Rabu, Mei 31, 2006

Kesyumulan Islam

Bismillah...

Firman Allah Ta’ala


وأحل الله البيع وحرم الربا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba


Sabda Nabi s.a.w


عن أبي سعيد الخدري ثم أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لا تبيعوا الذهب بالذهب الا مثلا بمثل ولا تشفوا بعضها على بعض ولا تبيعوا الورق بالورق الامثلا بمثل ولا تشفوا بعضها على بعض ولا تبيعوا منها شيئا غائبا بناجز

Maksudnya: Daripada Said al-Khudri kemudian baginda Rasulullah s.a.w bersabda: “Jangan kamu berjual beli emas dengan emas melainkan sama nilainya dan jangan kamu lebihkan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain, jangan kamu jual beli kertas dengan kertas melainkan melainkan sama nilainya dan jangan kamu lebihkan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain, dan jangan kamu jual beli darinya sesuatu yang ghaib sesuatu yang hadir (ada). (HR Imam Malik pada bab jual beli emas dengan perak dalam kitab Muwatto’ bil 1299)

Entah kenapa hari ini saya terkenang zaman sekolah rendah. Ia sesuatu yang manis dan sukar dilupakan. Namun, kekadang saya sedikit rasa rugi dan agak terkilan kerana kepincangan-kepincangan dan kecanggungan yang berlaku pada zaman itu. Ini semua kerana kegagalan saya dalam merebut peluang. Itulah kelemahan yang harus diperbaiki.

Tapi, bagi saya ada satu lagi perasaan terkilan yang bila dihitung dan dikira, ia bukanlah berpunca dari diri saya, ibu bapa saya mahupun guru-guru saya. Saya meminta pandangan semua untuk mencari jawapannya.

Persoalannya begini, suatu masa dahulu saya kira pemikiran saya dikongkong dan dipenjara oleh ruang lingkup pemikiran yang amat sempit, cetek dan amat rigid berkaitan Islam. Saya tidak pasti kenapa dan bagaimana perkara ini boleh berlaku hatta saya duduk di zaman sekolah menengah, keterpenjaraan pemikiran masih membelenggu jiwa dan perasaan. Antaranya ialah melihat Islam dari sudut yang amat sempit yang hanya dihalakan kepada ibadah semata-mata. Dan ibadah ini pun tidak dibacarakan secara luas yang hanya menyentuh soal rukun yang lima. Inilah antara perkara yang membuat hati saya sangat terkilan.

Pernah dahulu, semasa diadakan satu seminar berkaitan kesyumulan Islam, salah seorang peserta bertanya. Benarkah al-Quran itu lengkap dan menerangkan semua aspek kehidupan? Alhamdulillah hari ini Allah telah membuka hidayahnya memberitahu saya bahawa al-Quran itu amat lengkap dan telah pun menerangkan semua aspek dalam kehidupan hinggalah cara membuat roti canai, kuih karipap atau jemput-jemput.

Salah satu sudut, dalam kehidupan kita adalah ekonomi. Perkara ini sekiranya diberitahu kepada saya semasa saya berumur 7 tahun dahulu, mungkin saya tidak percaya bahawa Islam juga ada menyentuh bab ini. Kita lihat firman Allah Ta’ala dan sabda Baginda Nabi s.a.w pada permulaan penulisan ini. Dalam ayat Allah tersebut, Dia menerangkan tentang keharusan jual beli. Bukankah jual beli termasuk dalam bidang ekonomi.

Hadis Nabi s.a.w riwayat daripada Said al-Khudri menceritakan tentang masalah money changer atau pertukaran mata wang. Perkara ini telah dibahas dan diterangkan oleh Rasulullah 1400 yang lalu. Ini menunjukkan bahawa Islam telah lama ada sistem ekonominya yang tersendiri. Ia juga menunjukkan bahawa Islam sebuah agama yang telah lama maju dan bersistematik. Lihatlah betapa indah dan syumulnya Islam.

Wallahu a’lam

Sabtu, Mei 27, 2006

40 000 warganegara Malaysia di Amerika murtad.

Bismillah...

Petikan daripada akhbar Harakah daily bersama Mufti Perak Dato' Seri Dr Harussani Zakaria bahawa beliau menerima surat daripada sebuah badan Kristian dari Amerika Syarikat yang mendakwa 40,000 orang Islam warganegara Malaysia telah memeluk agama mereka.

"Dalam perkembangan lain, Harussani berkata, umat Islam negara ini juga perlu serius dalam usaha menangani isu murtad kerana ia dikatakan telah membabitkan lebih 100,000 orang terutama remaja Melayu.

Harussani juga berkata, pihaknya juga baru-baru ini menerima surat daripada sebuah badan Kristian dari Amerika Syarikat yang mendakwa 40,000 orang Islam warganegara Malaysia telah memeluk agama mereka.

Umat Islam tidak boleh memandang remeh perkara ini atau bimbang untuk membicangkannya dengan alasan ia sebagai isu sensitif, lapor akhbar berkenaan."

Subhanallah... Sebelum ini Dato' Dr Harussani telah membuat kenyataan hasil tinjauannya ke seluruh Malaysia bahawa 250 000 permohonan murtad didaftarkan. Isu ini belum reda dan masih tidak ada tindakan drastik dari mana-mana pihak. Kini timbul 40 000 warganegara Malaysia memeluk kristian. Fikirkanlah...!

Wallahu a'lam

Apakah perasaan kita?


Bismillah...

Apakah perasaan kita bila melihat gambar ini? Kita sering tidur nyenyak, lena tanpa ada gangguan. Sedangkan dalam masa yang sama masih terdapat ramai manusia yang hanya tidur bertilamkan debu dan pasir, berselimutkan langit dan awan.

Wallahu a'lam

Isnin, Mei 22, 2006

SEMBANG TIGA BUDAK....

Bismillah...

"Di padang sebuah sekolah, nun jauh disudut kanan, ternampaklah tiga budak sedang bersembang. Mari kita amati dan teliti apa yang mereka sembangkan...

Budak A " Bapak aku jadi ahli sukan, bapak hangpa kerja apa " Budak B dan Budak C menjawab " Bapak kami pun ahli sukan jugak".

Maka semua bapak mereka adalah ahli sukan....

Budak A meneruskan cerita.." Bapak aku jadi perejam lembing, punyalah cepat dia berlari sehinggakan setelah lembing direjam, bapak aku berlari dan menangkap lembing tersebut sebelum lembing itu jatuh ketanah "

" Itu tak heran " kata Budak B " Bapak aku lagi tangkas, bapak aku masuk sukan menembak. Punyalah cepat dia berlari sehinggakan selepas peluru keluar daripada pistol, bapak aku sempat berlari dan menangkap peluru tersebut"

"Mari kita dengar cerita bapak aku pulak, aku rasa bapak aku yang paling cepat dalam bab lari ini" kata Budak C. " Bapak aku kerja di Alor Setar tapi tinggal di Sungai Petani. Bila pejabat tutup pukul 4.15 petang, pukul 3.50 petang bapak aku dah ada di rumah. Bayangkan betapa cepatnya bapak aku berlari. "


Wallahu a'lam

51,000 murid tidak tahu solat

Bismillah...

DUNGUN 19 Mei - Lebih 51,000 atau kira-kira 34 peratus daripada 149,000 pelajar tahun dua hingga enam di negeri ini didapati tidak tahu jumlah rakaat setiap solat lima waktu.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Mohd. Nasir Harun berkata, angka itu berasaskan kepada kajian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu baru-baru ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, Pengarah Pelajaran Terengganu, Draman Muda meminta pejabat-pejabat pelajaran daerah untuk menyebarkan masalah itu kepada ibu bapa agar mereka sama-sama membetulkan keadaan.

``Menakutkan, tetapi inilah realiti yang perlu diakui. Selain tidak tahu rakaat setiap solat lima waktu, sebahagian besar murid sama ada tidak tahu langsung atau tergagap-gagap ketika diminta membaca ayat asas solat termasuk al-Fatihah.

``Tidak tahu bilangan rakaat dan tidak pandai baca al-Fatihah, maknanya tak tahu solat,'' katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Jerangau, Awang @ Mohamad Zaid Mat Zin dan Pengerusi PIBG SMK Jerangau, Mohammad Jusoh.

Menurut Mohd. Nasir, angka dan peratusan berkenaan mungkin jauh lebih besar jika kajian seumpama itu turut membabitkan pelajar tahun satu.

Bagaimanapun, katanya, kajian tersebut tidak melibatkan pelajar tahun satu kerana merasakan golongan berkenaan perlu diberi ruang untuk mempelajari perkara asas dalam ibadat itu.

``Jabatan Pelajaran menyasarkan kajian kepada murid tahun dua hingga enam kerana mereka sepatutnya sudah mampu dan sudah boleh menguasai perkara asas solat lima waktu.

`Siapa harus dipersalahkan sama ada ibu bapa, guru atau masyarakat. Bagi saya semua pihak perlu mengambil berat, namun ibu bapalah yang paling utama perlu memikul tanggung jawab itu.

``Jika anak tidak tahu bersolat, hal itu memberi gambaran bahawa ibu bapa atau penjaganya tidak memberi perhatian, malah berkemungkinan ibu bapa jarang bersolat di rumah,'' katanya.

Mohd. Nasir berkata, sebahagian besar masa pelajar ada bersama ibu bapa atau penjaga mereka di rumah dan mereka sepatutnya mengutamakan pengajaran solat kepada pelajar.

sumber: www.tranungkite.net

Wallahu a'lam