Rabu, April 04, 2007

Peluang kita terbuka

Bismillah

Entah kenapa kadang-kadang saya terkenang kalam dari guru matematik tuisyen kami semasa belajar di sekolah arab dahulu. Semasa itu kami berada di tingkatan 3. Kata-kata (yang fozitifnya) saya menganggap ia sebagai satu cabaran.

"Kenapa pelajar aliran agama dan pelajar yang menamatkan pengajian daripada universiti al-Azhar khasnya, bekerja sebagai guru?"

Kalam itu membuat hati saya rasa agak terhiris. (tidak pasti bagaimana dengan rakan-rakan yang lain) Rasa marah dan amarah yang membakar jiwa dan semangat diri.

Kadang-kadang juga bila saya terkenang, saya terasa hairan. Di sekitar kita, ramai yang menuntut dalam bidang perubatan. Saya belum pernah mendengar mereka yang mempertikaikan kerjaya pelajar perubatan ini. Tidak pernah pula ada manusia yang mempersoal kenapa pelajar aliran sains dan juga penuntut bidang perubatan bekerja sebagai doktor?

Saya juga jadi bingung bila penuntut agama atau rakyat jelata semacam tidak diberi kebebasan berbicara mengenai perubatan atau sains kemanusiaan. Tapi, rakyat jelata dan juga golongan profesional semacam dibiarkan berkata tentang agama secara berleluasa tanpa ada sempadan ilmu dan juga pengetahuan yang kental.

Kembali pada kalam guru saya. Ternyata kata-katanya membikin semangat saya membara. Saya sangat optimis yang bidang agama begitu luas skop kerjayanya. Sungguh ia terbukti bila mata saya melihat sendiri betapa sebenarnya bidang kerjaya penuntut pengajian agama begitu luas.

Dua minggu yang lepas, saya berpeluang bertemu seorang penuntut Universiti al-Azhar yang sedang berkhidmat sebagai pegawai di Bank Rakyat. Saya juga sering bertemu penuntut Azhar menceburi bidang perniagaan yang membuahkan kejayaan besar. Saya juga pernah mendengar dan mengenali seorang penuntut Azhar bekerja di Majlis Sukan Negara.

Hari ini juga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah membuka beberapa jawatan awam dalam kerajaan kepada mereka yang menuntut dalam bidang agama. Antaranya pegawai diplomatik dan konsulat. Pernah juga saya dikhabarkan penuntut Universiti al-Azhar khasnya akan diberi peluang mentadbir di pejabat Pihak Berkuasa Tempatan dan mereka juga berpotensi menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah.

Demikian sebenarnya peluang kerjaya penuntut pengajian Islam terbuka luas. Tidak perlu risau dan resah lagi dengan pengangguran. Yang penting, kita haruslah tekun belajar dan berusaha. Insya-Allah, pasti berjaya. Walaupun bukan kerjaya matlamat utama menuntut ilmu, tetapi bagi merealisasikan matlamat hidup dan kelangsungan keutuhan agama Islam, bekerja menjadi suatu yang dharuri.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: