Ahad, Jun 24, 2007

Suatu kebingungan

Bismillah

Salam takziah diucapkan buat keluarga Muhammad bin Ishak di atas pemergiannya menyambut seruan Ilahi. Pemergian yang sangat tragis dan begitu menyayat hati. Suatu episod yang mengundang kebingungan semua pihak. Hingga ke saat ini, motif utama pembunuhan masih tidak dapat dipastikan. Jika diterjemahkan kebingungannya, mungkin mampu terjelma sebuah tanda soal sebasar dunia dan seberat planet Musytari.

Apa yang pasti, ia adalah takdir dan ketentuan Tuhan. Semua telah tertulis dan termetrai. Sama-sama kita doakan rohnya berada dalam keadaan aman. Moga segalanya berkesudahan dengan tenang.

Dalam pada itu, jangan kita lupa untuk menelaah dan sama-sama mengambil pelajaran. Kita selak kembali lembar-lembar sejarah silam yang telah kita tempuhi. Apakah di sana ada dosa dan kesalahan. Atau mungkin ada silap dan kemaksiatan terhadap Tuhan.

Firman Allah Ta'ala :

وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير

Maksudnya : Apa juga bencana yang menimpa kamu adalah hasil usaha tangan kamu dan kebanyakannya diampunkan Allah. ( asy-syura : 30 )

Musibah dan fitnah yang menimpa ini, sedikit sebanyak mencalar kredibiliti Azhari. Ia tidak hanya terpalit pada yang sedang menuntut sahaja. Bahkan meliputi semuanya.

Saya juga sering dihujani pelbagai persoalan oleh teman-teman dan masyarakat tentang apa yang menimpa. Apa yang boleh diperkata hanyalah dua dunia. Mesir adalah bumi Anbiyak dan juga bumi Firaun laknatullah. Tapi bukan bermakna suspek digolong dalam golongan Firaun. Ia sekadar jawapan mematikan pelbagai persoalan.

Azhari hari ini, mungkin sudah banyak yang lupakan Ilahi. Mungkin juga ramai yang tidak lagi menjalankan amanah dan tanggungjawab membela agama. Sedar atau tidak. Mahu atau tidak. Kita adalah golongan yang Allah pundakkan amanah dan tanggungjawab mewarisi perjuangan Rasul tercinta.

Mungkin ini juga sekadar ujian dari Tuhan mahu menguji hambanya yang beriman. Mahu mengangkat darjat hamba-Nya.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah memberkati hidup kita. Memberi kekuatan buat kita menjalankan amanah dan tanggungjawab yang Allah berikan. Moga kita semua diberi kejayaan gemilang di dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam

Sabtu, Jun 16, 2007

Pelaburan yang menguntungkan

Bismillah

Pernahkah anda menyertai pelaburan internet yang beberapa bulan lalu ripuh dibicarakan? Atau pernahkah menyertai pelaburan melalui Amanah Saham Bumiputera atau mana-mana pelaburan?

Melaui pelaburan internet, pelabur ditawarkan dengan keuntungan yang begitu lumayan. Apa yang saya ketahui, ia menjanjikan keuntungan hingga 2% sehari. Dengan modal USD 100, pelabur mampu memperoleh keuntungan USD 2 sehari. Jika dijumlahkan, pelabur akan menikmati keuntungan sehingga USD 60 (RM 204) dalam masa 30 hari sahaja.

Begitu lumayan. Tempat saya bekerja pun, hanya mampu memberikan profit 8% setahun. Itupun ramai yang mengatakan ia sudah tinggi. Tapi yang ini tidak terjangkau tingginya. Tidak perlu bekerja, memeras tulang empat kerat atau berpeluh-peluh mencangkul tanah. Hanya duduk berpeluk tubuh dan melihat keuntungan diterima melalui akaun dalam internet serta mencari orang bawah bagi mendapat komisyen lebih.

RM 204 sebulan bagi modal RM 340, bagi saya pelaburan yang terlalu menguntungkan. Tambahan pula, pelabur hanya perlu menunggu dan tidak perlu lakukan apa-apa kerja. Anda boleh fikir dan bayangkan jika modal ditambah sehingga RM 1000 misalnya. Pelabur akan menikmati keuntungan RM 20 sehari. Jika RM 10000, pelabur akan menikmati keuntungan RM 200 sehari. Sangat-sangat menguntungkan.

Kerana itu, ada kalangan orang melayu yang sanggup meminjam wang bagi tujuan pelaburan tersebut. Ramai juga yang berhenti kerja setelah menikmati keuntungan lumayan setiap hari. Apa yang perlu difikirkan dan bekerja bertungkus-lumus lagi bila sudah memperoleh RM 200 sehari. Tauke balak pun tidak memperoleh keuntungan sedemikian.

Bagi mereka yang telah lama dibelenggu masalah kewangan, peluang umpama ini adalah suatu pakej yang amat melegakan. Siapakah di kalangan kita yang tidak mahu hidup senang. Ditambah pula dengan keadaan sara hidup yang semakin meningkat. Tekanan kerja yang semakin bertambah.

Namun, tidak ada yang mudah di atas muka bumi ini sebenarnya . Hatta manusia yang paling dicintai Allah, Rasulullah s.a.w sendiri berusaha penat lelah bagi mendapatkan sumber kewangan. Padahal, apa sahaja yang baginda inginkan, pastinya Allah kabulkan.

Maka, tercetuslah suatu kontroversi berkaitan pelaburan internet yang berakhir dengan pengaharamannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Hasil kajian dan penelitian sarjana Islam mendapati pelaburan umpama ini adalah bercanggah dengan prinsip dan ajaran Islam.

Walaupun telah diharamkan, kita masih lagi mendengar desas-desus penglibatan orang melayu Islam terutamanya, dalam pelaburan ini. Masih ramai lagi yang tidak berganjak dari pelaburan ASN ini. (Amanah Saham Neraka)

Bila dikenang dan difikir, hanya bermodal RM 10000, pelabur mampu memperoleh keuntungan RM 200 sehari tanpa melakukan apa-apa. Hanya duduk mengira keuntungan. Siapakah manusia yang sudi dan rela hati melepaskan nikmat yang begitu indah ini?

Duit bukan segalanya, tapi segalanya memerlukan duit. Pepatah moden ini semakin masyhur dan sangat praktikal dalam dunia hari ini. Segalanya memerlukan wang. Oleh sebab itu, ramai yang sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang walaupun ia perkara yang ditegah agama. Ramai juga yang tidak lagi hirau tentang agama dalam usha mengejar wang dan dunia. Perasaan cintakan dunia juga semakin menebal dan berkerak hingga ke dasar hati.

Hasilnya; bila agama sudah tidak diendah lagi, maka tidak hairanlah kecurian, pelacuran, jenayah, masalah sosial, pecah rumah, pecah amanah, rasuah, rogol, bunuh, dadah dan pelbagai lagi isu tidak pernah kunjung padam.

Sabda Nabi s.a.w

حب الدنيا رأس كل خطيئة
كنز العمال ج3/ص79

Cintakan dunia adalah punca segala kejahatan.

Masyarakat tidak memandang walau sebelah mata suatu pelaburan yang berkali ganda keuntungannya jika dibandingkan dengan pelaburan internet dan sebagainya.

Firman Allah Ta'ala:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (al-baqarah: 261)

Dengan hanya bermodal RM 1, pelabur akan memperoleh keuntungan sehingga RM 4700. Tidak ada kata lagi yang mampu saya ucapkan dengan perolehan tersebut. Tersangat, terlalu dan segala "ter..." hebatnya keuntungan yang diperoleh.

Hakikatnya benda yang tidak mampu dilihat dan dirasa, tidak ramai yang berminat menyertainya. Mesti ada bukti dan meterialnya. Perlu nampak benda dan kontraknya. Oleh itu, tidak ramai yang tertarik dengan pelaburan ini. Masing-masing lalai dan leka dengan pelaburan dunia serta keuntungannya yang sementara.

حدثنا مُوسَى بن عبد الرحمن الْكِنْدِيُّ حدثنا زَيْدُ بن حُبَابٍ أخبرني الْمَسْعُودِيُّ حدثنا عَمْرُو بن مُرَّةَ عن إبراهيم عن عَلْقَمَةَ عن عبد اللَّهِ قال نَامَ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم على حَصِيرٍ فَقَامَ وقد أَثَّرَ في جَنْبِهِ فَقُلْنَا يا رَسُولَ اللَّهِ لو اتَّخَذْنَا لك وِطَاءً فقال ما لي وما لِلدُّنْيَا ما أنا في الدُّنْيَا إلا كَرَاكِبٍ أستظل تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا
قال وفي الْبَاب عن عُمَرَ وبن عَبَّاسٍ قال أبو عِيسَى هذا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
سنن الترمذي ج4/ص588

Daripada Abdullah, katanya: Telah tidur Rasulullah s.a.w di atas tikar dan terdapat kesan pada belakangnya. Maka kami berkata: "Wahai Rasulullah! Kalau kami ambilkan hamparan untuk kamu?" Sabda Nabi s.a.w: "Tidak perlu dan dunia buka untukku. Tidaklah aku di dunia ini melainkan umpama seorang pengembara yang berlindung di bawah pokok kemudian pergi meninggalkannya."

Dunia yang didiami ini adalah seketika cuma. Sekadar tempat berteduh yang hanya sementara. Allah telah hidang dan janjikan suatu kehidupan kekal di sana.

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَاب ٍأَلِيم

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (ash-shof: 10)

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (ash-shof: 11)

Setelah Allah bentang dan sediakan suatu pakej pelaburan dan perniagaan yang amat mahal nilai keuntungannya, maka, apa tunggu lagi. Moga kita hidup bahgia nanti, di alam yang tidak bertepi, akhirat yang kekal abadi dengan keuntungan yang tidak terkira dek jari, yang tidak terhitung oleh kalkulator dunia.

Wallahu a'lam

Ahad, Jun 10, 2007

Perempuan telanjang

Bismillah

Daku menyangka hanya daku seorang begitu. Namun sangkaan meleset. Langsung tidak tidak tepat. Semuanya begitu. Bukan daku seorang. Semuanya.

Apakah itu?

Demikian adalah nafsu syahwat, kehendak dan keinginan. Menjurus kepada lelaki yang bernafsu, bersyahwat dan berkeinginan terhadap perempuan.

Realiti yang ditempuhi, duduk di bandaraya Johor Bahru, hari-hari menghadap perempuan. Bukan yang bertutup litup. Kebanyakannya adalah al-'ariyat wal kasiayat. Hanya 1% sahaja yang bertutup sempurna.

Sabda Rasulullah s.a.w:

حدثني زُهَيْرُ بن حَرْبٍ حدثنا جَرِيرٌ عن سُهَيْلٍ عن أبيه عن أبي هُرَيْرَةَ قال قال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صِنْفَانِ من أَهْلِ النَّارِ لم أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بها الناس وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رؤوسهن كأسنة الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ ولا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ من مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

صحيح مسلم ج3/ص1680

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Bersabda Rasulullah s.a.w. Dua golongan ahli neraka yang belum pernah kulihat. Pertama: Mereka yang membawa cemeti seakan-akan ekor sapi yang digunakan untuk memukul manusia. Kedua: Wanita-wanita yang berpakaian tetapi berbogel dengan lagak gaya mempesona. Kepala mereka umpama bonggol unta yang condong (jadi tayangan). Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak pula mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang jauh.

Golongan perempuan yang berpakaian, tapi bertelanjang, semakin ramai dipasaran. Bukan ah moi-ah moi di tepi jalan, tapi wanita-wanita Melayu Islam. Pakai t-shirt putih ketat nampak dalam. Seluar tayang bentuk badan. Memang mempesonakan. Saling tak tumpah dengan apa yang Rasul khabarkan.

Kawan-kawan saya pun ada mengatakan. Perempuan sekarang senang (tidak semua). Top-upkan RM10, dah boleh pegang-pegang.

Hari-hari boleh cuci mata, rosakkan hati dan jiwa. Walaupun tahu ia haram dan salah di sisi agama. Tapi, hati masih tetap mahu melihatnya. Macam ada tarikan megnet. Lagipun, lelaki mana yang tidak gemar melihat perempuan terutama yang dedah-dedah dan cantik menawan. Ditambah pula syaitan-syaitan cukup kuat menggoda. Iman juga lemah tidak bermaya. Akhirnya terturut nafsu durjana. Hari-hari tertonton wayang dan drama seksi percuma.

Benarlah firman Allah Ta'ala dalam surah Ali Imran ayat 14:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Seorang lelaki, fitrahnya memang begitu. Sukakan perempuan. Ia adalah perkara yang normal dalam kehidupan. Suatu kejadian semulajadi alam. Tetapi, ada landasan dan peraturan. Sebab itu Allah turunkan wahyu sebagai pedoman.

Firman Allah Ta'ala dalam surah An-Nur ayat 30:

قُلْ لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُواْ فُرُوجَهُمْ ذالِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ.

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Perempuan juga perlu menjaga keamanan. Mereka adalah fitnah utama. Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya pada menafsir ayat 14 surah Ali Imran (ayat di atas) menyatakan:

فَبَدَأَ بِالنِّسَاءِ لِأَنَّ الْفِتْنَة بِهِنَّ أَشَدّ كَمَا ثَبَتَ فِي الصَّحِيح أَنَّهُ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ " مَا تَرَكْت بَعْدِي فِتْنَة أَضَرّ عَلَى الرِّجَال مِنْ النِّسَاء "

Maka dimulakan dengan perempuan kerana sesungguhnya fitnah perempuan itu adalah suatu yang amat dahsyat sebagaimana telah sabit di dalam hadis sohih sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: "Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang sangat mudharat ke atas lelaki, (melainkan fitnah) daripada perempuan."


Firman Allah Ta'ala dalam ayat 31 surah An-nur:


وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ...

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;...

Tapi, ramai yang tidak sudi dengar arahan Allah. Ramai yang tidak patuh suruhan Allah (termasuk penulis). Ayat di atas sudah tidak diendah lagi.

Natijahnya maksiat menjadi-jadi. Cabul, rogol, gangguan seksual dan pelbagai lagi jenayah seks, terus menjadi-jadi. Ibu bapa bertambah risau. Kehidupan anak-anak sudah tidak tenteram. Dari mereka yang baru lahir, hingga ke nenek tua, habis dirogol orang.

Tambahlah seribu, sejuta hatta satu dunia menjadi anggota polis atau pasukan pencegah maksiat, hasilnya pasti kecewa. Gejala ini tidak langsung menampakkan pengurangan.

Jangan marahkan pohon yang semakin bercabang-cabang dahannya bila ditebang, sedangkan akarnya masih tidak dibuang. Bikinlah pelbagai ops, selagi tidak dibasmi dari akar umbi, pasti ia akan terus menjadi. Selagi Islam tidak dijulang, agama tidak ditunjang, maka akan hilanglah pedoman. Masyarakat bertambah pincang.

Apa agaknya nak jadi dengan Malaysiaku yang gagah gemilang. Moga sama-sama kita ambil pengajaran. Moga Allah kurniakan keimanan yang kental.

