Rabu, Ogos 15, 2007

Mereka telah berpindah ke sana.

Bismillah

Siapa menyangka rindu yang membara, akan terpadam. Walaupun tidak semua, secubit pun sudah terasa nikmatnya. Alhamdulillah syukur tidak terhingga ke hadrat Yang Maha Esa. Walau seluas sahara dan sebanyak butiran pasirnya, pasti lebih seluas nikmat dan kurnia-Nya.

Tidak tahu kenapa, kebelakangan ini, hati semakin merindui bumi barakah; Ardhul Kinanah. Cita-cita dan impian untuk menyambung pengajian di sana, semakin membara. Ditambah dengan kekecohan dan keserabutan suasana Malaysia yang tidak tahu di mana noktahnya dan bilakah ia akan berakhir. Ilmu di dada juga masih belum tepu dan banyak kurangnya.

Tiga hari yang baru sahaja berlalu, sedikit sebanyak telah memadam bara kerinduan pada bumi Mesir. Bersemuka, berprogram, bermesra dan bergurau senda bersama teman-teman sempena sambutan 10 tahun Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) dengan kerjasama Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) amat menggembirakan. Walaupun sambutan masyarakat sekeliling agak hambar, ia masih membuat jiwa sentiasa tersenyum.

Sambutan 10 tahun MJBBU pada hemat saya, merupakan suatu sambutan dan program yang besar. Lebih besar dari konsert Mawi dan santai-santai bersama barisan penggerak filem Anak Halal di Angsana. Entah mengapa, masyarakat lebih gemar ke Angsana daripada melangkah kaki ke MJBBU. Suatu realiti dan situasi kehidupan yang amat menyedihkan. Budaya hedonisme telah berakar umbi dalam setiap jiwa dan hati maysarakat kini. Hampir semua begitu. Masing-masing ripuh dengan perihal dunia. Program kemasyarakatan, semakin sepi dan hambar. Walhal, ia satu tuntutan.

Sabda Nabi s.a.w

“Tidak akan berhimpun umat ini di atas kesesatan selamanya. Dan sesungguhnya pertolongan Allah itu bersama jamaah (dalam kumpulan), dan ikutlah golongan yang ramai, maka siapa yang menyendiri, dia akan sendiri di dalam neraka.”
(Riwayat Abu Naim dan al-Hakim)

Jam 1 pagi, saya bersama beberapa rakan berkesempatan melawat dan jalan-jalan di sekitar bandaraya meninjau dan melihat-lihat aktiviti masyarakat bandar pada waktu malam. Di sekitar Danga Bay, mat-mat rempit memenuhi jalanrayanya. Kami tinjau-tinjau juga di sekitar Jalan Segget dan Jalan Dhobi, tapi lengang tiada seorang pun di sana. Alhamdulillah, kegiatan mak nyah dan pelacuran sudah lenyap.

Namun, yang menyedihkan apabila buletin TV3 pada 13 ogos 2007 menyiarkan Masai menjadi pusat dan sarang pelacuran. Rupa-rupanya mereka semua telah berpindah ke sana.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: