" Serambi Ilham ": February 2010

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Sunday, February 21, 2010

Kehadiran yang tidak diduga

Bismillah

Alhamdulillah, syukur tidak terhingga saya rafa’kan pada Illahi atas kurnia taufik dan inayah-Nya telah membikin jari-jemari saya menari semula di atas keyboard komputer. Hampir setahun saya membiarkan blog ini berhabuk, bersawang dan mungkin usang dimamah anai-anai. Selain virus malas yang menular dalam tubuh, mungkin faktor masa dan kurang kemudahan menjadikan blog ini terus terbiar.

Semasa menuntut dahulu, 24 jam komputer dan internet di depan mata. Dan semasa bertugas di Johor Bahru sekitar tahun 2007, sebuah komputer duduk di depan saya bersama kemudahan internet yang pantas dan tuntas. Berbeza kini. Saya bertugas di sebuah sekolah rakyat. Walaupun ada kemudahan internet pantas, namun masa agak terbatas dan pelbagai faktor lain yang menyekat. Apa pun, sebenarnya saya yang agak canggung dengan suasana dan malas berusaha.

Tanpa sedar, 2010 adalah tahun keempat saya di tanah air. Semuanya macam baru semalam berlaku. Itulah ungkapan biasa, bila minda mula mengimbas masa yang berjalan pantas.

Pada isnin 8 februari yang lalu, tanpa diduga dan tidak pernah menyangka, saya bertemu seorang ulama muda dan ilmuan tanah air yang terkenal. Saya amat meminati beliau, dan tidak akan melepaskan peluang mendengar kuliah tafsir beliau setiap hari di radio IKIM. Hanya mengenakan t-shirt dengan perwatakan yang amat sederhana, sangat tawadhu’ dan begitu merendah diri. Beliau hadir ke sekolah kami membawa abangnya yang strok menziarahi anaknya.

Hampir satu jam saya dan dua orang guru berbual dan berbincang ilmiah bersamanya. Sangat mengujakan dengan pelbagai topik yang beliau sentuh. Pada detik ini, secara life dan mubasyarah saya mendengar nasihat dan tunjuk ajar dari beliau.

Antara yang masih lekat pada memori saya ialah berkenaan dunia. Beliau mengatakan bahawa dunia ini sangat menggiurkan. Tidak kurang ilmuan yang tergiur dengan perhiasan yang sementara ini. Ada kalangan ulama di Malaysia tanpa beliau menyebutkan namanya yang rasa rendah dan tidak mahu bertemu serta bercampur gaul dengan masyarakat kebanyakan.

Beliau turut menyentuh masalah khilafiah yang kadang-kadang sengaja dihebohkan golongan tertentu bagi meraih populariti dan kemasyhuran semata. Secara peribadi beliau berpendapat masalah seumpama ini, tidak sepatutnya didedah pada khalayak. Ia akan menambah kekusutan dan kecelaruan. Tiada yang boleh diambil manfaat darinya kecuali hanya sedikit sahaja. Umat islam di Malaysia seharusnya dibawa fokus mereka ke arah ketamadunan dan kecemerlangan ummah.

Beliau yang kini bertugas di Syarikat Telaga Biru, menyarankan dan menggalakkan kami menghasilkan apa jua tulisan yang berfaedah buat ummah. Pada hemat beliau, di negara kita tidak kurang ilmuan dan cendiakawan hebat. Malangnya, penerokaan ilmu dan pengembangan penulisan masih perlahan. Namun begitu, beliau tetap bersyukur kerana mutakhir ini karya hasil penulisan ulama malaysia semakin banyak dan minat rakyat malaysia terhadap membaca semakin tinggi.

Beliau turut menyarankan kami agar memberi pendedahan kepada para pelajar tentang karangan-karangan ulama silam dan kentomporari melalui diskusi dan sebagainya. Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan sistem pendidikan di Malaysia yang menyibukkan guru-guru dengan kerja-kerja teknikal dan perkeranian. Walhal, tenaga dan masa guru-guru ini sepatutnya difokuskan kepada pengkajian dan pengembangan ilmu secara mendalam.

Akhirnya, saya rasa sangat bertuah dan bangga dapat bersalam dan mendakap seorang tokoh pujaan. Terima kasih tidak terhingga di atas kesudian Ustaz Haji Zahazan Mohamad berkunjung ke sekolah kami yang tidak ternama. Cuma sedikit kekesalan saya apabila melihat sambutan dingin anak-anak didik dan pendidik di atas kehadiran seorang tokoh ilmuan. Saya membayangkan akan hadir gerombolan manusia andai Mawi, Black atau yang sewaktu dengan mereka, berkunjung ke sekolah. Mudah-mudahan Allah tukarkan situasi sadis ini kepada suasana masyarakat yang mengagungkan ulama.

Wallahu a'lam