Selasa, Januari 09, 2007

Bila salah letak lagi

Bismillah

عن أبي هُرَيْرَةَ قال بَيْنَمَا النبي صلى الله عليه وسلم في مَجْلِسٍ يحدث الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فقال مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يحدث فقال بَعْضُ الْقَوْمِ سمع ما قال فَكَرِهَ ما قال وقال بَعْضُهُمْ بَلْ لم يَسْمَعْ حتى إذا قَضَى حَدِيثَهُ قال أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عن السَّاعَةِ قال هَا أنا يا رَسُولَ اللَّهِ قال فإذا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قال كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قال إذا وُسِّدَ الْأَمْرُ إلى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
صحيح البخاري ج1/ص33
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata: Suatu ketika Nabi s.a.w di dalam suatu majlis berceramah kepada satu kaum, datang seorang a'rabi lantas bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Bilakah hari kiamat?" Maka Rasulullah s.a.w meneruskan ceramahnya. Maka berkata sebahagian daripada kaum tersebut bahawa Rasulullah s.a.w mendengar pertanyaan tersebut tetapi baginda benci. Dan berkata pula sebahagian yang lain bahawa baginda tidak mendengarnya. Apabila selesai ceramahnya, berkata Nabi s.a.w: "Dimanakah penyoal tentang hari kiamat tadi?" Maka dia berkata : "Aku di sini wahai Rasulullah." Maka bersabda Nabi s.a.w: "Apabila amanah disia-siakan. Tunggulah saat kiamat." Dia bertanya lagi: "Bagaimanakah mensia-siakannya?" Bersabda Nabi s.a.w: "Apabila meletakkan sesuatu perkara bukan kepada ahlinya, maka nantikanlah hari kiamat."
Suatu hari sedang Mak Minah menjahit seluar koyak, dia dipanggil suaminya. Mendengar seruan suaminya, Mak Minah terus menyucuk jarum di atas sofa tempat dia menjahit. Dia tergesa-gesa ke dapur mendapatkan suaminya. Sedang Mak Minah melayan suami, tiba-tiba anaknya menangis. Mak Minah bersama suami bergegas ke tempat kejadian. Dilihat punggung anaknya yang baru berusia empat tahun digenangi darah.

Mak Minah menangis dengan penuh kesal kerana kecuaian dan kesalahan Mak Minah meletakkan jarum pada bukan tempatnya.

Suatu ketika, Dato' Muhammad telah mengambil anak saudaranya bekerja di syarikat pembinaannya. Dato' Muhammad menawarkan gaji yang sangat lumayan kepada anak saudaranya. Anak saudaranya diletakkan dibahagian pelan menggantikan jurutera sebelumnya.

Dengan penuh bangga dan penuh keyakinan, anak saudaranya berjaya mengurus dan menyiapkan sebuah bangunan rumah kedai tiga tingkat.

Malangnya, selang beberapa ketika, bangunan itu roboh. Akhirnya semua orang memarahi Dato' Muhammad begitu juga dengan pekerja-pekerjanya di syarikat itu. Mereka mempertikai kenapa Dato' Muhammad mengambil anak saudaranya yang berkelulusan bidang masakan di Uitm sebagai jurutera.

Sebulan yang lepas, suatu perkara yang memeranjatkan saya bila sebuah lorong di kawasan kampung saya menerima peruntukan RMK-9 untuk mengetar jalan. Apa yang membingungkan, lorong itu hanya mempunyai lima buah rumah sahaja.

Lebih membingungkan bila sebuah kampung yang rumahnya melebihi 20 buah, tidak pernah menerima penurapan tar baru semenjak 10 tahun dahulu. Walhal, jalannya sudah banyak lompang.
Saya sangat tidak pasti kenapa perkara ini boleh terjadi. Cuma, apa yang saya tahu melalui cakap-cakap orang, lorong yang menerima tar itu adalah kepunyaan mantan YB di kawasan itu. Jalan kampung yang sudah 10 tahun lompang dan rosak itu, kiri dan kanannya mengibar bendera hijau putih.

Kawan saya pernah berkata, waktu cukai pintu, cukai tanah, cukai jalan dan pelbagai lagi cukai dituntut bayarannya, pengibar-pengibar bendera hijau putih tidak pernah dikecualikan daripada membayarnya. Amat malang dan sangat tidak adil ketika kemudahan dan hak serta amanah tidak diberikan kepada pengibar-pengibar ini.

Maka, sangat benar dan amat tepatlah apa yang baginda Nabi s.a.w sabdakan. Tunggulah hari kiamat yang juga hari kehancuran bila amanah disia-siakan. Tanggungjawab dibeban bukan pada ahlinya. Oleh itu, muncullah tukang rumah menebar roti canai dengan tukulnya dan terbitlah penebar roti canai mengetuk paku dengan tepung. Saat itu, porak peranda akan menjelma. Kehancuran akan tiba. Dunia akan tiada.
Wallahu a'lam

Tiada ulasan: