Ahad, Mei 16, 2010

Allah akan menduganya dengan berdukacita

Bismillah

Alangkah sukarnya untuk kita gambarkan betapa kasih dan cintanya Sang Pencipta kepada kita. Daripada awal kita mengenal dunia, belum pernah kita mendengar Allah mencabut oksigen dari manusia kerana keengganan mereka membayarnya dengan wang ringgit. Oksigen; Allah berikan percuma. Manusia syukur atau kufur, ia tetap mendapat nikmat oksigen walaupun mereka sedang lena dibuai mimpi atau sedang mabuk bersama todi.

Kita dapat perhatikan betapa Allah jadikan matahari, bulan, siang, malam dan segalanya adalah untuk manusia. Bahkan syurga di akhirat sana, adalah untuk manusia juga. Benarlah, betapa kalau kita ingin mengira nikmat Allah Yang Maha Pemurah, pasti tidak terhitung banyaknya. Segala apa yang ada di langit dan di bumi, adalah untuk manusia. Begitu sayang, Allah kepada makhluk-Nya walaupun mereka berbuat dosa.

Sabda Nabi s.a.w :

Apabila banyak dosa seseorang hamba, dan tiada pula baginya amalan buat kafarah dosanya itu, nescaya Allah akan menduganya dengan berdukacita, buat kifarah daripadanya.

(HR Ahmad daripada Aisyah)

Melalui sabdaan Nabi s.a.w ini, menggambarkan kepada kita betapa kasih dan cinta Allah kepada hamba-Nya. Walaupun hamba-Nya melakukan dosa dan tiada pula amal soleh yang mampu menghapus dosanya, Allah bagi ujian buat menghapus dosa. Sengaja Allah timpakan dukacita, kesedihan dan gundah gulana agar bisa melangsai hutang-hutang kesilapan dan kesalahan hamba. Allah senantiasa mencari jalan dan memberi peluang keampunan buat hamba.

Oleh itu, janganlah kita gusar atau gundah gulana bila tiba-tiba Allah campakkan perasaan duka dalam hati kita. Mungkin itu penghapus dosa. Agar kita gembira di akhirat sana.

Wallahu a’lam

Wahai kafir!

Bismillah

Daripada Umar r.a. telah berkata: Bersabda Nabi Muhammad shollollahu alaihi wasallam: “Apabila berkata seorang lelaki kepada saudaranya ‘hai kafir!’, maka kembalilah kata-kata itu kepada salah seorang daripada keduanya. Maka sekiranya benar, benarlah panggilannya. Sekiranya tidak, kembali kata-katanya kepadanya.

(Hadith Muttafaqun alaih)

Hadith riwayat Umar r.a. ini telah dirakamkan oleh Imam Nawawi dalam Kitab Riyadhus Solehin pada bab ‘tahrim qouluhu li muslim ya kafir.’

Hadith ini secara jelas mengisyaratkan kepada kita berkaitan larangan baginda Muhammad s.a.w memanggil saudara kita dengan panggilan kafir. Hal demikian kerana risikonya bukan hanya kepada yang dipanggil, bahkan yang memanggil bakal menerima timbal balik dengan apa yang dituturnya. Mungkin inilah apa yang dikatakan variasi atau refleksi.

Apa juga yang ada di sekitar kita, sama ada sedar atau tidak, ia memberi kesan kepada kehidupan. Walaupun perkara tersebut tidak mampu ditela’ah atau ditilik dengan penglihatan kasar manusia. Namun ia tetap bereaksi dan memberi kesan terhadap kehidupan.

Contohnya bunyi atau gema. Walaupun ia tidak kelihatan, namun ia tetap memberi kesan. Kita boleh sama-sama perhatikan gelagat kanak-kanak mahupun orang dewasa yang mendengar muzik, tubuh mereka kebiasaannya akan menjelmakan reaksi terkinja-kinja dan melompat-melompat melayan irama lagu rancak. Bila ia berubah rentak, tubuh turut dengan gemalai ke kiri dan ke kanan melayan alunan melodi balada. Tidak kurang yang menangis bila irama sedih dialunkan.

Salah satu daripada bunyi dalam kehidupan kita ialah suara atau percakapan yang hari-hari kita tuturkan. Mudah kita lantunkan dari lidah yang tidak bertulang. Tanpa kita sedar, ia turut memberi kesan.

Pertuturan yang manis dan bersopan, pasti mengundang enak telinga yang mendengar. Hati yang gusar, mungkin bisa tenteram dan aman. Berbanding kata kesat dan jahat, pasti meluat dan sakit telinga mendengarnya. Lantaran itu, Nabi melarang kita memanggil dengan panggilan yang buruk apatah lagi dengan panggilan kafir. Kerana tutur kata amat memberi kesan kepada yang berkata mahupun yang mendengarnya.

Oleh itu, jagalah lidah kita daripada berkata yang sia-sia dan menyakitkan kerana tutur bicara kita amat memberi kesan dan ia ada kuasa pembalikan. Jangan mudah-mudah berkata kepada orang ‘bodoh, bebal, malas’ dan sebagainya. Ingat! Walaupun kita bijak dan rajin, kita jangan lupa bahawa kata-kata ada kesan dan ada daya pembalikan. Sama-samalah kita renungkan.

Wallahu a'lam

Selasa, April 13, 2010

Merekalah pejuang!



(لَا تَجِدُ قَوْماً يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءهُمْ أَوْ أَبْنَاءهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُوْلَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُوْلَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ)

(المجادلة : 22 )


22. Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau Saudara-saudara ataupun keluarga mereka. meraka Itulah orang-orang yang Telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan[1462] yang datang daripada-Nya. dan dimasukan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. mereka Itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa Sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.

[1462] yang dimaksud dengan pertolongan ialah kemahuan batin, kebersihan hati, kemenangan terhadap musuh dan lain lain.

Wallahu a'lam

Selasa, Mac 09, 2010

Nikah

Bismillah

Sabda Nabi s.a.w

فقوله صلى الله عليه و سلم النكاح سنتي فمن رغب عن سنتي فقد رغب عني

Maksudnya: Nikah adalah sunnahku, barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia tidak menyukaiku.

وقال صلى الله عليه و سلم النكاح سنتي فمن أحب فطرتي فليستن بسنتي
أخرجه أبو يعلى في مسنده مع تقديم وتأخير من حديث ابن عباس بسند حسن

Maksudnya: Nikah adalah sunnahku. Barangsiapa yang menyukai fitrahku, maka laksanakan mengikut sunnahku.

وقال أيضا صلى الله عليه و سلم تناكحوا تكثروا فإني أباهي بكم الأمم يوم القيامة حتى بالسقط
أخرجه أبو بكر بن مردويه في تفسيره من حديث ابن عمر دون قوله حتى بالسقط وإسناده ضعيف

Maksudnya: Bernikahlah kamu dan perbanyakkan (keturunanmu). Sesungguhnya aku gembira dengan kamu di hari kiamat (umat yang ramai) sehinggalah yang keguguran.

Satu lagi ‘uswah’ yang baik yang ada pada diri Rasulullah s.a.w ialah bernikah atau perkahwinan. Sehingga Rasulullah s.a.w menyifatkan mereka yang tidak gemar pernikahan kerana tidak suka kepada sunnah baginda, tergolong dalam orang yang membenci Nabi.

Maka, atas dasar sunnah dan fitrah, saya menyahutnya dengan penuh syukur dan gembira. Syukur ke hadrat Allah yang mengizinkan saya melaksanakan sunnah Baginda yang mulia ini. Insya-Allah saya akan bernikah pada 11 Mac 2010 bersamaan 23 Rabiul Awal 1431 H (Khamis) di Kg. Parit Haji Rais, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Mohon doa restu kalian semua moga Allah memberi kemudahan dan keberkatan…

Wallahu a'lam

Selasa, Mac 02, 2010

Aku tidak suka dibezakan ke atas kalian

Bismillah

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu, contoh tauladan yang baik bagi mereka yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
(Surah al-Ahzab: 21)

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam merupakan contoh tauladan dan ikutan terbaik buat sekalian umat. Baginda seorang yang berperibadian yang amat mulia dalam semua aspek kehidupan. Baginda menjadi tauladan yang baik dalam hal ehwal pengurusan peribadi, rumah tangga, masyarakat dan negara secara serentak. Baginda adalah manusia agung yang mampu mengurus peribadi, rumah tangga, masyarakat dan negara dengan baik dan sempurna.

Umat meriwayatkan bilangan isteri baginda seramai sembilan orang. Namun, saya belum pernah berjumpa riwayat yang mempertikai keadilan Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam dalam penggiliran isteri-isteri baginda. Kalau ada pun, ia adalah hasil tangan musuh-musuh Allah yang cuba menjatuhkan keperibadian unggul Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Baginda sallallahu alaihi wasallam pernah berlumba lari bersama Aisyah radhiAllahu ‘anhu. Sekali Aisyah menang dan sekali Baginda sallallahu alaihi wasallam menang. Perihal ini menampakkan keintiman dan kemesraan Baginda sallallahu alaihi wasallam bermuamalah dengan isterinya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

عَنْ عَا ئِشَةَ رَضِى اللهُ عَنْهَا قَالَتْ , قَالَ رَسُولُ اللهِ ( ص(:
اِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَاناً أَحْسَنُهُمْ خَلْقاً وَأَلْطَفَهُمْ بِأَهْلِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya orang mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik tingkah lakunya dan lemah lembut terhadap isteri dan anak-anaknya
(Riwayat Al-Turmizi)

Baginda sallallahu alaihi wasallam juga pimpinan masyarakat yang baik dan unggul. Baginda seorang pimpinan yang turun padang, tawadhu’, inklusif dan sama-sama bekerja dengan orang yang dipimpinnya.

كان عليه الصلاة والسلام مرة في سفر مع جماعة فلما حان موعد الطعام ، عزموا على إعداد شاة يأكلونها . فقال أحدهما: علي ذبحها . وقال الآخر : علي سلخها . وقال الثالث : علي طبخها فقال النبي عليه السلام : " وأنا علي جمع الحطب !" فقالوا : يا رسول الله ، نحن نكفيك العمل فقال : " علمت أنكم تكفونني ، ولكنني أكره أن أتميز عليكم.

Maksudnya: Suatu hari Nabi s.a.w bermusafir secara berkumpulan. Ketika tiba waktu makan, mereka berazam untuk menyediakan seekor kambing sebagai santapan. Maka berkata salah seorang daripada mereka: “Aku akan menyembelihnya.” Dan berkata yang lain: “Aku akan menyiatnya.” Dan berkata orang yang ketiga: “Aku akan memasaknya.” Maka berkata Nabi s.a.w: “Dan aku akan mengumpulkan kayu api.” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Kami semua sudah cukup untuk melakukan kerja ini.” Maka bersabda Nabi sallallahu alaihi wasallam: “Aku tahu bahawa kalian sudah cukup melakukan kerja ini. Tetapi aku tidak suka dibezakan ke atas kalian.”

Wallahu a'lam