Rabu, Februari 28, 2007

Pengenalan ringkas Dinar Emas

Bismillah

Dinar Emas adalah mata wang yang telah digunapakai sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutus menjadi rasul lagi dan ia telah diterima pakai sebagai mata wang Islam yang penggunaannya mencakupi semua urusan ekonomi umat. Namun, penggunaannya telah terhapus pada tahun 1924 setelah tumbangnya Empayar Islam Othmaniyah di Turki.

Dinar Emas yang ditempa pada hari ini adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Saidina Umar al-Khattab ketika beliau menjadi khalifah Islam yang kedua.

Dinar Emas merupakan kepingan syiling yang diperbuat daripada emas 916, 22 karat. Ia ditempa dalam tiga denominasi iaitu ½ , 1 dan 2 Dinar. Berat setiap kepingan tersebut bergantung kepada denominasinya.

Berat ½ Dinar ialah 2.125 gram emas, 1 Dinar ialah 4.25 gram emas dan 2 Dinar ialah 8.5 gram emas. Nilai Dinar Emas tersebut adalah bergantung kepada harga emas semasa di pasaran.

Wallahu a'lam

Khamis, Februari 15, 2007

Yang Biasa dan Luar Biasa di Malaysia

Bismillah

Hari ini saya agak terlewat bangun. Natijahnya, saya menjadi kelam kabut mempersiapkan diri untuk ke tempat kerja. Dalam kekabutan itu, saya mencari-cari di manakah letaknya stokin saya. Cari punya cari, saya tidak berjaya menemuinya. Lantas saya membuat andaian yang stokin saya turut berada di pejabat bersama-sama kasut.

Setibanya saya di pejabat, saya terus mengarah mata melihat kasut di bawah meja. Sungguh mengecewakan bila saya hanya melihat kasut sahaja tanpa stokin bersamanya. Hati berdebar-debar dan perasaan takut juga ada. Takut dimarahi pengurus kerana tidak berstokin.

Saya pun berfikir ada baiknya juga kalau saya terus berselipar. Walaupun nampak kurang molek, tetapi adalah lebih tidak molek kalau berkasut kulit hitam dan tidak berstokin. Saya termenung seketika, berfikir.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berkasut juga. Dan kulit kaki yang tidak berstokin ini, pandai-pandailah cover nanti.

Usai menukar kasut, rakan sekerja mempelawa saya bersarapan bersamanya. Di kedai makan, sedang saya makan dan duduk bersembang, rakan saya menegur. Dia juga tergelak kecil melihat saya tidak berstokin. Saya tersenyum sambil berbicara yang stokin saya tertinggal.

Selesai makan, saya masuk semula ke pejabat. Duduk di atas kerusi sambil berfikir. Saya pun turut tergelak kecil melihat keadaan kaki yang tidak berstokin. Tapi bila difikir, kenapa mesti rasa kurang bergaya atau tidak selesa? Sedangkan setiap hari, kebanyakan rakan sekerja wanita dipejabat, hanya bersandal atau berkasut yang tidak berstokin. Kenapa mereka tidak pernah digelakkan? Kenapa masih nampak bergaya dan bersahaja? Sedangkan uaratnya terbuka.

Demikian telatah Malaysia yang juga telatah dunia hari ini. Pasti janggal dan nampak luar biasa jika seorang lelaki pergi ke pejabat berseluar pendek bawah lutut, berbaju kemeja ketat dan hanya bersandal. Tapi, akan nampak biasa dan mungkin juga menjolok mata jika seorang wanita berkain atas lutut dan berbaju ketat pergi ke pejabat.


sekadar kongsi cerita
Wallahu a'lam

Ahad, Februari 11, 2007

Penangan Cinta

Bismillah

Cinta adalah fitrah semulajadi manusia. Dari mereka yang berumur satu hari, hinggalah mereka yang sedang nazak menghadapi saat kematian, masing-masing punya rasa cinta.

Pelbagai rasa cinta yang ada dalam hati manusia. Cintakan dunia, cinta wang ringgit, cinta negara, cinta ibu bapa, cinta kekasih hati, cinta Allah dan Rasul-Nya dan macam-macam lagi jenis cinta.

Bila perasaan ini adalah fitrah semulajadi manusia, pastinya kita semua sudah merasai cinta. Mampu menjiwai cinta dan mampu memahaminya. Mungkin juga sekarang ini kita sedang asyik dilamun cinta.

Remaja; antara golongan yang sering dikaitkan dengan perasaan cinta. Golongan ini saat terkenal dan begitu masyhur dengan cinta. Mereka sangat sinonim dengan kalimah ini. Dan suatu perkara yang sering diperkata adalah cinta monyet.

Namun, cinta remaja ini, tidak semuanya berpaksikan monyet semata-mata. Ada yang mengakhirinya dengan ikatan yang sah.

Cinta; auranya amat luar biasa. Penangannya sangat dahsyat. Ada yang bermadah pujangga. Gunung tinggi sanggup direnangi, lautan api sanggup diredahi. Ada juga yang macam manusia kurang siuman. Ketawa sendiri dan senyum sorang-sorang. Ada juga yang murung tak karuan. Tidur tak lena, mandi tak basah. Ada juga yang sanggup bergolok gadai, menghabiskan seluruh harta untuk cinta.

Demikian antara gambaran dan situasi penangan cinta. Tajam dan menusuk jiwa.

Demikian juga kalau kita saksikan apa yang Saidina Abu Bakar lakukan kesan penangan cintanya kepada Allah dan Rasul.

Peristiwa hijrah antara saksi betapa cintanya Abu Bakar kepada Rasulullah s.a.w. Segalanya digunakan bagi menjayakan misi hijrah. Bermula dengan penyediaan dua ekor unta bagi perjalanan ke madinah, hinggalah khadamnya Amir bin Furaihah digunakan bagi menjayakan misi hijrah.

Anaknya juga terlibat sama dalam misi yang penuh makna ini. Asma' binti Abu Bakar ditugaskan menghantar makanan kepada mereka berdua. Begitu juga dengan anak lelakinya Abdullah yang bertugas sebagai mata-mata kepada mereka. Kambing peliharaannya juga digunakan sebagai pemadam kesan tapak kaki perjalanan mereka dan juga sebagai pembekal bahan minuman.

Begitulah antara pengorbanan yang telah dicurahkan Saidina Abu Bakar kepada perjuangan Allah. Demikian penangan cinta yang menyerap ke dalam hati beliau. Bagaimanakah kita? Sekarang ini, apakah penangan cinta yang menyusuk kalbu kita? Mari sama-sama kita koreksi diri.

Wallahu a'lam