Isnin, Julai 10, 2006

Sikap Kita

Bismillah...

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Demikianlah apa yang dinyatakan oleh Allah Ta'ala dalam kitab-Nya yang Mulia. Di dalam ayat tersebut, Allah Ta'ala seolah mencipta andaian agar kita berfikir. Andaian ini jelas pada kalimah لَوْ yang membawa erti kalau dan andaikata. Allah Ta'ala menyatakan "kalaulah engkau (wahai Muhammad) bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. " Firman ini sebenarnya jelas menyatakan kepada kita berkaitan seruan Allah kepada Rasul-Nya agar bersikap lemah lembut agar umat tidak lari dari dakwah.

Didikan dan seruan agar berlemah lembut dan berkata baik ini, sebenarnya bukanlah Allah tujukan semata-mata buat Nabi s.a.w. Ia meliputi seluruh umat baginda. Oleh itu, haruslah bagi kita punyai rasa dan sensitiviti dengan apa yang Allah firmankan.

Begitulah juga dengan sikap kita. Kekadang secara tidak sedar atau tidak sengaja, sikap kita membuat beberapa hati rasa tersinggung berikutan kata-kata dan bicara yang kasar, tiada lemah lembut. Ini sepatutnya tidak berlaku dan perlu dielakkan. Biarpun kita tidak setuju dengan pandangan dan fikiran orang lain, tidak sepatutnya kita hamburkan kata-kata buruk dan menyakitkan jiwa. Masing-masing punya jiwa dan perasaan. Masing-masing punya rasa dan sensitiviti. Rasanya tidak salah kalau kita berbincang dengan elok dan baik. Itu lebih menguntungkan semua pihak.
Wallahu a'lam

Sabtu, Julai 08, 2006

IFC dan tuntutannya

Bismillah...

Apakah matlamat penubuhan IFC? Matlamat IFC ialah untuk meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam. Ini jelas daripada Memorandum tersebut

Menurut Memorandum MCCBCHS tuntutan mereka seperti berikut:

1. Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah. Ini adalah hak yang diberi Artikel 11 Perlembagaan. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

2. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

3. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

4. Tidak perlu dicatatkan dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa dia beragama Islam

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak

7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

9. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing

10. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

11. Sepatutnya Islam tidak tersebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Apakah bahayanya penubuhan IFC terhadap Islam?
Membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal-ehwal agama Islam IFC jelas sebuah suruhanjaya anti-Islam. Ini adalah campurtangan orang bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam secara terang (tanpa berselindung). Hak perlembagaan bagi mengamalkan agama sendiri (Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan - Kebebasan Beragama) tidak berlanjutan kepada mempersoalkan agama lain dan tidak sampai menuntut ajaran agama orang lain dipinda semata-mata untuk kepentingan sendiri. Orang-orang bukan Islam berhak untuk menuntut hak mereka mengamalkan agama sendiri tetapi tidak sampai mempersoalkan dan campur tangan dalam urusan Islam. Campur tangan ini amat bahaya. Perkara yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diselesaikan oleh mereka yang berkelayakan di dalam Islam sen

Kenapa memorendum ini dikemukakan diparlimen? Kenapa berlaku pada pimpinan kini dan kenapa agama asing semaikin berani?

1. Ini adalah antaranya kerana kebanyakan pimpinan-pimpinan beragama Islam di parlimen, secara langsung atau tidak langsung menghina dan mengetepikan agama Islam. Mereka juga seolah lebih meraikan agama lain.

2. Mungkin juga kerana majoriti ahli parlimen, kini dikuasai orang non-muslim. Oleh kerana mereka ramai, maka mereka menjadi berani.

3. Mungkin juga hasil kelemahan dan ketidaktegasan pimpinan sekarang.

Ini adalah beberapa faktor tumbuhnya IFC ini dan banyak lagi faktor-faktor lain yang mampu kita semua fikirkan.

Wallahu a'lam

Khamis, Julai 06, 2006

Jangan Salahkan Allah


Bismillah...

Firman Allah Ta’ala dalam kitabnya yang mulia.

أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ


Maksudnya: Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
(Al-An’am: 6)

Di dalam ayat di atas Allah menerangkan dan memberitahu kepada kita mengenai beberapa perkara dan perihal umat terdahulu. Ayat di atas merupakan beberapa episod yang sengaja dirakamkan Allah dalam kitab suci-Nya sebagai tauladan dan ingatan buat kita semua. Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebut beberapa ciri umat terdahulu.

Di dalam tafsir ibnu Kathir, Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat:

مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ

sebagai iaitu Kami (Allah) teguhkan kedudukan mereka daripada harta, anak-anak, pembangunan, kemulian, pangkat, keluasan dan ketenteraan.

Manakala di dalam tafsir Jalalain kalimah مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ ditafsirkan sebagai “telah Kami (Allah) berikan kepada mereka kedudukan dengan kekuatan dan keluasan.”

Daripada keterangan tafsir di atas, ia jelas menunjukkan kepada kita tentang kurnia Allah kepada umat terdahulu. Ia juga menjelaskan ciri-ciri dan bentuk-bentuk keistimewaan umat terdahulu. Allah menyatakan bahawa semuanya ini Allah berikan dan kurniakan bahkan diperkukuhkannya yang mana segala nikmat dan pemberian ini tidak langsung dikurnia kepada umat sebelumnya. Ini merupakan suatu keistimewaan yang khusus daripada Maha Pencipta.

Di dalam ayat tersebut juga Allah menerangkan tentang keadaan kampung mereka yang sentiasa dilimpahi hujan. Ini menunjukkan bahawa bumi mereka sentiasa subur lantaran hujan yang tidak putus.

Di dalam tafsir Ibnu Kathir,

bersambung...

Wallahu a'lam

Selasa, Julai 04, 2006

Brazil, Egland tersingkir. Palestin bagaimana?

Bismillah

Beberapa hari yang lepas, setelah usai kami semua duduk berbincang AF 06, sempat saya mendengar beberapa kalam dari YDP. Sembang-sembang kami sambil menanti kehadiran laksa johor.

"Kita kadang-kadang rasa sedih bila Argentina kalah. Tapi Palestin kena serang, buat selambe..."

Itulah antara perbualan yang sempat dirakam. Namun, agak malang bila topik ini gagal dijadikan bahan utama perbualan seterusnya. Ia tenggelam dicelah-celah mee dan laksa.

Hari ini bila membuka Harakah terbaca tajuk "Ghairah bola, umat Islam tidak peduli Zionis sembelih saudara seagama."

Antara petikan yang menarik "Peristiwa ini seakan mengulangi Tragedi 1967, iaitu ketika orang Arab disibukkan dengan sebuah kejohanan bola sepak, Israel menyerang Sinai, menyebabkan dunia Arab dan Islam dimalukan."

Wallahu a'lam

Sabtu, Julai 01, 2006

Sejarah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Semalam bila Rasul datang ke rumah saya, sedang saya menjengah beliau yang sedang asyik menatap dekstop, tiba-tiba terpacul dari tubir bibirnya bertanyakan kepada saya.

"Nak ABC ke?"

Semalam juga ketika pulang dari solat jumaat, entah kenapa lidah saya menutur bicara buat Rasul.

"Bang! ABC satu bang."

Demikian antara dua episod yang berlaku semalam.

Sejarah adalah perkara yang telah berlalu. Ia juga merupakan peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau. Peristiwa dan perkara yang berlaku berjuta-juta abad sebelum masihi merupakan suatu sejarah. Begitu juga apa yang berlaku pada awal permulaan masihi, apa yang terjadi pada 1400 tahun lalu, apa yang berlaku tahun lepas, peristiwa yang terjadi kelmarin hinggalah sesaat yang baru sahaja berlalu, semuanya adalah sejarah.

Sejarah merupakan suatu fakta dan bukti yang sangat tepat bagi sesuatu peristiwa. Sejarah juga merupakan rujukan yang paling ampuh bagi menilai dan meladeni sesuatu. Sejarah juga merupakan kenangan dan imbauan masa lalu.

Empat hari telah pun berlalu. Ia telah menjadi sejarah. Perjalanan dan peristiwa Bazar Seri Selatan telah terakam dan kini hanya menjadi kenangan, ingatan serta imbauan masa lalu. Fitrah manusia, gemar kepada benda-benda yang menyeronokkan dan gembira. Benda-benda dan perkara-perkara seperti ini bila telah berlalu, manusia suka mengimbau dan sering menjadi sebutan.

Begitulah apa yang berlaku pada peristiwa Bazar Seri Selatan. Kenangannya amat indah hingga bila ia usai, semacam menjadi igauan dalam ingatan yang amat sukar dilupakan. Maka, kerana itu berlakulah sebagaimana dua episod di atas. Biarpun Bazar Seri Selatan sudah pun melabuh tirai, tetapi plot-plot cerita yang berlaku sepanjang Bazar masih menjadi mainan lidah.

Alhamdulillah. Bazar Seri Selatan telah melabuhkan tirai. Menamatkan sebuah episod dalam kisah dan sejarah BKPJM dengan meninggalkan suatu kenangan yang amat estetik. Tahniah kepada semua yang telah berjaya melaksanakannya dengan gemilang. Terima kasih di atas segala usaha dan daya yang dicurahkan oleh semua pihak kepada BKPJM. Apa yang kita lakukan, tidak lain tidak bukan semuanya adalah kerja-kerja Islam. Moga Bazar Seri Selatan menjadi satu langkah buat kita untuk terus komit kepada BKPJM, PMRAM dan sebagai batu asah dan loncatan kepada gerakan-gerakan memaju dan membangunkan Islam.

Islam semakin hari semakin ditindas, ditekan dan dihenyak-henyak oleh syaitan-syaitan laknatullah seperti Zionis dan juak-juaknya. Hari ini mungkin kita gembira. Begitu juga semalam, kelmarin dan sepanjang perjalanan Bazar Seri Selatan, perasaan kita amat gembira dan ceria. Walau mungkin ada beberapa peristiwa sadis, ia tidak menenggelamkan kegembiraan yang menyerap resap ke dasar hati kita.

Namun, dalam kegembiraan, jangan kita lupa tugas dan peranan kita. Jangan kita lupa untuk bersyukur. Jangan juga kita lupa bahawa ramai saudara kita sedang mengimbau sejarah hitam yang berlaku semalam. Palestin; buminya kini sudah tidak ada lagi kalimah tenang, aman dan damai. Minit-minit yang berlalu, merakam jutaan empangan air mata dan darah yang tidak pernah kering membanjiri buminya. Wajib bagi kita semua bersatu dan mencipta ketumbukan kekuatan menentang musuh-musuh Islam. Ketepikan segala kepincangan. Buang masalah-masalah yang memecah ummah. Campak jauh-jauh perbincangan yang eksterimis pada masalah furuk dan khilafiah.

Allahumma ansuril islama wal muslimin, Alhumma an suril islama wal mujahidin fi palestin, fi afghanistan, fi kulli makan.....


Wallahu a'lam...