Ahad, Oktober 29, 2006

Sedihnya ditinggal kekasih.

Bismillah. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah. Selawat dan salam buat Rasulullah dan seluruh pejuang agama Allah.

Lama sudah jemari tidak menari di atas papan kekunci. Demikian kerana keripuhan menyambut aidilfitri. Sudah lama juga saya ingin menulis tajuk ini. Oleh kerana malas, kesuntukan masa dan Aidilfitri, maka hajat dan niat belum tertunai.

Kekasih adalah nama terbitan bagi kasih yang beerti sayang, cinta dan suka. Kekasih (dari satu sudut pandangan pada manusia) membawa erti manusia, insan atau individu yang disayangi, dicintai dan disukai.

Bagi mereka yang punya kekasih hati, pastinya dia amat menyintai, menyayangi dan hampir-hampir dia sanggup lakukan apa saja. Demikian adalah tanda kasih dan sayang, cinta dan suka.

Oleh kerana cinta, maka kehendak si dia sanggup di tunai walau sampai mengorban nyawa. Madah dan kalam-kalam pemanis telinga juga sering bermain di tubir bibir. Janji-janji setia sehidup dan semati sering diungkap hingga menyusuk hati.

Akhirnya, bila cinta sudah terpahat di jiwa, saat-saat perpisahan adalah suatu yang mengundang mala petaka. Demikianlah adat dan kelaziman manusia, sedih akan menyelubungi jiwa bila orang atau apa jua yang dicinta, meninggalkan jiwa. Demikian juga mereka yang punya kekasih. Hati akan sedih bila ditinggal kekasih. Jiwa akan merana, hati akan luka dan hidup menjadi tidak tentu hala.

Itulah penangan cinta dan sedikit gambaran berkaitan kekasih.


Ramadhan yang mengandungi malam yang lebih baik dari seribu bulan, yang ada rahmat, keampunan dan pelepasan dari neraka jahannam, hampir seminggu telah meninggalkan kita. Syaitan juga telah seminggu dilepaskan dari penjara. Sudah seminggu juga dia menggoda manusia meneruskan kelangsungan tugas yang terberhenti seketika kerana ramadhan menjelma. Demikian kita telah ditinggalkan oleh ramadhan yang amat mulia.

Bila kita kembali menyingkap sejarah, kita boleh melihat sebilangan alim ulamak menangisi pemergian ramadhan. Air mata mengalir tidak henti-henti. Sebak di dada tidak tertanggung mahu di rasa. Semua ini kerana jiwa telah ditinggalkan si dia kekasih penawar jiwa iaitu ramadhan yang mulia.

Bagaimana pula dengan kita? Apakah perasaan bila ditinggalkan ramadhan? Adakah kita menangisi pemergiannya? Atau kita gembira kerana aidilfitri menjelma dan tidak perlu lagi susah payah berpuasa.

Barikillah humma lana fi syahri ramadhan. Allahumma ballighna ramadhan....

Salam aidilfitri buat semua. Maaf zahir dan batin....

Wallahu a'lam

Jumaat, Oktober 20, 2006

Buah yang masak jangan dibiarkan busuk.

Bismillah

Melihat cuaca dan suasana di Malaysia ketika ini, penuh dengan duku dan langsat. Kadang-kadang ada juga tembikai dan tidak kelihatan lagi buah durian. Semasa di Mesir dahulu, penuh dengan anggur banati yang sangat enak. Ada juga buah tin dan sudah muncul sedikit-sedikit buah delima.

Demikian, bila di teliti dan di amati ia merupakan salah satu tanda Kebesaran dan Keagungan Allah yang Maha Kuasa.

Firman Allah Ta'ala

وَهُوَ الَّذِي أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا نُخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُتَرَاكِبًا وَمِنَ النَّخْلِ مِنْ طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ انْظُرُوا إِلَى ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ إِنَّ فِي ذَلِكُمْ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Dia yang menurunkan air dari langit (awan), kemudian Kami tumbuhkan dengan air itu bermacam-macam tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya daun-daun yang menghijau, Kami keluarkan daripadanya biji-biji yang bersusun-susun, dari mayang pohon kurma, (Kami keluarkan) buah kurma dengan tangkainya yang berdekatan dan lagi (Kami tumbuhkan) kebun-kebun dari pokok-pokok anggur, zaitun dan delima, yang serupa dan tiada yang serupa. Kamu perhatikanlah buahnya yang telah masak. Sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda-tanda (keterangan) bagi kaum yang mahu beriman. (al-An'am: 99)

Firman Allah Ta'ala lagi

وَهُوَ الَّذِي أَنْشَأَ جَنَّاتٍ مَعْرُوشَاتٍ وَغَيْرَ مَعْرُوشَاتٍ وَالنَّخْلَ وَالزَّرْعَ مُخْتَلِفًا أُكُلُهُ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُتَشَابِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ كُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau. (al-An'am: 141)

Imam Thobari di dalam tafsirnya menyatakan bahawa "ini adalah pemberitahuan daripada Allah Ta'ala. Dia telah menyebutkannya apa yang telah Dia kurniakan nikmat ke atas mereka dari kelebihannya dan peringatan kepada mereka ke atas kebaikannya dan memberitahu kepada mereka apa yang halal dan apa yang haram....

Demikianlah kurniaan dan pemberian Allah Ta'ala buat hambanya. Kasih sayang-Nya sentiasa dicurah terutama buat hamba yang tidak pernah lekang dari bibirnya ucapan syukur dan gerak tubuhnya yang sentiasa menyatakan terima kasih buat Allah yang Maha Kuasa.

Oleh kerana itu, pemberian dan nikmat Allah ini, jangan kita sia-siakan. Membiarkan ia begitu sahaja, merupakan tanda kita tidak suka dan mencerminkan kekufuran kita pada anugerah-Nya. Maka, buah yang telah masak jangan dibiarkan ia busuk tanpa dipetik dan dimakan. Jangan ia disia-siakan. Kalau tak cukup mulut untuk dimakan, tidak salah kita memetik dan memberinya pada jiran. Kalau hasilnya melimpah ruah dan sangat lumayan, kita petik dan jadikannya sumber pendapatan. Itulah tanda syukur kepada Tuhan Pencipta sekalian alam.

Demikian juga potensi dan anugerah yang Allah kurnia buat kita semua. Jangan ia disia-siakan. Jangan kita suka menyorok dan duduk diam. Lari dari masyarakat tempatan. Lari dari pimpinan dan golongan yang sangat-sangat memerlukan. Kita punya bakat dan kekuatan. Gunakan ia untuk menolong orang.

Buah yang telah masak, jangan ia dibiarkan busuk..... Petik dan makanlah ia dengan jiwa yang penuh syukur kepada Tuhan. Potensi yang ada jangan disia-siakan. Ramai kalangan kita yang Allah tidak kurnia apa-apa. Tetapi dengan sedikit tenaga yang ada, mereka gigih menggali bijih besi. Mereka leburkan dan jadikan sebatang besi yang keras dan ampuh. Diasah besi itu hingga menjadi pedang dan golok yang sangat tajam tiada tolok bandingan. Akhirnya dengan pedang itu, mereka kalahkan dan hapuskan segala musuh-musuh yang durjana. Usaha mereka seharusnya menerima pujian dan pengiktirafan. Inilah suri tauladan yang harus dijadikan pedoman.

Ada juga di kalangan kita, yang telah tersedia di depannya mecine gun, kereta kebal dan berpuluh-puluh komanden yang sangat terbilang. Tetapi, lari dari medan juang. Sibuk mencari tempat menyorok. Sedang di saat itu orang sangat memerlukan bantuan dia. Tapi, dia hilang entah ke mana. Kenapa dia begitu? Membiarkan manusia terkontang-kanting tanpa bantuan.

Golongan yang telah sedia berbakat dan ada potensi diri yang sangat tinggi, jangan lari-lari. Tampil kemukan diri. Insya-Allah Dia akan membalasnya nanti. Di akhirat kelak, pasti tiada rugi. Yang masih kurang potensi dan bakat diri, jangan jadikan itu alasan untuk bersembunyi.

Firman Allah Ta'ala

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dahulu adalah orang-orang yang lemah di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahanam dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (an-Nisa': 97)

Ayat di atas ditujukan kepada golongan yang tidak keluar berhijrah tatkala perintah hijrah diturunkan. Kala itu, hijrah adalah suatu kewajipan. Imam al-Baidhowi di dalam tafsirnya menyatakan pada ayat ظالمي أنفسهم sebagaimana berikut

"pada keadaan mereka menzalimi diri mereka dengan meninggalkan hijrah dan mereka kufur. Maka, sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada manusia di Makkah. Mereka Islam tetapi tidak berhijrah ketika mana hijrah diwajibkan."

Kemudian, kita baca dan teliti ayat seterusnya bagaimana mereka membuat alasan di hadapan malaikat ketika mereka ditanya "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?" Lantas mereka menjawab: " Kami dahulu adalah orang-orang yang lemah di bumi." Akhirnya, Allah campakkan mereka ke dalam api neraka kerana yang demikian adalah tempat yang paling layak bagi mereka.

Mari sama-sama kita amati, buka fikiran dan teliti. Adakah kita mahu jadi begini. Penuh dengan alasan dan sebab yang sengaja dibuat. Akhirnya neraka jahannam kita ditempat.

Ayuh kita sama-sama bergandingan. Sama-sama kita bekerja dalam satu pasukan. Kita gembleng apa saja yang ada pada kita. Mereka yang tidak punya bakat dan potensi diri, bukan menyepi penawarnya, bukan lari-lari ubatnya. Kita perlu tampil dan beranikan diri.

Kita lihat pada Barat dan Yahudi laknatullah. Sebenarnya, mereka tidak punya apa-apa. Kita lihat Amerika, sebenarnya mereka tidak ada apa-apa. Malahan hutang negaranya menjangkau angka trilion juta dolar. Tetapi mereka maju dan mampu menguasai dunia. Mereka tidak ada hasil bumi seperti negara kita. Minyak mereka tidak banyak. Gas asli dan emas, segalanya melata di negara kita. Tetapi kita umat Islam masih mundur dan tak berbuat apa-apa.

Semuanya kita perlu mulakan dari sekarang. Bermula dengan kelompok yang sangat kecil umpama PMRAM dan BKPJM. Insya-Allah, medan kecil umpama ini kalau kita mampu tempuh dan bina dengan jaya, pasti suatu ketika nanti kita tidak kekok menghadapi mehnah yang lebih besar dan merbahaya.

Ingatlah! Buah yang telah masak, jangan dibiarkan busuk.

p/s Sekadar omelan dari insan kerdil dan lemah iman
Wallahu a'lam

Ahad, Oktober 15, 2006

Kisah hari seterusnya….

Bismillah

Alhamdulillah bersyukur tak terhingga ke hadrat Illahi, atas nikmat, taufiq dan inayah-Nya, mari di beri ruang dan peluang menjalani kehidupan.

Semasa saya menulis, saya baru tiba dari melawat dan menjenguk teman-teman yang berada di sekitar Johor Bahru. Letih dan letai metah. Pergi menunggang motosikal 60-an. Penuh liku dan rinrangan. Keadaan di luar yang penuh jerebu dan habuk, sedikit sebanyak mengganggu kesihatan dan perjalanan di tambah dengan perjalanan pulang yang terpaksa meredah hujan.

Semasa di Pasir Gudang, duduk bersembang bersama rakan-rakan bersebelahan kedai runcit kawan Musa. Apa lagi ambil peluang mencekik member, minta dia belanja. Sudah lama tidak duduk bersembang berbual isu-isu dan keadaan semasa. Mendengar khabar dan cerita dari member Musa perihal suasana di Masai, Pelentong dan kawasan sekitarnya.

Cerita-cerita sedih dan duka yang banyak mengisi perbualan kami. Kebobrokan sistem masyarakat. Keruntuhan akhlak yang sangat-sangat membimbangkan. Bersepah mat gian yang majorotinya remaja Malayu beragama Islam. Kebejatan keruntuhan moral yang sangat membimbangkan ini, menghasilkan masyarakat yang bobrok, hancur dan lebur. Negara jadi tidak aman dan cuaca masyarakat menjadi tidak siuman.

Bila mat gian bersepah, kes-kes kecurian bertambah. Masyarakat jadi tak tentu arah. Sudah terhantuk baru tegadah, sudah melarat baru nak cegah. Akhirnya polis pun dah tak tau nak buat apa dah. Kehidupan bertambah kurang siuman dan tiada lagi keamanan.

Lantaran itu, bila di teliti dan di kaji, salah satu puncanya adalah kerana kurang didikan agama. Saya pun bertanya, ke mana pergi ustaz dan ustazah kita? Saya tengok kiri kanan, toleh depan belakang. Apa yang saya lakukan. Sama-samalah kita muhasabah diri kita. Belajar bersungguh-sungguh dan sama-sama membantu mereka yang haus dan dahaga cahaya kebenaran.

Terima kasih kepada Ridwan yang penat lelah menjadi pemandu berjalan-jalan. Begitu juga buat Zainan yang kadang memandu menggantikan Ridwan. Tidak dilupakan buat Musa penceria suasana. Moga kita bersua di lain masa....

Wallahu a'lam

Rabu, Oktober 11, 2006

Persepsi kita

Bismillah

Suatu masa dahulu saya pernah menerima email dari kawan saya tentang sebuah cerita. Begini kisahnya.

Seorang guru membuat suatu contoh misalan yang bagi saya amat menarik. Di tangan kanannya memegang kapur manakala tangan kirinya memegang pemadam papan hitam. Lantas guru tersebut bertanya pada anak muridnya apakah yang dia pegang di tangan kiri dan kanannya. Masing-masing menjawab tangan kiri kapur dan kanan pemadam papan hitam.

Setelah itu, guru tersebut memberi tahu anak muridnya bahawa dia ingin menukar nama dengan menterbalikkan yang kapur menjadi pemadam papan hitam dan begitu sebaliknya. Usai menterbalikkannya, guru tersebut bertanya kepada anak muridnya. Sebahagiannya menjawab dengan jawapan yang sama sebagaimana sebelumnya dan ada yang menjawab sebagaimana arahan guru tersebut.

Melihat situasi itu, guru tersebut bertanya kepada anak muridnya berulang kali hingga kesemua mereka menjawab kapur sebagai pemadam papan hitam dan yang pemadam papan hitam sebagai kapur. Hingga akhirnya seluruh anak murid lancar berbicara yang demikian.

Apa yang saya ingin ambil di sini ialah bagaimana persepsi dan pandangan kita boleh ditukar dan dibentuk. Bagaimana kapur boleh ditukar namanya kepada pemadam papan hitam dan begitu sebaliknya. Walaupun permulaannya sukar, tetapi akhirnya menatijahkan apa yang dinginkan.

Begitu kalau kita melihat panaroma dunia hari ini dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya bagaimana persepsi dan pandangan kita diterbalikkan. Kita boleh melihat bagaimana agama Islam sebuah agama yang sangat murni, telus dan selamat berjaya diadun Barat menjadi agama pengganas dan terrorist. Begitu juga yang berlaku pada sebahagian masyarakat Malaysia tentang femenisme, isu murtad, jenayah dan pelbagai lagi yang suatu masa dahulu merupakan perkara sinis, janggal dan pelik. Tetapi hari ini telah berubah menjadi biasa dan kadang-kadang menjadi suatu yang membanggakan.

Satu lagi persepsi dan fenomena yang menarik minat saya untuk disentuh sedikit pada ruangan ini ialah berkaitan title atau menamakan sesuatu kelompok dengan sesuatu nama. Secara umumnya, bagi saya tidak salah menamakan sesuatu kelompok, aliran atau puak dengan suatu nama yang tidak lain tidak bukan memudahkan kita mengenal mereka. Ia tidak salah bahkan memudahkan.

Namun, apa yang mengecewakan ialah apabila persepsi negatif yang dipupuk pada satu-satu kelompok atau puak. Dan lebih mengharukan ia berlaku di kalangan umat Islam. Dalam satu aqidah, dengan satu kalimah syahadah dan bersama dengan Allah dan Rasul yang satu.

Sebagai contoh golongan Syi'ah. Kekadang, ada di kalangan kita umat Islam ahli sunnah wal jamaah, seolah sinis dan sangat rigid pandangannya terhadap golongan Syi'ah ini. Memang benar ada beberapa akidah dan pegangan mereka yang sangat lari dari pegangan ahli sunnah wal jamaah. Namun, patutkah kita memandang sinis pada mereka lantas membiarkan mereka dalam kesesatan tersebut. Sedangkan kita semua bernaung di bawah satu kalimah lailahailla Allah.

Saya tidaklah berniat menuding jari menyalahkan sesiapa. Kerna kekadang ada benarnya apa yang dilontarkan sebahagian kita tentang mereka yang bernama Syiah. Kesesatan dan penyelewengan mereka harus disingkap agar yang lurus jalannya tidak tersasar. Tetapi, persoalannya; adilkah kita membiarkan mereka begitu sahaja? Kalau kita sudah ada kesedaran dan telah ada ilmu tentang kebenaran, kenapa tidak kita bimbing mereka dan bawa mereka kepada aqidah yang sebenar.

Begitu juga apa yang berlaku pergeseran bersama kelompok yang digelar sebagai Wahhabi. Tidak dinafikan kekadang kerenah dan isu-isu yang mereka timbulkan membuat kita jadi baran dan menambah sulitkan penyebaran dakwah islamiah. Tetapi, bagi saya adalah tidak adil mereka dimomokkan dengan persepsi yang negatif hingga apa jua yang negatif adalah mereka. Hingga kita rasakan bahawa mereka adalah musuh utama lantas menepikan musuh yang terang-terang memerangi Islam.

Bagi saya tidak salah untuk kita membongkar kesalahan dan kesesatan mereka. Umpama Syi'ah dan Wahhabi misalnya. Pegangan-pegangan sesat mereka tidak harus dibiarkan subur mendiami jiwa-jiwa kita. Kesesatan dan kesalahan mereka perlu diberitahu kepada umum agar kita tidak terjebak. Tetapi, janganlah kita menanam dendam atau memusuhi mereka lantaran pegangan salah mereka. Sepatutnya kita bawa dan bimbing mereka ke jalan yang benar. Berbicara secara sopan dan tulus. Buangkan sifat dendam dan permusuhan.

Saya pernah bertemu dengan mereka yang boleh saya anggap sebagai Wahhabi dan pernah juga saya berjumpa mereka yang sangat-sangat memerangi Wahhabi. Masing-masing begitu ekstrim dengan aliran masing-masing. Saya kira anda semua boleh bayangkan kalau mereka bersua muka. Pertengkaran dan perselisihan akan timbul. Di belakang pun, mereka sudah semacam bertelagah inikan pula bila telah bertemu dua mata.

Akhirnya, yang suka adalah musuh-musuh kita. Kita bergaduh sesama kita. Bertengkar dan berselisih tanpa noktah. Berbicara tanpa ada resolusi dan manfaat yang berguna. Musuh Islam terus maju dan kehadapan. Kita terus bergaduh dan bercakaran. Kita sepatutnya bersatu kembalikan semula kegemilangan Islam.

*Sekadar pandangan dari insan yang rendah ilmu dan iman.

Wallahu a'lam

Cerita hari ke lima

Bismillah

Alhamdulillah sudah masuk hari ke lima menjalani detik-detik kehidupan di tanah air yang tercinta. Saat demi saat yang berlalu dan detik demi detik yang diharungi menghidang pelbagai pengalaman dan pengajaran.

Semalam, menziarahi sekolah lama yang sudah hampir 5 tahun ditinggalkan dan sudah 3 tahun tidak menjenguk. Keadaan fizikal sekolah telah banyak berubah. Pelbagai infrastruktur telah lengkap tersedia. Kemudahan-kemudahan baru dan tempat belajar juga tempat tinggal yang serba baru dan selesa. Keyukuran harus dipanjatkan atas kurniaan dan anugerah yang telah Allah berikan. Ia amat berbeza dengan apa yang saya tempuhi 5 tahun dulu.

Namun, apa yang menyedihkan, rupa bentuk dalamannya dan spritualnya bagi saya masih sama dan ada keluhan dari seorang ustazah bahawa masalah disiplin lebih parah berbanding masa lalu. Tapi, mungkin ini perkara biasa hasil kecelaruan suasana dan kesuraman cuaca masyarakat kita. Sekolah-sekolah agama seperti ini, umpama pusat pemulihan akhlak apabila kerenah dan perangai degil anak-anak di rumah, tidak mampu lagi diladeni dengan rapi dan sukar dikawal dengan baik.

Oleh itu, sekolah-sekolah agama seperti ini, menjadi fokus tumpuan ibu bapa terutama mereka yang ada kesedaran agama dengan cita-cita dan harapan anak mereka mampu menjadi anak yang berguna. Suasana di luar yang sendat dengan hiburan dan penghakisan budaya agama, menjadikan ibu bapa kurang yakin meletakkan anak-anak mereka sebaris dengan pelajar-pelajar sekolah menengah biasa.

Tapi, bila diteliti, persepsi dan fenomena ini mampu menatijahkan sesuatu yang baik. Memandang agama sebagai jalan penyelesaian masalah-masalah moral, adalah sesuatu yang tepat. Tetapi, sesuatu kesilapan apabila ibu bapa hanya mencampakkan tanggungjawab yang berat ini kepada guru-guru semata-mata. Oleh itu, yang pening dan kusut adalah guru. Sepatutnya ibu bapa perlu juga memainkan peranan mereka. Membiarkan hanya tenaga pendidik terkontang-kanting tanpa ada tangan yang sudi menghulur bantuan akan menjadikan cita-cita hanya tinggal angan-angan.

Wallahu a'lam

Isnin, Oktober 09, 2006

Satu lagi cerita

Bismillah

Masuk hari ini sudah tiga hari menjejak kaki di tanah air. Jiwa masih mamai dan semacam terawang-awang di angkasa. Macam tidak percaya kaki telah memijak tanah air tercinta.

Apa-apa pun, tidak banyak perubahan yang ada. Semua masih macam sedia kala. Ada juga yang macam arab Mesir perangainya. Nak marah-marah dan panas baran. Semasa di KLIA, ketika memohon boading past, tak tahu kenapa, mak cik guard tiba-tiba marah. Orang bertanya di mana mahu transfer tiket, sekali dia jawab dengan muka yang marah menggila. Rupanya orang kita pun sama macam orang Mesir.

Namun begitu, Mesir suasananya meriah ketika Ramadan. Tidak sama dengan Malaysia yang kebanyakannya mengejar Hari Raya. Masyarakat sibuk mempertikai kelajuan Imam membawa terawih. Siapa yang paling cepat, merekalah juara. Perkara Qunut juga pernah menjadi pertikaian. Memang benar di dalam mazhab Syafie, doa qunut adalah sunat hukumnya pada solat witir malam 15 yang terakhir dalam bulan Ramadan. Tetapi masyarakat mempertikai seolah ia berdosa kalau tidak dilaksana. Begitu caca-merba dirasakan.

Hari terus berlalu. Masih tiada arah tuju. Boring dan bosan juga duduk menunggu. Nak apply kerja masih tak tahu. Sesi pun sudah hampir melabuhkan tirai. Masih menunggu dan menanti natijah yang tak keluar-keluar. Moga Allah beri kejayaan buat kita semua.

Wallahu a'lam

Cerita hari ini

Bismillah

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan Ulung s.a.w.

Tidak tahu mahu bicara yang mana. Bingung mahu menyusun bicara. Kusut menimbang mana yang lebih utama.

Alhamdulillah. Tiada ungkapan indah yang harus diluah melain kata syukur tidak berskesudah buat Allah yang Maha Indah. Inilah rasanya yang lebih aula diucapkan.

Diam tak diam. Masa yang berjalan dirasakan begitu laju walhal ia berjalan seperti biasa sebagaimana yang Allah telah tetapkan. Diam tak diam sudah tiga tahun memenetap di negara orang. Diam tak diam kapal terbang sudah mendarat di lapangan terbang Sultan Ismail, Senai pada jam 3.15 petang waktu Malaysia.

Walau hati sayu, walau cinta masih bertugu pada bumi yang sangat dirindu; Mesir al-Kinanah. Tapi langkah tetap perlu disusun. Kaki dan jasad perlu diusung meninggalkan bumi yang penuh 1001 barakah.

Kepada rakan yang masih berada di Bumi Mesir, selamat meneruskan perjuangan. Rasanya ramai di kalangan rakan semua yang tidak sempat daku bersua-muka sebelum langkah di bawa menuju meninggalkan negara Mesir yang tercinta. Lantaran itu, tangan dihulur maaf dipohon. Sepanjang kita bersama menggali dan mencari ilmu di sana, daku memang banyak melakukan kesalahan, kesilapan dan banyak perkara yang menyentuh jiwa. Salam dihulur, maaf sekali lagi dipohon.

Doakanku menjadi penjulang dan penjunjung nama Allah dan Rasul-Nya walau di mana berada. Doakan juga moga diperluaskan rezeki dan diberkati perjalanan hidup ini. Moga Allah sentiasa bersama kita semua. Moga kita bertemu kembali dilain masa.

Wallahu a'lam

Selasa, Oktober 03, 2006

Satu lagi hajat yang telah Allah usaikan…

Bismillah

Selaut kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi atas segala nikmat dan pemberian-Nya. Entah kenapa dalam ketika, ruang dan peluang yang masih Allah berikan untuk memesrai dan meladeni bumi Mesir ini, digerakkan dalam hati satu keinginan menyelusuri pantai Medetranian. Dalam sela-sela nafas yang tidak berapa hari lagi diberi peluang menghirup bayu dan udara Mesir.

Sebenarnya ia bukan suatu yang penting yang tarafnya hingga dhoruri, bahkan hajiyat pun bukan. Kalau difikir, seharusnya kehendak hati tidak patut dituruti apatah lagi kalau ia hanya ada sedikit kebaikan. Sepatutnya masa yang ada diberi tumpuan pada persedian ilmu bekalan pulang. Namun, manusia Allah beri nafsu yang kepingin kepada keseronokan, suka kepada keindahan dan senang dengan ketenangan. Mungkin atas dasar itu, jasad yang kental, keras dan pejal, tunduk dengan kehendak hati yang lebih kecil dan lemah pada zahirnya.

Apa-apa pun, aku telah Allah kurniakan ruang dan peluang memesrai keindahan Illahi. Berjalan menatap, melihat dan memandang hidupan dan telatah alam. Semua, terakam dalam kotak fikiran yang bakal menjadi sejarah yang sentiasa dikenang bila aku telah pulang.

Terima kasih diucapkan kepada Firdaus Sulaiman yang membawa aku dari Kaherah ke Iskandariah. Ucapan yang sama tuju juga buat akhi Azman Shaari. Dan yang paling banyak berjasa dalam perjalan ini Sdr Zaki M. Noor yang tak pernah jemu menangkap fotoku, yang tak bosan melayan, yang sudi diriku menjadi tamu di kediamannya.

Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian semua. Aku mohon ribuan ampun dan maaf di atas segala tutur bicara yang tidak sedap di dengar telinga. Apa jua juadah dan santapan yang dihidang, dimohon agar dihalalkan. Moga bertemu lagi dilain masa.

Wallahu a'lam