Khamis, Mei 21, 2009

Penentangan terhadap seorang 'Guru Agong'

Bismillah

Cabaran dunia pendidikan hari ini, hanya guru dan warganya sahaja yang sangat-sangat merasai jerih payahnya. Penentangannya hebat. Timbul pelbagai masalah dan bebanan pada setiap detik dan ketika.

Sungguhpun begitu, penentangan terhadap seorang 'Guru Agong' ini, pastinya lebih jerih. Kisah yang dipetik dari kitab ar-Rahiqu al-Makhtum. Syeikh Sofiyur Rahman al-Mubarak Furi

Umaiyah bin Khalaf seorang yang bila-bila sahaja melihat Rasulullah s.a.w., beliau pasti mencela dan memaki hamun Baginda.

Manakala saudaranya Ubai bin Khalaf adalah berkawan rapat dengan Uqbah bin Abi al-'Aas. Suatu hari Uqbah telah menghampiri Rasulullah s.a.w dan mendengar daripada Baginda kata-katanya, tapi bila diketahui Ubai, beliau memarahi Uqbah dan mengkritik tindakannya itu. Seterusnya Ubai meminta kepada Uqbah meludah ke muka Rasulullah s.a.w dan beliau melakukannya.

Di suatu masa Abu Jahal pernah mendatangi Rasulullah s.a.w dan mendengar ayat-ayat al-Quran. Kemudian beedar dari situ tanpa mempercayai atau menyahutnya. Malah penuh biadap dan tidak takut menyakiti Rasulullah s.a.w dengan kata-kata, menghalang Rasulullah dan merasa sombong dengan tindakannya, berasa bangga dengan kemungkarannya, seolah-olah melakukan apa yang disanjung.

Dan beliau telah menghalang Rasulullah s.a.w dari bersembahyang, di hari pertama beliau melihat Rasulullah s.a.w bersembahyang di Kaabah. Suatu ketika beliau melintas di situ dan terlihat Rasulullah s.a.w bersembahyang di makam Ibrahim, maka beliau berkata kepada Muhammad s.a.w:

"Wahai Muhammad! Bukankah aku telah melarang engkar bersembahyang di sini."

Beliau bertindak keras, mengutuk Baginda penuh herdik dan menggertak:

"Wahai Muhammad! Dengan apa yang engkau maksud hendak mengutuk aku? Demi Allah, sesungguhnya akulah orang yang terbanyak pengyokong di lembah ini."

Dalam satu riwayat menceritakan bahawa Rasullah s.a.w telah memegang leher bajunya dan menggoncang-goncangnya sambil berkata:

(Wahai orang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat! Kemudian api nerakalah yang lebih layak bagi kamu. Lebih layak. (al-Qiyamah: 34-35)

Maka jawab musuh Allah Ta'ala itu:

"Wahai Muhammad! Engkau hendak mengugut aku? Demi Allah! Tidak engkau dan tuhan engkau berbuat apa-apa dengan aku. Akulah orang termulia yang bergerak di antara bukit bukau bumi ini.

Inilah pencerobohan terhadap diri Rasulullah s.a.w yang berkeperibadian unggul, warak dan disegani.

Wallahu a'lam

Isnin, Mei 04, 2009

Munafiq

Bismillah

Firman Allah Ta'ala:

Maksudnya: Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian1," pada hal mereka itu Sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka Hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.
(Surah al-Baqarah: ayat 8-10)

Munafiq adalah perkataan bahasa arab yang berasal dari kalimah نفق yang bermaksud habis, hilang atau kosong. Pada istilah pula, munafiq boleh diertikan sebagai orang yang menzahirkan keimanan tetapi kufur pada hakikat.

Dalam kamus dewan, munafiq diertikan sebagai:
Orang yang pada zahirnya mengaku keesaan Allah dan kerasulan Muhammad s.a.w tetapi sebenarnya tidak beriman.
Orang yang amalan dan hatinya bertentangan dengan apa yang diperkatakan.

Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaily mengklasifikan tiga ayat di atas sebagai "sifat-sifat orang munafiq". Beliau menjelaskan di dalam tafsirnya bahawa sifat ini merupakan penyakit yang sangat bahaya. Bahkan ia lebih bahaya berbanding kekafiran yang terang-terangan. Beliau menamakan Abdullah bin Ubai bin Salul sebagai ketua munafiq di zaman nabi.

Sungguhpun ayat ini menceritakan perihal orang munafiq di zaman nabi yang diketuai Abdullah bin Ubai, tetapi ia tidak terhad tumpuannya pada zaman nabi sahaja. Hal ini turut dijelaskan oleh Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaily:
"Dan tidak terhad sifat-sifat munafiq ini pada zaman Nabi s.a.w semata, bahkan ia berlaku pada setiap zaman apabila wujud sifat-sifat mereka."

Beliau turut menjelaskan ayat ini memberi isyarat bahawa bohong dan pendustaan merupakan syiar orang-orang munafiq. Maka, yang demikian Allah mengingatkan kepada orang-orang beriman mengenai sifat pendustaan ini dengan ingatan yang keras. Oleh itu, tidaklah bertebaran sifat ini di dalam umat, melainkan akan bertebaranlah pendosa-pendosa dan bersepahlah padanya penghinaan. Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya: Berwaspadalah kamu dengan pendustaan. Kerana pendustaan akan menjauhkan kamu kepada iman.
(Hadis hasan. Riwayat Imam Ahmad)

Wallahu a'lam