Ahad, Februari 11, 2007

Penangan Cinta

Bismillah

Cinta adalah fitrah semulajadi manusia. Dari mereka yang berumur satu hari, hinggalah mereka yang sedang nazak menghadapi saat kematian, masing-masing punya rasa cinta.

Pelbagai rasa cinta yang ada dalam hati manusia. Cintakan dunia, cinta wang ringgit, cinta negara, cinta ibu bapa, cinta kekasih hati, cinta Allah dan Rasul-Nya dan macam-macam lagi jenis cinta.

Bila perasaan ini adalah fitrah semulajadi manusia, pastinya kita semua sudah merasai cinta. Mampu menjiwai cinta dan mampu memahaminya. Mungkin juga sekarang ini kita sedang asyik dilamun cinta.

Remaja; antara golongan yang sering dikaitkan dengan perasaan cinta. Golongan ini saat terkenal dan begitu masyhur dengan cinta. Mereka sangat sinonim dengan kalimah ini. Dan suatu perkara yang sering diperkata adalah cinta monyet.

Namun, cinta remaja ini, tidak semuanya berpaksikan monyet semata-mata. Ada yang mengakhirinya dengan ikatan yang sah.

Cinta; auranya amat luar biasa. Penangannya sangat dahsyat. Ada yang bermadah pujangga. Gunung tinggi sanggup direnangi, lautan api sanggup diredahi. Ada juga yang macam manusia kurang siuman. Ketawa sendiri dan senyum sorang-sorang. Ada juga yang murung tak karuan. Tidur tak lena, mandi tak basah. Ada juga yang sanggup bergolok gadai, menghabiskan seluruh harta untuk cinta.

Demikian antara gambaran dan situasi penangan cinta. Tajam dan menusuk jiwa.

Demikian juga kalau kita saksikan apa yang Saidina Abu Bakar lakukan kesan penangan cintanya kepada Allah dan Rasul.

Peristiwa hijrah antara saksi betapa cintanya Abu Bakar kepada Rasulullah s.a.w. Segalanya digunakan bagi menjayakan misi hijrah. Bermula dengan penyediaan dua ekor unta bagi perjalanan ke madinah, hinggalah khadamnya Amir bin Furaihah digunakan bagi menjayakan misi hijrah.

Anaknya juga terlibat sama dalam misi yang penuh makna ini. Asma' binti Abu Bakar ditugaskan menghantar makanan kepada mereka berdua. Begitu juga dengan anak lelakinya Abdullah yang bertugas sebagai mata-mata kepada mereka. Kambing peliharaannya juga digunakan sebagai pemadam kesan tapak kaki perjalanan mereka dan juga sebagai pembekal bahan minuman.

Begitulah antara pengorbanan yang telah dicurahkan Saidina Abu Bakar kepada perjuangan Allah. Demikian penangan cinta yang menyerap ke dalam hati beliau. Bagaimanakah kita? Sekarang ini, apakah penangan cinta yang menyusuk kalbu kita? Mari sama-sama kita koreksi diri.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: