Isnin, Ogos 06, 2007

Nazak

Bismillah

Cemburu membaca tulisan-tulisan, celoteh-celoteh dan garapan-garapan menarik teman-teman di Mesir.

Antara kegemaran dan hobi harian saya adalah membaca blog tulisan teman-teman di Mesir. Pelbagai adegan, ilmu dan pengetahuan yang membikin hati ini amat cemburu dengan mereka. Seronok dan suka menelaah coretan teman-teman. Betapa bertuahnya mereka masih meneruskan perjuangan di sana. Ilmu dan pengalaman yang ada di Mesir sebanyak butiran pasir dan habuknya. Mutiara hikmahnya seluas sahara dan padang pasir.

Manusia memang begitu atau mungkin saya sahaja yang begitu. Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dikesalkan. Semasa berada di Ardhul Kinanah, tidak menggunakan peluang dan ruang yang ada dengan sebaiknya. Bila sudah berada di tanah air, pelbagai penyesalan menghantui. Ilmu masih terlalu sedikit, pengalaman masih cetek dan pengetahuan masih sangat kurang.

Mesnyusuri hari-hari di tanah air, kadang-kadang terasa semakin jauh dengan ilmu dan urusan akhirat. Mungkin terlalu ripuh dengan tanggungjawab kerja dan juga hal ehwal dunia.

Semasa di Mesir dahulu, setiap hari mengadap ilmu. Sama ada secara formal atau tidak. Hari-hari berdepan dengan suasana dan masyarakat ilmu. Perihal dunia hanya sedikit sahaja. Hal demikian tidak lagi saya tempuhi di bumi Malaysia tercinta ini. Dunia, dunia, dunia dan dunia. Hanyut dan hancur dimamah lautan dunia.

Hiburan, konsert, ekspo dan pelbagai perkara yang melalaikan, silih berganti tanpa ada noktah. Tidak perlu keluar rumah, segalanya begitu hampir dan terhidang di depan mata; hanya seinci cuma. Sedikit sebanyak ia meresap ke dalam jiwa. Semakin hari, semakin menebal. Akhirnya hati terkunci mati. Tiada lagi bicara hal akhirat dan juga mati. Walhal dunia semakin menuju ke penghujung usia. Suhu dunia semakin panas. Saban hari, air laut semakin meninggi, ais semakin cair. Batu pahat hanya tinggal beberapa cm sahaja tingginya dengan paras laut. Klang, Pekan mungkin bakal menjadi lautan dalam tempoh 50 tahun mendatang. Dunia semakin nazak sedangkan hati semakin lupakan Tuhan Yang Esa.

Ya Allah, ampunkan dosaku, dosa ibu bapaku, guru-guruku dan seluruh umat Islam.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: