Selasa, Mac 02, 2010

Aku tidak suka dibezakan ke atas kalian

Bismillah

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu, contoh tauladan yang baik bagi mereka yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
(Surah al-Ahzab: 21)

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam merupakan contoh tauladan dan ikutan terbaik buat sekalian umat. Baginda seorang yang berperibadian yang amat mulia dalam semua aspek kehidupan. Baginda menjadi tauladan yang baik dalam hal ehwal pengurusan peribadi, rumah tangga, masyarakat dan negara secara serentak. Baginda adalah manusia agung yang mampu mengurus peribadi, rumah tangga, masyarakat dan negara dengan baik dan sempurna.

Umat meriwayatkan bilangan isteri baginda seramai sembilan orang. Namun, saya belum pernah berjumpa riwayat yang mempertikai keadilan Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam dalam penggiliran isteri-isteri baginda. Kalau ada pun, ia adalah hasil tangan musuh-musuh Allah yang cuba menjatuhkan keperibadian unggul Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Baginda sallallahu alaihi wasallam pernah berlumba lari bersama Aisyah radhiAllahu ‘anhu. Sekali Aisyah menang dan sekali Baginda sallallahu alaihi wasallam menang. Perihal ini menampakkan keintiman dan kemesraan Baginda sallallahu alaihi wasallam bermuamalah dengan isterinya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

عَنْ عَا ئِشَةَ رَضِى اللهُ عَنْهَا قَالَتْ , قَالَ رَسُولُ اللهِ ( ص(:
اِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَاناً أَحْسَنُهُمْ خَلْقاً وَأَلْطَفَهُمْ بِأَهْلِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya orang mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik tingkah lakunya dan lemah lembut terhadap isteri dan anak-anaknya
(Riwayat Al-Turmizi)

Baginda sallallahu alaihi wasallam juga pimpinan masyarakat yang baik dan unggul. Baginda seorang pimpinan yang turun padang, tawadhu’, inklusif dan sama-sama bekerja dengan orang yang dipimpinnya.

كان عليه الصلاة والسلام مرة في سفر مع جماعة فلما حان موعد الطعام ، عزموا على إعداد شاة يأكلونها . فقال أحدهما: علي ذبحها . وقال الآخر : علي سلخها . وقال الثالث : علي طبخها فقال النبي عليه السلام : " وأنا علي جمع الحطب !" فقالوا : يا رسول الله ، نحن نكفيك العمل فقال : " علمت أنكم تكفونني ، ولكنني أكره أن أتميز عليكم.

Maksudnya: Suatu hari Nabi s.a.w bermusafir secara berkumpulan. Ketika tiba waktu makan, mereka berazam untuk menyediakan seekor kambing sebagai santapan. Maka berkata salah seorang daripada mereka: “Aku akan menyembelihnya.” Dan berkata yang lain: “Aku akan menyiatnya.” Dan berkata orang yang ketiga: “Aku akan memasaknya.” Maka berkata Nabi s.a.w: “Dan aku akan mengumpulkan kayu api.” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Kami semua sudah cukup untuk melakukan kerja ini.” Maka bersabda Nabi sallallahu alaihi wasallam: “Aku tahu bahawa kalian sudah cukup melakukan kerja ini. Tetapi aku tidak suka dibezakan ke atas kalian.”

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: