Jumaat, Disember 29, 2006

Pemurnian najis-najis yang menjijikan

Bismillah…

Bila di sorot kembali lipatan sejarah, kita dapat menyaksikan pelbagai kegemilangan dan keagungan tamadun yang langsung tidak mampu ditandangi dengan teknologi terkini.

Antara keagungan yang menjadi fenomena dan kerungsingan jiwa pada pengkaji memikirkannya ialah pembinaan piramid. Bagaimana bongkah batu yang tersangat besar berpurata 2 tan tiap satunya disusun begitu kemas dan kukuh serta utuh hingga ke saat ini.

Kita berjalan lagi melihat di sekitar Syria dan Jordan. Kita saksikan bagaimana pembinaan kota yang amat mengagumkan. Kaum Thamud menarah gunung yang sangat keras dan kental menjadikannya umpama banglo mewah yang langsung tiada tolok bandingannya.

Demikian juga suatu masa dahulu ketika saya berjalan melalui tasik Qarun. Keluasannya amat besar. Umpama lautan yang terbentang luas. Terdapat juga nelayan mencari rezki di situ. Dan di situlah juga tapak empayar dan kekayaan Qarun suatu masa dahulu.

Demikianlah beberapa sorotan sejarah yang telah berlaku di alam ini. Masing dengan keagungan dan kegemilangan yang tersendiri. Tamadun yang tiada tolok bandingnya. Namun, bila dicicipi satu-persatu sirah di atas, kita akan dapati mereka Allah hancurkan.

Kita saksikan firaun tenggelam di laut merah. Begitu juga kaum Thamud Allah lenyapkan mereka daripada dunia ini dan demikian juga yang berlaku kepada Qarun. Akhirnya mereka musnah. Tamadun hilang. Kegemilangan menjadi malap. Cuma tinggal beberapa sisa sebagai pengajaran generasi kemudian.

Semua maklum dan mengerti bahawa manusia-manusia umpama ini bukan Allah hancurkan lantaran murka-Nya yang membuta tuli. Ia disebabkan tiada lagi jiwa yang diisi dengan iman dan kepercayaan utuh kepada Allah. Mereka lupa bahawa Allah yang memberi mereka segalanya. Mereka lalai dan hilang rasa syukur dan tawadhuk kepada pencipta Yang Maha Agung.

Mengimbau hari-hari yang sedang kita lalui, betapa bumi Johor yang amat ku cintai, diturunkan Allah air melimpah bumi. Bah melanda di sana-sini. Banjir sangat teruk dalam tempoh 30 tahun. Semuanya punah. Banyak juga nyawa yang melayang.

Biarpun ia bencana alam yang sering berlaku di mana-mana, namun jangan lupa menyelak kembali sirah ummah terdahulu. Tanpa kita sedar, sebenarnya kita yang menempah bencana. Mungkin tanah lahirku ini sudah penuh tahi-tahi dan hancing-hancing kemaksiatan. Inilah hujan buat pemurnian najis-najis yang menjijikan. Pohonlah ampun dari tuhan. Muhasabah diri jangan lupakan tuhan.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: