Ahad, Januari 21, 2007

Pindah; as-Sam'u wat tho'ah

Bismillah

Saya teringat ketika saya mendengar satu kuliah agama di sebuah masjid di Bagan Serai Perak. Waktu itu saya sedang mengambil diploma di Madiwa. Saya masih teringat juga bagaimana ustaz Qazim al-Hafiz menyampaikan syarahannya yang bagi saya mampu menggugah nubari.

Antara perkara yang disentuh beliau ialah perihal sam'u wat tho'ah Saidina Ali pada ketika diperintahkan menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w.

Saya kira semua mampu membayangkan betapa ngeri dan gerunnya menggantikan tempat orang yang bakal mati. Seluruh kaum musyrikin telah memilih wakil setiap puak bagi menikam Rasulullah s.a.w. Perancangan yang rapi telah diatur sekemasnya bagi memastikan Nabi Muhammad s.a.w hilang nyawanya.

Dalam perancangan hijrah pula, Rasulullah mengarahkan Saidina Ali menggantikan tempat tidurnya. Kita boleh fikir dan bayangkan bagaimana kalau kita diminta oleh ketua kita untuk menggantikan tempat tidurnya yang mana pihak musuh sedang menunggu diluar bagi menikam ketua kita di tempat tidur. Perasaan bercampur baur. Cemas, cuak, rasa hendak terkincit dan pelbagai lagi rasa jiwa yang tidak tenteram.

Namun begitu, Saidina Ali tidak mengatakan kepada Rasulullah "kau gila ke wahai Pesuruh Allah? Kenapa aku yang menjadi mangsa." (mungkin ini bahasa kasarnya atau mungkin juga jawapan kita bila kita diarah melakukan yang demikian.)

Saidina Ali juga tidak pernah berkata kepada Baginda Nabi s.a.w "Ya Rasulullah, apa kata kalau kita kaji dulu perkara ini." Saidina Ali tidak menolak walau jiwanya bercampur baur. Malahan dia patuh dengan arahan ketuanya. Rasulullah menjanjikan bahawa tidak akan berlaku perkara yang buruk pada malam itu.

Demikian bagaimana sikap dengar dan taatnya sahabat nabi kepada arahan baginda. Sikap ini jugalah yang menatijahkan kejayaan perpindahan dari kota Makkah ke kota Madinah. Dengan sikap inilah juga akhirnya Daulah Islamiah tertegak di Bumi Madinah al-Munawwarah.

Maka, sama-samalah kita renung dan fikirkan. Sama-sama juga kita ambil pengajaran dari sirah perjuangan dan sejarah perjalanan sahabat baginda s.a.w. Sam'u wat tho'ah; sekadar dua kalimah, ringkas dan mudah. Namun janganlah diambil mudah. Andaikata Saidina Ali tiada sikap dengar dan taat ini, mungkin perpindahan Nabi s.a.w tidak berjaya. Akhirnya Islam tidak ada sinarnya.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: