Rabu, November 22, 2006

Kadang-kadang

Bismillah

Kadang-kadang saya duduk di serambi, borak-borak dan bersembang dengan segelintir orang kampung. Banyak perkara yang mereka bualkan. Kadang-kadang juga saya memasang telinga bila ada orang tua bersembang bersama. Macam-macam benda yang mereka sembangkan. Kadang-kadang saya bebual dengan kawan-kawan. Bila fikir, kadang-kadang entah apa-apalah yang dibualkan.

Kadang-kadang bila mengenang kembali beberapa situasi di atas, ia bisa menggugah minda terutama ketika menyentuh tentang beberapa perkara.

Pernah suatu masa saya berbual dengan seorang abang pemilik kedai cuci kereta. Dia ada anak sepasang. Semasa kami berbual, dia menceritakan satu kejadian yang berlaku di Renggam seorang budak lelaki sekolah rendah telah merogol kawannya yang masih dalam darjah empat. Menurut apa yang abang tu bagi tahu, mereka berdua berzina dengan rela hati hasil daripada tontonan filem lucah.

Pernah juga suatu ketika saya memandu kereta guru tadika saya ke mersing untuk menghadiri hari keluarga. Ketika perjalanan pulang, saya sempat bercerita dan mengimbas cerita lama semasa zaman persekolahan dulu. Saya kata kepada cikgu saya bahawa suatu masa dahulu, kebanyakan pelajar berjalan kaki ke sekolah termasuklah saya.

Cikgu saya membalas balik dengan menyatakan bahawa ketika ini situasi tersebut sudah tidak berlaku lagi. Pelajar tadika dan juga murid sekolah rendah, kebanyakan mereka dihantar oleh ibu bapa atau keluarga dan siapa jugalah ke sekolah. Cikgu saya sambung lagi dengan berkata dia pun tidak berani nak lepaskan anak dia ke sekolah dengan berjalan kaki.

Bila dikaji, bukan faktor kemewahan atau kesenangan yang membawa penjaga untuk bertindak sedemikian. Tetapi yang demikian adalah faktor keselamatan. Keadaan sudah tidak selamat terutama bagi anak perempuan.

Pernah juga suatu ketika mendengar perbualan orang-orang tua yang mereka merungut tentang masalah kecurian dan masalah pengurusan Syarikat Telokom Malaysia yang lambat bertindak. Macam-macam mereka kata.

Pernah juga suatu ketika saya duduk sendirian dan terfikir berkaitan beberapa sketsa di atas. Pening ada, bingung ada, kusut pun ada. Orang kita masih sama. Jelas lagi nyata apa yang mereka saksikan. Kebobrokan pelbagai institusi. Namun, apa yang dikesalkan adalah sikap orang melayu yang masih layu. Hanya kata tanpa kota.

Wahai melayu. Bilakah ia akan segar dan tak layu?

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: