Khamis, September 28, 2006

Masalah kawan saya

Bismillah

Semalam kawan saya datang rumah mengadu masalah. Dia kata ini cerita betul-betul dan realiti. Ia sedang berlaku dan tak tahu macam mana nak hadapi. Kawan saya cakap ini bukan kali pertama berlaku. Kawan saya mengadu yang ahli bait dia merajuk. Kawan saya cakap ahli bait dia baru beberapa hari duduk bersama. Sebelum ini kawan saya cakap, ahli bait dia salah seorang kepimpinan dan duduk di asrama. Setelah bersara, dia sama-sama duduk serumah dengan kawan saya.

Kawan saya bagi tahu yang kawan saya sangat suka dan amat gemar dia duduk bersama serumah. Dia sangat mengalu-alukan. Kawan saya cakap yang ahli bait dia baik orangnya. Dia rajin, pemurah dan suka tolong orang. Beberapa hari yang lepas, kawan saya cakap ahli bait dia beli mesin basuh baru jenama fresh. Kawan saya dan dia sangat mesra dan sering bergurau senda.

Tapi kawan saya bagi tahu semalam entah kenapa ketika kawan saya pulang dari tauhid wan nur membeli beg, tiba-tiba ahli bait dia kata kawan saya berlagak dan sehingga hari ini kawan saya tidak ditegur dan tidak bergurau senda dengan ahli bait dia. Entah kenapa ahli bait dia tiba-tiba merajuk. Ini bukan kali pertama ahli bait kawan saya berkelakuan begitu. Kawan saya kata dia sangat kusut. Kesian kawan saya.

Kawan saya bagi tahu yang ahli bait dia ada adik angkat yang sama-sama duduk sebilik dengan dia. Kawan saya pelik kenapa ahli bait dia tak pernah merajuk atau masam muka dengan adik angkat dia. Kawan saya pun kusut bila seolah-olah apa yang adik dia buat betul. Adik dia tak pernah kena marah ke, apa ke. Tapi kawan saya pelik kenapa ahli bait dia merajuk pada dia. Kawan saya mengadu pada saya. Apa salah dia?

Saya pun geleng kepala dan hanya angkat bahu tanda tak tahu. Kawan-kawan semua tahu tak? Kalau tahu, boleh lah tolong selesaikan masalah kawan saya ni.

Kawan saya minta saya tuliskan masalah dia kat dalam blog saya sebab dia kata ahli bait dia ada internet dan kawan saya harap ahli bait dia yang merajuk tu, janganlah merajuk lagi. Kawan saya kata kenapa ahli bait dia macam tu sedangkan kawan saya dah nak pulang ke Malaysia 6/10 ni.

Kawan saya kata dia tak pandai nak bersua muka mohon maaf. Sebab tu dia minta saya tulis kat dalam blog saya. Moga ahli bait kawan saya yang merajuk tu tak merajuk lagi. Kawan saya cakap dia minta maaf kalau apa-apa yang dia luahkan pada saya dan saya pun tulis kat dalam blog saya ni menyinggung mana-mana hati. Kawan saya kata, dia Cuma mahu yang keruh menjadi jernih dan yang hitam menjadi putih.

Wallahu a'lam

Rabu, September 27, 2006

Beberapa peristiwa sejarah dalam Ramadhan

Bismillah

Pada tarikh 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, bersamaan Jumaat, berlaku Perang Badr al-Kubra, satu peperangan besar yang pertama kali membabitkan kaum Muslimin melawan kaum musyrik.

Pada tarikh 18 Ramadan tahun kelapan hijrah pula, Rasulullah bersama 12,000 kaum Muslimin bertolak dari Madinah menuju Makkah untuk membebaskan Makkah. Peristiwa pembebasan kota Makkah ini begitu terkenal dengan sebutan ‘Futuh Makkah’.

17 hb (40 hijrah) - Tragedi pembunuhan Imam Ali. Beliau wafat dalam kecederaan ketika memasuki Masjid Kufah.

Pada Ramadan juga, dalam tahun ke-91 Hijrah, kaum Muslimin di bawah pimpinan Thariq bin Ziad, berjaya membuka Andalusia (Sepanyol). Peristiwa yang dikenali sebagai “Futuh Andalusia” ini begitu menyemarakkan semangat perluasan empayar Islam apabila Thariq dan tentera Muslimin, berjaya menyeberangi selat di antara Afrika dan Eropah atas perintah Musa bin Nushair penguasa Islam ketika itu.

Pada Ramadan 1393 atau Oktober 1973, tentara Mesir yang sudah mendapat gemblengan Islam dari para ulama, di bawah komando Presiden Anwar Sadat, berhasil mengalahkan pasukan Israel di Sinai.

Wallahu a'lam

Isnin, September 25, 2006

Ahlan Ya Ramadan

Bismillah

ثنا علي بن حجر السعدي ثنا يوسف بن زياد ثنا همام بن يحيى عن علي بن زيد بن جدعان عن سعيد بن المسيب عن سلمان قال خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر يوم من شعبان فقال أيها الناس قد أظلكم شهر عظيم شهر مبارك شهر فيه ليلة خير من ألف شهر جعل الله صيامه فريضة وقيام ليله تطوعا من تقرب فيه بخصلة من الخير كان كمن أدى فريضة فيما سواه ومن أدى فيه فريضة كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه وهو شهر الصبر والصبر ثوابه الجنة وشهر المواساة وشهر يزداد فيه رزق المؤمن من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار وكان له مثل أجره من غير ان ينتقص من أجره شيء قالوا ليس كلنا نجد ما يفطر الصائم فقال يعطي الله هذا الثواب من فطر صائما على تمرة أو شربة ماء أو مذقة لبن وهو شهر أوله رحمة واوسطه مغفرة وآخره عتق من النار

صحيح ابن خزيمة ج3/ص191
8 باب فضائل شهر رمضان إن صح الخبر

Maksudnya: Daripada Salman telah berkata: "Telah berkhutbah Rasuullah kepada kami pada akhir hari bulan syaaban,. Maka, bersabda baginda s.a.w: "Wahai manusia sesungguhnya kamu telah dipayungi bulan agung, bulan berkat, bulan yang padanya malam yang lebih baik dari seribu bulan. Allah telah jadikan puasa padanya fardu dan solat pada malam sebagai ketaatan. Barangsiapa menghampirinya, maka berhasillah kebaikan seperti mereka yang melakukan fardu dengan apa yang seumpamanya. Dan barangsiapa yang menunaikan yang fardu, seolah-olah dia telah menunaikan tujuh puluh kefarduan dengan apa yang seumpamanya. Iaitu bulan kesabaran dan kesabaran ganjarannya syurga. Bulan kebahgiaan dan bulan ditambah padanya rezki orang mukmin. Barangsiapa berbuka padanya dan dia berpuasa, maka diampunkan dosanya dan diberi kelepasan dari apa neraka dan adalah baginya ganjaran yang tidak akan dikurangkan sesuatu apa pun." Mereka berkata: Tidak ada di sisi kami apa yang boleh dibuat buka bagi orang yang berpuasa." Maka, jawab Baginda s.a.w: " Maka siapa yang berbuka sedang dia berpuasa dengan sesuap tamar, seteguk air dan seteguk susu. Iaitu bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya perlepasan dari api neraka


حدثنا إِسْمَاعِيلُ قال حدثني مَالِكٌ عن بن شِهَابٍ عن حُمَيْدِ بن عبد الرحمن عن أبي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قال من قام رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ من ذَنْبِهِ
صحيح البخاري ج1/ص22


Maksudnya: Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas hanya untuk Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu.


Wallahu a'lam

Ahad, September 24, 2006

Selamat meneruskan perjuangan

Bismillah

Tiada kata untuk diungkap, tiada madah untuk ditatah buat bicara sentuhan yang terindah melainkan menadah tangan syukur tak berkesudah kehadrat Illahi Pencipta alam Yang Maha Megah. Selawat dan salam buat Rasul tercinta, utusan akhir zaman.

Teringat kembali detik sejarah dalam hidup, pada Oktober 2004. Takdir dan ketentuan Allah meletakkan saya sebagai penggalas tanggungjawab dalam barisan kepimpinan Badan Kebajikan Pelaja-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) yang amat disayangi. Dari saat itu, bermulalah sebuah episod baru dalam kehidupan yang belum pernah dilalui sebelum ini. Itu sejarah silam yang telah hampir dua tahun ia berlalu.

Kini, apa yang dihadapi dan didepani adalah satu proses silih berganti atau putaran lazim dalam roda kehidupan insan. Bersara, pencen dan berhenti berkhidmat merupakan suatu perkara biasa dalam menjawat sesebuah jawatan. Bagi saya, ini suatu rahmat dan merupakan saat manis yang harus dipanjat rasa syukur tak terhingga ke hadrat Yang Maha Esa atas sebab beban yang berat telah pun di angkat.

Sungguh pun begitu, kadang-kadang ingin menitis air mata bila melihat rakan-rakan yang saya anggap mereka terpaksa atau mungkin juga terpedaya (sekadar berseloroh). Mereka-mereka yang masih meneruskan perjuangan dalam arena kepimpinan.

Kerana, hakikat sebenarnya adalah pahit dan getir. Hakikat bahawa tiada lagi manusia yang sanggup berkorban apa saja demi menjaga maslahah semua. Mereka-mereka yang masih duduk dan baru menduduki kerusi kepimpinan inilah golongan manusia yang saya kira Allah pilih dan buka hati-hati mereka memberi kefahaman yang jelas bahawa kepimpinan ini adalah ahammu al-muhim yang boleh kita klasifikasikan sebagai perkara dhoruri dan sangat penting. Mereka sudi mengambil tempat ini atas dasar fardu dan wajib.

Sejarah telah membuktikan secara jelas merakamkan bahawa jasad Rasulullah tidak disemadikan selama tiga hari lantaran mencari pengganti buat penerus agama Islam yang suci. Begitu juga yang berlaku di zaman khalifah yang seterusnya. Ini menunjukkan kepada kita betapa kepimpinan ini ada suatu dhoruriyat yang tidak boleh dipandang enteng atau mungkin sekadar picisan buangan.

Saya menganggap kebanyakan kita amat faham dan sungguh-sungguh mengerti perihal kepentingan adanya kepimpinan ini. Namun begitu, tidak semua sudi mengisi kerusi-kerusi kosong dalam saf kepimpinan. Ini disebabkan tanggungjawab yang amat berat yang mungkin terpaksa bergadai harta benda, tenaga dan sebagainya.

Oleh yang demikian, tidak boleh tidak, kesudian mereka-mereka yang mengisi kerusi kosong barisan kepimpinan, sangat perlu kita hargai. Kita perlu meraikan keterbukaan hati mereka dalam menerima tambahan tugas dan amanat sebagai pimpinan yang juga seorang penuntut. Caranya, kita haruslah sama-sama juga sudi berkorban apa saja dalam membantu mereka. Membiarkan mereka terkontang-kanting tanpa ada usaha bahu-membahu dari kita, adalah suatu dosa yang juga bakal Allah tanyakan di akhirat kelak.

Buat akhirnya, saya memohon ribuan ampun dan maaf daripada semua di atas kesalahan, kesilapan dan tanggungjawab yang tidak berjaya dilunaskan. Moga hati kalian Allah bukakan memberi kemaafan kepada saya yang serba kekurangan.

Terima kasih tidak terhingga buat seluruhnya yang sama-sama membantu dalam melaksanakan tugas yang Allah pundak dan amanahkan buat saya.

Untuk rakan-rakan yang masih di kerusi kepimpinan dan baru menduduki kerusi ini, selamat meneruskan perjuangan. Moga Allah sentiasa bersama kamu semua. Doakan saya juga moga tetap dan thabat dalam perjuangan serta menjadi penjulang nama Allah dan Rasul-Nya walau di mana berada.

Wallahu a'lam

Khamis, September 21, 2006

Magic of Maths

Bismillah

1 drb 8 + 1 = 9
12 drb 8 + 2 = 98
123 drb 8 + 3 = 987
1234 drb 8 + 4 = 9876
12345 drb 8 + 5 = 98765
123456 drb 8 + 6 = 987654
1234567 drb 8 + 7 = 9876543
12345678 drb 8 + 8 = 98765432
123456789 drb 8 + 9 = 987654321


12345679 drb 9 = 11111111
12345679 drb 18 = 22222222
12345679 drb 27 = 33333333
12345679 drb 36 = 44444444
12345679 drb 45 = 55555555
12345679 drb54 = 66666666
12345679 drb 63 = 77777777
12345679 drb 72 = 88888888
12345679 drb 81 = 99999999

9 drb 1 = 9
9 drb2 = 18 1 + 8 = 9
9 drb 3 = 27 2 + 7 = 9
9 drb 4 = 36 3 + 6 = 9
9 drb 5 = 45 4 + 5 = 9
9 drb 6 = 54 4 + 5 = 9
9 drb7 = 63 6 + 3 = 9
9 drb 8 = 72 7 + 2 = 9
9 drb 9 = 81 8 + 1 = 9
9 drb 10 = 90 9 + 0 = 9

Rabu, September 20, 2006

Email dari abang

Bismillah

sepasang suami isteri dr singapura telah bercadang untuk bercuti bersama di kl.Mereka berjaya menempah tiket kapal terbang tapi berlainan hari.Ini bermakna suami pergi dulu diikuti isterinya keesokan hari..suami tadi menginap disebuah hotel di kl dan terdapat sebuah komputer di dalam bilik hotel itu..sisuamipun mengambil keputusan untuk menghantar email kepada isterinya.Malangbya dia telah tersalah taip alamat email isterinya dan tanpa mengetahui kesilapan itu dia terus "send" email itu...

