Ahad, Mac 29, 2009

Kebijaksaan dakwah Nabi Muhammad s.a.w

Bismillah

Setelah Rasulullah s.a.w memperoleh kepastian dari penjagaan Abu Talib terhadap dirinya semasa baginda menyampaikan risalah Tuhannya, maka Rasulullah s.a.w di suatu hari telah berdiri di Bukit al-Safa dan menyeru: “Ayuh! Berkumpullah kamu di pagi hari ini.” Maka bergegaslah keluarga qabilah Quraisy ke hadapan Rasulullah s.a.w. Di sana Rasulullah s.a.w mengajak mereka untuk beriman dengan Allah Yang Maha Esa, dengan risalah-Nya dan dengan hari akhirat.

Mengenai kisah ini, Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abba r.a dengan katanya:

Setelah turunnya ayat 214 Surah as-Syu’ara, maka Rasulullah s.a.w pun segera ke bukit Safa dan menyeru dengan katanya: “Wahai Bani Fihr, Bani Aud, keluarga keturunan Quraisy,” hingga dengan itu, berkumpullah mereka semua, hingga kalau ada yang tidak dapat keluar, mereka menghantar wakilnya untuk mengikuti apakah yang berlaku. Abu Lahab dan sekalian Quraisy pun datang di situ.

Rasulullah s.a.w berkata: “Wahai kaumku, bagaimana kalau ku katakan kepada kamu kalian, bahawa disebalik bukit sana ada musuh berkuda akan menyerang kamu. Apakah kamu mempercayai kataku itu?” Jawab mereka : “Ya, kami percaya, kerana sebelum ini belum pernah kami berpengalaman, selain dari kebenaranmu.” Maka sambung Rasulullah s.a.w dengan kata-katanya: “Sesungguhnya aku ingin memberi peringatan kepada kamu kalian bahawa azab sengsara sedang menanti kamu.” Maka berkata Abu Lahab: “Celakalah atau binasalah kau diseluruh hari ini. Apakah hanya kerana ini kamu mengumpulkan kami semua?

Sirah di atas merupakan dakwah jahar (secara terang-terangan) Nabi s.a.w yang pertama kepada kaumnya setelah tiga tahun Nabi s.a.w menyebarkan dakwah baginda secara sirr (rahsia). Ketika baginda s.a.w menyampaikan mesej dakwahnya di Bukit Safa ini, baginda memulakan tutur katanya dengan beberapa pertanyaan sebelum baginda Nabi s.a.w menyatakan mesej ulung yang utama. Sebagai mukaddimah, Baginda terlebih dahulu menguji kepercayaan masyarakat terhadap dirinya. Setelah Baginda s.a.w telah benar-benar pasti bahawa masyarakat sangat percaya pada setiap butir kalamnya, baginda sangat bijak menggunakan kepercayaan itu dan menjadikannya wadah penyampai mesej Keesaan Allah Yang Maha Agung. Situasi ini jelas menampakkan hikmah dan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan dakwah baginda.

Baginda tidak memaksa kaumnya dan tidak juga memeras atau mengugut masyarakat menerima apa yang telah disampaikan. Malahan Baginda s.a.w begitu berhikmah dan bijak dalam menyampaikan dakwah. Baginda cerdik membaca situasi dan keadaan. Baginda s.a.w sangat cekap dalam memahami jiwa mad’unya. Sangat tersusun buah bicara Nabi s.a.w. Begitu lunak kalam yang terungkap dari bibir baginda Nabi s.a.w. Perihal yang Nabi s.a.w paparkan ini, sangat bertepatan dengan firman Allah dalam surah an-Nahl, ayat 125.

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.

Wallahu a'lam