Selasa, Jun 05, 2007

Abang Tumpang.....Cik Bedah Redah

Bismillah

Kadang-kadang hati lara dan duka. Sesekali membaca humor, mungkin mampu membuat jiwa gembira. Salam santai.....

kat bawah nii ada satu kisah kelakor yang diciterkan oleh seorang perempuan yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Bedah Redah! cerita dia gini...

Sebagai seorang kakitangan kerajaan... bila hari jemaat saja aku suka balik rumah.. pasal masa rehat dia panjang. Tapi hari Jemaat tu hujan dengan lebatnya... So. Aku tumpang office mata aku sampai depan rumah. Rumah aku ni berbukit sikit... Sebelum turun.. akak tu janji nak ambil aku pukul 2.30 petang...

Hujan kat luar masih lagi lebat... jam hampir ke 2.30 petang.. aku mandi dan sembahyang.... lepas tu bersiap siap tunggu akak tadi datang ambil aku. Jam dah pukul 2.35 aku dah risau.. mana akak ni.. tak sampai sampai lagi...office masuk pukul 2.45 petang.

Tunggu punya tunggu.. hah.. yang dinanti sudah pun tiba!!!! kereta proton warna cokelat matelik pun berenti kat depan rumah aku. Hujan punyerlah lebat... so aku ambil surat kabo lipat tebal tebal takut tudung aku basah...lepas kunci pintu.. aku terus berlari turun... pasal rumah aku berbukit.. aku kena berlari hati hati..

Sampai saja kat kereta... aku tak tunggu lagi.. terus bukak pintu dan duduk kat tempat sebelah pemandu.. Tapi Kenapa akak tu tak jalan. Aku toleh kat sebelah... lah... rupanya orang lain!!!! Aku tengok orang tu.. orang tu tengok aku.... Mulut orang tu siap ternganga lagi...

Ish... siapa ni?! bagaimana aku boleh silap ni... habis tu.. kat luar ujan lebat.. takkan aku nak keluar.. aku dengan muka macam kerang busuk berkata,"Err.. bang boleh tulung hantar kat UTM tak?"

Abang tu pun... tak jawap apa-apa agaknya pasal masih tergamam lagi.. terus angguk.

Sepanjang perjalanan aku diam... abang tu pun diam... masing masing masih gabra lagi.. Aku lagi lah gabra. EnTah kereta sapa saja aku main redah. Aku malu.. bengang.. rasa muka aku dah di tepek-tepek dengan taik... Aku berdoa semoga aku pengsan masa tu.. tapi sayang.. aku tak pengsan pun.

Bila sampai kat destinasi... aku pun turun... lepas ucap terima kasih. Sampai kat opis aku tunggu kakak yang sepatutnya ambil aku. Bila kakak tu sampai dia tanya aku,

"Pergi naik apa? Kenapa tak tunggu?"

Maka aku citalah peristiwa yang sadis tu.... Ya Allah.. kakak tu punyerlah gelak gila kat aku... Ishhh!!! Sungguh memalukan. Tapi itu cerita 3tahun lepas... sekarang ni... Abang yang aku tumpang tu.. dah jadi suami aku He..he..he..

Kekadang bila ingat balik.. ish.. malu sungguh. Suami aku pun kata masa tu dia ingat aku nak rompak dia.... he..he.he.he. Aku pun tanya Kenapa masa tu dia berenti kat depan rumah aku... Then.. dia kata dia nak ambil beg duit kat seat belakang tu pasal dia berenti. Tapi tau tau aku pulak yang masuk..... He..he..he.. sampai sekarang ni.. dia masih ejek aku lagi pasal perisitwa kurang tu...

Tapi kalau peristiwa tu tak berlaku. Maybe aku tak jumpa lagi suami aku yang sowang ini? ihiks!!

p/s : Sekadar suka-suka. ; )

Jumaat, Mei 18, 2007

"Sebab sembahyangnya senang."

Bismillah

Selalu juga hati ini teringin untuk qiamullail. Entah kenapa biasanya hanya qiamullail ke bilik air sahaja. Itupun kerana terpaksa rasa hendak terkucil. Kemudian melabuhkan semula badan ke pembaringan. Bila bangun pagi, tiada rasa apa-apa. Sedih, duka, tidak langsung terdetik di dalam hati.

Memang jiwa sangat lemah iman. Hati penuh kotoran. Tersangat jauh, entah berapa jaraknya. Yang pastinya lebih jauh dari planet pluto jika hendak dibandingkan dengan salafus soleh, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan baginda Nabi s.a.w.

Baginda Rasul beribadah sehingga bengkak tumitnya. Bagaimana ketika seluruh manusia kesejukan, kepenatan dan keletihan semasa menghadapi perang Ahzab, baginda Nabi s.a.w menyelubungi seluruh anggota tubuhnya dan berdiri di tengah malam menghadap Yang Maha Esa.

Kita juga sering mendengar bagaimana saidina Umar diganggu syaitan sehingga beliau tidak terjaga untuk menunaikan ibadah di malam hari. Bila terjaga, saidina Umar menangis sehingga beliau nekad tidak mahu matanya dilelapkan lagi. Begitu hebat dan tebal imannya.

Saidatina Khadijah juga antara nama yang tidak boleh dilupa. Pengorbanannya begitu tinggi sehingga seluruh hartanya dihabiskan bagi mendepani perjuangan Islam.

Begitu juga dengan saidina Abu Bakar dan lain-lainnya. Pernah suatu masa ketika hendak perang, salah seorang sahabat memberitahu kepada Rasulullah bahawa dirinya ingin memberikan sebahagian daripada hartanya untuk tujuan peperangan. Hasratnya ingin menandingai saidina Abu Bakar yang seringkali menderma dengan jumlah yang besar. Namun, cita-citanya masih tidak kesampaian apabila Abu Bakar memberikan seluruh hartanya kepada perjuangan Islam.

Sifat baik dan kisah-kisah tauladan umpama ini, sudah tidak ada lagi pada diri dan jiwa umat Islam pada hari ini. Aswad, Milah masih kekal di dalam AF5, ini yang melekat kuat di dalam hati umat Malaysia. Ramai juga yang menangis bila Shawal terkeluar dari AF5.

Pernah suatu ketika saya bersarapan pagi dengan beberapa orang kawan. Sedang kami bersarapan, seorang nyonya membakar colok dan bersembahyang di hadapan kedainya. Kawan saya menegur.

“Tengok tu, orang cina, pagi-pagi dah sembahyang.”

Belum sempat kami menyapa, dia menyambung kata-katanya.

“Kenapa dia orang sembahyang? Sebab sembahyangnya senang. Tak macam kita. Nak kena ambil air sembahyang. Pakaian pun nak kena bersih.”
Tergamam saya mendengar kata-kata umpama ini. Terkelu lidah tidak mampu berkata apa-apa. Memang iman dan hati saya cukup lemah. Hingga ke saat ini, saya begitu terkilan kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

Saya juga berdepan dengan mereka-mereka yang tidak pernah menunaikan solat jumaat hatta solat fardu harian. Bingung, sedih dan rasa hati terlalu berdosa kerana tidak berbuat apa-apa.

Kadang-kadang saya bermonolog sendiri. Saya kata yang saya biasanya mengajak mereka pergi minum bersama. Tetapi, amat jarang saya mengajak mereka berdiri, rukuk dan sujud bersama. Aduhai, lemahnya jiwa.

Pernah juga ketika orang sibuk bersolat jumaat, ada kalangan mereka sibuk menontot VCD lucah di pejabat. Tidak pasti ia benar atau tidak. Tapi, ia pengakuan dari hati ke hati oleh si penonton.

Hari ini dipaparkan di Harian Metro seorang ibu menanam anaknya hidup-hidup dan dipaparkan juga sendiket penjualan bayi luar nikah yang mencecah harga bernilai RM 30000.

Semalam di Berita Harian, melaporkan yang peniaga roti canai dan capati akan menaikkan harga jualan sebanyak RM 0.10 mulai bulan hadapan. Ini berikutan kenaikan harga tepung sebanyak RM 0.15 sekilogram.

Pada buletin 130 yang disiarkan oleh TV3 melaporkan pihak PLUS akan menaikkan kadar tol mulai Februari 2008. Harga barang harian yang lain juga dijagkakan akan meningkat.

Bila sebut masalah ekonomi, saya teringat tentang kehilangan motor saya. Bayangkan di sebuah pekan kecil sekecil Simpang Renggam, mencatatkan kadar jenayah yang tinggi. Sehingga jam 11 pagi ketika saya membuat laporan, saya diberitahu bahawa ini adalah kes kehilangan motor yang ke-5 pada hari ini. Terdapat juga kes kehilangan kereta dan lori.

Apakah kaitannya dengan ekonomi? Bila struktur sosioekonomi tidak stabil, kelam kabut dan penduduk miskin masih terhimpit dengan kemiskinan walaupun negara sedang pesat menuju kemajuan, maka, akan timbul masalah umpama kecurian. Hidup terhimpit. Sukar untuk mencari pekerjaan. Kalau ada pekerjaan pun, pendapatannya tidak mampu menampung kehidupan. Akhirnya mencari jalan senang dengan merompak dan mencuri.

Tekanan juga akan bertambah bila tanggungan semakin banyak. Di mana mahu mencari wang? Rumah tangga juga akan menatijahkan kehancuran.

Demikian serba-sedikit situasi dan keadaan yang saya sendiri sedang hadapi. Apa yang tertulis ini, benar-benar berlaku di depan mata saya. Ia sekadar omongan dan luahan apa yang terpendam. Moga kita sama-sama ambil pelajaran. Moga Allah lindungi kita semua.

Wallahu a'lam

Selasa, Mei 15, 2007

Ruang dan peluang

Bismillah

Ruang dan peluang

Pernahkah anda mencincang air? Bagi yang belum mencubanya, pastikan anda lakukan dahulu sebelum meneruskan membaca tulisan ini. Bagi yang sudah ada pengalaman, mari sama-sama kita kongsikan pengalaman tersebut.

Pepatah melayu ada berkata, "air yang dicincang tidak akan putus." Perumpamaan ini sungguh-sungguh berlaku dan tidak berbohong sama sekali.

Pernahkah anda bermandi-manda di air terjun? Cuba kita perhatikan bagaimana air itu mengalir. Ia tidak pernah berhenti walau di hadapannya pelbagai halangan dan rintangan. Kita perhatikan walaupun di hadapannya terdapat bongkah batu yang amat besar, air tetap mampu mengalir.

Air; adalah antara makhluk yang tidak putus asa. Kita sekat kiri, ia akan mengalir ke kanan. Begitu sebaliknya hatta kita meracik-racik atau mencincangnya halus-halus, ia tidak akan putus. Ia sentiasa mencari jalan, ruang dan peluang untuk mengalir serta meneruskan perjalanan.

Pada daun keladi atau kerusi plastik, mungkin tidak ada ruang atau peluang baginya untuk meresap. Ia hanya diberi peluang untuk mengalir.

Saya pernah menonton rancangan Animal Planet yang mengisahkan kehidupan haiwan. Saya saksikan bagaimana cheetah, singa atau harimau mendapatkan santapannya. Cheetah contohnya. Walaupun kelajuan lariannya begitu tinggi, dia tidak boleh semberono mengejar mangsanya. Dia akan menunggu dan mencari ruang serta peluang yang sesuai.

Begitu juga burung Raja Udang yang sering menenggek di tepi sungai. Makanannya adalah ikan. Dia juga tidak semberona menyambar ikan yang sedang gembira berenang-renang. Dia memerlukan dan menanti ruang dan peluang yang sesuai.

Demikian juga situasinya pada manusia. Kita sebenarnya sentiasa menanti ruang dan peluang untuk direbut dan diisi. Bagi yang jahil, ruang kejahilannya perlu diisi dengan ilmu yang berguna. Bagi yang pintar pula, mereka mencari ruang dan peluang membantu dan menolong yang jahil.

Ruang yang kosong pada rezki si miskin, akan diisi oleh si kaya. Peluang menderma dan berzakat tidak akan dilepaskan oleh si kaya yang budiman. Ruang kerja yang kosong juga perlu diisi dalam sesebuah institusi bagi melancarkan perjalanannya. Mereka-mereka yang masih menganggur pasti tidak melepaskan peluang ini.

Akhirnya, mungkin boleh disimpulkan bahawa segala apa di dunia ini, penuh dengan ruang dan peluang. Namun begitu, tidak semua ruang dan peluang ini dipenuhi dengan kebaikan atau pahala.

Ruang yang saya kira agak cuai yang berlaku pada diri saya, telah memberi peluang kepada pencuri, mencuri motor saya. Inilah sejarah pahit yang telah tercatat dalam memori hidup saya pada tanggal 11 Mei 2007, hari jumaat yang lalu. Hendak menangis pun tidak berguna hatta mengalirkan air mata darah sekalipun, motor yang ditunggang untuk berkerja itu tidak akan pulang semula.

Apakan daya, perkara sudah berlaku. Kita telah berusaha menjaga dan menguncinya dengan rapi, ia masih mampu dilarikan pencuri walaupun ia berada dalam pagar. Moga Allah kembalikan semula kepada saya dengan selamat. Mohon doa sidang pembaca juga.

Wallahu a'lam

Khamis, Mei 03, 2007

Menarik

Saya sangat setuju dengan artikel ini dan menyokongnya 100%. Anda wajib baca.....

Marah

Bismillah

Dua minggu yang lalu, saya diberi kesempatan mengikuti satu sesi yang boleh saya kategorikan sebagai sesi kaunseling kesihatan. Bertemu empat mata dengan doktor di salah sebuah klinik rawatan alternatif yang dipanggil Colour Vibrating Theraphy (CVT).

Penerangan yang beliau berikan, amat menarik perhatian. Pertemuan tersebut memberikan saya seribu satu ilmu baru. Perkara yang membuat saya sangat tertarik adalah kaitan sains perubatan dengan Islam yang begitu rapat. Antaranya sifat marah.

Marah adalah satu daripada sifat mazmumah (tercela) yang dibenci Allah dan Rasul. Marah akan menimbulkan sifat keji lain, seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Ja’far bin Muhammad berkata: “Marah itu kunci segala kesalahan (kekejian).”

Marah adalah salah satu sifat semula jadi manusia. Biasanya ia berpunca daripada tekanan perasaan, akibat dizalimi, dianiaya dan diperkecilkan. Marah adalah senjata kepada manusia. Ia boleh membawa kebaikan dan kebinasaan. Jelasnya sifat marah boleh menjadi penyakit yang merosakkan keamanan dan keharmonian hidup.

Dari sudut sains, sifat suka marah dan panas baran adalah berpunca dari tenaga yang tidak seimbang dalam jantung. Ia bermakna, tenaga yang berada dalam jantung tidak bergerak lancar.

Sifat marah juga mampu mengakibatkan serangan jantung. Beliau memberitahu, bahawa ubat yang doktor berikan hanyalah bahan bantu dari luar. Ia sekadar membantu dan bukan pemulih. Ubat yang sebenarnya berada dalam diri kita dengan jiwa yang hening, tenang dan relaks. Ia akan mengurangkan risiko sakit jantung dan pengidapnya mungkin mampu pulih.

Justeru, amat tepat saranan Rasulullah kepada umatnya jangan marah yang secara tidak langsung mampu menjaga kesihatan kita. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berpesan kepadaku!. Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun Baginda masih tetap berkata: Jangan marah!” (Riwayat al-Bukhari).
Wallahu a'lam