" Serambi Ilham "

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Monday, October 31, 2011

Mencuci pakaian dan mandi menggunakan air kencing

Bismillah

Barat telah benar-benar terbelenggu dengan sejarah hitam yang penuh kegelapan. Ia sangat sadis dan begitu memalukan. Kejahilan dan kegelapan yang telah mengikat mereka adalah lebih dahsyat berbanding zaman gelap jahiliah. Oleh kerana itu mereka bangkit dari segenap sudut dan tempat walaupun terpaksa menipu dengan pelbagai helah dan konspirasi.

Sejarah telah mencatatkan bahawa raja dan golongan bangsawan eropah, mencuci pakaian dan mandi menggunakan air kencing manusia. Bagi mendapatkan bekalan air kencing yang cukup, mereka membuka tempat buang air kecil umum di tempat mencuci pakaian (dobi) mereka. Mereka turut mengimport air kencing dari Portugal yang menurut mereka adalah lebih berkesan dan mujarab. Hal demikian mungkin kerana kadar ammonia di dalamnya semakin tinggi hasil perjalanan yang jauh.

Perihal masyarakat Eropah menggunakan air kencing berterusan sepanjang abad kegelapan mereka. Sedangkan Imam ar-Razi telah menemui kaedah pembuatan sabun moden pada abad ke-9 M lagi. Manakala mereka baru menggunakannya sekitar abad ke-15 dan ia hanya digunakan oleh golongan kaya sahaja.

Sungguhpun Imam ar-Razi baru menemui kaedah pembuatan sabun moden pada abah ke-9 M, umat Islam tidaklah jahil dan kuno, menggunakan air kencing sebagai pembersih badan. Kerana Nabi s.a.w. telah diutus kepada umat manusia dengan sejumlah kebaikan, keharmonian dan syumul hatta cara mengurus diri.

Maka, kenapa perlu berbangga dan meniru apa sahaja yang dibawa oleh Barat? Walhal, Islam telah mendahului kemajuan yang kononnya telah mereka cipta. Islam juga telah terbukti membawa manusia ke puncak tamadun yang melestarikan keharmonian sejagat.



Wallahu a'lam

Sunday, October 02, 2011

Senyum

Bismillah

Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Abu Dzar r.a. katanya:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Senyumanmu terhadap saudara kamu adalah sedekah”.[1]


Suatu perkara yang menarik; pabila seseorang tersenyum, dia hanya memerlukan satu otot sahaja berbanding 37 otot untuk bermasam muka (St. Louis. 1995). Ada juga yang menyebutkan bahawa untuk senyum, seseorang memerlukan empat otot berbanding 20 untuk bermasam muka. The New York Times 19 April 1987, menyebutkan senyum memerlukan 10 otot sahaja berbanding 100 otot untuk bermasam muka. Semua kenyataan ini jelas memberi tahu kita bahawa senyuman adalah lebih mudah berbanding bermasam muka.


Namun begitu, Dr. David Song berpendapat bahawa senyum memerlukan 12 otot berbanding hanya 11 otot sahaja untuk bermasam muka. Bermakna, bermasam muka muka lebih mudah kerana penggunanaan otot yang minima. Oleh kerana itu, ramai manusia lebih gemar bermasam muka berbanding menghulur senyuman, Walaubagaimanapun beliau telah menjelaskan bahawa penggunaan otot yang lebih ketika senyum, memberi manfaat kepada wajah supaya menjadi cantik dan tegang.


Nah! Apalagi! Senyumlah...!


Islam memang indah. Walau dengan senyum, memberi banyak faedah. Walau ia kecil dan mudah, ia sangat berguna buat ummah. Oleh itu, kenapa perlu resah dan gelisah bila Islam memberi banyak faedah. Yang kecil dan mudah, pun memberi faedah, apatah yang besar seperti undang-undang dan syariah. Pasti ummah aman dan tiada gundah.


Wallahu a'lam


[1] Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi no. 1956.

Monday, August 29, 2011

Salam Kemenangan

Bismillah


Hari raya adalah hari kemenangan buat umat Islam setelah berjaya melepasi pelbagai halangan dan rintangan di dalam bulan Ramadan. Hari raya Aidilfitri juga adalah hari menyambutkan kembalinya manusia kepada fitrah setelah berjaya menyucikan diri di dalam bulan Ramadan. Hari raya juga adalah hari merafa’ syukur ke hadrat Allah s.w.t. setelah berjaya menempuh Ramadan. Hari raya bukanlah semata-mata hari bersuka ria dan bergembira. Islam tidak pernah melarang kita bergembira dan bersuka ria, bahkan ia digalakkan semasa menyambut Hari Raya dengan adab dan susila yang dijaga.

Hari raya adalah kemenangan dan kejayaan. Ia perlu dipamerkan melalui solat di malam harinya, bertakbir, bertahmid, bertasbih, memakai pakaian indah dan pelbagai lagi.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya (Aidilfitri dan Aidil Adha) dengan penuh ikhlas hanya kerana Allah, hatinya tidak akan mati pada hari matinya hati”.[1]

Rasulullah s.a.w. bersabda riwayat daripada az-Zuhri:

كان النبي صلى الله عليه وسلم يخرج يوم الفطر فيكبر من حين يخرج من بيته حتى يأتي المصلى

Maksudnya: “Adalah Rasulullah s.a.w. keluar pada Aidilfitri dengan bertakbir mulai dari rumah hingga ke tempat solat”.

Rasulullah s.a.w. berpakaian indah dan cantik ketika hari raya sebagaimana sabdanya riwayat daripada Jaafar bin Muhammad:

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يلبس برد حبرة في كل عيد

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakai pakaian buatan Yaman pada setiap hari raya”.[2]

Aidilfitri harus juga diraikan dan disyukuri dengan puasa enam hari di dalam bulan Syawal. Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di dalam bulan Syawal seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang tahun.[3]

Moga kita menyambut Aidilfitri dengan penuh syukur dan gembira. Moga kita benar-benar menyambutnya sebagai sebuah kemenangan.

تقبّل الله منّا ومنكم، عيد مبارك.
Salam Hari Kemenangan; Aidilfitri yang mulia. Mohon kemaafan segala kesilapan dan ketelanjuran.
كل عام وأنتم طيبون

[1] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah no. 1782.

[2] Hadis riwayat Imam asy-Syafie di dalam an-Nail al-Autar

[3] Hadis riwayat Imam Muslim no. 1164, Imam Ahmad no. 23022 dan Imam at-Tirmidzi no. 759.

Monday, August 15, 2011

Mempersiap diri

Bismillah...

Guru kami berpesan, mereka yang mencari Lailatul Qadar, sukar untuk menemuinya. Tetapi mereka yang mempersiap dan menyediakan diri untuk bertemu Lailatul Qadar bermula Rejab, Sya'aban dan menunaikan puasa dengan sempurna, Allah yang akan uruskan dan temukannya dengan Lailatul Qadar walau di mana dan bagaimana keadaannya. Moga Allah temukan kita dengan Lailatul Qadar.

Rasulullah s.a.w. bersabda, daripada Abu Hurairah r.a.:

وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bangun menghidupkan lailatul qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah, diampunkan dosanya yang telah lalu”.[1]

Oleh itu, Rasulullah s.a.w. amat menganjurkan kepada umatnya agar mencari malam yang mulia ini.

Daripada ‘Aisyah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: "Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan."[2]

Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang bersungguh mencarinya. Baginda menejutkan isterinya dan meninggalkan tidur bersama mereka serta beriktikaf di dalam masjid.

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila telah masuk sepuluh malam terakhir, Baginda menghidupkan malam, membangunkan keluarganya dan menjauhi isteri-isterinya”.[3]

Hadis daripada Saidatina ‘Aisyah r.a.:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah s.a.w. bersungguh-sungguh pada sepuluh malam yang terakhir di dalam Ramadan lebih daripada hari-hari yang lain”.[4]

Wallahu a'lam

[1] Hadis riwayat Imam al-Bukhari no. 1910.

[2] Hadis riwayat Imam al-Bukhari no. 710.

[3] Hadis riwayat Imam Muslim no. 1174.

[4] Hadis riwayat Imam Muslim no. 1175.