Wallahu a'lam


Selasa, Jun 05, 2007

Abang Tumpang.....Cik Bedah Redah

Bismillah

Kadang-kadang hati lara dan duka. Sesekali membaca humor, mungkin mampu membuat jiwa gembira. Salam santai.....

kat bawah nii ada satu kisah kelakor yang diciterkan oleh seorang perempuan yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Bedah Redah! cerita dia gini...

Sebagai seorang kakitangan kerajaan... bila hari jemaat saja aku suka balik rumah.. pasal masa rehat dia panjang. Tapi hari Jemaat tu hujan dengan lebatnya... So. Aku tumpang office mata aku sampai depan rumah. Rumah aku ni berbukit sikit... Sebelum turun.. akak tu janji nak ambil aku pukul 2.30 petang...

Hujan kat luar masih lagi lebat... jam hampir ke 2.30 petang.. aku mandi dan sembahyang.... lepas tu bersiap siap tunggu akak tadi datang ambil aku. Jam dah pukul 2.35 aku dah risau.. mana akak ni.. tak sampai sampai lagi...office masuk pukul 2.45 petang.

Tunggu punya tunggu.. hah.. yang dinanti sudah pun tiba!!!! kereta proton warna cokelat matelik pun berenti kat depan rumah aku. Hujan punyerlah lebat... so aku ambil surat kabo lipat tebal tebal takut tudung aku basah...lepas kunci pintu.. aku terus berlari turun... pasal rumah aku berbukit.. aku kena berlari hati hati..

Sampai saja kat kereta... aku tak tunggu lagi.. terus bukak pintu dan duduk kat tempat sebelah pemandu.. Tapi Kenapa akak tu tak jalan. Aku toleh kat sebelah... lah... rupanya orang lain!!!! Aku tengok orang tu.. orang tu tengok aku.... Mulut orang tu siap ternganga lagi...

Ish... siapa ni?! bagaimana aku boleh silap ni... habis tu.. kat luar ujan lebat.. takkan aku nak keluar.. aku dengan muka macam kerang busuk berkata,"Err.. bang boleh tulung hantar kat UTM tak?"

Abang tu pun... tak jawap apa-apa agaknya pasal masih tergamam lagi.. terus angguk.

Sepanjang perjalanan aku diam... abang tu pun diam... masing masing masih gabra lagi.. Aku lagi lah gabra. EnTah kereta sapa saja aku main redah. Aku malu.. bengang.. rasa muka aku dah di tepek-tepek dengan taik... Aku berdoa semoga aku pengsan masa tu.. tapi sayang.. aku tak pengsan pun.

Bila sampai kat destinasi... aku pun turun... lepas ucap terima kasih. Sampai kat opis aku tunggu kakak yang sepatutnya ambil aku. Bila kakak tu sampai dia tanya aku,

"Pergi naik apa? Kenapa tak tunggu?"

Maka aku citalah peristiwa yang sadis tu.... Ya Allah.. kakak tu punyerlah gelak gila kat aku... Ishhh!!! Sungguh memalukan. Tapi itu cerita 3tahun lepas... sekarang ni... Abang yang aku tumpang tu.. dah jadi suami aku He..he..he..

Kekadang bila ingat balik.. ish.. malu sungguh. Suami aku pun kata masa tu dia ingat aku nak rompak dia.... he..he.he.he. Aku pun tanya Kenapa masa tu dia berenti kat depan rumah aku... Then.. dia kata dia nak ambil beg duit kat seat belakang tu pasal dia berenti. Tapi tau tau aku pulak yang masuk..... He..he..he.. sampai sekarang ni.. dia masih ejek aku lagi pasal perisitwa kurang tu...

Tapi kalau peristiwa tu tak berlaku. Maybe aku tak jumpa lagi suami aku yang sowang ini? ihiks!!

p/s : Sekadar suka-suka. ; )