Sabtu, Januari 31, 2009

Al-Amru bi al-Ma’ruf, wa an-Nahyu ‘an al-Munkar

Bismillah
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Ertinya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Surah Ali Imran: 104

Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan maksud daripada ayat ini ialah “hendaklah ada sekumpulan umat yang melakukan perkara ini yang merupakan suatu kewajipan kepada setiap individu muslim daripada umat ini sebagaimana sabada Nabi s.a.w di dalam sohih muslim:

" مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَف الْإِيمَان " وَفِي رِوَايَة " وَلَيْسَ وَرَاء ذَلِكَ مِنْ الْإِيمَان حَبَّة خَرْدَل "
Ertinya: barangsiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kuasa). Sekiranya tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan lidahnya (nasihat). Maka sekiranya dia tidak mampu juga, hendaklah dia mengubah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selema-lemah iman. Dan di dalam satu riwayat lain “dan tidaklah tidaklah ada iman padanya walaupun sebesar zarah.”

Dan berkata Imam Ahmad:

عَنْ حُذَيْفَة بْن الْيَمَان أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ " وَاَلَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَر أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّه أَنْ يَبْعَث عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْ عِنْده ثُمَّ لَتَدْعُنّهُ فَلَا يَسْتَجِيب لَكُمْ " وَرَوَاهُ التِّرْمِذِيّ وَابْن مَاجَهْ مِنْ حَدِيث
Ertinya: Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaan-Nya. Hendaklah kamu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran atau Allah akan menurunkan ke atas kamu balasan dan bala bencana. Kemudian kamu berdoa dan doa kamu tidak diterima.”

Imam Abdullah ‘Alawi Al-Haddad di dalam kitabnya An-Nasoihud Diniah wal Wasoya al-Imaniah juga menyatakan yang dimaksudkan dengan umat di dalam ayat ini ialah suatu jemaah atau kumpulan yang menjalankan tugas berdakwah kepada Allah Ta’ala. Tugasnya ialah menyeru manusia kepada segala perkara kebaikan…

Oleh itu, jelaslah menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan suatu keutamaan dan kemestian buat segenap lapisan umat. Imam Abdullah ‘Alawi Al-Haddad turut menyatakan suatu bab ‘alasan batil pada meninggalkan amar ma’ruf nahi mungkar’ ini memberitahu bahawa tidak ada alasan bagi umat untuk meninggalkan perkara dan perintah ini.

Beliau turut menyatakan tugas Rasulullah s.a.w pada semua waktunya, tiada lain, melainkan berdakwah kepada Allah dengan kata dan amal. Dan beliau menyatakan lagi “nyatalah kini orang yang amat dekat dan utama di sisi Rasulullah s.a.w di dunia dan akhirat ialah orang yang mengambil berat terhadap tugas dakwah ini.”
Kenyataan ini disokong dengan pengakhiran firman Allah dalam ayat di atas bahawa “mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Maka nyatalah kepada kita mereka yang menjalankan tugas dakwah dan menyeru manusia kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran adalah golongan yang dijanjikan kejayaan. Mereka juga adalah golongan yang mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Sabda Nabi s.a.w

الدال على الخير كفاعله

Ertinya: Orang yang menunjukkan ke arah kebaikan sama (mendapat pahala) seperti orang yang melakukan.

Sabda Nabi s.a.w.

“Barangsiapa yang menyeru kebaikan, maka baginya balasan yang sama dengan balasan-balasan yang diberikan kepada sesiapa yang mengikutinya dan tidak dikurangi balasan mereka itu, walau sedikit pun. Dan barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan, maka baginya dosa yang sama denga dosa-dosa yang dikenakan kepada orang mengikutinya dengan tidak dikurangi walau sedikit pun.”

Wallahu a'lam