Di sebuah rumah dikedah pula,seorang perempuan yang baru bergelar janda baru sampai kerumahnya selepas pulang daripada majlis pengebumian suaminya...Janda tersebut mengambil keputusan untuk menyemak emailnya untuk melihat sekiranya terdapt mesej daripada saudara-maranya dan.....

Selepas membaca email pertama si janda tersebut terus pengsan...Anak lelaki janda tersebut bergegas kebilik ibunya dan mendapati ibunya terlentang dilantai dan diapun baca mesej diskrin komputer....

TO:ISTERI KESAYANGANKU
SUBJECT:ABANG TELAH SELAMAT SAMPAI>>>
DATE:19 SEPTEMBER 2006

Abang tahu sayang pasti akan terkejut dengan kehadiran mesej ini..Mereka telah menyediakan komputer disini pada ketika ini dan kita boleh menghantar email kepada sesiapapun terutama insan kesayangan kita...Abang telah selamat sampai dan telah menginap dengan aman disini...Abang lihat semuanya telah disediakan disini untuk kedatanganmu pada hari esoik...

Semoga berjumpa dgnmu nanti,sayang..Abang harap perjalananmu kesini lebih bermakna seperti apa yang telah abang lalui ketika ini...

Yang menyintaimu....

Wallahu a'lam

Selasa, September 19, 2006

Hajat yang telah Allah usaikan

Bismillah...

Semalam, setelah sekian lama menanam hasrat dan cita-cita. Akhirnya qudrat dan iradat Allah Ta'ala meletakkan daku dan rakan-rakan berjaulah sekitar Kaherah. Berjaulah menyelusuri dan menitip satu-persatu individu-individu yang jiwa mereka hampir dan sangat dekat dengan Allah. Melawat dan menziarahi auliya' dan ulama penjulang agama Allah.

Cita-cita dan impian yang ditanam sebelum kaki melangkah pulang meninggalkan bumi yang penuh sejarah silam yang amat gemilang.

Bermula langkah mengucap salam kepada seorang wali Allah keturunan Rasulullah s.a.w. Syeikh Sayid Soleh al-Ja'fari rahimallahu Ta'ala dan berakhir di Jabal Muqattam, menziarahi seorang abid, sufi yang ulung, Syiekh Ibnu 'Atoillah as-Sakandari Rahimallahu Ta'ala 'anhu.

Semuanya kalau dikira hampir 50 buah makam yang berjaya dilawati. Itupun tidak semua kami lawati disebabkan qudrat yang amat terhad. Banyak lagi pusara dan makam auliya dan ulama yang bertebaran di kota Kaherah. Itu belum dikira jumlahnya di seluruh Mesir.

Sangat hebat dan sungguh ulung. Bumi Mesir memang bumi barakah. Bumi yang pasir-pasirnya bekas pijakan anbiya, auliya dan ulama. Moga kita semua tergolong dalam golongan mereka. Moga daku diberi kekuatan meneruskan perjuangan di tanah air kelak. Moga di mana jua ku pijak tanah, di situ Allah dan Rasul-Nya kujulang penuh gagah.

Amin...

Terima kasih buat seluruh rakan-rakan yang sama-sama menemani daku mendakapi jiwa dan hati insan-insan yang sering meratapi Illahi, yang tidak kering lidahnya Allah dipuji.

Wallahu a'lam

Sabtu, September 16, 2006

Pesanan dari Baba

Bismillah
لا دار للمرء بعد الموت يسكنها
إلا التي كان قبل الموت بنيها
فإن بناها بخير طاب مسكنها
وإن بناها بشر خاب بانيها

Tiada rumah bagi seseorang setelah mati untuk dia diami
melainkan apa yang dia telah bina sebelum mati
Sekiranya dibina dengan kebaikan. Maka, baiklah kediamannya
dan sekiranya dibina dengan keburukan. Maka, tiada harapan lagi untuk membinanya

Jumaat, September 15, 2006

Azan; berkumandang setiap saat diseluruh dunia

Bismillah...

Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui 'Bahawa Allah Sahaja Yang Patut Disembah, dan Nabi Muhammad Adalah Rasul Allah.'

Dimulakan dengan Indonesia yang terletak dibahagian timur dengan ratusan kepulauan-nya dan jumlah penduduknya seramai 180 juta.Sebaik masuk waktu Subuh, Azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan Bilal yang akan melaungkan Ke-Agungan Allah S.W.T Dan Nabi Muhammad S.A.W.

Proses ini akan bergerak kearah barat kepulauan Indonesia. Perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah 1-1/2 jam.Belumpun laungan Azan dimerata Indonesia selesai, ianya bermula pula di-Malaysia. Berikutnya di-Burma dan dalam masa satu jam selepas Azan dilaungkan di-Jakarta, tiba giliran Dacca di Bangladesh.

Berikutnya laungan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar dibarat India.

Perbezaan waktu dikota-kota Pakistan adalah 40 minit jadi dalam jangka masa ini, Azan akan berkumandang diseluruh Pakistan. Belum berakhir di-Pakistan, Azan akan bermula pula di-Afghanistan dan Muscat.

Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa ini, Azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman, Kuwait dan Iraq.

Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik. Jarak masa Azan mula dilaungkan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah 9-1/2 jam.

Belumpun Azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, Azan Zuhur kini sudah mula dilaungkan di Indonesia. Ini berterusan bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus.

Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam!

Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara (yang power habis!), akan bergegar satu dunia dengan laungan Azan tidak putus- putus.

Wallahu a'lam

Selasa, September 12, 2006

Kekadang aku lupa

Bismillah

Kekadang aku lupa
Aku anak yang tua
Kekadang aku tak sedar
Aku abang
Kekadang aku tidak ingat
Aku pembakar semangat

Kerna itu
Aku sering leka
Aku sentiasa alpa
Aku selalu buat-buat tak tahu

Maafkan daku....

Isnin, September 11, 2006

Menyingkap rahsia kekuatan Hizbullah

Bismillah

oleh : Maszlee Malik

"Islamic Resistance guerrillas are reckoned to be amongst the most dedicated, motivated and highly trained of their kind,"

Jane's World Insurgency & Terrorism

Fakta yang tidak boleh dinafikan lewat peperangan yang dilancarkan oleh rejim Zionis ke atas Lubnan ialah kegagalan pihak Zionis untuk mencapai kemenangan di dalam peperangan tersebut. 30,000 tentera Zionis (IDF) yang dihantarkan ke selatan Lubnan ternyata gagal untuk mencapai dua matlamat utama mereka, yang pertamanya untuk membebaskan dua tentera mereka yang ditawan dan yang keduanya untuk menghapuskan Hizbullah dari bumi Lubnan. Dilengkapi dengan segala persenjataan terkini dan tercanggih, mereka gagal untuk menewaskan para pejuang Hizbullah yang dilaporkan berjumlah di antara 2,000 sehingga 3,000 orang sahaja. Kegagalan rejim Zionis ini merupakan sesuatu yang diiktiraf umum, hatta oleh rakyat Zionis juga. Sudut yang menarik dari peristiwa yang berlaku ini ialah apakah rahsia kekuatan Hizbullah.

seterusnya di sini...

Ahad, September 10, 2006

Bukan hanya kejayaan dan kegagalan...

Bismillah

(Perhatian: Bagi mengelakkan kekeliruan memahami tulisan di bawah ini, sila baca tulisan sebelumnya. 1) Kegagalan dan kejayaan adalah milik mutlak Allah. 2) Begitu juga dengan kejayaan.)

Kalimah مُلْكُ (mulku) berbaris hadapan pada huruf mim, berbaris mati pada lam dan berbaris hadapan pada kaf. Allah telah menyebutnya di dalam Kitab-Nya yang Mulia sebanyak 30 kali. Kalimah مُلْكُ adalah kata nama terbitan (masdar) bagi kata nama ملك (malikun) berbaris atas pada mim dan bawah pada lam. Kalimah ملك (malikun) ini membawa erti raja atau penguasa. Di dalam Mu'jam Asasi, kalimah ملك (malikun) diertikan sebagai صاحب الأمر والسلطة على أمة أو بلاد membawa maksud pemilik bagi sesuatu urusan dan penguasa ke atas umat atau negara.

Pada 30 ayat yang Allah sebutkan kalimah مُلْكُ di dalam kitab suci al-Quran, boleh dikatakan semua 30 ayat ini secara jelas dan sarih merangkumkan betapa segalanya adalah milik mutlak Allah Taala. Ia bermula dari ayat 107 surah al-Baqarah. Allah Taala memulakan firman-Nya dengan hamzah istifham. Seolah-olah Allah bertanya kepada hambanya dan ia juga sebagai taukid dan penguat tentang pengkhabaran yang Allah turunkan.

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.

Di dalam tafsir al-Tobari. Imam Tobari menerangkan ayat di atas sebagaimana berikut:-

Kata-kata pada mentakwilkan firman Allah Taala { أَلَمْ تَعْلَم أَنَّ اللَّه لَهُ مُلْك السَّمَوَات وَالْأَرْض وَمَا لَكُمْ مِنْ دُون اللَّه مِنْ وَلِيّ وَلَا نَصِير } . Telah berkata Abu Jaafar: "Sesungguhnya telah berkata kepada kami, Adakah Rasulullah s.a.w tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu berkuasa atas tiap suatu? Dan sesungguhnya bagi-Nya kerajaan langit dan bumi sehingga diperkatakan kepadanya yang demikian?" Maka dijawab: "Ia." Adapun sebahagian mereka berkata: "Sesungguhnya yang demikian itu adalah pengkhabaran daripada Allah Taala tentang sesungguhnya Muhammad s.a.w memang benar-benar mengetahui yang demikian. Tetapi, kata-kata yang dikeluarkan dengan lafaz taqrir adalah sebagaimana yang dilakukan orang arab pada khitab sebahagiannya kepada yang lain. Maka, dia berkata kepada rakannya: "Adakah tidak engkau memuliakannya? Bermakna mengkhabarkannya bahawa sesungguhnya dia memang dimuliakan."

Di atas merupakan salah satu contoh keterangan ayat Allah betapa segalanya adalah milik Allah Taala. Bukan sekadar ayat penyata yang Allah turunkan. Malahan ditambah dengan kata penguat dan ta'kid memberitahu memang benar-benar Allah adalah Raja dan Penguasa kepada segalanya.

Antara ayat lain yang menerang dan memperjelaskan bahawa Allah Taala adalah Pemilik, Raja dan Penguasa seluruh alam, Pemerintah langit dan bumi sebagaimana dalam surah Ali Imran ayat 189, al-Maidah: 170 dan 180, al-Nur: 42, al-Jathiyah: 27 dan al-Fath: 14.

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi,

Semuanya secara jelas dan nyata memberitahu bahawa langit dan bumi adalah di bawah pemerintahan Allah Taala. Dialah yang Maha Kuasa. Dialah juga yang menentukan segalanya. Banyak lagi ayat Allah yang menyebut dengan terang kalimah مُلْكُ memperjelas kekuasaan yang Maha Mutlak kepada Allah Taala. Banyak juga ayat-ayat lain yang tidak diperbahas di sini yang menyatakan perihal kekuasaan mutlak Allah Taala. Tidak terhitung juga kalimah-kalimah secara kiasan dan tidak jelas menerangkan perihal kekuasan Allah Taala sebagaimana kalimah مُلْكُ .

Khulasatul qaul, bahawa tidak syak lagi segalanya adalah mutlak milik Allah Taala. Bukan sekadar kejayaan dan kegagalan. Malahan semuanya adalah milik-Nya.

Wallahu a'lam

Jumaat, September 08, 2006

Hiburan di zaman Rasul Agung (bhgn. Akhir)

Bismillah

Baginda Nabi juga pernah bergurau bersama sahabat baginda. Diriwayatkan daripada Abu Daud dalam satu riwayat dikatakan: "Sesungguhnya Rasulullah saw bergelut dengan Rukanah yang terkenal kuatnya itu, kemudian ia berkata: berjanjilah dengan saya untuk lain kali lagi, lantas nabi bergelut untuk ketiga kalinya. Lantas lelaki itu bertanya: "Apa yang harus saya katakan kepada keluargaku?" Nabi menjawab: "Katakan anak kambing telah dimakan oleh serigala dan larilah anak kambing.Dan apa pula yang hendak aku katakan untuk yang ketiga?" Nabi menjawab: "Kami tidak dapat mengalahkan kamu untuk bergelut dengan kamu dan untuk mengalahkan kamu, kerana itu ambilah hadiahmu."

Pada zaman Rasulullah, sahabat-sahabat baginda juga tidak lepas dari sifat suka berseronok dan mahu berhibur. Lantaran itu baginda Nabi pernah bersabda: "Lemparkanlah panahmu itu, aku bersama kamu." (h.r Bukhari)

Rasulullah bersabda demikian ketika mana baginda sedang berjalan-jalan dan menjumpai sekelompok sahabatnya yang sedang mengadakan pertandingan memanah, maka pada waktu itu Rasulullah memberikan dorongan kepada mereka. Dalam satu riwayat lain daripada Bazzar dan Thabrani dengan sanad hasan, baginda s.a.w bersabda: "Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-sebaik permainanmu."

Namun begitu Rasulullah s.a.w memperingatkan kepada para pemain agar tidak menjadikan binatang-binatang jinak dan seumpamanya sebagai sasaran sebagaimana yang dilakukan masyarakat Jahiliah.

Inilah antara beberapa permainan dan hiburan yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan banyak lagi contoh-contoh permainan yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w.

Dalam satu riwayat yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a ia berkata: "Ketika orang-orang Habasyah sedang bermain pedang di hadapan Nabi s.a.w, tiba-tiba Umar masuk, kemudian mengambil kerikil dan melemparkannya kepada mereka. Kemudian baginda Nabi s.a.w berkata kepada Umar: "Biarkan mereka itu, wahai Umar."

Ini merupakan suatu kelapangan dan toleran daripada baginda Nabi s.a.w dengan mengizinkan permainan seperti ini dilakukan yang mana permainan ini berlaku di kawasan masjid. Ini juga menunjukkan betapa Nabi s.a.w menganjurkan kesepaduan antara kepentingan dunia dan akhirat yang mana Nabi tidak melarang orang-orang Habasyah bermain pedang di kawasan masjid.

Oleh itu, ulama berkata berdasarkan hadis di atas: "Bahawa masjid dibuat adalah demi kepentingan kaum muslimin. Oleh kerana itu, apa saja kiranya bermanfaat untuk agama dan manusia, maka bolehlah dikerjakan di masjid."

Zaman Rasulullah s.a.w telah berlalu. Ia telah menjadi sejarah. Peristiwa di atas merupakan beberapa rakaman sejarah yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w berkaitan hiburan. Ini adalah beberapa contoh bagaimana Nabi s.a.w dan para sahabatnya berhibur. Inilah antara tauladan yang wajib dianuti setiap orang Islam. Rasulullah dan para sahabat baginda telah memberi tunjuk ajar yang terbaik tentang bagaimana mereka berhibur.

Akhirnya, mari sama-sama kita renungkan sabda baginda Nabi s.a.w. Hanzalah pada satu ketika beliau bertemu Abu Bakar, kemudian terjadilah suatu dialog:
Abu Bakar: Apa khabar ya Hanzalah?
Hanzalah : Aku telah berbuat nifaq!
Abu Bakar: Subhanallah, apa yang kamu katakan itu?
Hanzalah : Bagaimana tidak! Aku selalu bersama Rasulullah s.a.w, ia menuturkan kepadaku tentang neraka dan syurga yang seolah-olah syurga dan neraka itu aku lihat dengan mata kepalaku. Tetapi setelah aku keluar dari tempat Rasulullah, kemudian saya bermain-main dengan isteri dan anak-anak saya dan bergelumang dalam pekerjaan, maka saya sering lupa tutur Nabi itu.
Abu Bakar : Demi Allah saya pun berbuat demikian!
Kemudian Hanzalah bersama Abu Bakar pergi bertemu Rasulullah dan mencerikan perihal mereka di hadapan Nabi s.a.w. Kemudian Rasulullah bersabda: "Demi Zat yang diriku dalam genggamannya! Sesungguhnya andai kata kamu disiplin terhadap apa yang pernah kamu dengar ketika bersama aku dan juga tekun dalam zikir, nescaya malaikat akan bersamamu di tempat tidurmu dan di jalan-jalanmu. Tetapi hai Hanzalah, sa'atan, sa'atan!" (bergurau sekadarnya) Diulangi ucapan itu sampai tiga kali.

Daripada hadis di atas, dapatlah kita mengambil iktibar bahawa baginda Nabi s.a.w tidak melarang dan menghalang sahabat baginda untuk berhibur, berlibur dan bergurau senda bersama keluarga. Malahan ia suatu yang digalakkan bagi mengeratkan lagi ikatan di kalangan ahli keluarga. Namun, Rasulullah memperingatkan kepada kita agar semuanya itu dilakukan sekadarnya dan baginda Rasul mengulangi ucapan beliau sebanyak tiga kali. Ini menunjukkan betapa sebenarnya agama Islam tidak pernah melarang penganutnya untuk berhibur. Namun begitu, perlulah berpada-pada jangan sampai tercalar kesucian agama.

Wallahu a'lam.


Rujukan:

1) Tafsir al-Munir Jilid 30.
2) Kitab Halal dan Haram dalam Islam karangan Dr Yusof Qardhawi.

Rabu, September 06, 2006

Padan muka pelancong Jepun

Seorang pelancong Jepun menahan teksi di depan hotel penginapannya untuk ke lapangan terbang. Setelah menekan butang meter tambang, teksi tu mula bergerak dengan perlahan. Di lebuh raya, pemandu teksi tadi memandu dengan kelajuan yang sederhana. Tiba-tiba, sebuah kereta memotong.

"Ah, Nissan. Made in Japan. Very fast," kata pelancong Jepun tadi.

Kemudian sebuah lagi kereta memotong dengan laju.

