" Serambi Ilham ": Salam Kemenangan

" Serambi Ilham "

Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.

Name:
Location: Johor, Malaysia

Maka adalah hamba diberi nama akan ayahanda dan bonda hamba Penjaga Cahayaharapan. Maka sesungguhnya hamba dibesarkan di Simpang Renggam, di Selatan Kepulauan Tanah Melayu.

Monday, August 29, 2011

Salam Kemenangan

Bismillah


Hari raya adalah hari kemenangan buat umat Islam setelah berjaya melepasi pelbagai halangan dan rintangan di dalam bulan Ramadan. Hari raya Aidilfitri juga adalah hari menyambutkan kembalinya manusia kepada fitrah setelah berjaya menyucikan diri di dalam bulan Ramadan. Hari raya juga adalah hari merafa’ syukur ke hadrat Allah s.w.t. setelah berjaya menempuh Ramadan. Hari raya bukanlah semata-mata hari bersuka ria dan bergembira. Islam tidak pernah melarang kita bergembira dan bersuka ria, bahkan ia digalakkan semasa menyambut Hari Raya dengan adab dan susila yang dijaga.

Hari raya adalah kemenangan dan kejayaan. Ia perlu dipamerkan melalui solat di malam harinya, bertakbir, bertahmid, bertasbih, memakai pakaian indah dan pelbagai lagi.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya (Aidilfitri dan Aidil Adha) dengan penuh ikhlas hanya kerana Allah, hatinya tidak akan mati pada hari matinya hati”.[1]

Rasulullah s.a.w. bersabda riwayat daripada az-Zuhri:

كان النبي صلى الله عليه وسلم يخرج يوم الفطر فيكبر من حين يخرج من بيته حتى يأتي المصلى

Maksudnya: “Adalah Rasulullah s.a.w. keluar pada Aidilfitri dengan bertakbir mulai dari rumah hingga ke tempat solat”.

Rasulullah s.a.w. berpakaian indah dan cantik ketika hari raya sebagaimana sabdanya riwayat daripada Jaafar bin Muhammad:

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يلبس برد حبرة في كل عيد

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakai pakaian buatan Yaman pada setiap hari raya”.[2]

Aidilfitri harus juga diraikan dan disyukuri dengan puasa enam hari di dalam bulan Syawal. Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di dalam bulan Syawal seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang tahun.[3]

Moga kita menyambut Aidilfitri dengan penuh syukur dan gembira. Moga kita benar-benar menyambutnya sebagai sebuah kemenangan.

تقبّل الله منّا ومنكم، عيد مبارك.
Salam Hari Kemenangan; Aidilfitri yang mulia. Mohon kemaafan segala kesilapan dan ketelanjuran.
كل عام وأنتم طيبون

[1] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah no. 1782.

[2] Hadis riwayat Imam asy-Syafie di dalam an-Nail al-Autar

[3] Hadis riwayat Imam Muslim no. 1164, Imam Ahmad no. 23022 dan Imam at-Tirmidzi no. 759.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home