Rabu, Januari 31, 2007

Kenapa dibiar baginda s.a.w memerah akal?

Bismillah

Menyorot kembali detik-detik berlakunya peristiwa hijrah, Rasulullah s.a.w membawa langkah menuju rumah Abu Bakar dengan pakaian yang agak asing bagi mengelak orang mengenali Baginda. Ia antara langkah bagi memastikan misi penghijrahan berjaya. Demikian apa yang diceritakan di dalam sahih Bukhari riwayat daripada Saidatina Aisyah.

Usai bertemu Abu Bakar dan baginda menyampaikan hasratnya serta bekalan yang telah siap disediakan, baginda Nabi s.a.w berkejar menemui saidina Ali. Baginda s.a.w mengarahkan saidina Ali menunggu dahulu di kota Makkah untuk beberapa waktu agar baginda dapat memulangkan kembali barang yang diamanahkan kepadanya. Baginda juga mengarahkan Saidina Ali menggantikan tempat tidurnya.

Abu Bakar pula menyuruh anaknya Abdullah menjadi mata-mata dan melaporkan kepada ayahnya dan Nabi s.a.w apa yang diperkatakan oleh orang Quraisy.

Abu Bakar turut mengarahkan khadamnya Amir bin Fuhairah membawa kambing ternakan mengiringi perjalanan mereka berdua bagi memadam kesan tapak kaki. Manakala petangnya pula, Amir diarahkan membawa ternakan berhampiran ke pintu gua bagi membekalkan susu kepada mereka.

Baginda Nabi s.a.w bersama Abu Bakar berlindung beberapa hari di gua Thur sebelum meneruskan perjalanan mereka. Abdullah, putera Abu Bakar turut sama menginap di gua Thur. Namun, bila hampir siang, dia akan pulang ke Makkah semula bagi mendapatkan maklumat.

Pihak musyrikin di Makkah pula telah berkumpul mengatur strategi seterusnya dalam usha menghapuskan Nabi s.a.w. Pelbagai tawaran menarik terhidang bagi mereka yang berjaya membunuh Muhammad s.a.w.

Akhirnya pihak musyrikin sampai di gua Thur. Maka, cemaslah hati dan perasaan Abu Bakar sambil berkata : "Kalau mereka menundukkan sedikit sahaja pandangan mereka ke bawah, pasti kita akan dapat dilihat." Bagi menenangkan perasaan Abu Bakar, Rasulullah telah menjawab : "Wahai Abu Bakar, disamping kita berdua, ada yang ketiga iaitu Allah."

Demikian beberapa kronologi perjalanan baginda Nabi s.a.w menuju ke kota Yathrib. Meneliti rentetan peristiwa ini, kita akan dapati bahawa Nabi s.a.w begitu rapi dan amat teliti mengatur strategi penghijrahan. Perkara ini dilakukan dengan sangat tersusun.

Namun, mungkin kita boleh bertanya atau mungkin bermain dalam minda dan akal kita. Kenapa Nabi s.a.w begitu berhati-hati dan berwaspada dalam menjalankan misi baginda? Sedangkan baginda adalah manusia yang paling disayangi dan paling rapat dengan Allah Ta'ala. Baginda bukan manusia biasa. Baginda adalah manusia pilihan Allah. Apakah yang perlu dirisaukan? Kenapa pula perlu diatur pelbagai strategi?

Bukankah Allah berkuasa membawa terus Nabi s.a.w ke kota Madinah sebagaimana Allah angkat Nabi s.a.w menaiki buraq menuju ke langit-Nya. Allah juga mampu membuat lebuhraya tanpa tol juga sebuah ferrari formula satu bagi melancarkan perjalanan baginda. Namun, kenapa Allah membiarkan baginda memerah akal dan keringat mengatur strategi hijrah.

Demikian sebenarnya bagaimana baginda Nabi s.a.w mahu mengajar umatnya tentang apa yang dinamakan الأخذ بالأسباب (mengambil sebab musabab). Allah juga mahu mendidik manusia agar berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.

Maka, di sini muncullah apa yang dinamakan tawakal setelah mengambil sebab musabab. Oleh itu, perlulah kegigihan dan usha sebelum kita menyerahkan segalanya kepada Allah.

Begitulah apa yang telah Nabi s.a.w lakukan. Setelah mengatur strategi begitu rapi, baginda menyerahkan segalanya kepada Allah. Perkara ini dapat dilihat ketika musyrikin berada di hadapan gua Thur. Baginda begitu tenang dan memberitahu Abu Bakar bahawa Allah berada di sisi kita.

Oleh itu, setiap cita-cita, perlakuan dan matlamat dalam hidup kita, haruslah ada yang dinamakan mengambil sebab musabab. Perlulah ada usaha dan kerahan keringat. Setelah usai menjalankan usaha dan seluruh sebab musabab telah diambil, maka pada saat inilah detik yang tepat dan sesuai menyerah dan bertawakal segalanya kepada Allah.

Akhrnya ; وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

....sesiapa berserah diri sepenuhnya kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (al-Thalaq :65)

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: