Rabu, Oktober 11, 2006

Persepsi kita

Bismillah

Suatu masa dahulu saya pernah menerima email dari kawan saya tentang sebuah cerita. Begini kisahnya.

Seorang guru membuat suatu contoh misalan yang bagi saya amat menarik. Di tangan kanannya memegang kapur manakala tangan kirinya memegang pemadam papan hitam. Lantas guru tersebut bertanya pada anak muridnya apakah yang dia pegang di tangan kiri dan kanannya. Masing-masing menjawab tangan kiri kapur dan kanan pemadam papan hitam.

Setelah itu, guru tersebut memberi tahu anak muridnya bahawa dia ingin menukar nama dengan menterbalikkan yang kapur menjadi pemadam papan hitam dan begitu sebaliknya. Usai menterbalikkannya, guru tersebut bertanya kepada anak muridnya. Sebahagiannya menjawab dengan jawapan yang sama sebagaimana sebelumnya dan ada yang menjawab sebagaimana arahan guru tersebut.

Melihat situasi itu, guru tersebut bertanya kepada anak muridnya berulang kali hingga kesemua mereka menjawab kapur sebagai pemadam papan hitam dan yang pemadam papan hitam sebagai kapur. Hingga akhirnya seluruh anak murid lancar berbicara yang demikian.

Apa yang saya ingin ambil di sini ialah bagaimana persepsi dan pandangan kita boleh ditukar dan dibentuk. Bagaimana kapur boleh ditukar namanya kepada pemadam papan hitam dan begitu sebaliknya. Walaupun permulaannya sukar, tetapi akhirnya menatijahkan apa yang dinginkan.

Begitu kalau kita melihat panaroma dunia hari ini dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya bagaimana persepsi dan pandangan kita diterbalikkan. Kita boleh melihat bagaimana agama Islam sebuah agama yang sangat murni, telus dan selamat berjaya diadun Barat menjadi agama pengganas dan terrorist. Begitu juga yang berlaku pada sebahagian masyarakat Malaysia tentang femenisme, isu murtad, jenayah dan pelbagai lagi yang suatu masa dahulu merupakan perkara sinis, janggal dan pelik. Tetapi hari ini telah berubah menjadi biasa dan kadang-kadang menjadi suatu yang membanggakan.

Satu lagi persepsi dan fenomena yang menarik minat saya untuk disentuh sedikit pada ruangan ini ialah berkaitan title atau menamakan sesuatu kelompok dengan sesuatu nama. Secara umumnya, bagi saya tidak salah menamakan sesuatu kelompok, aliran atau puak dengan suatu nama yang tidak lain tidak bukan memudahkan kita mengenal mereka. Ia tidak salah bahkan memudahkan.

Namun, apa yang mengecewakan ialah apabila persepsi negatif yang dipupuk pada satu-satu kelompok atau puak. Dan lebih mengharukan ia berlaku di kalangan umat Islam. Dalam satu aqidah, dengan satu kalimah syahadah dan bersama dengan Allah dan Rasul yang satu.

Sebagai contoh golongan Syi'ah. Kekadang, ada di kalangan kita umat Islam ahli sunnah wal jamaah, seolah sinis dan sangat rigid pandangannya terhadap golongan Syi'ah ini. Memang benar ada beberapa akidah dan pegangan mereka yang sangat lari dari pegangan ahli sunnah wal jamaah. Namun, patutkah kita memandang sinis pada mereka lantas membiarkan mereka dalam kesesatan tersebut. Sedangkan kita semua bernaung di bawah satu kalimah lailahailla Allah.

Saya tidaklah berniat menuding jari menyalahkan sesiapa. Kerna kekadang ada benarnya apa yang dilontarkan sebahagian kita tentang mereka yang bernama Syiah. Kesesatan dan penyelewengan mereka harus disingkap agar yang lurus jalannya tidak tersasar. Tetapi, persoalannya; adilkah kita membiarkan mereka begitu sahaja? Kalau kita sudah ada kesedaran dan telah ada ilmu tentang kebenaran, kenapa tidak kita bimbing mereka dan bawa mereka kepada aqidah yang sebenar.

Begitu juga apa yang berlaku pergeseran bersama kelompok yang digelar sebagai Wahhabi. Tidak dinafikan kekadang kerenah dan isu-isu yang mereka timbulkan membuat kita jadi baran dan menambah sulitkan penyebaran dakwah islamiah. Tetapi, bagi saya adalah tidak adil mereka dimomokkan dengan persepsi yang negatif hingga apa jua yang negatif adalah mereka. Hingga kita rasakan bahawa mereka adalah musuh utama lantas menepikan musuh yang terang-terang memerangi Islam.

Bagi saya tidak salah untuk kita membongkar kesalahan dan kesesatan mereka. Umpama Syi'ah dan Wahhabi misalnya. Pegangan-pegangan sesat mereka tidak harus dibiarkan subur mendiami jiwa-jiwa kita. Kesesatan dan kesalahan mereka perlu diberitahu kepada umum agar kita tidak terjebak. Tetapi, janganlah kita menanam dendam atau memusuhi mereka lantaran pegangan salah mereka. Sepatutnya kita bawa dan bimbing mereka ke jalan yang benar. Berbicara secara sopan dan tulus. Buangkan sifat dendam dan permusuhan.

Saya pernah bertemu dengan mereka yang boleh saya anggap sebagai Wahhabi dan pernah juga saya berjumpa mereka yang sangat-sangat memerangi Wahhabi. Masing-masing begitu ekstrim dengan aliran masing-masing. Saya kira anda semua boleh bayangkan kalau mereka bersua muka. Pertengkaran dan perselisihan akan timbul. Di belakang pun, mereka sudah semacam bertelagah inikan pula bila telah bertemu dua mata.

Akhirnya, yang suka adalah musuh-musuh kita. Kita bergaduh sesama kita. Bertengkar dan berselisih tanpa noktah. Berbicara tanpa ada resolusi dan manfaat yang berguna. Musuh Islam terus maju dan kehadapan. Kita terus bergaduh dan bercakaran. Kita sepatutnya bersatu kembalikan semula kegemilangan Islam.

*Sekadar pandangan dari insan yang rendah ilmu dan iman.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: