" Serambi Ilham ": April 2007

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Saturday, April 21, 2007

Cinta yang tidak dibalas

Bismillah

Suatu ketika, pernah seorang teman mengadu kepada saya musibah yang menimpa dirinya. Dia memberitahu saya suatu penderitaan yang sukar untuk ditanggung. Wajahnya muram dan mukanya sangat layu. Begitu menampakkan kemurungan hatinya.

Saya bertanya kepada dirinya. Apakah musibah yang telah menimpa. Dia menundukkan muka. Dengan perlahan dia berbicara. Wajahnya semakin mencebik umpama kanak-kanak kecil yang terjatuh dari tangga. Hampir gugur air mata bujangya. Katanya, cintanya tidak pernah dibalas. Dia menambah yang peristiwa seumpama ini bukan pertama kali terjadi, bahkan ia sering berulang.

Saya turut mempamerkan rasa sedih dan gundah gulana. Sangat simpati dengan apa yang menimpa. Saya cuba menenangkan dirinya yang hampir luluh hati dan jiwa. Saya juga tidak mampu membayangkan sekiranya perihal umpama ini menimpa diri sendiri. Saya cuma mampu memujuk hatinya dengan menasihatkan agar dirinya tenang dan sabar. Pasti banyak hikmah dan pengajaran.

Itulah penangan cinta. Sangat menyentuh jiwa. Kalimah cinta bila ditutur sahaja, semacam ada aura halus yang menyentap jiwa. Siapakah dikalangan yang tidak memilikinya? Hampir semua ada cinta di dalam jiwa. Hatta haiwan yang ganas yang sering membaham mangsa.

Fitrah dan semulajadi manusia, ingin bercinta dan menyintai. Mahu mengasih dan dikasihi. Sangat gemar disayang dan menyayangi. Maka, darinya lahir ukhuwah yang murni. Bahkan sangat dituntut dalam agama sebagaimana sabda baginda Nabi s.a.w "tidak sempurna iman seseorang selagi mana dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya."

Fitrah dan semulajadi manusia juga menyintai mereka yang berlainan jantina. Jangankan kita yang sangat lemah imannya, Nabi Adam a.s turut sunyi hidupnya tanpa teman dan kasih sayang. Ia adalah sifat biasa bagi manusia. Agama juga tidak melarang asalkan berada pada landasan syariat Allah.

Bila sudah kasih dan cinta pada seseorang. Hati juga sudah terpikat dan tertaut, nescaya akan punah jiwa raga bila cinta tidak dibalas, kasih yang hanya bertepuk sebelah tangan. Mungkin singa juga akan menangis tidak keruan bila cintanya tidak dibalas.

Kisah penderitaan jiwa teman saya yang cintanya tidak dibalas, membawa saya ke ruang pembaringan kekasih junjungan mulia Rasulullah s.a.w. Terkenang bagaimana yang diceritakan di dalam sirah ketika baginda Muhammad s.a.w berada di penghujung nyawa. Kasih dan cinta baginda yang tidak terkira terhadap umatnya dibawa hingga ke hujung nyawa. "Ummatku, ummatku, ummatku" antara kalimah yang bermain dibibir baginda ketika sakaratul maut di depan mata. Ia begitu jelas menunjukkan kasih dan cinta baginda tersangat dalam kepada umatnya.

Namun, apakah perasaan baginda sekiranya mengetahui umatnya sering durhaka kepada Yang Maha Esa? Umatnya tidak lagi mengenang dan mencintai Allah dan Rasul. Umatnya selalu leka dengan kerenah dunia. Umatnya tidak lagi sayang pada agama. Umatnya tidak patuh kepada perintah Allah dan Rasul.

Ayuh sama-sama koreksi diri...

Wallahu a'lam

Thursday, April 12, 2007

Soal jawab Guru dan Sin Chan

Guru: Sin Chan, beritahu satu perkara penting yang kita tak ada 10 tahun dulu.
Sin Chan: Saya Cikgu!

*-*-*-*-*-*- *-*-*-*-* -*-*-*-*- *-*-*-*-* -*-*-*-*- *-*

Guru: Bagaimana kita boleh mengelak penyakit yang di sebabkan oleh gigitan serangga?
Sin Chan: Jangan kena gigitserangga.

*-*-*-*-*-*- *-*-*-*-* -*-*-*-*- *-*-*-*-* -**-*-*-* -*

Guru: "Boleh tak sesiapa beritahu saya perkara yang kamu tahu berlaku secara kebetulan?"
Sin Chan: "Cikgu, Ibu dan Bapa saya berkahwin pada hari yang sama, pada masa yang sama dan juga pada waktu yang sama."

*-*-*-*-*-*- *-*-*-*-* -*-*-*-*- *-*-*-*-* -*-*-*-*- *-*

Guru: Sekarang, Sin Chan, Sebetulnya beritahu saya dengan jujur adakah awak berdoa sebelum makan?
Sin Chan: Tidak Cikgu , Saya tak perlu buat begitu , kerana saya tahu ibu saya adalah seorang tukang masak yang bagus.

Wednesday, April 04, 2007

Peluang kita terbuka

Bismillah

Entah kenapa kadang-kadang saya terkenang kalam dari guru matematik tuisyen kami semasa belajar di sekolah arab dahulu. Semasa itu kami berada di tingkatan 3. Kata-kata (yang fozitifnya) saya menganggap ia sebagai satu cabaran.

"Kenapa pelajar aliran agama dan pelajar yang menamatkan pengajian daripada universiti al-Azhar khasnya, bekerja sebagai guru?"

Kalam itu membuat hati saya rasa agak terhiris. (tidak pasti bagaimana dengan rakan-rakan yang lain) Rasa marah dan amarah yang membakar jiwa dan semangat diri.

Kadang-kadang juga bila saya terkenang, saya terasa hairan. Di sekitar kita, ramai yang menuntut dalam bidang perubatan. Saya belum pernah mendengar mereka yang mempertikaikan kerjaya pelajar perubatan ini. Tidak pernah pula ada manusia yang mempersoal kenapa pelajar aliran sains dan juga penuntut bidang perubatan bekerja sebagai doktor?

Saya juga jadi bingung bila penuntut agama atau rakyat jelata semacam tidak diberi kebebasan berbicara mengenai perubatan atau sains kemanusiaan. Tapi, rakyat jelata dan juga golongan profesional semacam dibiarkan berkata tentang agama secara berleluasa tanpa ada sempadan ilmu dan juga pengetahuan yang kental.

Kembali pada kalam guru saya. Ternyata kata-katanya membikin semangat saya membara. Saya sangat optimis yang bidang agama begitu luas skop kerjayanya. Sungguh ia terbukti bila mata saya melihat sendiri betapa sebenarnya bidang kerjaya penuntut pengajian agama begitu luas.

Dua minggu yang lepas, saya berpeluang bertemu seorang penuntut Universiti al-Azhar yang sedang berkhidmat sebagai pegawai di Bank Rakyat. Saya juga sering bertemu penuntut Azhar menceburi bidang perniagaan yang membuahkan kejayaan besar. Saya juga pernah mendengar dan mengenali seorang penuntut Azhar bekerja di Majlis Sukan Negara.

Hari ini juga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah membuka beberapa jawatan awam dalam kerajaan kepada mereka yang menuntut dalam bidang agama. Antaranya pegawai diplomatik dan konsulat. Pernah juga saya dikhabarkan penuntut Universiti al-Azhar khasnya akan diberi peluang mentadbir di pejabat Pihak Berkuasa Tempatan dan mereka juga berpotensi menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah.

Demikian sebenarnya peluang kerjaya penuntut pengajian Islam terbuka luas. Tidak perlu risau dan resah lagi dengan pengangguran. Yang penting, kita haruslah tekun belajar dan berusaha. Insya-Allah, pasti berjaya. Walaupun bukan kerjaya matlamat utama menuntut ilmu, tetapi bagi merealisasikan matlamat hidup dan kelangsungan keutuhan agama Islam, bekerja menjadi suatu yang dharuri.

Wallahu a'lam