Khamis, Februari 15, 2007

Yang Biasa dan Luar Biasa di Malaysia

Bismillah

Hari ini saya agak terlewat bangun. Natijahnya, saya menjadi kelam kabut mempersiapkan diri untuk ke tempat kerja. Dalam kekabutan itu, saya mencari-cari di manakah letaknya stokin saya. Cari punya cari, saya tidak berjaya menemuinya. Lantas saya membuat andaian yang stokin saya turut berada di pejabat bersama-sama kasut.

Setibanya saya di pejabat, saya terus mengarah mata melihat kasut di bawah meja. Sungguh mengecewakan bila saya hanya melihat kasut sahaja tanpa stokin bersamanya. Hati berdebar-debar dan perasaan takut juga ada. Takut dimarahi pengurus kerana tidak berstokin.

Saya pun berfikir ada baiknya juga kalau saya terus berselipar. Walaupun nampak kurang molek, tetapi adalah lebih tidak molek kalau berkasut kulit hitam dan tidak berstokin. Saya termenung seketika, berfikir.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berkasut juga. Dan kulit kaki yang tidak berstokin ini, pandai-pandailah cover nanti.

Usai menukar kasut, rakan sekerja mempelawa saya bersarapan bersamanya. Di kedai makan, sedang saya makan dan duduk bersembang, rakan saya menegur. Dia juga tergelak kecil melihat saya tidak berstokin. Saya tersenyum sambil berbicara yang stokin saya tertinggal.

Selesai makan, saya masuk semula ke pejabat. Duduk di atas kerusi sambil berfikir. Saya pun turut tergelak kecil melihat keadaan kaki yang tidak berstokin. Tapi bila difikir, kenapa mesti rasa kurang bergaya atau tidak selesa? Sedangkan setiap hari, kebanyakan rakan sekerja wanita dipejabat, hanya bersandal atau berkasut yang tidak berstokin. Kenapa mereka tidak pernah digelakkan? Kenapa masih nampak bergaya dan bersahaja? Sedangkan uaratnya terbuka.

Demikian telatah Malaysia yang juga telatah dunia hari ini. Pasti janggal dan nampak luar biasa jika seorang lelaki pergi ke pejabat berseluar pendek bawah lutut, berbaju kemeja ketat dan hanya bersandal. Tapi, akan nampak biasa dan mungkin juga menjolok mata jika seorang wanita berkain atas lutut dan berbaju ketat pergi ke pejabat.


sekadar kongsi cerita
Wallahu a'lam

Tiada ulasan: