" Serambi Ilham ": August 2007

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Monday, August 27, 2007

Cuci mata

Bismillah

Saya membaca Journal Perjalanan akhi Fairuz yang kini sedang mengembara di negara orang. Antara bilah kata yang dicatatnya adalah perkhidmatan mencuci mata percuma. Tanpa mengira usia, pendapatan atau taraf kehidupan. Semua orang boleh menikmati perkhidmatan ini dengan percuma tanpa ada had waktu dan masa. Tidak jauh, hanya seinci di depan mata. Itu suasana di United Kingdom.

Sudah hampir 8 bulan saya bekerja di Bandaraya Johor Bahru. Sepanjang tempoh ini, pada hemat saya, tidak jauh beza dengan suasana di UK. Keluar sahaja pintu pejabat, perkhidmatan mencuci mata terhidang seluas-luasnya. Cuci mata, di sana-sini. Tambah bersih mata, bila amoi pakai skirt lalu depan mata. Dah tak tau nak buat apa. Sudah merebak ke serata dunia.

Walaupun sudah 50 tahun kita merdeka, masih banyak lagi yang terjajah dan terpenjara. Budaya kita, akhlak kita, bahasa kita dan macam-macam lagi milik kita. Adakah kita merdeka dengan pakaian yang mendedah dada? Adakah kita merdeka dengan jenayah yang semakin berleluasa? Adakah kita merdeka dengan bahasa dari Barat yang selalu ditutur pada lidah kita? Merdekakah itu namanya?

Masyarakat melayu kita sangat terkenal dengan kurung kebaya, baju kurung melayu lama dengan tudung litup sampai ke dada. Watak sopan terutama yang dara. Tidak kurang yang teruna. Suka membantu dan menolong manusia. Masyarakat aman sentosa. Tenang, damai dan sejahtera. Tidak kucar-kacir dan caca-marba. Hati selalu terpaut pada Yang Maha Kuasa.

Realiti yang saya lihat depan mata. Hari-hari tanpa mengira masa. Ramai yang sudah tidak berseluar. Berpakaian menjolok mata. Rambut berkarat ditayang-tayangnya. Bahasa Melayu sudah janggal di bibirnya. Bukan masyarakat di Bandaraya sahaja, di desa pun begitu juga. Tunjuk badan dan tayang buah dada. Tak malu ke? Siapa yang salah agaknya ya…..? Bukanlah niat untuk burukkan atau salahkan sesiapa. Sama-samalah kita fikir dan muhasabah diri. Moga Allah selamatkan kita dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam

Sunday, August 19, 2007

"10 ringgit boleh dik?"


Bismillah

Saya bangga menjadi anak Malaysia. Negaranya makmur, aman dan sentosa. Saya bangga menjadi anak Malaysia. Walaupun baru menjangkau 50 tahun usia kemerdekaannya, pelbagai kemajuan dapat dirasa. Saya bangga menjadi anak Malaysia. Hidup gembira, selalu ceria.

Tidak seperti Palestin yang selalu gegak gempita. Hidupnya caca marba dan menderita. Juga tidak seperti jiran negara kita, Indonesia, walaupun 10 tahun dahulu mengecap merdeka daripada kita, masih ramai yang miskin dan kedana. Juga tidak seperti rakyat Kemboja yang selalu murung, tidak gembira.

Alangkah bangganya yang kadang-kadang buat kita lupa. Hingga ternafi dan terpadam kehebatan orang lain. Kitalah yang paling hebat dan gagah perkasa. Kita juga terlalu bangga hingga orang lain sering kita tertawa. Walhal, kita semua sama.

Perjalanan daripada KL ke JB, setelah usai Alumni MPR, merakam beberapa peristiwa mendidik jiwa. Saya bertanya penjual tiket di kaunter, adakah bas ini berhenti di perhentian bas Ayer Hitam? Dia menjawab 'ya.' Ketika hendak menaiki bas, saya bertanya sekali lagi dan dia menjawab dengan jawapan yang sama.

Semasa berhenti rehat di hentian Yong Peng, saya bertanya kepada pemandu bas, adakah dia akan berhenti di hentian bas Ayer Hitam. Dia menjawab tidak. Dia hanya berhenti di tol Ayer Hitam. Memang saya telah jangka, itulah jawapannya. Saya hanya mampu tersenyum tawar.

Perjalanan daripada Kaherah ke Tanta pula, suatu masa dahulu, seorang penumpang sebelum menaiki Tranco bertanya kepada pemandu. Adakah dia akan ke Benha. Pemandu menjawab 'ya.' Namun akhirnya mereka bertekak ketika dalam perjalanan. Si pemandu tidak pun ke Benha dan terus memandu ke Tanta.

Rupanya perlakuan kita sama dengan segilintir orang Mesir yang masih mundur dan belum maju macam kita.

Semasa saya menuruni tangga di hentian Puduraya menuju ke kawasan pejalan kaki untuk menunggu teksi, ada seorang menyapa, bertanya mahu ke mana. Saya menjawab mahu ke Dewan Bahasa.

"15 ringgit boleh dik?"

"Mahalnya bang. Tak pa lah."

"10 ringgit, boleh?"

Saya terus membawa langkah. Tambang ke Dewan Bahasa hanya RM4 sahaja. Kenapa dia tawar harga tinggi yang mencekik darah? Memang serupa dengan kebanyakan pemandu teksi Mesir yang negaranya masih belum maju macam kita.

Gambar ramai-ramai Alumni MPR


Wallahu a'lam

Wednesday, August 15, 2007

Mereka telah berpindah ke sana.

Bismillah

Siapa menyangka rindu yang membara, akan terpadam. Walaupun tidak semua, secubit pun sudah terasa nikmatnya. Alhamdulillah syukur tidak terhingga ke hadrat Yang Maha Esa. Walau seluas sahara dan sebanyak butiran pasirnya, pasti lebih seluas nikmat dan kurnia-Nya.

Tidak tahu kenapa, kebelakangan ini, hati semakin merindui bumi barakah; Ardhul Kinanah. Cita-cita dan impian untuk menyambung pengajian di sana, semakin membara. Ditambah dengan kekecohan dan keserabutan suasana Malaysia yang tidak tahu di mana noktahnya dan bilakah ia akan berakhir. Ilmu di dada juga masih belum tepu dan banyak kurangnya.

Tiga hari yang baru sahaja berlalu, sedikit sebanyak telah memadam bara kerinduan pada bumi Mesir. Bersemuka, berprogram, bermesra dan bergurau senda bersama teman-teman sempena sambutan 10 tahun Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) dengan kerjasama Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) amat menggembirakan. Walaupun sambutan masyarakat sekeliling agak hambar, ia masih membuat jiwa sentiasa tersenyum.

Sambutan 10 tahun MJBBU pada hemat saya, merupakan suatu sambutan dan program yang besar. Lebih besar dari konsert Mawi dan santai-santai bersama barisan penggerak filem Anak Halal di Angsana. Entah mengapa, masyarakat lebih gemar ke Angsana daripada melangkah kaki ke MJBBU. Suatu realiti dan situasi kehidupan yang amat menyedihkan. Budaya hedonisme telah berakar umbi dalam setiap jiwa dan hati maysarakat kini. Hampir semua begitu. Masing-masing ripuh dengan perihal dunia. Program kemasyarakatan, semakin sepi dan hambar. Walhal, ia satu tuntutan.

Sabda Nabi s.a.w

“Tidak akan berhimpun umat ini di atas kesesatan selamanya. Dan sesungguhnya pertolongan Allah itu bersama jamaah (dalam kumpulan), dan ikutlah golongan yang ramai, maka siapa yang menyendiri, dia akan sendiri di dalam neraka.”
(Riwayat Abu Naim dan al-Hakim)

Jam 1 pagi, saya bersama beberapa rakan berkesempatan melawat dan jalan-jalan di sekitar bandaraya meninjau dan melihat-lihat aktiviti masyarakat bandar pada waktu malam. Di sekitar Danga Bay, mat-mat rempit memenuhi jalanrayanya. Kami tinjau-tinjau juga di sekitar Jalan Segget dan Jalan Dhobi, tapi lengang tiada seorang pun di sana. Alhamdulillah, kegiatan mak nyah dan pelacuran sudah lenyap.

Namun, yang menyedihkan apabila buletin TV3 pada 13 ogos 2007 menyiarkan Masai menjadi pusat dan sarang pelacuran. Rupa-rupanya mereka semua telah berpindah ke sana.

Wallahu a'lam

Monday, August 06, 2007

Nazak

Bismillah

Cemburu membaca tulisan-tulisan, celoteh-celoteh dan garapan-garapan menarik teman-teman di Mesir.

Antara kegemaran dan hobi harian saya adalah membaca blog tulisan teman-teman di Mesir. Pelbagai adegan, ilmu dan pengetahuan yang membikin hati ini amat cemburu dengan mereka. Seronok dan suka menelaah coretan teman-teman. Betapa bertuahnya mereka masih meneruskan perjuangan di sana. Ilmu dan pengalaman yang ada di Mesir sebanyak butiran pasir dan habuknya. Mutiara hikmahnya seluas sahara dan padang pasir.

Manusia memang begitu atau mungkin saya sahaja yang begitu. Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dikesalkan. Semasa berada di Ardhul Kinanah, tidak menggunakan peluang dan ruang yang ada dengan sebaiknya. Bila sudah berada di tanah air, pelbagai penyesalan menghantui. Ilmu masih terlalu sedikit, pengalaman masih cetek dan pengetahuan masih sangat kurang.

Mesnyusuri hari-hari di tanah air, kadang-kadang terasa semakin jauh dengan ilmu dan urusan akhirat. Mungkin terlalu ripuh dengan tanggungjawab kerja dan juga hal ehwal dunia.

Semasa di Mesir dahulu, setiap hari mengadap ilmu. Sama ada secara formal atau tidak. Hari-hari berdepan dengan suasana dan masyarakat ilmu. Perihal dunia hanya sedikit sahaja. Hal demikian tidak lagi saya tempuhi di bumi Malaysia tercinta ini. Dunia, dunia, dunia dan dunia. Hanyut dan hancur dimamah lautan dunia.

Hiburan, konsert, ekspo dan pelbagai perkara yang melalaikan, silih berganti tanpa ada noktah. Tidak perlu keluar rumah, segalanya begitu hampir dan terhidang di depan mata; hanya seinci cuma. Sedikit sebanyak ia meresap ke dalam jiwa. Semakin hari, semakin menebal. Akhirnya hati terkunci mati. Tiada lagi bicara hal akhirat dan juga mati. Walhal dunia semakin menuju ke penghujung usia. Suhu dunia semakin panas. Saban hari, air laut semakin meninggi, ais semakin cair. Batu pahat hanya tinggal beberapa cm sahaja tingginya dengan paras laut. Klang, Pekan mungkin bakal menjadi lautan dalam tempoh 50 tahun mendatang. Dunia semakin nazak sedangkan hati semakin lupakan Tuhan Yang Esa.

Ya Allah, ampunkan dosaku, dosa ibu bapaku, guru-guruku dan seluruh umat Islam.

Wallahu a'lam