.

Dicelah-celah kepayahan dan kemurungan, alhamdulillah saya menikmati satu pengalaman dan sejuta ilmu yang sangat berharga. Secara tidak langsung, saya mempelajari selok-belok dunia perniagaan. Saya terdedah dengan dunia muamalat Islam secara realiti. Walaupun bukan semua sistem ekonomi Islam, sebahagiannya saya timba daripada pengalaman bekerja yang begitu bermakna ini. Sekurang-kurangnya bila orang bertanya atau bercerita tentang dunia perniagaan dan ekonomi Islam, saya tidak hanya terlopong dan ternganga.

Terima kasih tidak terhingga khususnya buat bos yang terbaik di dunia En Hishamudin Ismail. Kepada jiran tempat duduk saya Nur Izmira, terima kasih juga tidak terhingga. Buat rakan-rakan sekerja yang lain juga. Mohon ampun dan maaf dari saya dan terima kasih atas tunjuk ajar kalian.

Akhir bicara

كل آت، آت. وكل آت قريب

Benarlah hikam sebagaimana di atas. Sebelum ini, terasa macam lama menunggu tarikh dan hari tiba. Akhirnya hari yang ditunggu, menjelang juga. Terasa bagai semalam baru berlalu.

Wallahu a'lam

Rabu, Januari 02, 2008

Mampukah satu adunan roti mahu dijadikan gula-gula?

Bismillah

Pernah saya menulis sebelum ini bagaimana seorang pengusaha roti memarahi produk keluarannya sendiri. Dia mengkritik hasil kerja tangannya. Kenapa terhasil roti dan kenapa ia ditempatkan dikedai makan, kedai runcit atau pasaraya? Kenapa daripada adunan rotinya, tidak terhasil gula-gula atau paling kurang pizza mexicon baru.

Hairan bukan? Lebih menghairankan, ramai juga masyarakat yang turut mengkritik. Bukan pada pengusaha, tetapi lebih kepada produk. Persoalan yang sama juga dikemuka. Kenapa terhasil roti dan kenapa tidak dijual di pusat pameran proton? Itu antara tulisan lama saya.

Hari ini, satu januari 2008, semua staff diberi taklimat dan sepatah dua kata oleh Pengurus Besar. Antara cita-cita beliau adalah ingin membawa kampus cawangan al-Azhar ke negeri Johor di dalam WPI. Hasratnya ingin melahirkan Azhari yang global dan glokal. Katanya Azhari hari ini semuanya ingin menjadi kadi.

Pernah juga dulu saya mengulas tentang kerjaya agamawan terutama Azhari. Jangan semua menjadi ustaz atau ustazah sahaja. Kerana sebenarnya bidang kerjaya agamawan sangat luas dan terbuka. Disamping itu, bawalah Islam dan sebarkannya dalam apa jua lapangan yang diceburi.

Jangan semua Azhari menjadi kadi bila pulang ke tanah air. Azhari jangan berfikiran kekampungan dan jumud mindanya. Azhari dan agamawan juga jangan hanya menjadi ustaz dan ustazah.

Tetapi, apakah salah andai dari awal sekolah menengah hingga ke universiti, menerima didikan agama dan akhirnya menjadi kadi atau ustaz? Apakah salah juga dari awal sekolah menengah hingga ke universiti menerima didikan sains yang akhirnya menjadi saintis dan doktor? Apakah salah juga dari awal sekolah menengah hingga ke universiti menerima didikan vokasional dan metametik yang akhirnya menjadi jurutera?

Kenapa penggubal sistem pendidikan dan masyarakat tidak mengkritik golongan pelajar aliran sains menjadi seorang saintis? Mengapa mereka tidak mempertikai lulusan kedoktoran menjadi doktor sebagaimana mereka mempersoal agamawan? Mengapa juga tidak dipertikai graduan KPLI yang keluar menjadi guru? Sepatutnya saintis dan doktor tidak jumud dengan hanya memenuhi kerjaya dibidang mereka. Seharusnya mereka ini boleh duduk di masjid mengajar kitab agama dan menjadi kadi di jabatan agama.

Akhirnya, (hanya pandangan peribadi saya) semacam wujud konspirasi mengalihkan pandangan dan fokus golongan agama dan Azhari daripada terus konsisten dalam jurusan mereka. Tepung yang diadun untuk dibuat roti akan tetap menjadi roti dan tempat jualannya bukan di kedai kereta atau workshop.

Kerana itu, agamawan tidak seharusnya hilang tumpuan dan lari daripada fokus utama. Kalau bukan agamawan yang menjadi kadi, ustaz, hakim syar'ie atau penda'i, kepada siapakah lagi harapan yang hendak diletakkan? Kalau bukan doktor yang merawat pesakit, kepada siapakah lagi harapan yang hendak diletakkan? Kalau bukan jurutera yang membina bangunan, kepada siapakah lagi harapan yang hendak diletakkan?

Tidak boleh dinafikan, dalam dunia hari ini, 'value added' atau nilai tambah, sangat diperlukan. Situasi dan keadaan, begitu berbeza dengan sebelumnya. Ia terlalu mencabar dan penuh kepayahan. Oleh itu, nilai tambah sangat diperlukan dalam mengharungi semua ini. Namun bukan beerti fokus dan matlamat utama teralih dan tersasar.

Hakikatnya, saya melihat masyarakat semakin menumpukan perhatian kepada golongan agamawan. Mereka menfokus kepada keluaran bidang agama terutama Azhari, hampir kepada setiap sudut. Ia adalah hasil daripada kecelaruan yang menghantui kehidupan hari ini. Semuanya hanya mampu dirungkai dengan kembali kepada agama. Setiap penjuru dalam kehidupan memerlukan perungkai kekusutan. Maka, masyarakat mahu melihat agamawan menjadi usahawan berjaya. Mereka ingin Azhari menjadi pentadbir yang berwibawa. Semua mahukan agamawan mendepani massa dan serba boleh.

Kesimpulannya, hadaf dan misi utama dalam mewarisi ilmu dan perjuangan nabi, jangan diubah dek kerana mendengar cakap-cakap manusia sekeliling. Sebabnya agamawan punya amanah yang sangat berat. Fokus dan impian agama tidak boleh digantung begitu sahaja. Ia sangat perlu untuk terus dijelajahi dan dipegang kukuh. Namun, dalam masa yang sama, nilai tambah seperti ICT, pengurusan, isu semasa, bacaan-bacaan luar dan sebagainya, jangan diabaikan. Ia bakal menjadi fitnah ditengah-tengah masyarakat andai itu semua tidak terisi di dalam dada.

Mahu atau tidak, agamawan terutama Azhari merupakan pewaris junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Nabi adalah seorang pendakwah dan dalam masa yang sama merupakan seorang ketua ummah, ketua keluarga, ketua negara, ahli perniagaan, ahli ekonomi, seorang panglima perang dan berbagai lagi. Sebagai seorang pewaris, kalau tidak banyak, sekurang-kurangnya sedikit ciri berikut perlu ada. Oleh itu, apa yang perlu sebenarnya adalah kembali semula kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Sama-samalah kita berusaha merealisasikannya.

Penghujung bicara; mampukah, logikkah atau benarkah satu adunan roti mahu dijadikan gula-gula?

Wallahu a'lam

Selasa, Januari 01, 2008

Islam yang mengongkong?

Bismillah

Alhamdulillah. Kita wajib panjatkan syukur kepada Allah. Nikmat dan kurnia-Nya, kalau dihitung, tidak terkira. Siapakah yang mampu mengira jumlah oksigen yang Allah kurnia sepanjang hidup? Siapakah yang mampu mencipta mesin yang boleh menyedut oksigen dan membebaskan karbon dioksida sehebat ciptaan Allah? Belum pernah kita mendengar manusia tersalah sedut karbon dioksida dan membebaskan oksigen. Walhal ia terlalu abstrak dan tidak mampu dibezakan dengan mata kasar.

Sungguh besar kurnia dan nikmat Allah Ta’ala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Oleh kerana itu, sangatlah wajib bagi kita mensyukuri segala nikmat Allah dengan salah satunya melakukan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya. Juga banyak lagi instrument penterjemahan rasa syukur kepada Yang Maha Agung.

Antara nikmat-Nya yang kita rasai pada ketika ini adalah kesempatan umur memasuki tahun 2008. Ia satu anugerah Allah yang sangat bermakna. Ramai manusia di keliling kita yang mungkin saudara-mara, kenalan, jiran atau siapa jua yang telah dahulu pergi meninggalkan kita. Mereka tidak sempat menghirup udara nyaman 2008. Mereka telah tamat tempoh mendiami dunia.

Maka, kenapa kita perlu melonjak-lonjak gembira di hadapan pentas, memuja artis kesayangan kita? Apakah faedahnya pada jiwa, berhimpun beramai-ramai, bercampur lelaki perempuan sambil berpelukan dan bersinggulan, menanti detik satu januari 2008? Akhirnya terjerumus dalam lembah zina. Akan lahir nanti anak yang tiada bapa sah. Kelak, masyarakat akan semakin kucar-kacir. Beginikah kita mensyukuri nikmat Allah?

Apakah jawapan yang akan kita berikan di hadapan Allah andai tiba-tiba nyawa diambil? Alangkah nikmatnya andai jiwa yang sunyi diisi dengan alunan bacaan al-Quran atau zikir mengingati tuhan. Tenangnya hati andai roh dicabut ketika jasad berteleku di atas sejadah.

Islam tidak melarang hiburan. Islam juga tidak menyekat hati penganutnya menyambut kegembiraan. Islam juga tidak mengongkong. Malahan Nabi s.a.w pernah menegur Saidina Abu Bakar kerana memarahi Saidatina Aishah bermain kompang dan berhibur ketika hari raya. Saidina Umar juga pernah menegur sahabat yang memarahi dua orang kanak-kanak yang sedang bermain pedang di hadapan masjid.

Maka, hiburan bukanlah suatu yang terlarang andai syariah dijaga dengan murni. Marilah sama-sama kita mulakan tahun baru 2008 ini dengan perkara yang mendekatkan jiwa kepada Allah. Biar apa juga azam dan impian tahun baru kita, asalkan ia mampu mencapai redha Allah. Salam tahun baru 2008 buat semua.

Wallahu a'lam