"Ah, Toyota. Made in Japan. Very fast," kata pelancongJepun tu lagi.

Kemudian sebuah lagi kereta memotong, lebih laju."Ah, Mitsubishi. Made in Japan. Very fast", katapelancong itu lagi, bangga dengan keluaran negaranya.

Sampai di lapangan terbang... ..ketika pelancong itu ingin membayar tambang teksinya..

"RM100 please... " kata pemandu teksi selamba.

"What? RM100? it's not that far from the hotel?" Pelancong tu tak puas hati."

Ah. Agrometer (meter teksi). Made in Japan. Veryfast," jawab pemandu teksi tersebut dengan selambanya.

Isnin, September 04, 2006

Ku kayuh sendiri kolek ini

Teman,
dulu, tika kita
meredah belantara tanah air
semasa kita menebang cengal
untuk dibuat kolek,
ketika ia sedang dibina
dan, tatkala ia usai
engkau berjanji akan
bersamaku mendayungnya
engkau berjanji akan
bersamaku mengayuhnya
ke muara cita-cita.

Teman,
tika ini, kolek kita
sedang meredah gelora Nil
badainya perit metah
ombaknya maha garang
bayunya kencang
sukar untuk diredah

Teman,
kolek yang sedang
menampan bejat gelora Nil ini,
sesak melawan ombak
ia semakin berat dan lelah
kerih untuk ku dayung
kerana,
kau telah tiada
kau telah berenang meninggalkanku
kau telah dahulu terjun ke dalamnya
kau telah dahulu berlabuh di tebingnya
kenapa dibiarkan daku sendiri?

Teman,
kini, daku hanya larat berdoa
aku hanya mampu
menyusun aksara pada puisi ini
agar dirimu kembali
agar kita boleh bersama-sama semula
mengayuh kolek ini.

Cairo, Egypt
9 September 2004

Jumaat, September 01, 2006

Walang yang tidak kepalang.

Bismillah

Adalah suatu walang yang tidak kepalang, duka yang amat sengsara, kecewa yang tiada penyudahnya bila sesuatu yang amat jelas, pasti dan sangat hampir menjadi milik kita akhirnya jatuh ke tangan orang. Siapakah dia yang tidak kecewa. Siapakah manusia yang tidak sedih. Siapakah insan yang tidak duka.

Sebagai contoh. Seorang yang baru hendak menikmati ais krim magnum kegemaran yang sangat mahal dan jarang sekali mampu dia nikmati. Entah kenapa dan secara tiba-tiba ada orang menolaknya dari belakang sedang ais krim tersebut sudah ada di hujung bibir lantas ais krim tersebut jatuh ke tanah.

Satu lagi contoh seorang pemain handalan bola sepak dunia yang telah menang piala dunia. Pada ketika dia sedang naik ke pentas, buat pertama kali dalam sejarah hidupnya yang juga sebagai hadiah terakhir sebelum bersara mahu menjulang piala dunia. Tiba-tiba ada kalangan khalayak merampas piala lantas mempertikai kemenangannya yang akhirnya kemenangan berpihak kepada pihak yang mensabotaj. Apa perasan kita? Sangat galat dan amat kecewa.

Di atas antara contoh walang yang tidak kepalang, duka yang amat sengsara dan kecewa yang tidak berkesudah. Di atas juga merupakan satu analogi dan contoh serupa sebagaimana yang dihadapi pasukan nasyid Johor pada kejohanan penutup PMHK kali ke-49 baru-baru ini. Kemenangan yang disabotaj. Kejuaran yang dipersoal yang akhirnya kemenangan berpihak kepada orang lain. Sangat kecewa. Amat sedih dan sengsara metah.

Walaubagaimanapun, kenyataan harus diterima, qada dan kadar Tuhan tiada siapa yang mampu menghalang. Yang pasti dan jelas, semua telah tertulis dan tersurat dari azali lagi. Maka benarlah apa yang telah Nabi s.a.w sabdakan yang bermaksud

"Ketahuilah sesungguhnya kalau sekalian umat berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan memberikan sesuatu manfaat itu kepadamu kecuali apa yang telah Allah tuliskan buatmu. Dan sekiranya mereka berhimpun hendak memudaratkanmu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan memudaratkan sesuatu melainkan apa yang telah benar-benar Allah tuliskan ke atasmu. Terangkatlah kalam dan keringlah suhuf."

Akhirnya kalam, sama-sama kita renungkan firman Allah di bawah ini.

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: (Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya) dan Dia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian samada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-Rum: 37)

وَالَّذِي قَدَّرَ فَهَدَى

Maksudnya: Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayat petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya). (al-A'la: 87)
Wallahu a'lam